Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Monday 30 December 2013

Cara Untuk Solat Sunat Sebelum Dan Selepas Nikah


Solat Sunat Sebelum Nikah
Solat sunat sebelum nikah dilakukan sebelum majlis akad nikah dan bilangan rakaatnya adalah 2 rakaat.
Niat solat sunat sebelum nikah:
“Usolli sunnatal ‘ursi rak’ataini lillahi Ta’ala”
Sahaja aku solat sunat sebelum nikah dua rakaat kerana Allah Taala.
Rakaat pertama:
Membaca surah Al-Fatihah dan surah Al-Kafirun
Rakaat kedua:
Membaca surah Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas
Solat Sunat Selepas Nikah
Solat sunat selepas nikah boleh dilakukan bagi pasangan yang baru selesai diakad nikahkan dan kedua-duanya disunatkan untuk mendirikan solat sunat ini, terutamanya lelaki dan bilangan rakaatnya adalah 2 rakaat  dan boleh diikuti dengan sujud syukur.
Niat solat sunat selepas nikah:
“Usolli sunnata ba’dan nikahi rak’ataini lillahi Ta’ala”
Sahaja aku solat sunat sesudah nikah dua rakaat kerana Allah Ta’ala.
Rakaat pertama:
Membaca surah Al-Fatihah dan surah Al-Kafirun
Rakaat kedua:
Membaca surah Al-Fatihah dan surah Al-Ikhlas
Contoh doa dalam bahasa Melayu
“Ya Allah, Engkau Maha Pengasih lagi Maha Penyayang, segala puji-pujian bagi-Mu, seru sekalian alam. Ya Allah, aku bersyukur kepada-Mu, telah selesai pernikahanku ini, kami memohon pada-Mu Ya Allah, Engkau berkatilah pernikahanku ini. Engkau jadikanlah aku dan isteriku orang-orang yang soleh. Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, pada-Mu lah kami memohon pertolongan.
Engkau anugerahkanlah padaku isteri/suami yang soleh, Engkau berikanlah akan daku dan isteriku petunjuk dan hidayah agar kami sentiasa di dalam keredhaan-Mu dan tunjukilah kami ke jalan yang lurus sepanjang hidup kami.Engkau berikanlah kami kekuatan untuk memimpin isteri dan anak-anak kami ke jalan yang Engkau redhai.
Engkau mesrakanlah kami, bahagiakanlah kami sebagaimana Nabi Muhammad sae dan Siti Khadijah, Nabi Yusuf dengan Zulaikha, Nabi Adam dan Hawa. Engkau anugerahkanlah padaku dan isteriku anak-anak yang ramai dan soleh. Engkau anugerahkanlah kami kesihatan dan kesejahteraan pada isteri/suami dan anak cucu kami sepanjang hayat kami dan sepanjang hayat mereka. Engakau peliharalah kami daripada perkara-perkara yang boleh merosak kemesraan dan kebahagian rumahtangga kami”
“Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim, Engkau anugerahkanlah kepada kami akan rezeki yang suci dan baik, lindungilah kami dari mendapat rezeki yang keji dan haram. Engkau jadikanlah aku, isteriku/suamiku dan anak-anak kami orang yang rajin mengerjakan solat dan bertaqwa. Engkau berikanlah petunjuk dan jalan sekiranya aku, isteri/suami dan anak-anak ku menyimpang ke jalan yang tidak Kau redhai. Engkau anugerahkanlah padaku, isteri/suami dan keturunan kami kekuatan dan keimanan untuk berbuat baik dan amal soleh sepanjang hayat kami. Engkau peliharalah kami, isteri/suami, anak-anak dan cucu-cucu kami dari sebarang mara bahaya, fitnah dan malapetaka yang tidak diingini samaada yang lahir mahupun yang batin”
“Ya Allah, Engkau berkatilah umur kami, isteri/suami kami, anak-anak kami, cucu-cucu kami sehinggalah akhir hayat kami dan mereka. Engkau peliharalah kami, isteri/suami kami, anak-anak kami, cucu-cucu kami agar menjadi orang yang taat kepada-Mu Ya Allah, kepada kedua ibu bapanya dan taat mengerjakan perintah-Mu dan taat dalam menjauhi larangan-Mu”
“Bahagiakanlah rumah tangga kami Ya Allah”(3 kali),
“Engkau berkatilah rumahtangga kami Ya Allah” (3 kali)
Disunatkan selepas nikah meletakkan tapak tangan diatas ubun-ubun atau kepala isteri dan berdoa.

Sejarah Hidup Mat Kilau

Arkib : 31 Disember 2013


Mat Kilau merupakan seorang pahlawan Melayu yang berjuang menentang penjajah British di Pahang. Nama penuh beliau ialah Mat Kilau bin Imam Rasu @ Tok Gajah.  Ibu beliau adalah Mahda iaitu anak kepada Tok Kaut Burau. Mat Kilau dipercayai lahir dalam tahun 1865/1866 di Kampung Masjid, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang. Mat Kilau pandai mengaji, berzanji dan berdikir maulud serta berdikir rebana yang dikenali sebagai ‘Dikir Pahang’ dan Mat Kilau suka bermain gasing dan berlaga buah keras.
Apabila berusia lebih kurang 20 tahun, Mat Kilau berkahwin dengan seorang gadis yang bernama Yang Chik binti Imam Daud, Kampung Kedondong. Setelah berkahwin barulah Mat Kilau belajar bersilat dan menuntut ilmu kebatinan. Mat Kilau bukan sahaja belajar bersilat sebagaimana sahabatnya yang lain, bahkan beliau lebih mendalami silat dengan menggunakan senjata seperti keris dan parang. Mat Kilau banyak menuntut ilmu batin dan kepahlawanan hinggakan boleh menghilangkan diri. Mat Kilau juga banyak menuntut ilmu daripada ayahnya sendiri iaitu Tok Gajah. Ilmu kebatinan secara agama banyak dituntutnya daripada Haji Osman yang dikenali juga sebagai Haji Muntuk sebelum dia berpindah ke Pekan sebagai Mufti Negeri Pahang.
Mat Kilau mempunyai sifat-sifat seorang pemimpin dan pemikiran yang matang telah menjadikan beliau seorang pemuda yang sangat disegani dan dihormati. Mat Kilau mempunyai cara pemikiran yang matang. Pada bulan Oktober 1888 semasa Tok Gajah berada di Pekan, Hugh Clifford telah datang ke Pulau Tawar dan berunding dengan Mat Kilau. Ini menunjukkan Clifford mempercayai idea-idea Mat Kilau. Beliau suka bergaul dengan setiap lapisan masyarakat dan ini membuatkan beliau menjadi seorang yang luas pandangan dan mendapat kepercayaan penuh dari masyarakat. Mat Kilau adalah seorang yang jujur dan tegas, justeru itu dia sangat disegani dan amat dikasihi oleh pengikut-pengikutnya. Pengikut Mat Kilau terlalu ramai tetapi yang diketahui namanya ialah Awang Nong, Teh Ibrahim, Mat Kelubi, Mat Ali (khatib), Awang (Imam) dan Mat Tahir dan mereka ini sanggup sehidup semati dengan Mat Kilau.
Khabar yang menyatakan Mat Kilau mati tersiar di dalam akhbar-akhbar Inggeris yang diterbitkan di Singapura. The Free Press pula memberitahu bahawa “Mat Kilau telah melawan apabila hendak ditawan dan akibatnya dia telah cedera di muka dan di kepalanya. Luka-luka itu sangat parah dan dia telah mati di dalam perjalanan ke hilir Kota Bharu disebabkan kehilangan banyak darah”.
Dengan tersiarnya berita kematian Mat Kilau oleh akhbar The Free Press keluaran 22 Oktober 1895, maka pada pendapat umum tamatlah sudah riwayat Mat Kilau.akan tetapi apa yang sebenarnya berlaku tiada diketahui kecuali beberapa orang sahabatnya seperti Mustafa bin Awang Mat (Jusoh Rimau), Pendekar Tok Demali ,Raja Ibrahim (Pak Him), Mat Kelantan dan beberapa orang lain. Disebabkan Mat Kilau dicop sebagai ‘penderhaka’ oleh Inggeris, maka terpaksalah Mat Kilau mengasingkan diri dan berpindah dari satu tempat ke satu tempat dan akhirnya bermastautin di Batu 5, Jalan Kuantan-Gambang. Semenjak 1930 Mat Kilau juga terpaksa menukar namanya buat beberapa kali dan akhirnya dia memakai nama Mat Siam.
Pada bulan Disember 1969, Mat Kilau yang memegang kad pengenalan diri K/P 2044778 dan bernama Mohamad bin Ibrahim, telah memperkenalkan dirinya yang sebenar dan untuk mengelakkan dirinya dari menjadi tumpuan ramai maka Mat Kilau telah bersetuju mengumumkan dirinya di kampung kelahirannya. Atas usaha Omar bin Mat Kilau, maka Mat Kilau dibawa ke Kampung asalnya iaitu Kampung Masjid, Pulau Tawar. Pada hari Jumaat 26 Disember 1969, Mat Kilau telah pergi ke Masjid di Kampung Masjid untuk bersembahyang Jumaat. Selepas sembahyang, Mat Kilau telah membaca Al-Quran dan kemudiannya mengistiharkan dirinya sebagai Mat Kilau.

Pengistiharan ini telah mengemparkan orang ramai sehingga Kerajaan Pahang menubuhkan sebuah jawatankuasa untuk menyiasat. Jawatankuasa itu dibentuk pada 8 Januari 1970. Beberapa orang telah ditemuramah bagi membuktikan bahawa Mat Siam itu adalah Mat Kilau. Setelah disahkan maka pada pukul 10.30 pagi hari Khamis, 6 Ogos 1970, Mat Siam diisytiharkan sebagai Mat Kilau oleh Menteri Besar Pahang. Setelah empat hari selepas pengumuman pengiktirafan terhadap dirinya dibuat, Mat Kilau meninggal dunia. Usianya ketika itu dipercayai berusia 122 tahun. Beliau tidak sempat menceritakan kisah-kisah perjuangannya dengan lebih lanjut lagi. Sekian.
Pautan artikel lain yang berkaitan :-

Pahlawan Sufi Dari Pahang

Lelaki Bina Replika Taj Mahal Untuk Arwah Isterinya

Di Bulandshahr, Uttar Pradesh India, seorang lelaki Faizul Hasan Kadari (77) membina sebuah replika Taj Mahal untuk arwah isterinya yang bernama Tajammuli Begum. Faizul sudah membelanjakan GBP 10 500 (RM 50 000) untuk membina replika sebesar 5000 kaki persegi itu.
Pembinaan dimulakan Febuari 2012 tetapi terpaksa dihentikan September lalu akibat kehabisan dana.  Faizul enggan menerima bantuan daripada orang ramai kerana baginya monumen cinta dia kepada arwah isterinya harus dibina menggunakan wangnya sendiri.
Faizul juga telah menjual barang kemas arwah isteri, tanah milik beliau dan membelanjakan wang pencen untuk menyiapkan Taj Mahal mini itu. Dia berharap Taj Mahal mini itu dapat disiapkan sebelum dia meninggal dunia supaya dia dapat disemadikan bersebelah kubur isterinya yang tercinta.




Brunei Darussalam Laksanakan Hukum Hudud


Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah, telah mengumumkan penguatkuasaan hukum Hudud di negara Brunei, termasuk melaksanakan hukuman potong tangan ke atas pencuri dan rejam terhadap kesalahan zina.
Jelasnya, undang-undang yang dikenali sebagai Kod Penal Syariah itu, telah diwartakan selepas beberapa tahun diteliti dan dikaji.
Suatu masa dulu baginda pernah bertitah, “Siapa kita di hadapan Allah, untuk mengatakan tidak atau tunggu dulu? Undang-undang Islam bukan sahaja digubal malah sudah tercatat di dalam Al-Quran dan Hadis lebih 1400 tahun dahulu”.
Sebelum ini, Sultan Hassanal dalam ucapannya pada satu majlis tertutup berkata, pelaksanaan undang-undang Islam berlandaskan Syariah itu bakal dikuatkuasakan secara berperingkat-peringkat dalam tempoh enam bulan.

Sultan Hassanal Bolkiah, 67, antara lelaki terkaya di dunia, berkata, akta baru undang-undang syariah yang dikaji selama bertahun-tahun itu diperkenalkan secara rasmi semalam di negara yang kaya dengan minyak itu mengikut tempoh percubaan selama enam bulan.
Berdasarkan kes terhadap individu, undang-undang itu meliputi hukuman termasuk merejam hingga mati kerana berzina, memotong tangan kerana mencuri dan sebat kerana pelbagai kesalahan seperti pengguguran kandungan hingga kepada meminum arak. Akta itu bagaimanapun hanya tertakluk kepada umat Islam.
“Dengan izin Allah, dengan menguatkuasakan undang-undang ini, tanggungjawab kita terhadap Allah sudah ditunaikan,” kata Sultan Hassanal Bolkiah dalam ucapannya.
Sebagai pemimpin negara yang keluarganya menguasai negara yang kaya dengan minyak itu selama enam abad, beliau pertama kali menggesa hukuman hudud dilaksanakan pada 1996.
Brunei sebelum ini mengamalkan pemerintahan lebih konservatif berbanding negara jiran Islamnya di Asia Tenggara iaitu Malaysia dan Indonesia, seperti mengharamkan penjualan dan kegiatan minum arak secara terbuka.

Aku Stress Giler: Serius : 4 Badak Sumbu Putih Terakhir Di Dunia Di ...

Aku Stress Giler: Serius : 4 Badak Sumbu Putih Terakhir Di Dunia Di ...: Kelihatan еmраt lеlаki dаri ѕеbuаh pasukan аnti реmburu hаrаm dilihаt sedang mеlindungi bаdаk putih di Ol Pejeta Conservancy, Kenya. Ol P...

Sunday 29 December 2013

Friday 27 December 2013

DATO' SAGOR TAK MATI DIGANTUNG ?

Arkib : 28 Disember 2013



TERBIAR... Makam Dato' Sagor di Matang, Perak yang terletak berhampiran kawasan pelupusan sampah dipenuhi lalang sehingga sukar mengesannya.

FAKTA rasmi yang diketahui ramai bahawa Dato' Sagor meninggal dunia setelah digantung British pada 20 Januari 1877 atas kesalahan bersubahat membunuh Residen British, JWW Birch pada 2 November 1875.

Jenazahnya kemudian dikebumikan di sebuah lokasi berhampiran sungai di Matang, Perak.

Namun terdapat satu lagi versi cerita mengatakan pahlawan negara itu sebenarnya tidak mati di tali gantung.

Ketua Sidang Kampung Teluk, Ramli Ngah Mat Ali yang juga cicit kepada Dato' Sagor memberitahu, kisah tersebut diceritakan oleh saudaranya, Dato' Mohd. Abas Ahmad.

Mohd. Abas merupakan waris keturunan Dato' Sagor dan antara individu yang dihormati di negeri Perak satu ketika dahulu.

Menurut Ramli, ketika hendak digantung, British menghadapi kesukaran melaksanakan hukuman itu kerana tali gantung putus.

Diceritakan sebanyak tiga kali tali gantung putus ketika hendak menggantung Dato' Sagor. Situasi itu berlaku kerana kerja menjalankan hukuman gantung itu dilakukan oleh bukan Islam.

"Syarat untuk membolehkan hukuman itu dijalankan adalah ia mesti dilakukan orang Islam. Lalu British mencari orang Islam yang berani melakukan tugas itu. Ada seorang tampil namun atas kerjasama dia helah berjaya dilakukan dan Dato' Sagor terselamat daripada tali gantung.


"Pada ketika itu juga pakatan telah dilakukan bersama pembesar dan hulubalang Melayu untuk 'menyeludup' keluar Dato' Sagor dari daerah Matang tanpa diketahui British," katanya.

Dato' Sagor dikatakan dibawa lari ke Pekan, Pahang dan menetap di sana menggunakan identiti berbeza.

Ramli berkata, ketika hidupnya, Mohd. Abas mendakwa dia pernah bertemu individu yang dikatakan Dato' Sagor itu sebanyak tiga kali di Pekan, Pahang.

"Kali pertama untuk mencungkil rahsia, menyoal siasat identiti, namun tidak berhasil. Selang beberapa bulan, pertemuan diatur lagi dan dengan persediaan maklumat rapi oleh Mohd. Abas dia berjaya memecah rahsia sehingga individu tersebut mengaku sebagai Dato' Sagor.

"Kemudian Mohd. Abas kembali dan berjanji datang sekali lagi untuk membawa keluar individu tersebutMalangnya belum sempat pertemuan ketiga diadakan, individu tersebut telah meninggal dunia,'' ceritanya lagi

Menurut Ramli, kegagalan itu ada kaitan dengan sumpah yang telah dibuat dan selalunya dilakukan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan negara.

"Apabila mereka melanggar sumpah mendedahkan identiti, maka ajal pun menyambut mereka dan keadaan itu berlaku kepada beberapa pahlawan lain. Dikatakan usia Dato' Sagor ketika meninggal dunia adalah 105 tahun.

"Ini bukan sekadar cerita tetapi usaha yang dilakukan oleh Dato' Abas dan beberapa rakannya. Malangnya semua individu terbabit sudah meninggal dunia. Jadi sama ada mahu percaya atau tidak, terpulang," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

Asal nama Dato' Sagor

Arkib : 28 Disember 2013


Gambar Dato' Sagor seperti yang ditunjukkan di dalam bulatan pada gambar

TAN Sri Ramli Ngah Talib dalam bukunya bertajuk Pasir Salak Sehamparan Sejarah Perjuangan menyebut, dari sudut sejarah, gelaran Orang Kaya-kaya Seri Agar Diraja atau Dato' Sagor pernah dianugerahkan kepada Tun Mahmud, Bendahara Perak pertama pada 1530, ketika baginda menjadi pentadbir di Selangor di masa pemerintahan Sultan Mahmud Melaka dan Kampar.

Ini bermakna katanya, gelaran itu adalah tradisi Melaka yang diteruskan di Perak.

Menurut Ramli lagi, dalam buku tulisan Wilkinson, Papers On Malay Subject 1920, nama Dato' Sagor berada pada susunan ketujuh dalam senarai Orang Besar Delapan Perak.

Bagaimanapun, dalam buku sama Wilkinson juga ada menyebut, terdapat senarai yang meletakkan Dato' Sagor di tempat lebih tinggi dalam senarai tersebut.

"Nama Dato Sagor dipercayai cetusan gaya sebutan pelat Perak terhadap gelaran Orang Kaya-Kaya Seri Agar Diraja. Untuk memudahkan sebutan Seri Agar Diraja itu maka disebut Dato' Sagor sahaja. Sebagai contoh pelat Perak menyebut air sebagai ayor dan agar sebagai agor. Mungkin di situ timbulnya nama Sagor gabungan seri dan agor," katanya.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pautan artikel lain yang berkaitan :-

Hampir tikam Birch, tumbuk meja Keyt


Hampir tikam Birch, tumbuk meja Keyt

Arkib : 28 Disember 2013


WATAK penting yang dimainkan Dato' Sagor dalam pembunuhan JWW Birch bukan hanya dapat disaksikan pada hari pembunuhan pada 2 November 1875.

Sejak mesyuarat pertama mengenai rancangan itu pada 21 Julai 1875, di rumah Haji Mat Yasin di Durian Sebatang, Dato' Sagor telah melibatkan diri.

Pakar sejarah, Prof. Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali (gambar) berkata, malah belum sempat Sultan Abdullah membuat keputusan, Dato' Sagor dan Dato' Maharaja Lela antara pembesar yang tanpa banyak soal sedia melaksanakan tugas tersebut.

"Pada mesyuarat pertama, Laksamana mengesyorkan supaya JWW Birch diracun. Sultan Abdullah pula mencadangkan supaya 'bermain' hantu jika langkah meracuni JWW Birch gagal.

"Cadangan Maharaja Lela pula adalah dengan cara menikam. Dato' Sagor pula menyatakan, sekiranya Dato' Maharaja Lela menikam JWW Birch, dia akan menyerang Bandar Bahru, kediaman JWW Birch dan menurunkan bendera British," katanya.

Selepas itu Dato' Sagor dan Dato' Maharaja Lela tidak pernah ketinggalan daripada apa-apa perjumpaan membunuh JWW Birch.

Menurut Abdullah yang juga penulis buku Pasir Salak: Pusat gerakan menentang British di Perak, selepas tindakan meracun dan bermain hantu gagal, satu lagi mesyuarat diadakan pada Ogos 1985.

Dalam mesyuarat itu Laksamana menyatakan tidak sanggup untuk membunuh JWW Birch tetapi Dato' Sagor menyatakannya kesanggupannya.

"Pada 5 September 1875, dalam mesyuarat di rumahnya, Dato' Sagor, Sultan Abdullah dan Dato Maharaja Lela bersumpah merahsiakan rancangan membunuh JWW Birch dengan meminum air keris,'' tambah beliau.

Menurutnya lagi, semangat Dato' Sagor yang sangat bencikan Inggeris dapat dilihat dalam peristiwa Bukit Tunggal, Kampung Gajah

"Dato Sagor bukan sahaja tidak mahu mematuhi arahan British melalui pegawai mereka J.J Keyt yang memintanya membersih jalan dan membina balai bagi kegunaan lawatan Gabenor William Jervois, malah dalam satu pertemuan menumbuk meja Keyt menyatakan bahawa dia tidak akan melakukan kerja tanpa arahan Sultan Abdullah.

"Dato' Sagor juga pernah menegur Penghulu Mat Akib kerana memulakan tugas membersih Bukit Tunggal tanpa kebenarannya. Penghulu Mat Akib melaporkan tindakan itu kepada JWW Birch.

"Dalam pertemuan JWW Birch dengan Dato' Sagor pada pukul 1.00 tengah hari, 18 Ogos 1875, Birch menegurnya kerana tidak membantu Penghulu Mat Akib, serta merampas lembing dari tangan Dato' Sagor sambil menegur kerana berani membawa lembing ketika datang berjumpanya.

"Dato' Sagor melompat menerkam JWW Birch tetapi dihalang oleh Penghulu Mat Akib dan Ismail, pengawal JWW. Birch. Dalam situasi itu Dato' Sagor dilaporkan berkata, jika dia membawa keris pasti diamuknya JWW Birch," jelas Abdullah.

Penyudahnya, Penghulu Mat Akib berjaya menyiapkan balai, namun gagal menegakkan tiang bendera di puncak Bukit Tunggal kerana dihalang Dato' Sagor.

"Dato' Sagor memberi amaran akan membelasah sesiapa sahaja yang mendirikan tiang dan mengibarkan bendera," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

Semangat Ngah Kamdin Hantui British

Arkib : 28 Disember 2013


DIORAMA di Kompleks Sejarah Pasir Salak menggambarkan peristiwa pembunuhan JWW Birch oleh pahlawan Melayu negeri Perak.

MESKIPUN Dato' Sagor sudah meninggal dunia 136 tahun lalu, namun semangat perjuangan dan aura kepahlawanannya bukan sahaja mekar sehingga hari ini tetapi amat ditakuti British satu ketika dahulu.

Pelbagai usaha dilakukan penjajah tersebut dalam usaha melenyapkan pengaruh dan semangat Dato' Sagor dalam kalangan rakyat ketika itu.

Dalam usaha menangkap Dato' Sagor atas dakwaan bersubahat membunuh Residen British pertama, JWW Birch, keluarga dan keturunannya turut menjadi sasaran sehingga menyebabkan mereka menyembunyikan identiti diri.

Ketua Sidang Kampung Teluk, yang juga cicit kepada Dato' Sagor, Ramli Ngah Mat Ali berkata, di peringkat awal keturunan Dato' Sagor terus didiskriminasi oleh British.

"Jika British tahu kita keturunan Dato' Sagor, tidak diterima bekerja dengan mereka, apa lagi sebagai polis atau tentera. Ini menyebabkan waris dan keturunan Dato' Sagor terus menyembunyikan identiti," katanya kepada S2 baru-baru ini.

Usaha melenyapkan semangat dan pengaruh Dato' Sagor atau nama sebenarnya Ngah Kamdin dilakukan dengan penuh terancang oleh British.

Prof. Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali berkata, setelah Dato' Sagor meninggal dunia pada tahun 1877, gelaran Dato' Seri Agar Diraja atau Orang Kaya-Kaya Seri Agar Diraja, gelaran bagi Orang Besar Delapan Perak tidak dipenuhi.

"Penamatan gelaran Dato' Seri Agar Diraja dapat dikaitkan dengan penglibatan British dalam pentadbiran negeri Perak. Sudah pasti bagi British, gelaran Dato' Seri Agar Diraja perlu dihapuskan supaya masyarakat Melayu Perak khasnya, tidak akan lagi mengingati perjuangan yang dipelopori oleh Dato' Sagor dan Dato' Maharaja Lela.

"Gelaran ini sangat memberi pengertian dalam perkembangan sejarah negeri Perak, ia bukan sahaja mengenang jasa tokoh yang memakai gelaran tersebut tetapi juga dapat menanam semangat perjuangan yang mana kedua-dua tokoh ini sanggup mengambil tugas membunuh JWW Birch," katanya.

Sementara itu, bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib berkata, selepas kematian Dato' Sagor, gelaran tersebut dihapuskan British dan digantikan dengan gelaran Orang Kaya-Kaya Setia Bijaya Diraja.

"Tetapi ia hanya gelaran yang tidak membawa kepada penguasaan wilayah seperti pernah dikuasai Dato' Sagor. Gelaran itu hanya bermula pada 1898 iaitu 23 tahun selepas Dato' Sagor dihukum bunuh oleh British pada 1877," katanya.

Beliau menambah, gelaran Orang Kaya-Kaya Seri Agar Diraja atau Dato' Sagor telah dihidupkan kembali oleh Sultan Perak dan Dewan Negara Perak pada 11 Jun 1987, selepas 114 tahun gelaran itu dihapuskan.

Ramli berkata, ketika peristiwa pembunuhan JWW Birch, usia Dato' Sagor dikatakan antara 55 hingga 60 tahun.

"Dari segi perwatakan dia seorang berbadan besar dan kelihatan bengis tetapi amat disayangi dan dihormati orang Melayu ketika itu," katanya.

Dikatakan bahawa darah Dato' Sagor mengalir dalam kalangan lebih 3,000 keturunannya yang kebanyakan mereka masih menetap di kiri dan kanan Sungai Perak di antara Lambor dan Kampung Bandar.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

Pautan artikel lain yang berkaitan :-

Asal nama Dato' Sagor


Lahirnya Ketuanan Melayu, demokrasi

LEGASI paling besar daripada penentangan terhadap British yang digerakkan oleh Dato' Sagor dan Dato' Maharaja Lela dinikmati oleh orang Melayu hingga hari ini.

Selain itu, perjuangan tersebut membuahkan benih-benih demokrasi yang menjadi teras kepada pentadbiran negara hingga hari ini.

Bekas Menteri Besar Perak, Tan Sri Ramli Ngah Talib (gambar) berkata, tanpa keberanian Dato' Sagor dan Dato Maharaja Lela bersama pengikut mereka mengangkat senjata membuat penentangan, British beranggapan mereka boleh berbuat apa sahaja kerana orang Melayu pasti menurut perintah.

"Namun penentangan itu benar-benar mengejutkan mereka. Penentangan bukan berlangsung sehari sahaja tetapi berbulan-bulan British perlu berperang dengan pahlawan-pahlawan Melayu.

"Sedar adanya penentangan, selepas itu British menubuhkan jemaah mesyuarat mengandungi wakil-wakil kaum sebelum membuat keputusan ketika mentadbir Tanah Melayu," katanya kepada S2 baru-baru ini.
Ramli berkata, keunggulan hak-hak berkaitan Raja Melayu, agama Islam dan adat Melayu menjadi lebih jelas dan ia tidak sesekali boleh diusik oleh British dan ia dituruti British sehingga mereka menyerahkan kembali pentadbiran kepada Tanah Melayu.

Katanya, dan selepas itu semangat tersebut menjadi asas dalam menggubal Perlembagaan Negara yang diguna pakai hari ini.

Beliau menambah, penentangan itu juga telah mencorakkan pemerintahan British di Tanah Melayu.

"Tanah Melayu tidak dijajah seperti Singapura atau Hong Kong tetapi ia ditadbir di bawah sistem Protected Malay States walaupun corak pentadbirannya sama," katanya.

Dalam pada itu Profesor Datuk Dr. Abdullah Zakaria Ghazali berkata, perjuangan menentang British yang digerakkan Dato' Sagor dan Dato' Maharaja Lela di Perak tidak boleh dikatakan satu pemberontakan atau penderhakaan.

"Mereka tidak menderhaka kepada Sultan Abdullah. Mereka sebenarnya menentang British yang cuba hendak mentadbir, menguasai segala-galanya termasuk soal Raja, Islam, kutip cukai dan bukannya menjadi penasihat seperti dipersetujui dalam Perjanjian Pangkor 20 Januari 1874," katanya.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Laporan_Khas/20131221/lk_03/Lahirnya-Ketuanan-Melayu,-demokrasi#ixzz2ojEYXWtM
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Peringati tragedi tsunami...

Peringati tragedi tsunami, nelayan di Aceh tidak turun ke laut


Gambar fail bertarikh 2 Januari 2005, menunjukkan sekumpulan anggota penyelamat mendekati mayat-mayat mangsa tsunami di sebatang sungai di Banda Aceh, Sumatera. - REUTERS

BANDA ACEH 25 Dis. - Nelayan-nelayan di wilayah ini sepakat untuk tidak turun ke laut selama dua hari sebagai memperingati ulang tahun kesembilan tragedi tsunami esok.

Ratusan nelayan di wilayah ini sebaliknya, akan menyibukkan diri dengan melakukan kerja-kerja menjahit atau memperbaiki jala.

Di Krueng Aceh, pelabuhan Lampulo, daerah Kuta Alam, Banda Aceh, terdapat 400 nelayan yang sebelum ini keluar mencari rezeki di laut sudah kembali ke daratan.

Menurut Panglima Laut Lhok Krueng Aceh, Tabrani, adat untuk tidak turun ke laut di Aceh selama sehari pada 26 Disember iaitu hari berlaku tragedi tsunami pada 2004 itu dicapai berdasarkan persetujuan dengan semua nelayan.

Bagaimanapun, seluruh nelayan di wilayah itu juga membuat keputusan untuk tidak turun ke laut pada hari berikutnya 27 Disember kerana hari Jumaat bertepatan dengan hari pantang melaut bagi nelayan Aceh.

Menurut Tabrani, mana-mana nelayan yang enggan mengikut adat dan berkeras untuk turun ke laut akan dikenakan hukuman berdasarkan ketetapan adat iaitu mereka tidak dibenarkan mencari rezeki di laut selama tujuh hari.

Nelayan yang terlambat kembali ke daratan juga akan dikenakan hukuman tidak dibenarkan mendekati Sungai Krueng Aceh.

"Semua bot nelayan akan diminta untuk terus berada di muara sungai sehingga selesai majlis doa selamat diadakan," jelas Tabrani lagi.

Pantang melaut kepada nelayan-nelayan Aceh akan mula berkuat kuasa pada pukul 6 pagi esok dan berakhir pada pukul 4 petang hari Jumaat.

"Sehingga hari ini, belum ada nelayan yang melanggar adat itu," katanya.

Pada 2004, tragedi tsunami yang dicetuskan gempa bumi kuat mengorbankan kira-kira 286,000 orang di 14 buah negara termasuk di Aceh yang mencatatkan lebih 170,000 kematian. - UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131226/lu_02/Peringati-tragedi-tsunami,-nelayan-di-Aceh-tidak-turun-ke-laut#ixzz2ojDwNKmk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kebangkitan Aceh

Oleh JUANI MUNIR ABU BAKAR (Yang mengikuti lawatan ke Banda Aceh anjuran Astro)
Gambar Ihsan Astro



PADA pagi Ahad 26 Disember 2004, ketika penduduk Banda Aceh sedang menjalani rutin kehidupan seharian, secara tiba-tiba mereka dikejutkan dengan gempa bumi berukuran 9 pada skala Richter.

Namun bagi mereka kejadian itu adalah biasa kerana wilayah berkenaan terletak dalam lingkungan Lingkaran Api Pasifik.

Akan tetapi situasi cemas berkenaan tidak berhenti setakat itu sahaja apabila gegaran beserta ombak besar dikatakan setinggi pokok kelapa menuju ke wilayah-wilayah Aceh termasuklah ibu kotanya, Banda Aceh.

Kejadian berkenaan dikenali sebagai Tsunami, berlaku dalam sekelip mata sahaja dan mengorbankan ratusan ribu penduduk Aceh dan termasuk yang masih hilang sehingga kini. Perumpamaan padang jarak, padang terkukur adalah gambaran paling tepat ketika itu.

Suami kehilangan isteri, ibu kematian anak dan kehilangan orang tersayang serta kerugian harta benda sehingga tinggal sehelai sepinggang adalah antara trauma yang tidak boleh dilupakan oleh warga Aceh sehingga kini, walaupun sembilan tahun peristiwa itu telah berlalu.

Bak bait-bait lagu dendangan penyanyi cilik dari seberang, Tegar, "Aceh yang dahulu, bukan lagi Aceh yang sekarang." Mereka kini telah bangkit semula dalam mencari sinar cahaya kehidupan termasuklah mengisi lakaran kehidupan mereka dengan transformasi memajukan diri dalam pelbagai aspek.

Ketika pertama kali berkunjung ke negara yang menerima jolokan Serambi Mekah baru-baru ini, penulis teruja dengan kerancakan pembangunan dan industri pelancongan kota walaupun hampir keseluruhan bandar berkenaan sebelum ini mengalami kemusnahan teruk.

Mungkin inilah yang dinamakan hikmah di sebalik musibah yang melanda mereka. Seolah-olah Allah SWT mahu penduduk Aceh supaya bangkit berdikari untuk lepas bebas daripada belenggu peperangan dan kemiskinan yang dialami sebelum insiden Tsunami. Demikian istimewanya wilayah Aceh yang terletak di Kepulauan Sumatera yang mempunyai keluasan seluas 57,365.57 km per segi atau merangkumi 12.26 peratus pulau Sumatera.


Kuasa autonomi Aceh


Wilayah Aceh terletak di utara Sumatera dan merupakan wilayah yang kaya dengan hasil mineral bumi seperti minyak, emas dan gas asli. Kelebihan ini, sekali gus meletakan segala urusan pentadbiran dan ekonomi wilayah Aceh tertakluk di Jakarta, Indonesia.

Begitu pun, selepas beberapa bulan malapetaka Tsunami berlaku, satu perjanjian perdamaian telah dimeterai iaitu pada 17 Julai 2005 di mana Aceh telah diberikan kuasa autonomi untuk memerintah sendiri.

Menurut bekas pemimpin pemimpin Gerakan Aceh Merdeka (GAM), Kamarudin Abu Bakar, usaha perdamaian itu telah mengakhiri kemelut krisis yang telah berlangsung selama lebih 30 tahun itu.
"Dalam perjanjian tersebut, selain penduduk Aceh diberi kuasa memerintah, sebanyak 70 peratus hasil minyak pula telah dipulangkan kepada kami, manakala selebihnya diserahkan kepada Jakarta dan beberapa lagi syarat yang dilihat sebagai menguntungkan antara dua pihak berkenaan," jelas Kamarudin.

Tegas Timbalan Pengerusi Parti Aceh itu lagi, bencana Tsunami seolah-olah 'membersihkan' krisis berpanjangan antara wilayah Aceh dengan pemerintah Indonesia.

Memetik kata-kata bekas Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla yang mengatakan beberapa ribu nyawa akan terkorban selepas Tsunami jika tiada jalan perdamaian diambil. Menurut Kamarudin, usaha berkenaan telah membuka minda warga Aceh untuk maju ke hadapan dengan kuasa autonomi.

Malah kata beliau, menerusi perkara itu telah membuka peluang kepada pihaknya untuk berpolitik atau mengamalkan demokrasi, sekali gus mencambah minda dalam merencanakan Aceh sebagai kawasan pelancongan dan kaya produk ekonomi.

Kamarudin mengakui bahawa sebelum Tsunami, pihaknya dan Jakarta berusaha untuk berdamai menerusi beberapa siri perjumpaan, akan tetapi usaha itu akhirnya menemui kegagalan.

"Oleh demikian, saya merasakan Tsunami merupakan hikmah untuk kami berdamai agar lebih terbuka dan maju ke hadapan. Jika tidak berlaku Tsunami, tidak mungkin kami mengecapi seperti mana berlaku pada hari ini.

"Jika sepanjang pemberontakan GAM, ramai tidak berani datang ke Aceh malah hampir setiap hari terdengar bunyi senjata dan letupan bom, tetapi menerusi hikmah Tsunami yang membersihkan permusuhan, lalu membuka wilayah ini kepada kepesatan ekonomi seperti berlaku pada hari ini," ujar beliau.

Sebelum mengakhiri temubual, Kamarudin berkata sudah tiba masanya untuk warga Aceh bangkit semula dengan meneruskan kehidupan mereka menerusi kemajuan pembangunan, pendidikan, sosial dan sebagainya.

Dengan hikmah Tsunami, beliau berharap masyarakat wilayah itu dapat membuka minda agar mencontohi kejayaan negara lain seperti Malaysia dalam kemajuan infrastruktur, pelancongan, dan kepesatan ekonomi agar mereka lebih maju walaupun sebelum ini pernah dilanda pelbagai krisis.


Peluang berniaga cerah


Zamzami Ramli, 36, ketika pertama kali ditemui terlebih dahulu mengucapkan syukur kepada Ilahi dan berterima kasih kepada Malaysia kerana diberi peluang untuk berkerja di negara ini sebagai pekerja restoran selama beberapa tahun.

Selama berada di Malaysia, Zamzami telah banyak menimba ilmu dan pengalaman, sekali gus memberi kejayaan terhadap dirinya sebagai seorang ahli perniagaan berjaya seperti mana dikecapi pada hari ini.
Raut wajahnya pada mulanya gembira tetapi kembali suram ketika ditanya apakah alasan yang memaksa pemuda itu pulang ke Aceh pada 2004.

"Saya terpaksa pulang kerana Tsunami," jawapan ringkas Zamzami.

Namun Zamzani bernasib baik kerana tiada seorang ahli keluarganya terkorban akibat bencana alam Tsunami, namun air matanya bergenang kerana terkenangkan ribuan mayat bergelimpangan di setiap kawasan Banda Aceh.

Tetapi keadaan tersebut tidak menghalang dirinya membuka perniagaan gerai roti canai sepanjang tempoh menyelamat mangsa Tsunami demi mencari rezeki demi menampung keperluan hidup beliau sekeluarga.

Berbekalkan pengalaman sebagai pekerja restoran dengan menebar roti canai dan membancuh teh tarik di Kuala Lumpur menyebabkan para sukarelawan Malaysia dan antarabangsa menjadikan gerai kecilnya sebagai lokasi pilihan.

"Mula-mula sedikit sahaja yang datang, tetapi beberapa hari kemudian pelanggan tidak putus berkunjung ke gerainya itu.

"Bermula dari saat itu, saya mula mengembangkan perniagaan daripada gerai kepada restoran, seterusnya menambah bilangan cawangan," ujar pemilik restoran Canai Mamak KL.

Boleh dikatakan hasil pendapatan Zamzani mencecah angka RM65,000 sebulan, lelaki yang masih bujang itu menambah, kejayaan demikian datang daripada Allah kerana menurunkan Tsunami yang tersirat 1001 hikmah dalam perniagaan diceburinya.

Kini Zamzani boleh bernafas lega kerana perniagaannya hampir berjaya, apa lagi berbekalkan pengalaman di Malaysia. Hakikatnya, tragedi Tsunami telah menjadi pemangkin semangat buat dirinya dan warga Aceh lain untuk membina kehidupan baru tanpa menoleh ke belakang.

Untuk mengetahui lebih lanjut jatuh dan bangkit mangsa Tsunami, anda boleh menyaksikan dan mengambil iktibar dengan menyaksikan dokumentari istimewa berjudul Aceh, Hikmah Tsunami yang bakal bersiaran pada hari Khamis, 26 Disember bermula jam 11 malam di Astro Oasis (106) dan Maya HD (135) serta siaran ulangan pada 27 Disember (11 pagi), 28 Disember (2.30 petang) dan 29 Disember (6 petang).

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20131226/ba_01/Kebangkitan-Aceh#ixzz2ojD4MwXN
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tangisan iringi tahlil peringati tsunami


Seorang wanita tidak dapat menahan kesedihan di majlis tahlil sempena memperingati ulang tahun kesembilan tragedi tsunami di Banda Aceh, Aceh, semalam. - AP

JAKARTA 26 Dis. - Tangisan dan esakan anggota keluarga dan saudara-mara mangsa tragedi tsunami yang berlaku sembilan tahun lalu mengiringi majlis tahlil dan berzikir yang diadakan di pelbagai tempat di wilayah Aceh hari ini.

Mereka menyertai ratusan warga yang berhimpun di tanah perkuburan mangsa-mangsa tsunami di Gampong Pie, daerah Meuraxa, Banda Aceh sempena ulang tahun kesembilan tragedi tsunami melanda wilayah tersebut..

Selain penduduk tempatan, warga asing dan penduduk dari wilayah lain turut menghadiri majlis-majlis tersebut.

Menurut seorang warga Medan, Sumatera Utara, Suherman, dia mengunjungi Aceh hari ini untuk memperingati keluarganya yang terkorban dalam tragedi tersebut.

"Hampir setiap tahun saya berkunjung ke tanah perkuburan mangsa tsunami walaupun saya tidak tahu di mana ahli keluarga saya dikebumikan," katanya.

Bagi penduduk Banda Aceh, Zamzami, dia yakin anak-anaknya yang menjadi mangsa bencana alam tersebut dikebumikan di Gampong Pie.

"Walaupun ada beberapa tanah perkuburan mangsa korban tsunami, tetapi saya yakin mereka dikebumikan di tempat ini (Gampong Pie)," kata bekas kakitangan kerajaan ini.

Menurut Zamzami, ketika kejadian yang berlaku pada 26 Disember 2004 itu, dia sedang menunaikan ibadah haji di Tanah Suci, Mekah.

Majlis tahlil turut diadakan di beberapa tanah perkuburan mangsa tsunami di kawasan Lambaro Sukon, daerah Aceh Besar, masjid-masjid dan madrasah-madrasah. - UTUSAN

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20131227/lu_06/Tangisan-iringi-tahlil-peringati-tsunami#ixzz2ojCkI9fd
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Kurniaan keajaiban-Nya


SEBALIK tragedi bencana alam Tsunami yang berlaku di Aceh sembilan tahun lalu, sebenarnya terdapat 1001 kisah berlaku dalam kalangan mangsa Tsunami terselamat.

Mungkin pelik tetapi kebenaran hanya boleh diakui oleh mangsa berkenaan yang menyaksikannya dengan mata mereka sendiri. Antara kisah mereka adalah seperti diselamatkan oleh lelaki terbang berjubah, terpaut pada ular besar yang disangka kayu, dan sebagainya.

Namun kisah paling menyentuh hati penulis ketika berkunjung ke Banda Aceh, baru-baru ini adalah cerita yang disampaikan dari mulut mangsa Tsunami sendiri iaitu Mujiburrizal Syamsuddin.

Jika anda pernah mengikuti perjalanan industri nasyid tanah air, nama Mujiburrizal tidak asing lagi apabila beliau menganggotai kumpulan The Zikr dan Nada Murni sebelum pulang ke kampung halaman, Aceh tidak lama kemudian.

Dalam menceritakan detik pada pagi 26 Disember 2004, Mujiburrizal berkata pada waktu itu beliau sempat bersenam di salah sebuah kawasan rekreasi di Banda Aceh sebelum pulang ke rumahnya iaitu dalam daerah Lampulo yang terletak sejauh tiga kilometer.

Apabila sampai di rumah, secara tiba-tiba kawasan tempat tinggal dikejutkan dengan gempa bumi sehingga menyebabkan para penduduk memenuhi jalan-jalan utama sebagai langkah waspada dan keselamatan.

"Bagaimanapun tidak lama kemudian, orang ramai menjerit supaya kami menyelamatkan diri kerana air dari pinggir pantai berhampiran datang mengharungi kawasan daratan. Saya bersama ibubapa kemudian menuju ke rumah jiran yang mempunyai dua tingkat.

"Dalam situasi itu, dalam fikiran saya membayangkan air banjir dan gempa bumi itu adalah kiamat tetapi keadaan berkenaan tidak sepenuhnya digambarkan seperti dalam al-Quran," ujar Mujiburrizal.

Air kemudian naik ke paras dada, walaupun Mujiburrizal dan ibu bapa sedang berada di tingkat dua serta pada saat itu, hanya berdoa dan berzikir munajat berkumat-kamit di bibir mereka selain menyaksikan orang ramai lain maut ditenggelami air.


Bot penyelamat


Alhamdulillah! Demikian ucapan boleh digambarkan oleh Mujiburrizal apabila secara kebetulan sebuah bot menuju ke arahnya dalam keadaan berpusing dan tiba-tiba berhenti di sebelah lokasi mereka berkumpul.

Mujiburrizal menyangka bot itu mempunyai nahkoda dan ingin menyelamatkan mangsa-mangsa tetapi rupa-rupanya, tiada seorang pun berada di dalamnya. Lantas beliau membawa ibu bapa ke atas kapal itu selain membantu jiran tetangga lain.

Beliau berkata lagi, bayangkan dalam bot kecil, seramai 52 orang berada di atasnya terselamat berbanding orang ramai lain terkorban walaupun mempunyai tempat berteduh.

Namun jelas Mujiburrizal, keadaan itu tidak berhenti setakat itu sahaja apabila ombak kedua menyerang mereka lalu beliau bertindak melaungkan azan. Dengan kuasa dan izin Allah, ombak itu pecah tatkala menghampiri bot itu.

"Apabila keadaan kembali tenang dalam waktu petang, saya memberanikan diri bersama ibu bapa pergi ke ibu kota untuk mencari tempat selamat walaupun waktu itu, air masih di paras pinggang.

"Dalam perjalanan hampir tiga kilometer ke ibu kota, syahdu hati ini apabila kami melihat ribuan mayat terapung di sekeliling, tetapi pada waktu tersebut hanya memikirkan keselamatan diri sendiri sahaja," ujar beliau.

Ketika ditemubual, renungan wajah Mujiburrizal masih sedih dengan bencana alam itu tatkala mengingati orang ramai hanyut dek ombak ketika mana mereka berada di atas kapal itu.

Namun beliau dan sekeluarga masih bersyukur kerana masih lagi diberi peluang oleh Allah SWT untuk hidup di muka bumi ini selain menikmati kemajuan dikecapi Aceh pada hari ini.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20131226/ba_03/Kurniaan-keajaiban-Nya#ixzz2oj8evTYF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Tsunami bukan sekadar bencana

Oleh ZULKIFLEE BAKAR
pengarang@utusan.com.my


Anggota penyelamat mengalihkan mayat-mayat mangsa tsunami di kawasan perkarangan Masjid Baiturrahman di Banda Aceh, pada 29 Disember 2004. - Reuters

''Dari jauh aku melihat seperti ada asap hitam yang tinggi dan tebal. Asap itu rasanya berjalan ke arah kami, makin lama asapnya makin tinggi sampai pohon kelapa. Tidak lama setelah itu asapnya turun dan merobohkan semua bangunan di depannya. Setelah itu aku baru sedar kalau itu bukan asap, itu gelombang air laut besar, TSUNAMI namanya."

Demikianlah yang dicoretkan oleh Nelva Amelia, seorang gadis Aceh berhubung peristiwa Tsunami yang melanda wilayah itu pada 26 Disember 2004.

Hari ini, genaplah sembilan tahun bencana alam yang melanda Asia Tenggara itu berlaku, bukan sahaja Aceh malah beberapa negara lain turut menerima hempasan ombak besar sehingga meragut ribuan nyawa.
Aceh paling teruk menerima kesannya apabila bukan sahaja ribuan rumah dan bangunan ranap, malah dianggarkan sekitar 220,000 rakyat wilayah itu terkorban.

Bagi penulis sendiri, yang merupakan antara wartawan pertama tiba di Aceh selepas tsunami melanda, masih terbayang bagaimana pemandangan kami dihiasi dengan runtuhan bangunan dan rumah. Sesetengah kawasan bagaikan padang jarak padang tekukur.

Ia belum lagi mengambil kira bagaimana mayat bergelimpangan di mana-mana sahaja bagaikan ikan dituba.
Untuk rekod, tsunami terburuk sebelum ini berlaku di Jepun pada 15 Jun 1896 yang menyaksikan 21,000 orang terbunuh.

Walaupun kini Aceh dan beberapa negara yang dilanda tsunami sudah hampir pulih dari segi infrastruktur, namun dari segi kesan psikologi ia masih lagi menghantui mangsa-mangsa yang terlibat khususnya di Aceh.

Bayangkanlah ada antara mereka hanya mengunjungi kubur-kubur besar yang menempatkan mangsa-mangsa yang terkorban tanpa mengetahui sama ada di dalam liang lahad itu ahli keluarga mereka berada di situ atau tidak.

Tetapi itu sahaja yang mampu mereka lakukan kerana tsunami menghanyutkan apa sahaja yang berada di hadapan arus deras yang mengalir.

Penulis masih ingat bagaimana penduduk Aceh menggambarkan, tsunami itu adalah ombak besar setinggi bangunan lima tingkat dan mengalir dalam kelajuan 500 kilometer hingga 600 kilometer sejam. Arus tersebut dikatakan hanya mengalir perlahan apabila melintasi perkarangan Masjid Baiturrahman di Banda Aceh.
Ketika mengunjungi sebuah kawasan penduduk di Kaju, penulis dimaklumkan di situ sahaja lebih 50,000 orang terkorban dan ribuan rumah hancur berkecai dihempas tsunami.

Bagaimanapun apa yang menarik dan menjadi ingatan penulis sehingga ke hari ini ialah hujah alim ulama Aceh terhadap kejadian tsunami itu. Sementara pakar sains dan geologi menganggap ia berpunca fenomena alam dengan memaparkan pelbagai teori, alim ulama dan penduduk Aceh mempunyai pandangan mereka sendiri.

Ada antara mereka menyatakan ia pembalasan Allah SWT terhadap satu kemungkaran yang berlaku sehari sebelum tsunami melanda. Ia dikaitkan dengan pesta mungkar yang dianjurkan oleh sekumpulan anggota keselamatan di pantai berhampiran makam ulama terkenal Aceh, Syiah Kuala.

Ada pula ia sebagai pembalasan Allah terhadap kegagalan pemerintah Aceh melaksanakan syariat Islam seperti mana mereka uar-uarkan sebelum ini.

Tidak kiralah apa pun hujahnya yang pasti bencana tsunami tidak harus dilupakan begitu sahaja dan bukan sekadar dicatatkan dalam sejarah bencana dunia semata-mata.

Sebaliknya, sebagai manusia khususnya umat Islam, tragedi sembilan tahun lalu perlu dijadikan peringatan tentang kekuasaan Allah dengan sentiasa mengikut perintah-Nya dan meninggalkan larangan-Nya serta jangan sesekali melakukan kerosakan di muka bumi Allah ini.

Allah SWT berfirman dalam surah Ar-Rum ayat 41 bermaksud:
''Telah nampak kerosakan di darat dan di laut disebabkan kerana perbuatan tangan manusia, supaya Allah merasakan kepada mereka sebahagian dari (akibat) perbuatan mereka, agar mereka kembali (ke jalan yang benar).''.

Tetapi mungkin ada yang akan bertanya tidakkah bencana besar seperti tsunami itu turut mengorbankan mereka yang tidak berdosa.

Dalam soal ini Allah SWT telah memberi peringatan melalui firman-Nya dalam surah Al-Anfal ayat 25 yang bermaksud:
''Dan peliharalah dirimu daripada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. Dan ketahuilah bahwa Allah amat keras seksaan-Nya.''

Atas sebab itulah, sebagai hamba-Nya dan bersempena peringatan bencana tsunami yang berlaku sembilan tahun lalu, marilah kita menginsafi dan menyedari siapakah diri kita sebenar.

Sentiasa menjadi insan yang tahu bersyukur dengan segala nikmat yang diperolehi dan bukannya sering sahaja mahu memuaskan kehendak sendiri dengan melakukan pelbagai tindakan yang boleh mendatangkan kerosakan.

Bagaimanapun puak seperti ini sering sahaja menafikan dakwaan itu dan menggambarkan seolah-olah merekalah kelompok terbaik di muka bumi Allah ini.

Kelompok seperti ini sudah dinyatakan oleh Allah SWT melalu firman-Nya dalam surah Al-Baqarah ayat 11 dan 12 yang bermaksud:
''Dan bila dikatakan kepada mereka, janganlah kamu membuat kerosakan di muka bumi, mereka menjawab,''Sesungguhnya kami orang-orang yang mengadakan perbaikan.'' Ingatlah sesungguhnya mereka itulah orang-orang yang membuat kerosakan tetapi mereka tidak sedar.''

Tsunami Aceh adalah peringatan Allah kepada seluruh umat manusia. Mungkin selama ini, ada antara kita lalai dan merasakan kita boleh melakukan apa sahaja di alam fana ini.

Dalam al-Quran telah dinyatakan dengan jelas bahawa bencana itu merupakan teguran atau bala' (malapetaka) yang diberikan Allah SWT kepada kita yang ingkar akan petunjuk-Nya.

Sememangnya, kita bersyukur biarpun tempias tsunami turut melanda negara ini, namun kesannya tidaklah seteruk Aceh atau beberapa negara lain. Namun ini tidak bermakna kita harus melihat ia dari sudut bencana alam semata-mata tetapi kaji juga dari sudut Islam.

Atas sebab itulah, sementara Allah mengurniakan pelbagai rahmat dan nikmat kepada negara ini sehingga memungkinkan kita hidup aman dan damai, maka belajarlah mensyukuri semua itu dan bukannya melakukan tindakan sehingga kita termasuk dalam golongan yang tidak tahu bersyukur.

Berikutan itulah, dalam apa pun kita lakukan, laksanakan ia secara sederhana atau wassatiyah dan jangan sesekali kita melampaui batas. Kalau mahu berpolitik, berpolitik secara berhemah dan bukannya dengan pendekatan maki hamun dan cacian serta disulami dengan fitnah dan tohmahan.

Mungkin ada antara kita merasakan 'terselamat' dengan taktik politik yang diamalkan dengan berbuat demikian tetapi percayalah Allah maha mengetahui.

Mereka yang melakukan kemungkaran, sentiasa bergelumang dengan kepalsuan dan bersedia membuat apa sahaja demi memenuhi tuntutan nafsu diri sendiri, pasti akan menempah kebinasaan.

Apa yang berlaku dalam peristiwa tsunami sepatutnya memberikan pengajaran bahawa muka bumi ini bukan milik kita, ia adalah persinggahan sebelum kita melangkah ke alam lebih kekal iaitu akhirat.

Justeru jadikan peringatan tsunami kali ini sebagai titik permulaan agar kita tidak menjadi kelompok yang mengundang kemurkaan Allah.

Semoga dengan cara itu bumi bernama Malaysia ini jauh daripada segala bencana dan mala petaka akibat perbuatan kita sendiri.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131226/re_01/Tsunami-bukan-sekadar-bencana#ixzz2oj7Nvvtk
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Azean Irdawaty yang serba boleh

Arkib : 28 Disember 2013

Oleh KHADIJAH IBRAHIM & GARRET DAWUM
pengarang@utusan.com.my


Bawalah daku bersama mu
Ke alam baru yang indah
Usah kau biar hati ini
Meratap berduka kesepian

ITULAH antara lirik lagu Bawalah Daku Bersamamu dendangan Azean Irdawaty Yusoef yang pernah mempopularkannya dulu. Semoga apa yang diharapkan oleh pelakon tersebut benar-benar membawa bahagia kepadanya.

Kita semua sedia maklum bagaimana rentetan hidup Azean yang bergelar insan seni kerana dia banyak melalui dugaan sama ada di pentas seni atau pun dalam kehidupan realiti.

Tidak dinafikan Azean adalah seorang pelakon yang serba boleh dan tidak hairanlah ramai pengarah yang sering menawarkan dia berlakon drama atau filem arahan mereka.

Bagilah apa sahaja watak kepadanya, pasti Azean tidak mengecewakan pengarah dan penonton. Lakonannya bersahaja kerana sebagai pelakon, Azean sentiasa menjiwai watak yang diberi kepadanya dengan sepenuh hati.

Lihat sahaja lakonannya sebagai wanita kurang matang dalam drama Aishah 50 Sen yang hingga kini tidak kering gusi kalau kita menontonnya. Begitu juga kalau diberi watak wanita sombong dan berlagak, penonton akan meluat melihat kerana lakonannya yang bersahaja itu. Lakonan hebatnya itu dapat dilihat dalam telefilem Tanah Kubur sebagai Datin Yvonne.

Dek cintanya pada bidang lakonan, tidak hairanlah wanita kelahiran Alor Merah, Alor Setar, Kedah pada 27 Februari 1950 itu berjaya meraih beberapa anugerah sepanjang bergelar anak seni.

Antara anugerah yang diraih oleh Azean Irdawaty Yusoef adalah sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) 1980 menerusi filem Esok Masih Ada.

"Lihatlah dunia, aku ini anak wayang!". Itulah ungkapan Azean sewaktu berada di pentas selepas menerima anugerah dan kata-kata itu juga yang menjadi senda gurau orang ramai hingga kini.

Lain-lain anugerah yang menjadi milik Azean atau gemar membahasakan dirinya sebagai Kak Yan itu adalah :- 
  • Pelakon Wanita Terbaik FFM 1982 (Langit Petang), 
  • Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM 1997 (Amelia), 
  • Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM 2008 (Waris Jari Hantu), 
  • Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 1995 (Kembali), 
  • Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 1998 (Najiha) dan 
  • Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Seri Angkasa 1989/1990 (Bila Patah Ranting).
Jati diri Azean sebagai anak seni tidak pernah berkubur, biarpun keadaan dirinya yang kurang upaya dia tetap rancak kalau diajak berbicara soal seni.

Begitu juga tiap kali tampil di khayalak, dia akan pastikan penampilannya seiring dengan dirinya yang bergelar anak wayang. Baginya, sebagai artis, dia perlu kelihatan menarik kerana itu adalah kerjayanya.

Malah sewaktu sihat, Azean adalah di antara artis yang aktif berpersatuan dalam memperjuangkan nasib rakan-rakan dan sebab itulah hingga akhir hayatnya, beberapa persatuan seni dan penggiat seni tidak lupa untuk memberi sumbangan kepadanya.

Namun bantuan yang diberi masih tidak mencukupi untuk menampung kos rawatan penyakit kanser yang dihidapinya sejak enam tahun lalu.

Sebagai menghidap Lymphedema iaitu kesan akibat pembedahan membuang 16 kelenjar yang dilakukan pihak hospital ketika menghadapi barah payudara sebelum ini, hidup Azean sering keluar masuk hospital.

Dia yang mula bergelar anak seni sejak awal 1969 sebagai penyanyi, sebelum ini sudah beberapa kali menjadi bahan usikan individu yang tidak bertanggungjawab dengan menyebar berita kematiannya di laman sosial.

Biarpun sudah beberapa kali kita dikejutkan dengan berita €˜kematian€™ Azean, namun tarikh 17 Disember 2013, kira-kira pukul 8.25 malam, merupakan nokhtah terakhir pelakon itu melihat dunia yang fana ini.

Azean menghembus nafas terakhirnya di Wad 11U Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di hadapan suami tercinta, Khairil Anwar Z.M Rashidi dan tiga orang anaknya, Khaeryll Benjamin, Elza Irdalynna dan Inessa Irdayanty.

Jenazahnya disembahyangkan di Masjid Kayu Ara, Damansara kira-kira pukul 10 pagi pada keesokannya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.

Dugaan seorang ibu

DALAM mengharungi kehidupan sebagai seorang pesakit kanser, Azean Irdawaty yang pernah menghasilkan album solo dalam bentuk LP terbitan Datuk Ahmad Nawab berjudul Rahsiaku Laguku pada 1979 dan menghasilkan lagu hit Benjy, Bawalah Daku Bersamamu dan Rahsiaku Laguku turut diduga dengan kes penangkapan anak kesayangannya, Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy.

Musibah yang perlu dilalui oleh Azean sebagai seorang ibu apabila Benjy ditahan kerana memiliki 0.24 gram syabu di No. A-6-5 Menara Duta 2, Jalan 1/38B melalui Jalan Segambut, Kuala Lumpur, pada pukul 4 petang, 11 Mac 2010.

Demi anak kesayangan, Azean sanggup meredah segala kesakitan dan keperitan bagi memastikan Benjy tidak terus dipandang rendah oleh masyarakat atas kesilapan yang dilakukan.

Kasih ibu yang mendalam, membuatkan Benjy diletak di pusat pemulihan selama dua tahun dengan harapan dia akan kembali ke pangkal jalan selepas itu.

Namun tiada siapa duga, sekali lagi Azean diterjah dengan permasalahan yang sama, apabila Benjy ditahan kali kedua pada 2 Julai 2013 atas kesalahan menyalahguna dadah dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa, Ulu Klang, Selangor.

Biarpun ditimpa dengan pelbagai masalah, Azean tetap tabah melaluinya dan di waktu yang sama berjuang menyabung nyawa kerana penyakit kanser yang dihidapinya semakin parah.

Malah, hingga hujung nyawa dan dalam keadaan yang lemah, Azean yang memerlukan kos rawatan tinggi masih lagi melakukan kerja-kerja jualan langsung seperti waktu sihatnya dulu.

Suatu ketika dulu Azean cukup terkenal sebagai wakil jualan langsung yang aktif kerana di bawahnya terdapat beratus pengedar.

Kini segala kenangan yang pernah diukir Azean sama ada di layar kaca atau lebar, hanya tinggal kenangan. Pemergiannya itu sukar dicari pengganti kerana tidak ramai pelakon sekarang yang mampu membawa pelbagai watak.

Jangan berhenti berlakon

"MAMA tidak mahu melihat Benjy berhenti berlakon. Teruskan perjuangan Benjy dalam dunia seni dan jangan sesekali sia-siakan peluang serta bakat yang ada itu," kata Benjy merujuk kepada pesanan arwah ibunya, Azean Irdawaty Yuseof.

Sebagai seorang pelakon yang cukup terkenal, Allahyarhamah Azean yang merupakan insan seni sarat dengan perjuangan dan semangat hidup, pasti ingin anaknya untuk teruskan jiwanya sebagai penghibur.

Sesungguhnya pesanan primadona itu yang bermula dengan penyani kemudian diteruskan ke bidang lakonan mempunyai maksud yang cukup besar buat Benjy.

Bagi Benjy, 35, hasrat ibunya memang tidak akan ditunaikan dan ibulah insan yang paling bersedih di kala dia menyatakan hasrat untuk berhenti berlakon.

Alasan Benjy, industri sudah tidak memerlukan dia tetapi dengan permintaan ibu dia masih lagi bersemangat untuk meneruskan kerjaya sebagai pelakon dan tidak akan pernah mengalah sebagai anak lelaki.

"Saya faham selama ini, mama sangat menderita dengan penyakit dia alami. Perasaan sedih dan kasihan kepada mama sentiasa ada dalam diri kami sekeluarga.

"Hampir tujuh tahun mama berjuang melawan penyakitnya dan tiada siapa yang tahu kesakitan yang dia alami.

"Tetapi saya bersyukur kerana mama pergi dengan tenang dan di saat-saat akhir mama masih boleh mendengar kalau kami tengah bercakap.

"Apa-apa pun, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama media yang banyak memberi sokongan kepada mama dalam perjalanan seninya. Jika ada tersilap kata atau terkasar bahasa, saya mewakili arwah mama, ingin memohon maaf," katanya penuh ketenangan.

Ke arah mana kerjaya Benjy selepas ini, Benjy hanya menjawab, jika ada tawaran dia akan terimanya.

Dalam pada itu, anak sulung Allahyarhamah itu turut memberitahu, ibunya juga sempat berpesan agar dia mendirikan rumah tangga semula.

"Arwah suruh saya berkahwin supaya ada yang akan menjaga saya kelak," ujarnya.

Turut menyifatkan ibunya sebagai seorang wanita yang tabah terutamanya dalam melalui saat-saat getir, 

Benjy berkata, ibunya sering meluahkan perasaan kasih dan sayangnya terhadap mereka sekeluarga.

"Mama seorang superwoman dan tabah serta cekal menghadapi sakit yang dia alami," kata Benjy mengakhiri perbualan.


Benjy Dalam Kenangan


Mari sama-sama sedekahkan surah Al-Fatihah buat Allahyarham Benjy atau nama sebenar, Khaeryll Benjamin Ibrahim. Ikuti perkongsian ZRA & SAK mengenai arwah Benjy, Penjara & Mahkamah!

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...