Dr. Mahathir : Wawasan 2020 Mesti Diteruskan KUALA LUMPUR 30 Jan - Rakyat mesti meneruskan usaha untuk mencapai Wawasan 2020 jika agenda itu tidak dicapai dalam tempoh yang sepatutnya, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. "Kita harus meneruskan usaha ini untuk mencapai matlamat yang sama," katanya ketika ditemu bual menerusi program Dalam Radar Khas terbitan Bernama Radio24 di sini hari ini. "Mungkin dengan nama berbeza, tetapi nama tidak penting, pencapaianlah yang penting," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai apa yang akan berlaku jika Wawasan 2020 yang diilhamkan beliau pada 1991, gagal dicapai. Wawasan 2020 menggariskan sembilan matlamat utama, termasuk mewujudkan negara Malaysia bersatu untuk dikongsi bersama dan masyarakat yang adil dalam bidang ekonomi. Dr Mahathir berkata banyak matlamat yang dirancang kerajaan untuk membangunkan ekonomi berjaya dicapai dalam usaha untuk menjadikan Malaysia negara maju. "Rakyat telah capai banyak kemajuan, termasuk orang Melayu yang sudah meningkat pencapaian dari segi pendapatan, ilmu pengetahuan dan taraf sosial. "Kalau dibuat satu audit tentang keadaan sewaktu Wawasan 2020 ini dilancarkan berbanding sekarang, kemajuan yang dicapai sangat pesat," kata Dr Mahathir. Tidak dinafikan ada sebilangan kecil yang tidak bernasib baik dan tercicir, katanya dan menambah, golongan ini masih boleh berjaya jika mereka berusaha untuk melengkapkan diri dengan kebolehan tertentu. "Tetapi, tidak mengakui kemajuan telah dicapai, adalah sesuatu yang tidak kena," kata Dr Mahathir. -JJ-
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=662933823767811&set=a.531857196875475.1073741828.520825894645272&type=1
No comments:
Post a Comment