Some write for money. Some write to share.
I write to share for your knowledge. Religions, Politics and Conspiracy Theories, these are my fields of interests.
I am not a perfect person. Please correct me if you saw my mistakes so that I will learn from it…
MEMPERINGATI 50 TAHUN PEMERGIAN SENIMAN NORDIN AHMAD
Pada suatu petang hari selasa yang sayu. Satu berita dan perkhabaran yang tidak ingin di dengar oleh tiga orang insan yang masih bergelar anak. Kenyataan yang amat berat untuk diterima dalam sejarah kehidupan mereka yang masih lagi kehijauan pada ketika itu. Anak yang masih lagi memerlukan kasih sayang dari seorang ayah. Hakikat yang amat perit untuk diterima oleh seorang isteri yang masih memerlukan seorang teman hidup yang bergelar suami di sisi. Tetapi itulah yang tertulis pada takdir yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. sejak dari Loh Mahfuz. Sebagai manusia biasa haruslah menerimanya dengan penuh keredaan.
Rumah yang beralamat di No. 35K, Jalan Greja, off Bedok Road, Singapura, telah pun dibanjiri oleh ratusan manusia dari kalangan jiran-jiran, sahabat handai, rakan seni dan para peminat, apabila tersebarnya berita mengenai seorang seniman besar dalam sejarah filem Melayu telah berpulang ke rahmatullah pada usia 42 tahun.
Seniman Nordin Ahmad telah kembali kepada Maha Pencipta pada hari selasa jam 4.30 petang, 15 Jun 1971, di Hospital Besar Singapura, Outram Road. Beliau menghembuskan nafas terakhirnya di sisi isterinya seniwati Salmah Ibrahim setelah beberapa bulan melawan penyakit kuning (jaundice) yang dihadapinya.
Hari ini selasa 15 Jun 2021, merupakan hari yang sama dan genaplah 50 tahun pemergian seorang tokoh seniman filem Melayu klasik yang sangat hebat di eranya. Filem-filem lakonan beliau masih lagi segar dan diminati sehingga sekarang oleh para pencinta sinema Melayu tanah air. Agak janggal jika ada yang membicarakan tentang sejarah filem Melayu tanpa menyebut nama Nordin Ahmad. Seorang seniman yang mempunyai kemahiran lakonan yang sangat tinggi dari sudut penghayatan watak. Lakonannya juga penuh dengan kejiwaan yang sangat jitu. Di saat ramai yang masih menanam minat dengan keajaiban persembahan Nordin Ahmad, beliau telah dipanggil pulang oleh yang Maha Esa.
Begitulah serba sedikit coretan luahan hatiku buat seorang seniman seni yang sangat aku kagumi bernama Nordin Ahmad. Beliau akan sentiasa dikenang sebagai seorang pelakon yang membawa imej citra lelaki Melayu paling sejati di layar perak. Berehatlah dengan tenang wahai senimanku, aku sentiasa mendoakan semoga rohmu dicucuri rahmat dan di tempatkan bersama para solehin di sisi Allah. Al Fatihah...
"Yang aku tinggalkan hanyalah warisan seni dan cetusan hatiku di layar perak. Kerana seni yang ikhlas itu akan dikenang sepanjang zaman".
- NORDIN AHMAD -
(4 Ogos 1929 - 15 Jun 1971)
Teks : HAR
Sumber :
Sesi sembang santai bersama Allahyarhamah Salmah Ibrahim, FINAS, 26 Jun 2001.
Sesi temubual bersama Allahyarham Mohd Sidik Ahmad (adik), Permatang Pasir, Pulau Pinang, 2 April 2016.
Sesi temubual bersama keluarga Nordin Ahmad, Singapura, 22 Februari 2016.
Utusan Malaysia, 16 Jun 1971
Nordin Ahmad | Permata Seni Terbilang : Hidir Ali Razali
15 Jun 1971 merupakan tarikh pemergian seniman tersohor dalam sejarah sinema Melayu, Allahyarham Nordin Ahmad pada usia 42 tahun.
Bersempena dengan tarikh ini pada esok hari, kami dari pihak Repair Gambar Lama mengambil inisiatif mengadakan sesi LIVE Facebook untuk memperingati 50 tahun pemergian aktor yang berkarisma tinggi itu. Kami melancarkan T-Shirt TANAH YANG DIPIJAK - NORDIN AHMAD pada siaran LIVE nanti yang akan kendalikan oleh salah seorang dari admin kami HAR: Hidir Ali Razali. TANYA APA SAJA TENTANG NORDIN OK!
Salmah Ibrahim merupakan salah seorang seniwati filem Melayu era studio Jalan Ampas dan Cathay-Keris yang berjaya membawakan watak antagonis wanita tanpa ada cacat celanya.
Salmah Ibrahim yang berasal dari Kampung Paya Kumbuh, Bukit Tinggi, Sumatera, Indonesia, pernah menetap di No.14, Jalan Selamat, Kampung Kembangan, Changi Road, Singapura sangat berjaya dan terkenal dengan watak perempuan penggoda, pisau cukur dan pemusnah rumahtangga orang dalam filem-filem awal tahun 1950-an.
Sepanjang penglibatan Salmah Ibrahim dalam dunia filem Melayu, ramai pengarah filem pada masa itu sangat percaya dengan kebolehannya dalam membawakan watak-watak jahat. Beliau juga tidak pernah membawa watak heroin dalam sesebuah filem yang dilakonkannya sepanjang pembabitannya sebagai pelakon.
Antara filem-filem yang menampilkan Salmah Ibrahim sebagai watak jahat di MFP ialah,
Sejoli,
Bapa Saya,
Hati Iblis,
Takdir Illahi,
Juwita,
Kechewa,
Kembar, dan
Permata Di-Petlimbahan.
Di dalam filem Chemburu beliau berlakun sebagai seorang isteri yang derhaka kepada suami lakonan Haji Mahadi.
Salmah Ibrahim yang dilahirkan pada tahun 1930 ini telah berkahwin dengan seniman Nordin Ahmad pada tahun 1952. Mereka mula berkenalan semasa sama-sama berlakon di dalam filem Permata Di-Perlimbahan. Sebelum mendirikan rumahtangga dengan seniman Nordin Ahmad, beliau terlebih dahulu berkawan rapat dengan seniman Jaafar Shah. Tetapi hubungan itu tidak kekal lama berikutan Jaafar Shah meninggal dunia dalam satu kemalangan motosikal di Johor Bahru.
Pada tahun 1957 Salmah Ibrahim berhijrah ke studio Cathay-Keris mengikut suaminya yang mendapat tawaran lumayan berlakon di sana. Antara filem-filem lakonan Salmah Ibrahim di Cathay-Keris ialah
Satay,
Mahsuri,
Pak Pandir Modern,
Yatim Mustapha,
Ayer Mata Duyong,
Kaseh Ibu,
Naga Tasek Chini,
Playboy dan beberapa lagi filem yang lain.
Di Cathay-Keris, Salmah Ibrahim kurang menumpukan kepada bidang lakonan ini kerana beliau lebih senang memberi perhatian kepada perniagaan warung Nasi Padangnya yang beroperasi di Joo Chiat Road, di samping itu beliau juga turut melakukan khidmat andaman kepada pelakon-pelakon wanita di Cathay-Keris.
"Bukan saya tidak minat lagi berlakon di Cathay-Keris. Tetapi biarlah dia (Nordin Ahmad) sahaja menumpukan di dalam bidang lakonan dan pengarahan filem. Saya sebenarnya dari kecil sudah menanam minat di lapangan perniagaan, kerana saya juga suka memasak." Itulah kata-kata yang disuarakan oleh Salmah Ibrahim dalam satu temubual bersamanya pada tahun 1965.
Perkahwinan Salmah Ibrahim kekal sehingga seniman Nordin Ahmad menghembuskan nafas terakhir pada 15 Jun 1971. Selepas Nordin Ahmad meninggal dunia, Salmah Ibrahim masih menjalankan perniagaan Nasi Padangnya demi membesarkan 3 orang anaknya. Salmah Ibrahim meninggal dunia pada 30 April 2009 di kampung halamannya akibat sakit tua.
Titipan doa dan Al Fatihah buat Allahyarhamah seniwati Salmah Ibrahim.
Teks : Mimin
Sumber :
Nordin Ahmad | Permata Seni Terbilang : Hidir Ali Razali
Berita Filem
Mastika Filem
Sesi temubual bersama Salmah Ibrahim, 28 Jun 2001, FINAS, Ulu Klang.
"Aduka, lupakah kau kepada Tuhan? Hilangkah kepercayaan kau kepada agama Islam? Kau cemarkan namamu. Kau cemarkan Semerah Padi. Kalau hanya Dara, aku sanggup berikan, kerana aku sayangkan kau lebih dari Dara. Jangan kata membunuh kau, menjatuhkan hukuman pun tak sampai hatiku. Menghukum kau bererti aku menghukum diriku sendiri"
Itulah dialog keramat yang dilafazkan oleh Nordin Ahmad sebagai Taruna melalui filem Semerah Padi arahan P.Ramlee pada tahun 1956.
Semerah Padi telah berjaya menjulang nama Nordin Ahmad ke kemuncak kemasyhuran sehingga beliau telah ditawarkan berhijrah ke studio Cathay-Keris dengan gaji yang lebih lumayan.
"Kalau bukan sebab Ramlee yang ambil aku berlakon dalam filem Semerah Padi, aku tidak akan sampai ke tahap ini sekarang".
Itulah kata-kata yang sering diungkapkan oleh seniman Nordin Ahmad kepada rakan-rakannya di Cathay-Keris. Nordin Ahmad sangat berterima kasih kepada P.Ramlee kerana telah memberi peluang dan kepercayaan kepadanya bagi membuktikan kemampuannya sebagai seorang pelakon yang berkarisma besar.
Atas nasihat P.Ramlee jugalah yang membuatkan Nordin Ahmad membatalkan hasratnya untuk pulang ke kampung halamannya di Pulau Pinang kerana terlalu kecewa dengan kerjaya lakonannya ketika di Jalan Ampas.
"Sabar dulu sahabatku, masamu akan tiba juga nanti. Aku yakin kau akan menjadi seorang bintang besar suatu hari nanti".
Kata-kata dari P.Ramlee inilah yang menjadi perangsang kepada Nordin Ahmad untuk berusaha dengan lebih gigih bagi memajukan mutu lakonannya.
"Jika satu hari nanti ada yang memperkatakan tentang kejayaan saya di dalam bidang lakonan, P.Ramlee berhak berkongsi kejayaan itu bersama saya. Ini kerana P.Ramlee lah yang telah membuatkan kerjaya saya dari gelap menjadi terang".
Musang Berjanggut : Sebuah Filem Komedi Arahan P. Ramlee
"Datuk Bendahara: Kenapa pulak kita tidak dikenalkan...Ini tak boleh jadi ini...kita jangan ketinggalan"...datuk² yang lain pun menyusul memperkenalkan diri masing² kepada Puspawangi... 😂"
Kali ini Mimin mengundang saudara Fonzz Fauzee menulis beberapa fakta menarik mengenai filem P.Ramlee sukaan ramai.
MUSANG BERJANGGUT - (Banyak scene kena potong)
Selepas memenangi filem komedi terbaik bagi filem PENDEKAR BUJANG LAPOK, Pengarah P.Ramlee telah menghidangkan sebuah lagi komedi yang boleh juga diangkat sebagai antara komedi terbaik arahan beliau iaitu MUSANG BERJANGGUT yang diedarkan pada tahun 1959. Namun begitu, ramai yang tidak tahu bahawa skrip asal cerita itu banyak dicantas dan dipotong mengikut citarasa P. Ramlee.
Pada asalnya...
Puspawangi (Saadiah) muncul selepas 2 minit bermulanya filem itu tetapi ini tidak dipersetujui oleh P. Ramlee. Menurutnya, Puspawangi sepatutnya muncul selepas 50 minit sesudah cerita itu dihidangkan, barulah klimaks nya akan meningkat.
Cerita asal itu juga lebih kepada menyindir alim ulama yang seringkali bertopengkan agama untuk mengajar perkara yang karut. Ini juga dirombak oleh P. Ramlee.
Selain dari itu, skrip asal juga dipinda oleh pihak penapis cerita Shaw Brothers yang mana asalnya Sultan Alam Syahbana (Ahmad Nesfu) mempunyai 4 orang isteri dari berbagai bangsa iaitu anak-anak Raja India, China, Jepun dan Melayu. Pihak penapis mahukan Sultan beristerikan seorang sahaja iaitu anak Raja Melayu.
Selepas filem disiap, beberapa babak telah dipotong oleh Lembaga Penapis Filem. Lebih dari 1,000 kaki terpaksa diguntingnya dari filem asal kerana babak itu agak memberahikan yang menunjukkan Puspawangi berkemban sambil melayan datuk-datuk dari Istana.
Disebabkan pemotongan itu, P.Ramlee terpaksa menggantikannya dengan babak baru yang tidak mengganggu rentak perjalanan cerita itu.
Penggambaran filem tersebut juga terpaksa dihentikan buat seketika kerana Saadiah (Puspawangi) telah terganggu kesihatannya. Pada waktu penggambaran, beliau sedang hamil.
4 orang gadis perawan telah menjalani screentest untuk peranan dalam filem MUSANG BERJANGGUT. Antaranya ialah Fatimah Ahmad dan K.Fatimah yang lulus dalam ujian itu tetapi mereka tidak dapat dimuatkan dalam filem tersebut kerana P. Ramlee mahu 'reserve' kan mereka untuk filem arahan seterusnya iaitu BADANG tetapi sayang sekali, BADANG tidak jadi difilemkan. Sebaliknya, cerita itu diambil alih oleh Cathay Keris.
Dalam undian Perfileman Nasional yang dianjurkan oleh Gelanggang Filem pada tahun 1960, filem MUSANG BERJANGGUT telah mendapat nombor dua dalam kategori Filem Sukaramai. Tempat nombor satu adalah PENDEKAR BUJANG LAPOK.
Bagi kategori lagu pula, lagu JANGAN ADIK ANGAN-ANGAN yang dipetik dari filem tersebut dipilih sebagai LAGU SUKARAMAI tahun 1960.
(Duduk dari kiri) Biduan Kamsani Saat, P.Ramlee, Musalmah & anak anak dan H.M Busra
RAMADAN DI JALAN AMPAS
Ramadan di Jalan Ampas tiada bezanya dengan suasana di seluruh Tanah Melayu. Menurut Seniman Kassim Masdor yang juga orang kanan P.Ramlee, para seniman dan seniwati juga turut menjalankan ibadah puasa dengan penuh keimanan, cuma aktiviti penggambaran di studio berkenaan diperlahankan di sebelah siang walaupun kadang kala ada penggambaran ringan diadakan di dalam studio.
Para pelakon dan pekerja studio berkenaan selalunya akan sepakat untuk memasak juadah berbuka puasa terutamanya bagi pelakon yang menetap di Boon Teck Road. Mereka akan saling bertukar-tukar juadah masakan masing-masing dari pintu ke pintu ketika tiba masuk waktu berbuka. Begitulah kesepakatan dan silaturahim yang disemai oleh para pelakon dan pekerja studio Jalan Ampas untuk menjaga keharmonian sesama mereka.
Seniman Haji Mahadi selalunya akan menjadi Imam bagi memimpin solat Tarawih bersama jemaah di kalangan pelakon dan pekerja studio yang diadakan di sebuah surau yang dibina di kawasan studio berkenaan. Boleh dikatakan hampir kesemua seniman dan seniwati serta pekerja studio turut hadir untuk bersama-sama menunaikan solat Tarawih yang dipimpin Haji Mahadi. Begitu juga dengan P.Ramlee, walaupun beliau tidak lagi menetap di Boon Teck Road pada ketika itu tetapi beliau tetap menghadirkan diri bersolat bersama teman-temannya.
P.Ramlee juga dikatakan selalu menunaikan solat Tarawih di Masjid Sultan, yang terletak di Arab Street, Kampung Gelam. Antara pelakon yang selalu bersama P.Ramlee bersolat Tarawih di Masjid berkenaan seperti S.Sudarmaji, Nordin Ahmad, Kassim Masdor, Ahmad C dan beberapa lagi rakan rapat mereka.
Begitulah sedikit perkongsian dari kami bagaimana suasana menyambut Ramadan di studio Jalan Ampas. Semoga ianya bermanfaat. Selamat menjalani ibadah puasa.
Sumber :
Sesi sembang santai Hidir Ali Razali bersama Allahyarham Kassim Masdor pada tahun 2010.
Info Gambar : S.Sudarmadji bersama isteri Kamisah Kamijo dan anaknya Sri Rahayu.
S.SUDARMADJI - WIRA YANG TIDAK DIDENDANG
Hari ini 23 April 2021 maka genaplah 32 tahun pemergian seorang tokoh belakang tabir dalam sejarah sinema Melayu yang sangat hebat. Sempena dengan tarikh hari ini, marilah kita bersama-sama menelusuri kisah agung seorang insan seni yang unggul bernama S.Sudarmadji.
Umum mengetahui bagaimana akrabnya hubungan di antara P.Ramlee dengan S.Sudarmadji. Banyak lagu ciptaan P.Ramlee mendapat sentuhan lirik dari S.Sudarmadji. Lagu-lagu seperti Dimanakan Ku Cari Ganti, Putus Sudah Kaseh Sayang dan Jeritan Batinku adalah hasil dari garapan dari S.Sudarmadji. Beliau boleh saya sifatkan sebagai 'tangan kanan' kepada P.Ramlee dalam berkarya.
Begitu juga dengan kelansungan filem-filem arahan P.Ramlee. Banyak filem arahan P.Ramlee yang skripnya ditulis oleh S.Sudarmadji. P.Ramlee bukanlah seorang yang tekun dan rajin dalam bab-bab penulisan dan pembacaan. Tetapi beliau mempunyai pemikiran yang luar biasa dalam menterjemahkan hasil kerja yang datang dari S.Sudarmadji. Kolaborasi mereka berdua berjaya mencetuskan karya agung yang mampu bertahan sehingga sekarang.
S.Sudarmadji bukanlah sembarangan individu yang boleh kita ketepikan. Beliau mempunyai bakat penulisan yang sangat hebat. Ini kerana S.Sudarmadji turut terlibat di dalam gerakan Angkatan 45 bersama-sama tokoh agung penulisan dari Indonesia seperti Chairil Anwar, Asrul Sani, Achdiat K Mihardja dan Rivai Apin.
S.Sudarmadji atau nama sebenarnya Syed Sudarmadji bin Syed Abdullah dilahirkan di Jogjakarta, Hindia-Belanda (kini Indonesia) pada 19 Jun 1923. Keakraban P. Ramlee dan S. Sudarmadji ibarat isi dengan kuku. Oleh sebab itu S.Sudarmadji mampu menulis lirik untuk menggambarkan perasaan P. Ramlee dalam lagu-lagunya. Kelebihan luar biasa S. Sudarmadji ini telah diberi penghormatan oleh P. Ramlee dengan terciptanya nama “MadjiLee” – hasil gabungan nama mereka berdua. S. Sudarmadji juga telah menulis lirik hampir separuh daripada 300 buah lagu P. Ramlee.
S. Sudarmaji meninggal dunia pada 23 April 1989 di Hospital Besar Kuala Lumpur akibat komplikasi sakit kencing manis dan buah pinggang, ketika itu beliau berusia 65 tahun. Jenazah beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Suntex, Batu 9, Cheras. Beliau meninggalkan seorang isteri, Kamisah Kamijo dan seorang anak perempuan, Sri Rahayu yang pernah popular dengan watak Ayu 20 Sen di dalam filem Bujang Lapok (1957).
Teks : HAR
Sumber :
Gagak Di- Rimba - Abdullah Hussain
P.Ramlee Kisah Hidup Seniman Agung - Abdullah Hussain
P.Ramlee Seniman Agung - Ahmad bin Idris
Erti Yang Sakti - Tun Ahmad Sarji
Sesi temubual bersama Sri Rahayu Sudarmadji pada 13 Mei 2017
P.RAMLEE mempunyai beberapa tabiat. Beliau memiliki kepandaian berbual dan bercerita secara spontan. Ini membuatkan beliau menjadi seorang periwayat yang baik untuk filem filem arahannya.
Satu tabiat P.RAMLEE ketika beliau duduk sambil bercerita atau berbual, sebelah kakinya tidak berhenti terhenjut-henjut dengan cepat, ini menandakan yang otaknya sedang berfikir. P.RAMLEE suka duduk berbual bersama rakan rakannya di kedai kopi Siput berdepan dengan Studio Nombor 8 di Jalan Ampas. Kebiasaannya ketika beliau sedang rancak berbual atau bercerita mesti ada segelas kopi dan sebungkus rokok Lucky Strike di hadapannya. Oh ya seperkara lagi apabila bercerita P.RAMLEE tidak gemar orang memotong ceritanya, beliau mesti menghabiskan cerita terlebih dahulu baru boleh bertanyakan soalan.
Antara pelakon pelakon yang selalu menjadi pendengar setia dan sudah masak dengan cara ketika beliau bercerita ialah seperti S.SUDARMAJI, AHMAD C, A.RAHIM, AZIZ SATTAR, S.SHAMSUDIN, dan beberapa lagi yang lain. .
Apabila kita menonton filem SENIMAN BUJANG LAPOK, kita semua telah disajikan dengan keadaan dan suasana sebenar di Studio Jalan Ampas. Jikalau tidak ada filem itu, maka kita semua tidak akan tahu bagaimanakah keadaan dan suasana yang sebenarnya di studio itu ketika zaman gemilang filem Melayu klasik di Singapura. Kita semua bangsa Melayu di seluruh nusantara patut berterima kasih kepada P.RAMLEE dan juga semua pemain watak di dalam filem itu kerana telah memberikan gambaran yang sebenar keadaan di Jalan Ampas. Walaupun tidak keseluruhannya, tetapi ada. Ini kerana, hanya filem SENIMAN BUJANG LAPOK satu satunya yang memberikan gambaran tersebut.
P/s: Haish..baru nak lepak-lepak, Gomen kata 4 Mei dah bukak kedai 😭
Nota Editor: Nota ini ditulis oleh seorang pengguna Facebook yang ingin identitinya dirahsiakan. Ia diterbitkan dan diolah semula dengan kebenaran penulis asal.
Jam sudah menunjukkan jam 3.48 pagi. Saya menelaah beberapa topik di dalam Islamic Family Law, dan kini sudah berada di dalam topik Prohibited Marriage (Perkahwinan Yang Ditegah).
Antara kes yang perlu kami hafal serta kaji adalah kes Abdul Razak v Maria Menado.
Nama Maria Menado ini begitu agung, dan oleh sebab saya kurang mengambil berat tentang perfileman klasik, saya cuba mencari nama Maria Menado ini.
Maria Menado merupakan seorang Seniwati Malaya yang amat terkenal pada masa dahulu. Namanya lebih mahsyur daripada beberapa nama pelakon veteran ketika itu seperti Saloma, Sarimah dan Saadiah.
Merupakan peragawati, pelakon serta produser filem, beliau memulakan kerjaya bersama P.Ramlee dalam filem Penghidupan. Kemudian, nama beliau meningkat naik setelah menjadi pelakon dalam filem Pontianak.
Filem Pontianak merupakan filem seram pertama di Malaysia. Setelah itu, namanya begitu mekar setelah melakonkan beberapa filem lain seperti Sumpahan Pontianak, Darahku dan Pontianak Lagi.
Filem-filemnya sangat laku keras sehinggalah beliau berkahwin dengan Sultan Pahang pada tahun 1961.
Namun begitu, disebabkan beliau menjadi Permaisuri Sultan, semua filemnya diharamkan untuk ditayang di negeri Pahang. Bagaimanapun, filemnya turut tidak ditayangkan di seluruh negara.
Maka, filem-filemnya hanya disimpan di rumah Pengurus Cathay Keris, Ho Ah Loke. Yang amat kesal sekali, disebabkan isteri Ho Ah Loke merasa rimas dengan banyaknya filem-filem itu di dalam rumah, isterinya membuang semua filem itu di dalam sebuah lombong.
Setelah kemangkatan Sultan Pahang, Maria Menado memperoleh perkenan Sultan terbaru (Sultan Ahmad Shah) dan meminta agar filem-filemnya ditayangkan semula, namun, disebabkan filem itu sudah dibuang di dalam lombong selama 2 tahun, filem itu hancur dan tidak boleh ditayangkan lagi.
Bayangkan, selama 20 tahun Maria Menado beraksi dalam layar perak, hampir kesemuanya sudah terhapus dek kerana pergaduhan suami isteri Ho Ah Loke ketika itu (filem yang masih wujud sehingga kini adalah simpanan oleh produksi lain). Tidaklah diketahui mengapa Ho tidak berjumpa Maria atau muzium-muzium negeri untuk menyumbangkan filem-filem itu.
Tidak ada lagi filem lakonan Maria Menado. Tidak wujud lagi kelincahan Maria Menado. Yang lebih kesal, Malaysia tidak mempunyai satu pun salinan Filem Seram Pertama Malaysia.
Sayang seribu kali sayang. Filem Pontianak merupakan filem seram Melayu yang amat hebat dari segi grafik pada waktu itu. Dengan tidak ada lagi téknologi yang mahal, pencapaian filem itu membuktikan Malaya mampu menghasilkan filem setaraf dengan Hollywood.
Apa yang lebih kesal, generasi kini tidak berpeluang menikmati filem itu. Disebabkan hal rumahtangga satu pasangan, habis segala usaha seorang wanita dipadam begitu sahaja. Disebabkan itu juga, negara kehilangan sejarah filem Malaysia yang tidak ternilai.
Oh ya. Kenapa Maria Menado berada di dalam buku Islamic Family Law ini?
Maria Menado ini dahulunya Kristian. Berkahwin dengan seorang pengarah filem Muslim, atas kapasiti Ahli Kitab. Katanya, Maria merupakan Kristian yang dibenarkan kahwin kerana Al-Quran membenarkan berkahwin dengan orang yang beriman dengan Taurat dan Injil.
Namun mahkamah mendapati keturunan Maria Menado ini memeluk agama Kristian setelah Islam disebarkan oleh Nabi Muhammad. Disebabkan itu, Maria Menado tidak boleh digelar Ahli Kitab, dan perkahwinan mereka terbatal.
Namun, beberapa tahun selepas itu, Maria memeluk Islam, cuma tidak berkahwin dengan bekas suaminya itu.
Alfatihah kpd arwah Dato Mustapha Maarof. Semuga rohnya disemadikan bersama org2 beriman...ameen...
Sekali lg saya terkenang kpd perjuangan arwah ayahnya..Maarof Zakaria, yg dibunuh dgn kejam kerana ikhlas ingin membantu org2 Melayu...
Maarof Diculik, Dibunuh dan Digantung
Orang ramai terutama peminat filem Melayu cukup mengenali seniman veteran, Datuk Mustapha Maarof yang terbabit dalam lebih 50 filem sejak sebelum merdeka dan beratus drama di Singapura dan Malaysia. Tetapi masyarakat mungkin tidak mengenali siapa bapanya, Allahyarham Maarof Zakaria.
Jalan Maarof
Bagi penduduk Kuala Lumpur, terutama di Bangsar dan Lembah Pantai, mereka cukup sinonim dengan nama Jalan Maarof, bermula di Dataran Maybank menuju ke pusat beli beli Bangsar.
Siapa Maarof
Siapakah Maarof sebenarnya hinggakan namanya cukup gah untuk diabadikan di antara laluan utama yang menjadi laluan beribu pengguna setiap hari. Allahyarham sebenarnya ada kisah tersendiri yang jarang diperkatakan.
Maarof anak kelahiran Sri Menanti, Negeri Sembilan, adalah antara kelompok Melayu elit yang mendapat pendidikan Inggeris yang hidup sezaman dengan tokoh pemikir Melayu, Zainal Abidin Ahmad yang digelar Pendeta Zaaba (16 September 1895 - 23 Oktober 1973).
Bekas peguam dan pegawai daerah di Perak itu juga seangkatan dengan nasionalis negara yang juga penulis, Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako (14 November 1909 - 7 November 1991).
Pengasas Malay Nasional Bank
Bezanya, ketika nasionalis negara dan pemimpin politik sibuk berjuang untuk kemerdekaan, Maarof memilih haluan berbeza dengan mengasaskan bank pertama khas untuk orang Melayu iaitu Bank Kebangsaan Melayu, bertempat di Klang Street, di ibu negara.
Niatnya cukup jelas, jika orang Melayu mahu maju dalam politik dan membangun, mereka mesti mempunyai sistem ekonomi yang kuat, satu daripadanya ia melalui sistem perbankan yang sistematik.
Namun, sayangnya niat murni tokoh itu disalah tafsir pihak tertentu yang tidak mahu melihat tahap kesedaran Melayu terus meningkat dan dilihat menjadi saingan kepada dua bank di Tanah Melayu pada ketika itu, The Chartered Bank milik British dan bank milik Cina iaitu Overseas Chinese Banking Corporation.
Pada bulan Julai, 1947 sebuah Bank Kebangsaan Melayu telah diasaskan oleh seorang peguam Melayu bernama Encik Maarof Zakaria.
Bank tersebut hanya mempunyai 2 juta saham yang hanya terbuka kepada orang-orang Melayu.
Pelanggannya juga terhad kepada orang-orang Melayu sahaja.
Pada waktu itu hanya ada dua buah bank; iaitu bank milik British bernama The Chartered Bank dan bank milik China bernama Overseas Chinese Banking Corporation.
Di kedua buah bank ini Melayu tidak dibenar meminjam wang.
Melayu hanya boleh meminjam wang dari ceti-ceti haram dengan bayaran bunga yang cukup tinggi.
Encik Maarof menjawab cabaran ini dengan menubuhkan bank untuk Melayu sahaja.
Dibunuh Kejam
Selepas 6 bulan beroperasi dengan jayanya Encik Maarof Zakaria telah didapati terbunuh di Lake Garden.
Maarof dikatakan hilang selama 2 hari selepas keluar dari rumah menuju ke Kampung Baru. Beliau ditemui di dalam hutan tergantung.
Jam rolex di tangannya dan wang dalam sakunya telah tidak diambil oleh pembunuh itu. Ini bererti pembunuh hanya ingin membunuh pengasas bank Melayu yang didirikan oleh Encik Maarof itu.
Encik Maarof Zakaria telah mendirikan Bank Kebangsaan Melayu dengan bermodalkan 27 ekar Tanah serta tiupan roh semangat perjuangan bangsa Melayu di bidang ekonomi.
Yang membunuh Encik Maarof nampaknya bertujuan membunuh semangat perjuangan Melayu di bidang ekonomi.
Berlandaskan tiupan roh semangat perjuangan Melayu di bidang ekonomi inilah maka dalam Kongres Ekonomi Bumiputera Pertama dalam tahun 1965 cadangan menubuhkan Bank Bumiputra telah diketengahkan.
Kisah Pilu Dan Menyayat Hati Seorang Anak Seni Bernama Ahmad Nisfu Yang Ramai Tidak Tahu!!
Kehidupan Menyayat Hati & Kedaifan Ahmad Nisfu Yang Ramai Orang Tidak Tahu : Menangis Melihat Keadaan Ahmad Nisfu Sebelum Menghembus Nafas Terakhir
Siapakah Ahmad Nisfu
Kalau menonton filem P. Ramlee sudah pasti anda mengenali Ahmad Nisfu. Ahmad Nisfu sememangnya kawan baik dengan P.Ramlee.
Banyak filem arahan P. Ramlee akan melibatkan Ahmad Nisfu dan dia juga sering membawa watak agak besar.
Ahmad Nisfu juga digelar Pak Besar oleh P. Ramlee kerana lubang hidung Ahmad Nisfu yang besar.
Awal Karier
Pelakon ini berasal dari Tanjong Takong, Pulau Pinang. Beliau sering memegang watak kecil di awal karier bersama Shaw production. Sahw yang membawa Ahmad Nifsu ke dunia lakonan.
Walaupun memegang watak-watak yang kecil, Ahmad Nisfu sentiasa bersyukur walaupun upah yang diterimanya adalah terlalu kecil.
Kehiduapan Sosial
Untuk pengetahuan Ahmad Nisfu adalah seorang yang sebatang kara, tiada saudara mara, keluarga dan juga isteri.
Aktiviti sosial Ahmad Nisfu ini hanyalah dengan beramal di masjid di kawasan beliau tinggal dan juga di sekitar studio Jalan Ampas. Ahmad Nisfu dikhabarkan seorang yang pandai mengaji Al-Quran. Beliau juga merupakan seorang bilal di masjid di tempat beliau menetap dahulu.
Penutupan Studio Jalan Ampas
Hinggalah penutupan studio Jalan Ampas, Ahmad Nisfu telah menghambakan dirinya dalam dunia lakonan. Selepas penutupan studio Jalan Ampas, Ahmad Nisfu telah hilang punca pencarian hidup. Filem Puaka dikatakan filem terakhir lakonan beliau.
Disebabkan tiada punca rezeki, Ahmad Nisfu hidup dengan bantuan ehsan dari orang ramai. Kerana tiada punca rezeki, Ahmad Nisfu hanyalah menetap di Kubu Jepun (pillbox) di Jalan Labu.
Di situlah juga tempat Ahmad Nisfu telah menghembuskan nafas terakhirnya di dalam keadaan yang sungguh daif tanpa saudara mara, ahli keluarga dan isteri. Hanyalah teman rapat.- Balbo
Kehidupan Selepas Berhenti Berlakon
Setelah tidak bermain wayang lagi, Ahmad Nisfu sering berada dikedai kopi dipersimpangan Joo Chiat, Geylang Road dan Changi Road. Kedai kopi itu juga dulunya tempat ‘extras’ Shaw dan Cathay berkumpul. Sering juga mereka diambil sebagai ‘pak pacak’ dengan gaji $5.00 ringgit sehari!
Selain meluangkan masa disitu, dia sering ke seberang jalan untuk menikmati ‘sop kambing’ kegemarannya. Kedai mamak sop itu terletak dilorong masuk ke restoran Osman Ghani yang terkenal di Geylang Serai dengan ‘kari ikan’ dan ‘dalca rusuk kambing’nya.
Ahmad Nisfu juga pernah menjadi imam di Masjid Onan Road (sudah tiada lagi – tapaknya diambil oleh Muslim Convert Association). Pernah satu kali, kami anak anak nakal, waktu sembahyang berimamkan Ahmad Nisfu, sedang dalam rukun, kami menyanyi perlahan lahan sesama sendiri “Pura Cendana! Pura Cendana!” sambil menggigil gigil menahan ketawa. Habis sembahyang, tak sempat cium tangannya, kami diperambat hingga keluar masjid! “Korang usik aku ya!!! setan!!!” Itulah pengalaman nakal saya bersama ‘Raja Alam Syahbana, raja negeri Pura Cendana’.
Mungkin kerana keuzuran dia tidak lama menjadi imam disitu. Seperti sudah berputus asa, dia hidup berteduh di kubu Jepon di Jalan Labu tidak jauh dari Masjid Aminah di Jalan Nanas off Geylang Serai. Lama juga dia tinggal bersendirian di situ di bawah ikhsan orang kampung sekeliling. Tidak lama kemudian dia meninggal, setelah beberapa lama hidup sebatang kara dalam penuh kedaifan.
Ahmad Nisfu meninggalkan seorang balu yang bernama Chik binti Osman, tiga orang anak dan 14 orang cucu. Menurut anaknya lagi, Ahmad Nisfu dikelilingi ahli keluarganya semasa meninggal dunia.
Di bawah ini adalah sumber tambahan dengan info yang lebih tepat lagi. Sila rujuk kepada maklumat yang disertakan di sini untuk tatapan semua pembaca setia blog ini. Sumber 1 : The Patriots
Gambar 1 : Sumber daripada The Patriots
Gambar 2 : Tajuk Utama - Benarkah Ahmad Nisfu Hidup Sebatang Kara Dalam Kedaifan?
Pautan Laman Sesawang Daripada The Patriots. Sila rujuk di bawah ini.
Sedikit info tambahan berkenaan dengan sejarah hidup dan hasrat peribadi Ahmad Nisfu
Gambar 1 : Maklumat judul filem antara lakonan beliau di bawah arahan P. Ramlee
Gambar 2 : Sedikit kisah Ahmad Nisfu di luar bidang lakonan serta hasrat beliau pada penghujung usianya
Gambar 3 : Hajatnya tidak kesampaian kerana beliau terlebih dahulu pergi menemui ilahi. Al-fatihah (dengan bacaan) untuk beliau.
Sumber 3 : Repair Gambar Lama
AHMAD NISFU HIDUP MELARAT KE? INI KISAH SEBENARNYA
Oleh: DAN
AHMAD NISFU dilahirkan di Medan pada tahun 1902 dengan nama Mohamed bin Nisfu. Ahmad Nisfu merupakan anak sulung daripada empat adik beradik. Beliau kemudiannya berpindah bersama-sama keluarganya ke Pulau Pinang ketika masih kecil. Ahmad Nisfu menetap dan membesar di Kampung Makam, Pulau Pinang.
Ahmad Nisfu terdedah dengan dunia pentas bangsawan sejak kecil lagi. Bapanya merupakan tokoh utama dalam Wayang Kassim, sebuah kumpulan wayang bangsawan di Pulau Pinang. Semasa di Pulau Pinang, Ahmad Nisfu mendapat pendidikan agama di madrasah. Beliau hanya boleh membaca dan menulis dalam tulisan Jawi. Semasa di Pulau Pinang juga, Ahmad Nisfu mula berlakon bersama Grand Opera pada tahun 1912. Mereka sering mengadakan persembahan di utara semenanjung Tanah Melayu. Dari situlah Ahmad Nisfu mengasah bakat lakonannya sedikit demi sedikit. Beliau kemudiannya menyertai Star Opera yang beroperasi di Perak bersama-sama bapanya.
Ketika berusia 18 tahun, beliau telah berhijrah ke Singapura pada tahun 1920 dengan mengikuti kumpulan Indera Bangsawan yang dimiliki oleh Siti Hawa yang sangat terkenal dengan panggilan Seri Panggung Mak Lebai. Semasa berada di Singapura, Ahmad Nisfu bertambah aktif dalam dunia lakonan di pentas-pentas bangsawan sehingga namanya menjulang naik.
Pada tahun 1950-an, ramai tokoh-tokoh bangsawan telah beralih angin untuk menceburkan diri dalam dunia perfileman termasuklah Ahmad Nisfu. Filem pertama yang dilakonkan oleh Ahmad Nisfu ialah Anak Pontianak (1958) arahan Ramon A. Estella, diikuti dengan filem Gergasi (1958) yang diarahkan oleh Dhiresh Gosh. Kedua-dua filem ini telah diterbitkan oleh Malay Film Productions (MFP) yang dimiliki oleh Shaw Brothers. Nama Ahmad Nisfu semakin menjulang tinggi apabila P.Ramlee mengambilnya berlakon di dalam Pendekar Bujang Lapok pada tahun 1959. Beliau berjaya menghidupkan watak tauke sampan dan kepala samseng di dalam filem itu walaupun ia bercorak komedi. Hal ini tidak menjadi masalah kepada Ahmad Nisfu kerana pengalamannya berlawak semasa di pentas bangsawan dahulu sangat luas.
Ahmad Nisfu sering diberi watak penting di dalam filem-filem arahan P. Ramlee di MFP. Lakonan beliau dalam filem-filem arahan P. Ramlee sangat menyerlah dan masih meninggalkan kesan yang mendalam kepada penonton, hingga ke hari ini. Filem-filem yang dilakonkan oleh Ahmad Nisfu di bawah arahan P.Ramlee ialah :-
Musang Berjanggut (1959),
Nujum Pa' Blalang (1959),
Antara Dua Darjat (1960),
Seniman Bujang Lapok (1961),
Ibu Mertua Ku (1962),
Nasib Si Labu Labi (1963),
Madu Tiga (1964) dan
3 Abdul (1964)
Dalam satu kenyataan, P. Ramlee pernah mengatakan bahawa pelakon-pelakon yang dikaguminya ialah bintang Hollywood Stewart Granger, Marlon Brando, dan seniman tanahair iaitu Ahmad Nisfu. P. Ramlee sering memanggil Ahmad Nisfu dengan gelaran Pak Besar kerana lubang hidungnya sangat besar. Hubungan mereka juga boleh dikatakan sangat erat seperti bapa dan anak.
Filem-filem lain yang dilakonkan oleh Ahmad Nisfu di MFP ialah :-
Doctor (1958),
Saudagar Minyak Urat (1959),
Siti Muslihat (1962),
Gerhana (1962),
Korban (1963),
Pileh Menantu (1963),
Siapa Besar! (1964),
Pusaka Pontianak (1965),
Sayang Si Buta (1965),
Dayang Senandong (1965),
Sri Andalas (1966),
Lampong Karam (1967) dan
A Go Go 67 (1967).
Suatu perkara yang menarik mengenai Ahmad Nisfu, beliau tidak terikat dengan mana-mana studio. Beliau lebih selesa menjadi pelakon bebas. Oleh sebab itu kita dapat melihat beliau juga turut berlakon di dalam filem-filem yang diterbitkan oleh Cathay-Keris Film (CKF) seperti :-
Dang Anom (1962),
Tun Fatimah (1962),
Jula Juli Bintang Tujoh (1962),
Laila Majnun (1962),
Lanchang Kuning (1962),
Darah-Ku (1963),
Bayangan Di-Waktu Fajar (1963),
Bunga Tanjung (1963),
Tajul Ashikin (1963),
Pontianak Kembali (1963),
Ayer Mata Duyong (1964),
Wan Perkasa (1964),
Istana Berdarah (1965),
Dua Kali Lima (1966),
Playboy (1967),
Mat Raja Kapor (1967),
Si-Murai (1968),
Nafsu Belia (1969),
Puaka (1970),
Lobang Nuraka (1970),
Mat Karung Guni (1970) dan yang terakhir
Jahanam (1971)
Di luar bidang lakonan, Ahmad Nisfu pernah menjadi seorang bilal di Masjid Khalid, Joo Chiat Road, Singapura. Beliau seringkali memberi tazkirah serta nasihat agama kepada orang awam di masjid. Beliau juga sering membaca al-Quran di masjid ketika tiada penggambaran filem. Jikalau beliau dikehendaki untuk menjalani penggambaran, sebuah kereta milik studio akan datang menjemputnya di rumah.
Ahmad Nisfu meninggal dunia ketika berusia 70 tahun pada 25 Jun 1972, sekitar jam 9:00 pagi akibat penyakit kencing berdarah di rumah anak lelakinya di Kampung Kuchai, Lorong 3, Geylang. Beliau meninggalkan seorang balu yang bernama Chik binti Osman, tiga orang anak dan 14 orang cucu. Menurut anaknya lagi, Ahmad Nisfu dikelilingi ahli keluarganya semasa meninggal dunia. Ramai rakan-rakan seniman dan seniwati dari studio MFP dan CKF melawat jenazahnya untuk memberi penghormatan terakhir. Jenazah beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Bidadari, dan kemudiannya telah dipindahkan ke Tanah Perkuburan Lim Chu Kang oleh kerajaan Singapura.
Pada awal tahun 1970-an, Ahmad Nisfu berhajat untuk menulis riwayat hidupnya serta pengalaman beliau sepanjang melibatkan diri di dalam seni lakonan bermula daripada pentas bangsawan sehinggalah ke layar perak. Menurutnya, adalah penting bagi seseorang yang terlibat dalam dunia seni itu menulis segala pengalaman serta pahit getir semasa bergelar seniman untuk tatapan keluarga dan para peminat.
Malangnya, hajat beliau untuk menulis dan membukukan riwayat hidupnya itu tidak kesampaian kerana ajal telah menjemputnya terlebih dahulu. Segala pengalaman, pahit getir serta kenangan manis semasa hidupnya dibawa bersama ke alam barzakh.
Maarof Zakaria "Kisah Pejuang Melayu Yang Menyayat Hati"
Orang ramai terutama peminat filem Melayu cukup mengenali seniman veteran, Datuk Mustapha Maarof yang terbabit dalam lebih 50 filem sejak sebelum merdeka dan beratus drama di Singapura dan Malaysia. Tetapi masyarakat mungkin tidak mengenali siapa bapanya, Allahyarham Maarof Zakaria. Bagi penduduk Kuala Lumpur, terutama di Bangsar dan Lembah Pantai, mereka cukup sinonim dengan nama Jalan Maarof, bermula di Dataran Maybank menuju ke pusat beli beli Bangsar. Siapakah Maarof sebenarnya hinggakan namanya cukup gah untuk diabadikan di antara laluan utama yang menjadi laluan beribu pengguna setiap hari. Allahyarham sebenarnya ada kisah tersendiri yang jarang diperkatakan. Maarof anak kelahiran Sri Menanti, Negeri Sembilan adalah antara kelompok Melayu elit yang mendapat pendidikan Inggeris yang hidup sezaman dengan tokoh pemikir Melayu, Zainal Abidin Ahmad yang digelar Pendeta Zaaba (16 September 1895 - 23 Oktober 1973). Bekas peguam dan pegawai daerah di Perak itu juga seangkatan dengan nasionalis negara yang juga penulis, Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako (14 November 1909 - 7 November 1991). Bezanya, ketika nasionalis negara dan pemimpin politik sibuk berjuang untuk kemerdekaan, Maarof memilih haluan berbeza dengan mengasaskan bank pertama khas untuk orang Melayu iaitu Bank Kebangsaan Melayu, bertempat di Klang Street, di ibu negara. Niatnya cukup jelas, jika orang Melayu mahu maju dalam politik dan membangun, mereka mesti mempunyai sistem ekonomi yang kuat, satu daripadanya ia melalui sistem perbankan yang sistematik. Namun, sayangnya niat murni tokoh itu disalah tafsir pihak tertentu yang tidak mahu melihat tahap kesedaran Melayu terus meningkat dan dilihat menjadi saingan kepada dua bank di Tanah Melayu pada ketika itu, The Chartered Bank milik British dan bank milik Cina iaitu Overseas Chinese Banking Corporation. Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan kematian pengasas Malay National Bank, Maarof Zakaria, sebagai tragik dan sangat menyedihkan kerana ia berlaku ketika peguam itu berusaha membantu orang Melayu keluar daripada kepompong kemiskinan menerusi penubuhan bank. Bekas Perdana Menteri berkata, jasa Maarof sangat besar dan beliau orang Melayu yang berani menubuhkan bank untuk membantu kaumnya, ketika itu. "Ketika itu, orang Melayu jauh ketinggalan dari segi ekonomi dan hidup dalam kemiskinan. Bank yang ada ketika itu tidak mahu memberi bantuan atau pinjaman modal kepada orang Melayu. "Justeru, ada suara yang meminta dan mendesak supaya sesuatu dilakukan untuk membantu orang Melayu.