Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Showing posts with label Kesultanan Brunei Darussalam. Show all posts
Showing posts with label Kesultanan Brunei Darussalam. Show all posts

Monday, 9 January 2023

29 DISEMBER 1877 PERJANJIAN PENYERAHAN WILAYAH JAJAHAN BORNEO UTARA

 

JAJAHAN KESULTANAN MELAYU BRUNEI ABAD KE 19 DI BORNEO UTARA

Perjanjian Pajakan Sultan Brunei ke-24 dengan Tuan Gustavus Baron De Overbeck dan Alfred Dent Esquire

Menjejak Sejarah Silam Borneo Utara / Sabah

Sejarah Sabah Yang Hilang

Empat (4) Keping Surat Perjanjian Penyerahan Wilayah Jajahan Borneo Utara Kepada Overbeck dan Dent oleh Kesultanan Brunei pada 29.12.1877

Oleh Kumis Kumis 

Salam hormat dan salam sejahtera kepada semua peminat Sejarah Borneo Utara Sabah. 

Pada hari ini penulis ingin berkongsi dan memperbetulkan satu lagi kisah penting sejarah Sabah yang telah hilang serta tidak ditemui di dalam buku teks sejarah di Sekolah.

Kesedaran orang ramai mengenai sejarah bangsanya semakin meningkat dalam dekad-dekad yang terakhir ini. Kadar celik huruf dan pendidikan yang tinggi telah merangsang para pengkaji sejarah untuk mengorek kembali sejarah bangsanya dan kerajaannya. 

Orang sekarang bukanlah semuanya orang yang buta sejarah sehingga tidak mengambil kisah mengenai peredaran dunia bahkan mereka sebenarnya telah lama mengkaji tamadun yang terawal sebelum tahun 1881 iaitu tarikh keramat bermulanya Sejarah Moden Sabah.

SEJARAH bukan sekadar rakaman peristiwa lalu, rakaman sejarah juga boleh dilakukan secara terpilih. Pihak yang berkeupayaan melakukannya adalah yang memerintah yakni berkuasa (yang menang).

“Sejarah ditulis oleh pemenang”, demikian ungkapan Winston Churchill.

Maka tidak mengejutkan apabila kesahihan sesuatu rakaman sejarah itu dipertikaikan lebih-lebih lagi oleh pihak yang menang yang mengatakan bahawa Empat (4) keping Surat Perjanjian Penyerahan Wilayah Jajahan Brunei yang berlainan kawasan di Borneo Utara adalah tidak benar, tidak wujud dan tidak penting sama sekali. 

Dalam kajian peribadi penulis terdapat lebih dari 27 keping surat perjanjian penyerahan wilayah jajahan Kesultanan Brunei dari tahun 1877 sehingga 1903 dan ianya tidak termasuk perjanjian lain yang ditandatangani sekitar tahun 1830 an dan 1840 an..

Sebagai contoh, para sejarawan tempatan dan luar negara merakamkan bahawa pada 29.12.1877, cuma hanya satu (1) keping perjanjian wilayah jajahan Brunei yang diserahkan kepada Overbeck dan Dent yang merangkumi kawasan Pantai Barat Sabah. 

Mereka juga mendakwa cuma ada sekeping perjanjian 1877 dan satu lagi perjanjian 1878 di mana semua perjanjian 1877 umpama tidak penting dan tidak wujud kerana mereka tidak pernah menilai dan meneliti tiga (3) keping lagi perjanjian wilayah jajahan Brunei yang di serahkan kepada Overbeck dan Dent pada hari yang sama tanggal 29.12.1877. 

Maklumat atau fakta perjanjian tahun 1878 telah disahkan atau diterima kerana ianya mendapat restu daripada pihak yang menang. Tiada restu daripada pihak yang menang bermakna tidak sah atau tidak diperakui sebagai suatu fakta sejarah yang benar yang perlu diiktiraf.

Dalam konteks dokumentasi yang sebenar setelah diteliti dihalusi dan diperolehi pelbagai dokumen lain yang tersimpan di Arkib London maklumat ini sebenarnya agak berbeza.

Inilah satu daripada contoh konflik yang melanda kita. Dan segala paparan sejarah dalam pelbagai medium baik buku teks rujukan dan sebagainya, diambil dan bersumberkan catatan sejarah ‘rasmi’ yang bersimpang-siur ini.

Apa yang sebenarnya berlaku mengikut kajian penulis adalah pada 29.12.1877 sebanyak empat (4) keping surat perjanjian penyerahan wilayah jajahan Borneo Utara kepada Overbeck dan Dent oleh Kesultanan Brunei.

Maklumat ini akan merubah persepsi bahawa Kedaulatan Pantai Timur dan Pantai Barat Sabah sebenarnya pada suatu ketika adalah milik Kesultanan Brunei dan bukan milik Kesultanan Sulu. 

Menurut dokumen lama yang tersimpan di Arkib London sebenarnya dapat mengesahkan bahawa seluruh persisiran Pantai Borneo Utara dari persisiran pantai timur dan pantai barat pada tahun 1877 adalah merupakan wilayah jajahan Kesultanan Brunei kecuali kawasan pedalaman Sabah yang dikenali sebagai “Terra Nullius” iaitu ungkapan Bahasa Latin yang bererti Tanah Tiada Pemilik. 

Para pegawai kanan pihak Syarikat Borneo Utara British dari awal telah mengesahkan di dalam dokumen mereka bahawa persoalan “Kedaulatan”, “Tuntutan” dan “Pengaruh” adalah perkara yang berlainan.

Mereka semua berpendapat bahawa soal Kedaulatan Borneo Utara pada tahun 1877 adalah milik Kesultanan Brunei yang telah diserahkan buat selama-lamanya kepada Overbeck dan Dent yang di sambung oleh Syarikat Borneo Utara British.

Ini adalah maklumat penting dari empat (4) keping perjanjian wilayah jajahan Kesultanan Brunei yang diserahkan kepada Overbeck dan Dent pada 29.12.1877 :-
  1. Perjanjian Pertama : Dari Tanjong Gaya sehingga Tanjong Lotut dan Pulau Gaya dan Pulau Sepanggar termasuk Papar dan Benoni dengan bayaran $4,000.00 setahun.
  2. Perjanjian Kedua : Dari Sungai Sulaman sehingga Sungai Paitan termasuk Pulau Banggi dan pulau pulau dalam 9 batu dari tepi laut dengan bayaran $6,000.00 setahun
  3. Perjanjian Ketiga : Dari Paitan, Sugut, Bongaya, Labok, Sandakan, Kinabatangan, Mumiang sehingga Sungai Sibuku dengan bayaran $2,000.00 setahun
  4. Perjanjian Keempat : Wilayah Kimanis dan Benoni dengan bayaran $3,000.00 setahun
Sejumlah $15,000.00 nilai Kedaulatan Kesultanan Brunei di bayar oleh pihak Syarikat Borneo Utara British setiap tahun dan ianya merupakan salah satu unsur penting sebuah negara. Bayaran ini sudah dilangsaikan sepenuhnya oleh pihak Syarikat Borneo Utara British.

Penguasaan suatu wilayah ada tujuh cara yang diakui secara umum iaitu melalui proses 
  • Pendudukan, 
  • Penaklukan, 
  • Pertambahan : perubahan karena faktor alam, 
  • Preskripsi : pengalihan hak, 
  • Penyerahan, 
  • Integrasi atau sebaliknya disintegrasi, 
  • Revolusi dan dua cara lain iaitu proses dikolonisasi dan keputusan Persidangan Antarabangsa.
Kesultanan Brunei memperolehi kedaulatan Borneo Utara melalui proses penaklukan terutamanya persisiran pantai, pulau-pulau dan muara sungai ratusan tahun lalu dan pengaruh serta kuasa mereka semakin berkurang mengikut peredaran masa. 

Namun, Kesultanan Brunei di penghujung abad ke 19 masih memiliki Kedaulatan Borneo Utara yang terbukti dari empat keping surat perjanjian penyerahan wilayah Borneo utara pada 29.12.1877 kepada Overbeck dan Dent. 

Tidak pernah berlaku penyerahan kedaulatan wilayah Jajahan Kesultanan Brunei di Borneo Utara kepada Kesultanan Sulu. Tuntutan Kesultanan Sulu terhadap Sabah merupakan satu pembohongan dan sandiwara licik bertaraf antarabangsa dan kita semua semesti tahu untuk menilai kisah yang diputar belitkan atau fakta yang sebenar.

Oleh yang demikian, sejarah mempunyai nilai dan kepentingan yang besar kepada individu, masyarakat dan negara. Himpunan masa lalu atau sejarah menjadi panduan dan pedoman kepada kita serta mengajar tentang cabaran dan kesukaran hidup. Kita hendaklah menyedari kenyataan kehidupan dan kemudian bertindak untuk mengatasinya. 

Oleh itu, masa lalu iaitu sejarah itu penting sebagai petunjuk kepada individu, masyarakat dan negara berkenaan untuk mengendalikan masa yang sedang dan akan dihadapinya dengan penuh keyakinan dan berkesan.

Di samping itu, Sejarah juga mengajar kita belajar dari kesilapan agar kesilapan itu tidak berulang lagi. Hal ini demikian kerana kesilapan yang berulang boleh menghancurkan kehidupan seseorang individu, masyarakat dan negara. 

Justeru itu, perancangan dan usaha yang jitu adalah perlu dilakukan bagi mengatasi serta keluar dari kemelut masa lampau. 

Walau bagaimanapun, perencanaan ini sentiasa tertakluk kepada Kekuasaan, Rahmat, serta Limpah Kurniaan daripada Yang Maha Berkuasa di samping usaha dan tawakal daripada manusia.

"Tidak ada yang baru di dunia ini kecuali sejarah yang tidak kamu ketahui".

Sumber :
  1. Arkib London
  2. CO/874 – 17, 18, 19 dan 20

Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

29 DISEMBER 1877 PELANTIKAN MAHARAJA SABAH


Saturday, 31 December 2022

29 DISEMBER 1877 PELANTIKAN MAHARAJA SABAH

29 Disember 1877 – Baron von Overbeck dilantik menjadi Maharaja Sabah dan Raja Gaya dan Sandakan dalam perjanjian yang ditandatangani oleh Sultan Abdul Momin dari Brunei. Baron von Overbeck juga seorang Konsul bagi Austria-Hungary di Hong Kong.

Pada Januari 1876, beliau membeli hak pajakan tanah dari pemilik Syarikat Perdagangan Amerika Borneo, Joseph William Torrey dengan harga $15,000. Pada tahun 1877, Baron von Overbeck telah ke Brunei untuk membuat perjanjian pajakan baru dengan Sultan Brunei, Sultan Abdul Momin.

Pelantikan

Sultan Abdul Momin kemudiannya telah melantik beliau menjadi Maharaja Sabah dan Raja Gaya dan Sandakan pada 29 Disember 1877. Baron von Overbeck bersama Alfred Dent kemudiannya menubuhkan the Dent & Co. (juga dikenali sebagai Dent & Overbeck Company / Overbeck & Co.).

Ketika Baron melakukan explorasi pengambilalihan hak wilayah dan sumber-sumber mineral di wilayah tersebut, beliau telah bertemu dengan Sultan Sulu, Sultan Jamalulazamdan. Satu lagi perjanjian ditandatangani dan beliau dilantik oleh pihak Sulu sebagai Raja Sandakan dan Dato Bendahara pada 22 Januari 1878.

Bayaran Pajakan

Duit pajakan wilayah Sabah yang dibayar oleh Baron von Overbeck kepada Sultan Brunei ialah $12,000 setahun dan $3,000 kepada Temenggong Brunei. Bayaran kepada Sultan Sulu pula ialah $5,000 setahun mengikut perjanjian Baron dengan Sultan Sulu pada 1878. Kawasan di bawah pentadbiran Overbeck meliputi keseluruhan Borneo Utara iaitu dari Teluk Kimanis di sebelah barat sehingga Sungai Seboekoe di sebelah timur.

Baron von Overbeck kemudian menjual kesemua haknya kepada Alfred Dent, pengasas Syarikat Borneo Utara British yang mentadbir Sabah (North Borneo) dari tahun 1882-1946. Selepas itu Syarikat Borneo Utara British menyerahkannya kepada Kerajaan British.

Sumber : Arkib Negara Malaysia


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

05 NOVEMBER 1884 SYARIKAT BORNEO UTARA BRITISH MELUASKAN PENGARUH DI SABAH


Sunday, 11 December 2022

09 DISEMBER 2013 MAJLIS PERASMIAN JAMBATAN PERSAHABATAN MALAYSIA - BRUNEI

 

Pada hari ini dalam tahun 2013, Majlis Perasmian Jambatan Persahabatan Malaysia–Brunei disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri dan DYMM Sultan Hassanal Bolkiah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam di Kampung Ujong Jalan, Temburong, Brunei. Jambatan ini menghubungkan pekan Limbang, Sarawak dan daerah Temburong, Brunei. Ia dimulakan dengan pemimpin kedua-dua negara menandatangani plak, diikuti pemotongan reben dan menyaksikan pergerakan kenderaan menyeberangi jambatan sebagai simbolik perasmian. 

Jambatan bebas tol sepanjang 189 meter dan 14 meter lebar itu dibina dengan kos pembinaan sebanyak RM21 juta dikongsi antara kerajaan Malaysia dan Brunei. Sesungguhnya, pembukaan jambatan tersebut memudahkan perjalanan antara bahagian Limbang, Sarawak dan Temburong, Brunei sekali gus merapatkan hubungan dua hala kedua-dua negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

https://www.facebook.com/701547676576843/posts/pfbid02EW6kd8sf5nifqqeDYL2EPC9M4ht2Dw2fWxzFhjbqjMeKtdL4aKq2iC8Ez6cMpTG8l/?mibextid=Nif5oz

Pautan artikel lain yang berkaitan :-

JAMBATAN KERETAPI SUNGAI BIDOR

https://normanhafizi.blogspot.com/2022/09/jambatan-keretapi-sungai-bidor.html

Wednesday, 16 November 2022

15 NOVEMBER 1984 ISTIADAT PERTABALAN SULTAN JOHOR SEBAGAI YDPA KE 8

 

Pada hari ini dalam tahun 1984, DYMM Seri Paduka Baginda Al-Mutawakkil Alallah, Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail dengan rasminya ditabal sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-8 dan Sultanah Hajah Zanariah sebagai Raja Permaisuri Agong, pada majlis bersejarah yang berlangsung di Balai Rong Seri Istana Negara. Istiadat melafaz sumpah dan menandatangani surat perisytiharan disaksikan oleh Raja-raja Melayu, Wakil Sultan Brunei, Kerabat-Kerabat Diraja, Yang Dipertua Negeri Sabah, Sarawak, Melaka dan Pulau Pinang, Perdana Menteri dan ahli jemaah menteri, para hakim dan jemputan-jemputan khas.

Istiadat pertabalan bermula dengan keberangkatan tiba Seri Paduka ke Balai Rong Seri dengan iringan nobat yang membawa lagu 'Raja Berangkat' oleh kumpulan Nobat DiRaja Kedah. Seruan 'Daulat Tuanku' bergema sebanyak tiga kali serentak dengan tembakan meriam 21 das dan persembahan lagu 'Negaraku' sebaik sahaja Seri Paduka Baginda menerima Keris Kerajaan dan kemudian membaca warkah ikrar. Pertabalan Sultan Iskandar Al-Haj sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-8 dibuat berdasarkan perlembagaan Malaysia yang mensyaratkan pemilihan seorang Raja yang memerintah secara perlembagaan selama 5 tahun.

Sesungguhnya dengan pertabalan Sultan Iskandar sebagai yang di-Pertuan Agong ke-8 merupakan satu kesinambungan kepada sistem yang telah diamalkan sejak negara mencapai kemerdekaan lagi.


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

18 SEPTEMBER 1989 ISTIADAT PERTABALAN SULTAN PERAK SEBAGAI YDPA KE 9


Sunday, 6 November 2022

05 NOVEMBER 1884 SYARIKAT BORNEO UTARA BRITISH MELUASKAN PENGARUH DI SABAH

 

5 November 1884 – Pada tahun 1884, Syarikat Borneo Utara British telah berjaya mengambil alih kawasan Sipitang hingga ke Kuala Penyu dari Kesultanan Brunei. Pengambilan kawasan ini termaktub di dalam Surat Penyerahan 1884. Borneo Utara atau dikenali dengan Sabah sekarang ini, adalah di bawah kuasa Sultan Brunei dan Syarikat Perdagangan Amerika (The America Trading Company) iaitu sejak dari tahun 1850.

Dalam tahun 1870-an, Syarikat Perdagangan Amerika telah menjadi muflis dan akhirnya syarikat itu telah dijual kepada seorang German, Gustav Baron von Overbeck dan seorang Inggeris, Alfred Dent. Mereka kemudiannya berjaya menubuhkan Syarikat Borneo Utara British dan memulakan penempatan di kawasan dari Sungai Sibuco hingga ke Paitan.

Dari tahun ke tahun Syarikat Borneo Utara British berkembang dan kawasannya bertambah luas dengan cara pembelian atau mendapat pengambilan kawasan dari Sultan Brunei. Tujuan utama Syarikat Borneo Utara British ini meluaskan kawasannya ialah untuk menyekat perluasan kawasan Charles Brooke dari Sarawak dan juga untuk mendapatkan kawasan pertanian yang subur. Di samping itu juga ialah untuk menghalang penentang-penentang Kompeni yang bersembunyi di daerah Brunei.

Pada tahun 1884, Syarikat Borneo Utara British berjaya mempengaruhi Kerajaan Inggeris dan telah dikurniakan sebuah Piagam.

Pada hari ini dalam tahun 1884 satu lagi kejayaan besar tercapai apabila Syarikat Borneo Utara British berjaya mendapatkan kawasan Sipitang hingga ke Kuala Penyu, yang terletak di Pantai Barat. Surat Penyerahan itu telah ditandatangani oleh Sultan Brunei, Sultan Abdul Momin, Pengiran di Gadong dan Pengiran Bendahara. Dengan termaktubnya Surat Penyerahan kawasan Sipitang hingga ke Kuala Penyu ini, Syarikat Borneo Utara British telah berjaya meluaskan kawasannya, iaitu keluasan negeri Sabah yang ada pada hari ini.

#hariinidalamsejarah



Pautan artikel lain yang berkaitan :-

01 NOVEMBER 1983 BANGUNAN MUZIUM NEGERI SABAH SIAP DIBINA


Sunday, 25 September 2022

24 SEPTEMBER 1841 TAMATNYA PENTADBIRAN PANGERAN MAHKOTA DI SARAWAK


JAMES BROOKE DILANTIK SEBAGAI RAJAH SARAWAK

24 September 1841 – Pada tahun 1941 James Brooke dilantik sebagai Rajah Sarawak oleh Pangeran Muda Hashim, wakil Sultan Brunei di satu perhimpunan ramai di bandar Kuching, Sarawak. Pada hari itu juga Pangeran Muda Hashim telah memberikan kepada James Brooke satu perjanjian mengenai pertukaran pemerintahan Sarawak kepada James Brooke.

Antara lain surat itu menyatakan bahawa Pangeran Muda Hashim menyerahkan kepada James Brooke pemerintahan Sarawak serta jajahan takluknya, hasil cukainya serta segala tanggung jawab pada masa yang akan datang.

James Brooke mengaku iaitu undang-undang dan adat istiadat orang Melayu di Sarawak hendaklah dihormati dan dipelihara selama-lamanya kerana negeri Sarawak itu adalah takluk Sultan Brunei, Pangeran Muda Hashim dan Raja-raja Melayu.

James Brooke Dilantik Sebagai Rajah Sarawak

Dengan pelantikan James Brooke sebagai Rajah Sarawak bermakna tamatlah pentadbiran Pangeran Mahkota di Sarawak. Pangeran Mahkota Muhammad Salleh adalah seorang pembesar Brunei yang direstui oleh Sultan Omar Ali Saifuddin II memerintah di Sarawak. Beliau adalah orang yang mula-mula membuka bandar Sarawak yang kemudian dinamakan Kuching.

Pada masa Pangeran Mahkota Muhammad Salleh memerintah di Sarawak, ia telah bertindak keras dan zalim terhadap orang-orang Melayu, Bidayuh dan Cina, yang diketuai oleh Datu Patinggi Ali.

Apabila James Brooke menjadi Rajah Sarawak beliau telah memecat Orang-orang Besar Brunei yang memegang jawatan kerajaan di Sarawak dan mengangkat ketua-ketua orang Melayu Sarawak memegang jawatan dalam kerajaan, iaitu Datu Patinggi Ali, Datu Temenggung Mersal, Datu Bandar Ranca, Muhammad Lana Ali, Abdul Ghafur dan Pangeran Matusin, yang menjadi tempat James Brooke mendapatkan nasihat mengenal pemerintahan Sarawak.

Oleh kerana James Brooke yang menjadi Rajah Sarawak itu hanya bertaraf sebagai Gabenor dengan kuatkuasa surat Perjanjian yang telah diperbuat dengan Pangeran Muda Hashim, dan negeri Sarawak masih takluk di bawah kuasai Sultan Brunei, maka pada bulan Julai 1842, la telah pergi ke Brunei dengan tujuan hendak mendapat pengesahan daripada baginda Sultan Brunei mengenai kuasanya di Sarawak.

Di Brunei, Brooke telah berunding dengan Sultan Omar Ali Saifuddin. Hasil daripada rundingan itu pada bulan Ogos 1842, baginda telah membuat perjanjian dengan James Brooke, yang antara lain menyebutkan bahawa Sultan Brunei menyerahkan negeri Sarawak serta segala cukai hasil negeri kepada James Brooke, dan James Brooke hendaklah membayar kepada Sultan Brunei tiap-tiap tahun wang sebanyak $ 2500.

Dengan itu James Brooke dilantik menjadi Rajah Sarawak dan mula berkuasa di Sarawak dengan rasminya maka bermulalah sejarah moden negeri Sarawak.


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

19 OGOS 1845 PERISTIWA PERTEMPURAN TENTERA INGGERIS DI MARUDU


Saturday, 20 August 2022

19 OGOS 1845 PERISTIWA PERTEMPURAN TENTERA INGGERIS DI MARUDU

Pada hari ini dalam tahun 1845, satu pertempuran telah berlaku di antara tentera Inggeris dengan tentera Syarif Uthman di Marudu, Sarawak. Syarif Uthman merupakan salah seorang pembesar di Borneo Utara yang memerintah Marudu. Beliau telah melengkapkan kawasan penguasaannya dengan beberapa buah kubu yang lengkap dengan senjata dalam menghadapi kedatangan James Brooke untuk menguasai Sarawak serta cuba mempengaruhi Sultan Brunei, Sultan Umar Ali Syarifuddin II dengan muslihat pentadbirannya. Syarif Uthman tidak suka campur tangan orang-orang Inggeris di Sarawak.

Penentangannya terhadap Inggeris ini bertambah hebat setelah mendapat sokongan dan bantuan daripada Syed Yusuf, Perdana Menteri, Sultan Brunei, yang juga bencikan cubaan campur tangan Inggeris ke atas kubu-kubu Brunei pada bulan Oktober 1844. Bimbang dengan keadaan ini, James Brooke mendapatkan bantuan pasukan tentera diketuai oleh Thomes Cochrane dari Singapura dan melancarkan serangan ke atas kubu Syarif Othman di Marudu, Sarawak.

#hariinidalamsejarah


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

31 JULAI 1849 PERANG BETING MARAU

Peristiwa Sejarah Perang Beting Marau di Sarawak

Sunday, 2 November 2014

Contohi dan ikutilah Brunei

Sinar Harian, 3 November 2014 

MINGGU lalu saya berada di Brunei, mengisi Majlis Ilmu 2014, undangan Jabatan Perdana Menteri Brunei, membentangkan kertas kerja bertajuk 'Manfaatkan Sains Martabatkan Islam'. 

Majlis tersebut dirasmikan oleh Sultan Brunei, bertemakan sains dan teknologi pemangkin pembangunan dan meningkatkan kualiti hidup ummah. 

Ucapan baginda sultan penuh dengan penegasan dalam melaksanakan Islam tanpa menolak kepentingan sains dan teknologi. Sains dan teknologi akan terus diperkasa menjadikan Brunei negara maju 2035. 

Selepas perasmian, Mufti Brunei memberi ucaptama dan sultan turut berada sama dan begitu khusyuk mendengar. Saya tersangat ingin perkara itu berlaku di Malaysia. 
Ucapan mufti begitu bernas dan tegas di hadapan pemimpin tertinggi negara itu. Sains dan teknologi mesti berpandukan iman dan takwa. 

Secara tegas dan berani ucapan itu dituju kepada pemimpin negara. Soal syurga, neraka dan balasan akhirat dibangkitkan jika pemimpin tidak melaksanakan tanggungjawabnya. 
Walaupun fokus utama mengenai kepentingan institusi sedekah, tetapi isinya tidak lari daripada mengingatkan pemimpin negara, secara terang dan berani.  

Apakah kita di sini ada keberanian seperti itu? Setakat yang saya lihat, tidak ramai kalangan kita yang berani menegur pemerintah, meskipun secara berhikmah. Yang banyak adalah ucapan memuji dan membodek pemimpin untuk kekal kuasa, dapat kuasa dan habuan yang lain. 

Bilakah negara kita ingin mencontohi Brunei? Semua pemimpinnya mahukan Islam, dan yakin dengan hukum ALLAH yang mesti ditegakkan. 

Saya akur, negara kita bukan Brunei. Bukan Islam hampir separuh. Tetapi, sekurang-kurangnya mulakanlah dengan melaksanakan cara hidup beragama, kalaupun tidak mahu nama Islam itu ditonjolkan. 

Misalnya, budaya dan tatacara berada di dalam pesawat. Berada di dalam Royal Brunei Airlines (RBA), seolah-olah begitu yakin berada di udara, ALLAH bersama kita. Dimulakan dengan bacaan doa dan ucapan salam yang begitu indah. 

Anak-anak kapal begitu bersopan dan manis sekali. Pakaiannya menutup aurat. Makanannya semua halal. Tidak ada arak dan benda haram yang lain. 

RBA tetap penuh dengan penumpang tempatan dan asing. Brunei terus menjadi tumpuan pelancong. Tidak timbul soal laksanakan Islam, pelancong lari dari Brunei. Semakin ramai ada. 

Inilah rahmat ALLAH yang mesti kita yakini. Apakah benar kata-kata jika arak tidak dihidangkan di dalam pesawat, pelancong akan lari. 

Bukankah pelancong sudah bermandikan arak di negara mereka sendiri? Paling saya bimbang, yang suka arak bukan pelancong, tetapi kita. 

Lagi pula, arak kita tidaklah sebaik arak mereka. Arak yang dihidangkan itu pun jenama negara mereka juga. 
Kenapa kita takut untuk melaksanakan nilai-nilai murni dan adab sopan beragama di dalam sebuah negara yang kita isytihar sebagai negara Islam? Benar, negara Brunei adalah hampir seratus peratus Islam. Maka mudahlah bagi mereka melaksanakan hukum Islam. 

Paling tidak pun mulakanlah dengan melaksanakan nilai-nilai agama. Saya amat yakin, semua nilai baik Islam sesuai dan akan diterima oleh agama lain. Pokoknya kita mesti ada keberanian. 

Malangnya dalam perkara sekecil adab-adab di dalam pesawat pun kita tidak pernah berasa untuk melaksanakannya. Apakah pengajaran MH17 dan MH370 masih belum cukup lagi? 
Ini belum termasuk isu-isu besar lain seperti zina, judi, hubungan sejenis, seks bebas, rasuah dan sebagainya. Saya tidak nafikan, hukuman itu telah ada. 

Tetapi perlaksanaan masih tidak mencukupi. Kita terlalu takut kepada gerakan hak asasi manusia. Kenapa hak ALLAH tidak mahu dijaga? Bukankah orang bukan Islam juga mahu berkongsi ALLAH? Jadi, apa masalah melaksanakan hak ALLAH? 

Contoh kecil lain, adab berpakaian sopan. Pergilah ke jabatan kerajaan yang selalu menjadi tumpuan, seperti Jabatan Pendaftaran Negara, imigresen, polis dan sebagainya. 

Mesti ada notis ditampal mengatakan adab berpakaian bila berurusan. Peliknya, kita masih melayan pelanggan yang memakai seluar sejengkal panjangnya, sehingga sudah nampak.... 

Justeru, nasihat saya, sebelum bala ALLAH menimpa, mulakanlah dengan melaksanakan nilai-nilai murni agama. Usah pedulikan mereka yang tidak mahu masuk syurga. Mereka ini tajaan barat untuk menghancurkan umat Islam di negara kita. 

Lakukanlah seperti apa yang Brunei lakukan. Baginda sultan tidak pernah ambil kisah apa masyarakat antarabangsa atau hak asasi manusia akan kata. Paling penting bagi baginda adalah mencari reda ALLAH dan mengelakkan azab-Nya yang amat pedih. Berhijrahlah sebelum terlambat.

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...