Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Showing posts with label Sultan Perak. Show all posts
Showing posts with label Sultan Perak. Show all posts

Saturday, 31 December 2022

31 DISEMBER 1883 TAMAT TEMPOH PEMBEBASAN HAMBA-HAMBA DI NEGERI PERAK

31 Disember 1883 – Pada hari ini dalam tahun 1883, tamatlah tempoh membebaskan hamba-hamba di negeri Perak. Mereka yang enggan mematuhi perintah itu akan didenda. Keputusan membebaskan hamba di negeri itu adalah dengan daya usaha Sir Hugh Low, Residen Inggeris di Perak.

Hugh Low dilantik menjadi Residen pada bulan April 1877. Sejak awal-awal lagi, beliau telah meminta pandangan Raja Yusuf, Raja Idris, Dato’ Temenggong, Sheikh Mat Taib dan ramai lagi pembesar-pembesar Perak mengenai perhambaan di negeri itu. Beliau telah mencadangkan enam perkara dan satu daripadanya menyebutkan bahawa di masa akan datang, apabila negeri Perak bertambah maju, kerajaan negeri akan menebus segala hutang yang ditanggung oleh hamba-hamba berpandukan syarat-syarat yang akan ditentukan oleh Majlis Mesyuarat Negeri yang akan dilantik kelak. Tanda-tanda keaiban dari sistem perhambaan di Perak akan dihapuskan.

Pelaksanaan Dan Tempoh Membebaskan Hamba

Dalam tahun 1878, Raja Yusuf telah bertindak atas arahan Sir Hugh Low supaya semua hamba-hamba didaftarkan. Dalam soal perhambaan ini Sir Hugh Low amatlah tegas. Raja Idris, Datuk Raja Mahkota dan Orang Kaya Temenggung telah tidak berjaya untuk mendapatkan lanjutan masa hingga kepada tahun 1884 sebelum hamba-hamba dihapuskan di Perak. Walau bagaimanapun beliau tetap mencadangkan supaya 31 Disember 1883, sebagai tarikh hamba-hamba ini dibebaskan.

Raja Idris dan lain-lain pembesar akhirnya bersetuju dengan beberapa resolusi antaranya adalah memberikan ganti rugi kepada tuan-tuan punya hamba mengikut kadar syarat-syarat pembebasan hamba dengan bayaran maksimum sebanyak $30.00 untuk hamba lelaki dan hamba berhutang serta $60.00 untuk hamba perempuan.

Dalam jangka masa antara Oktober 1882 hingga 31 Disember 1883 iaitu tarikh resolusi diluluskan oleh Majlis dan tarikh hamba-hamba dibebaskan, semua hamba-hamba tetap berkhidmat dengan tuan-tuan ataupun membayar daripada jumlah kadar syarat-syarat pembebasan hamba yang perlu dibayar oleh kerajaan negeri mengikut kadar maksimum $15.00 untuk hamba lelaki dan $30.00 untuk hamba perempuan. Di dalam masa peralihan itu juga semua hamba-hamba akan didaftarkan dan dipindahkan daripada tuan punya hamba.

#hariinidalamsejarah #arkibnegara


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

27th JULY 1877 : REGENT OF PERAK

Selepas Peristiwa Pembunuhan J.W.W. Birch, Raja Yusuf dilantik sebagai Pemangku Sultan Perak ataupun dalam Bahasa Inggerisnya ialah 'Regent'

30 DISEMBER 1873 PERJUANGAN RAJA ABDULLAH MENUNTUT TAKHTA KERAJAAN PERAK

 

Raja Abdullah

30 Disember 1873 – Pada tahun 1873, Raja Abdullah telah menghantar sepucuk surat kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat, Sir Andrew Clarke meminta Inggeris menyiasat Hal Ehwal Perak. Surat yang ditandatangani oleh baginda itu juga meminta Gabenor memulihkan keamanan negeri Perak dan membenarkan Perak berlindung di bawah naungan Inggeris. Ini kerana sebelum ini Inggeris tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk campur tangan di Negeri-Negeri Melayu.

Sebenarnya surat Raja Abdullah itu dirangka oleh J.G.Davidson, seorang peguam dan Tan Kim Cheng, seorang saudagar yang menyokong perjuangan Raja Abdullah menuntut takhta kerajaan Perak. Berdasarkan surat yang dihantar oleh Raja Abdullah ini, Clarke mengambil keputusan untuk bertindak. Beliau mengarahkan W.A Pickering menjemput pembesar-pembesar Perak menemuinya di Pulau Pangkor. Namun begitu, mereka tidak diberitahu sebabnya.

Pada hari yang ditetapkan, pembesar-pembesar Perak dari Hilir Perak tiba di Pulau Pangkor. Raja Abdullah juga turut hadir, tetapi Raja Yusuf dan Sultan Ismail tidak hadir. Dengan itu, mereka tidak dapat mempertahankan kepentingan masing-masing.

Berikutan dengan perjumpaan yang diadakan ini, akhirnya Perjanjian Pangkor ditandatangani di mana Raja Abdullah diakui sebagai Sultan. Sesungguhnya, surat Raja Abdullah yang dihantar pada hari ini dalam tahun 1873, telah membawa kepada bermulanya campur tangan Inggeris secara langsung di Perak.


Sir Andrew Clarke

https://www.facebook.com/701547676576843/posts/pfbid02Lv5dmY8ewRQPE6AiRoA1edozaHWaxPnUX2KGhvsX4Ag27DkZ7AjVM2MAFw3ZgJuUl/?mibextid=Nif5oz

Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

19 DISEMBER 1956 SULTAN PERAK MEMANSUHKAN JAWATAN PENASIHAT BRITISH

https://normanhafizi.blogspot.com/2022/12/19-disember-1956-sultan-perak.html

Friday, 23 December 2022

19 DISEMBER 1956 SULTAN PERAK MEMANSUHKAN JAWATAN PENASIHAT BRITISH

19 Disember 1956 – Pada tahun 1956, DYMM Sultan Perak, Raja Sir Yusuf ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil telah menandatangani dua dokumen yang memansuhkan jawatan Penasihat British di Perak. Upacara tersebut berlangsung di Istana Iskandariah Kuala Kangsar. Kedua-dua dokumen itu ialah mengenai pindaan-pindaan kepada Perlembagaan Negeri Perak dan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu.

Perak merupakan negeri pertama di Tanah Melayu menerima seorang pegawai British sebagai penasihat kerajaan. Penasihat yang dikenali sebagai Residen itu mempunyai kuasa pentadbiran yang lebih besar daripada Sultan sendiri. Bidang kuasa Sultan terhad pada hal-hal Agama Islam dan adat istiadat Melayu sahaja.

Pegawai British yang dikenali sebagai Residen British itu dilantik melalui Perjanjian Pangkor yang ditandatangani oleh Sultan Abdullah ibni Almarhum Sultan Jaafar pada 20 Januari 1874. Jawatan Residen itu kekal sehinggalah tamat Perang Dunia Kedua (1945) apabila ia ditukarkan kepada Penasihat British.

Pada hari ini dalam tahun 1956 jawatan Penasihat British di Perak telah dimansuhkan. Dengan itu tamatlah sejarah campurtangan pegawai British secara langsung selama 82 tahun dalam pentadbiran negeri Perak yang bermula pada tahun 1874 dengan J.W.W. Birch sebagai Residen British yang pertama dan berakhir pada tahun 1956 dengan Dato’ I.W. Blelloch, Penasihat British


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

15 DISEMBER 1653 PERJANJIAN PERDAGANGAN BELANDA DENGAN SULTAN PERAK


Monday, 19 December 2022

15 DISEMBER 1653 PERJANJIAN PERDAGANGAN BELANDA DENGAN SULTAN PERAK

15 Disember 1653 – Pada tahun 1653, satu Perjanjian Perdagangan di antara Belanda yang diwakili oleh Joan Truijtman dengan Sultan Perak, Sultan Mahmud Iskandar Shah telah ditandatangani. Perjanjian Perdagangan di antara Belanda dengan Sultan Perak pernah dibuat sebelum ini oleh Almarhum Sultan Muzaffar Shah II dalam tahun 1650. Perjanjian ini dibuat ketika negeri Perak masih lagi diawasi oleh pihak Belanda.

Pihak Belanda telah menuntut gantirugi daripada Sultan Mahmud Iskandar Shah kerana dalam tahun 1651, semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Shah II, orang-orang Perak telah membinasakan loji-loji Belanda di Kuala Perak. Perjanjian ini juga menyatakan bahawa hanya pihak Belanda sahaja dibenarkan membeli bijih timah di Perak.

Walaubagaimanapun orang-orang Perak tidak pernah menepati perjanjian tersebut. Mereka masih menjual bijih timah kepada saudagar-saudagar bangsa lain dengan mendapat harga yang lebih tinggi. Keadaan ini menyebabkan perniagaan Belanda terganggu dan merosot. Pihak Belanda terpaksa meninggalkan loji-loji perniagaan mereka di Kuala Perak dan seterusnya telah menyekat dan mengepung Kuala-kuala sungai dan perairan laut di sepanjang pantai Perak dengan tujuan untuk menyekat saudagar-saudagar bangsa lain datang membeli bijih timah di Perak.

Semasa pemerintahan Sultan Mahmud Shah juga orang-orang Belanda telah menduduki Pulau Pangkor dan membina sebuah kota di Teluk Gedung bertentangan dengan pantai Teluk Muruk. Pihak Belanda berharap dengan adanya kota yang kuat mereka akan dapat mengawal urusan perniagaan di perairan Perak. Tetapi dalam tahun 1690 orang-orang Perak dengan diketuai oleh Panglima Kulub telah menyerang kota Belanda di Teluk Gedung dan berjaya mengusir orang-orang Belanda dari kota tersebut.

Perjanjian demi perjanjian diadakan di antara Belanda dengan negeri Perak, tetapi orang-orang Perak masih enggan mematuhi syarat-syarat yang terkandung di dalam perjanjian-perjanjian tersebut. Begitu juga dengan perjanjian perdagangan di antara Belanda dengan Sultan Mahmud Shah yang ditandatangani pada hari ini dalam tahun 1653 juga tidak mendatangkan apa-apa faedah.


------------------------------------------------------------------------------

Arkib : 05 Oktober 2021

Kisah-kisah mengake oleh orang Perak lagi...

Pada tahun 1639, Belanda telah membina sebuah loji bijih di Tanjung Putus (suka hati mak bapak dia) tetapi ini segera dimusnahkan oleh orang Melayu Perak. Belanda amatlah marah tetapi ada sebab dia tak boleh terus berperang dengan Perak. Maka dia cari akal menggunakan 'ilmu ghaib penjajah' yang dia ada.

Maka dia jumpalah si Acheh, yang masih anggap dirinya masih relevan sebagai 'abang besar' negeri-negeri Melayu.

Maka, pada 15 Disember 1653, Belanda dan Acheh bersama-sama membuat perjanjian dengan Perak dan syaratnya adalah :
  1. Perak tidak boleh menjual bijih timah kepada orang asing, baik Eropah atau India, tetapi hanya kepada Acheh dan Belanda.
  2. Perak akan menyediakan tapak untuk pembinaan loji (baharu) tersebut.
  3. Perak akan membayar pampasan kepada Belanda bagi loji yang dimusnahkan orang Perak. 
Belanda menyangka, dengan menggunakan pengaruh Acheh ke atas negeri-negeri Melayu maka Perak akan tunduk. Tapi Belanda salah, orang Perak kuat mengake.

Perjanjian ini tidak pernah dipatuhi oleh Perak. Orang Perak masih menjual bijih timah kepada saudagar-saudagar bangsa lain dengan mendapat harga yang lebih tinggi. Bijih timah diseludup keluar tanpa pengetahuan Belanda. Keadaan ini menyebabkan perniagaan Belanda terganggu dan merosot. Pihak Belanda terpaksa meninggalkan loji-loji perniagaan mereka di Kuala Perak sebab tak tahan menanggung kerugian. 

Belanda pelik, kenapa Acheh tak bertindak? Sebenarnya Belanda dah ketinggalan isu-isu semasa di Selat Melaka. Acheh ketika itu sudah tidak kuat lagi seperti dulu menjelangnya era 'pemerintahan ratu-ratu'. Maka ini diambil kesempatan oleh orang-orang Perak untuk mempermainkan Belanda.

Belanda merasa terciduk dengan situasi ini dan apa yang mampu dilakukan hanyalah menyekat dan mengepung kuala-kuala sungai dan perairan laut di sepanjang pantai Perak dengan tujuan untuk menyekat saudagar-saudagar bangsa lain datang membeli bijih timah di Perak. 

Masih gagal menekan Perak, akhirnya pada tahun 1663 Belanda mengambil keputusan membina 'pengkalan tentera' di Pulau Pangkor bagi menghukum Perak yang berani mempermain-mainkannya.

Tetapi dalam tahun 1690 orang-orang Perak dengan diketuai oleh Panglima Kulub telah menyerang kota Belanda tersebut dan berjaya mengusir orang-orang Belanda dari kota tersebut.

Kira-kira dua abad selepas itu, Belanda telah menjajah Acheh dan menghapuskan Kesultanan Acheh setelah kalah perang. Ini berbeza dengan Kesultanan Perak yang masih wujud walau kalah perang dengan Inggeris. Saya pernah cerita tentang Sultan Idris I 'mengake' Inggeris dulu.

Pada tahun 2020, dilaporkan terdapatnya orang Acheh yang menyeludup rokok ke Selangor, berbeza dengan orang Perak yang menyeludup bijih timah ke Acheh dahulu.

~SK
maharani kinta


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

20 NOVEMBER 1745 PEMBINAAN SEMULA KOTA BELANDA DI PULAU PANGKOR


Saturday, 3 December 2022

29 NOVEMBER 1922 PERASMIAN PEMBUKAAN MPSI TANJUNG MALIM PERAK

 

29 November 1922 – Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI), Tanjung Malim telah dirasmikan pembukaannya oleh Ketua Setiausaha bagi Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu, W.G. Maxwell pada tahun 1922. Pembukaan Maktab Perguruan Sultan Idris merupakan puncak pelajaran anak-anak Melayu ketika itu, terutama bagi pelajar-pelajar lepasan sekolah-sekolah Melayu yang tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran yang lebih tinggi dari setakat darjah enam. Keputusan untuk menubuhkan Maktab ini dibuat dalam Mesyuarat Residen-residen British pada 10 Mei 1917.

Keputusan tersebut diambil berdasarkan laporan mengenai perkara itu yang dicadangkan oleh Penolong Pengarah Pelajaran Negeri-negeri Selat dan Negeri-negcri Melayu Bersekutu, R.O. Winstedt. Beliau juga mencadangkan maktab ini diberi nama Maktab Perguruan Sultan Idris, sebagai satu penghormatan kepada DYMM Sultan Idris, iaitu Sultan Perak kerana minat yang ditunjukkan oleh Baginda dalam perkembangan pelajaran di negeri itu khususnya bagi pelajaran anak-anak Melayu.

Kerja-kerja membina maktab ini bermula dalam tahun 1919 dan siap pada tahun 1922. Sekumpulan 120 orang telah menjadi pelajar perintis maktab ini. Pengetuanya yang pertama ialah O.T. Dussek dan tenaga pengajar lain terdiri daripada tujuh orang guru Melayu, tiga orang Eropah dan seorang guru anyaman berbangsa Filipina. Tujuan utama penubuhan maktab ini ialah untuk menyediakan guru-guru yang dapat memajukan bidang pertanian, pertukangan dan anyaman apabila mereka pulang ke kampung. Pelajaran pertanian asas merupakan matapelajaran utama.

Walau bagaimanapun, pelatih-pelatih lepasan MPSI telah mencapai kejayaan lebih jauh dari matlamat penubuhannya. Pengaruh buku-buku Indonesia dan Sejarah Alam Melayu yang terdapat di maktab itu telah menanam bibit-bibit kesedaran kebangsaan di kalangan beberapa orang pelajar hingga melahirkan tokoh-tokoh politik yang terkemuka seperti Ibrahim Yaakub, Senu Abdul Rahman, Abdul Ghaffar Baba, Abdul Rahman Talib dan lain-lain lagi.

Di samping tokoh-tokoh politik, MPSI juga telah melahirkan sasterawan terkenal tanahair dan juga tokoh-tokoh dalam bidang pendidikan seperti Harun Aminurrashid, Abdullah Sidik, Masuri, S.N. Kemala, A. Wahab Ali, Awang Had Salleh dan Atan Long.

Jabatan Karang-Mengarang yang ditubuhkan di maktab tersebut dalam tahun 1925, membantu melahirkan tokoh-tokoh berkenaan khususnya di bidang kesusasteraan. Jabatan ini bergiat cergas menerbitkan berbagai-bagai jenis buku pelajaran, buku-buku terjemahan dan karya asli pelajar-pelajar sendiri. MPSI terus berkembang dari semasa ke semasa mengikut peredaran zaman. la kini membuka pintunya kepada pelajar-pelajar perempuan, memecahkan tradisi lama maktab yang hanya mengambil pelajar lelaki.

#UPSI #PENDIDIK


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

19 NOVEMBER 1952 PENUBUHAN MAKTAB PERGURUAN KOTA BHARU


Friday, 2 December 2022

27 NOVEMBER 1993 ANUGERAH SENI NEGARA

 

Pada hari  ini  dalam  tahun  1993,  DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Al-Marhum Sultan Yussuf Izzuddin Shah berkenan menyampaikan Anugerah Seni Negara (ASN) kepada kepada penggiat, karyawan dan seniman yang telah memperlihatkan ketokohan dan sumbangan yang cemerlang dalam perkembangan seni tanah air. Majlis pengurniaan anugerah yang berlangsung di Dewan Banquet, Parlimen, mencatat sejarah apabila seorang dalang wayang kulit, dipilih sebagai penerima pertama anugerah ini.

Hamzah Awang Amat atau lebih dikenali sebagai Tok Dalang Hamzah, dipilih untuk menerima anugerah ini berdasarkan kecemerlangannya mengharumkan nama negara dalam genre wayang kulit hingga ke peringkat antarabangsa di samping kewibawaannya menghasilkan karya yang kreatif dan bermutu. Anugerah Seni Negara mampu mendorong serta menyedarkan masyarakat tentang peri penting warisan seni bangsa negara untuk terus dipelihara.


#hariinidalamsejarah #arkibnegara


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

16 NOVEMBER 1986 PERASMIAN MUZIUM DIRAJA PERAK


Saturday, 26 November 2022

ORANG KAYA MENTERI LARUT

 

NGAH IBRAHIM DIANUGERAHKAN GELARAN ORANG KAYA MENTERI LARUT

Daerah Larut di Perak adalah di bawah pemerintahan Long Jaafar sehinggalah beliau meninggal dunia pada 1858. Beliau telah digantikan oleh anaknya Ngah Ibrahim dan telah mendapat restu daripada Baginda Sultan Perak. Ngah Ibrahim telah meneruskan pentadbiran sebagai Orang Besar Jajahan iaitu wakil Sultan Perak.

Bagi mengukuhkan  kedudukannya, bersamaan dgn hari ini, pada 23 Oktober 1863, Ngah Ibrahim bin Long Jaafar telah dianugerahkan gelaran Orang Kaya Menteri Larut oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Jaafar Muazzam Shah. Penganugerahan gelaran tersebut adalah juga sebagai mengenang jasa dan perkhidmatan cemerlang beliau kepada baginda sultan dan terhadap perkembangan serta kemajuan perusahaan melombong bijih timah di daerah Larut.


Kawasan ini menjadi tumpuan pelombong-pelombong Cina. Pada awal tahun 1860 ramai pekerja lombong Cina dari Negeri-negeri Selat datang berhijrah ke daerah Larut untuk melombong bijih dan membawa dua kumpulan kongsi gelap, Ghee Hin dan Hai San.

Dalam tahun 1862, sekumpulan orang-orang Kongsi Ghee Hin dari Klian Baharu, seramai 14 orang telah pergi ke Klian Pauh iaitu kawasan Kongsi Hai San kerana hendak bermain judi yang akhirnya mengakibatkan berlakunya pergaduhan. Ngah Ibrahim sebagai Orang Besar Jajahan bertanggungjawab menjaga keamanan daerah Larut telah menjalankan siasatan dan mendapati kumpulan Ghee Hin bertanggungjawab mencetuskan pergaduhan itu. Ketua kumpulan itu, So Ah Chong telah dihukum bunuh.

Orang-orang Ghee Hin tidak berpuas hati dengan tindakan Ngah Ibrahim Ialu mengadu kepada Kolonel Cavenangh, Gabenor Inggeris Negeri-negeri Selat. Tanpa siasatan rapi Cavenagh menuntut bayaran gantirugi daripada Sultan Perak kerana wakil baginda membunuh Ketua Kumpulan Ghee Hin, seorang rakyat British. Ngah Ibrahim yang bertanggungjawab dalam kes itu bersedia membayar gantirugi kepada Gabenor Inggeris bagi pihak Sultan Perak dengan syarat baginda sultan bersetuju menganugerahkannya gelaran yang berpadanan dengan bayaran gantirugi sebanyak $17,447.04.

Sebagai ganjaran di atas khidmat beliau itu serta kecekapannya mengendalikan perusahaan lombong di Larut, pada hari ini dalam tahun 1863, Sultan Perak telah berkenan menganugerahkan gelaran Orang Kaya Menteri Larut kepada Ngah Ibrahim. Penganugerahan itu telah meletakkan Ngah Ibrahim sebagai orang yang berkuasa penuh di Larut. Ngah Ibrahim bebas membuat perhubungan dengan mana-mana kuasa luar tanpa persetujuan dan kebenaran Sultan Perak.

Melalui kurniaan tersebit, Ngah Ibrahim memperoleh kuasa mentadbir Larut yang merangkumi kawasan Krian, Kuala Beruas dan Bukit Berapit. Walau bagaimanapun pada 31 Mac 1864, Sultan telah membuat kurniaan baru dikeluarkan yang telah mengecilkan kawasan tadbir Ngah Ibrahim hanya meliputi dari Larut ke Krian dan Bagan Tiang.

Beliau telah membina jalan dari Matang ke Kelian Pauh serta masjid dan juga sebuah banglo di Pulau Pinang (Jalan Mantri). Beliau memiliki kapal perang berkuasa wap yang ditempah dari England iaitu S.S Indera Bayu dan S.S Bahtera Bayu serta pasukan polis terdiri daripada 110 orang yang diketuai oleh Kapten Speedy. Pasukan polis ini turut dilengkapi beberapa pucuk meriam Krupps buatan Jerman.

Bagaimanapun setelah termeterainya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874, kuasa mutlak Ngah Ibrahim terhadap daerah Larut telah dinafikan oleh pentadbiran Inggeris sebaliknya mengekalkan gelaran.


Sumber : Arkib Negara Malaysia & Histourism - History & Tourism


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

24 OKTOBER 1863 ORANG KAYA MENTERI PADUKA TUAN NGAH IBRAHIM


20 NOVEMBER 1745 PEMBINAAN SEMULA KOTA BELANDA DI PULAU PANGKOR

20 November 1745 – Pada tahun 1745, Kota Belanda di Pulau Pangkor telah di bina semula. Pada peringkat awal, pedagang Perak telah menjalankan perdagangan dengan pedagang-pedagang lain secara senyap dengan menawarkan harga yang lebih baik. Perkara ini telah menimbulkan kemarahan Syarikat Belanda.

Beberapa serangan telah dibuat oleh orang-orang Melayu terhadap kota ini atas sebab tidak puas hati dengan kekerasan orang-orang Belanda. Akhirnya, serangan oleh Panglima Kulup Ali telah memusnahkan kota tersebut. Peluang untuk bertapak semula terbuka apabila keadaan politik negeri Perak yang bergolak akibat perebutan kuasa dan kawasan bijih timah. Orang-orang Belanda berjaya mendapatkan monopoli perdagangan bijih timah tersebut.

Bagi menjaga kepentingan dan keselamatan orang Belanda dan hasil bijihnya sebuah Kota Belanda telah didirikan di Pulau Pangkor pada tahun 1670. Kota tersebut telah musnah diserang oleh sekumpulan pahlawan-pahlawan Melayu yang diketuai oleh Panglima Kulup Ali pada tahun 1690 dan askar-askar Belanda telah melarikan diri ke tempat lain. Berikutan serangan pahlawan-pahlawan Melayu, Kota Belanda berjaya dibina semula di bawah kuasa Negeri Perak.



Pautan artikel lain yang berkaitan :-

09 NOVEMBER 1634 KAPAL PERANG BELANDA MENGHALANG ANGKATAN PERANG JOHOR-PAHANG


Wednesday, 23 November 2022

02 NOVEMBER 1875 PERISTIWA PEMBUNUHAN J.W.W. BIRCH DI PASIR SALAK

Hari ini (02 November 2021) 146 tahun yang lalu, Residen British Perak, J.W.W. Birch mati dibunuh di Pasir Salak. 

Perang Larut & kemelut pewarisan takhta Perak mendorong Sultan Abdullah meminta bantuan British untuk menyelesaikan dua masalah yang sedang meruncing itu, membawa kepada termeterainya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874.

Mengikut perjanjian itu, kerajaan Perak perlu menerima seorang penasihat British yang mesti diikuti ‘nasihatnya’, maka British melantik James Wheeler Woodford Birch sebagai Residen Perak yang pertama pada 14 Disember tahun itu. 

Tidak menyantuni budaya & adat setempat, Birch mahu menghapuskan amalan tradisi pentadbiran Perak & menggantikannya dengan sistem percukaian British yang hanya akan dipungut oleh para pegawainya. 

Pertentangan syarat dalam Perjanjian Pangkor ini dilihat menghakis kuasa Sultan & keangkuhan serta kekerasan Birch menindas orang tempatan membangkitkan kemarahan para pembesar tempatan, diketuai oleh Datuk Maharajalela. 

Maka beliau bersama Datuk Sagor, Laksamana Mohamad Amin, Pandak Indut, Ngah Ibrahim & pengikut mereka bermesyuarat di Durian Sebatang, merangka komplot untuk membunuh Birch semasa dia turun ke Pasir Salak pada 1 November 1875. 

Keesokan harinya, ketika Birch sedang mandi di atas rumah rakitnya SS Dragon yang berlabuh di Sungai Perak, serangan dilancarkan bermula dengan membunuh orang suruhannya, Mat Arshad. Kemudian mereka merejam Birch dengan lembing lalu dia jatuh ke sungai. 

Birch timbul semula di belakang rumah rakit itu, namun ditikam dengan lembing oleh Setuah sebelum Siputum menetak kepala & tengkuknya. Mayatnya dibiarkan hanyut sebelum ditemukan oleh Dein Patundo 200 ela kemudian. 

Susulan itu, British memburu semua mereka yang terlibat, ditangkap & dibicarakan. Seputum, Datuk Maharajalela, Datuk Sagor & Pandak Indut dijatuhkan hukuman gantung sampai mati, sementara Sultan Abdullah pula dibuang negeri ke Seychelles.

Sumber: Arkib Negara Malaysia, Orang Perak, The Patriots Asia

#PeristiwaHariIni


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

15 NOVEMBER 1875 PASIR SALAK TELAH DIKUASAI OLEH INGGERIS


Wednesday, 16 November 2022

16 NOVEMBER 1986 PERASMIAN MUZIUM DIRAJA PERAK

Pada hari ini dalam tahun 1986, Muzium Di Raja Perak dirasmikan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Muhibbuddin Shah ibni Almarhum Sultan Yussuf Izzuddin Ghafarullahu-lahu Shah di Kuala Kangsar. Muzium ini dahulunya dikenali dengan nama Istana Kenangan, terletak berhampiran dengan Istana Iskandariah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar, Perak. Muzium ini merupakan Muzium Diraja yang pertama di negara ini, mempamerkan pelbagai bahan bersejarah yang menggambarkan ciri-ciri pemerintahan beraja di negeri Perak.

Balai Gambang iaitu kenderaan khas yang digunakan ketika mencecah air di Sungai Perak dalam setiap upacara pertabalan sultan turut dipamerkan. Satu lagi monumen sejarah dibuka untuk mendekatkan pengkaji sejarah dan generasi masa kini dengan sejarah kegemilangan pemerintahan raja-raja negeri Perak secara mendalam di samping menjadi satu mercu tanda pelancongan di negeri Perak.


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

21 OKTOBER 1976 PERASMIAN MUZIUM SULTAN ABU BAKAR DI PEKAN PAHANG


15 NOVEMBER 1875 PASIR SALAK TELAH DIKUASAI OLEH INGGERIS

15 November 1875 – Pada tahun 1875, Pasir Salak telah diserang dan dikuasai oleh angkatan tentera Inggeris. Serangan yang menyebabkan Pasir Salak dikuasai oleh Inggeris ini dilakukan sebagai tindakbalas Inggeris terhadap Sultan dan Pembesar-pembesar Melayu Perak bersabit dengan pembunuhan Residen Pertama Inggeris di Perak, J.W.W. Birch.

Melalui Perjanjian Pangkor yang telah ditandatangani oleh Sultan Abdullah dengan Gabenor Negeri-negeri Selat Sir Andrew Clarke, pada 20 Januari 1874 Negeri Perak terpaksa menerima seorang Residen Inggeris. Fungsi Residen Inggeris adalah sebagai penasihat kepada semua perkara pentadbiran negeri itu kecuali hal-hal berkaitan dengan hal-ehwal agama Islam dan adat istiadat Melayu Perak.

Setiausaha Tanah Jajahan Inggeris di Singapura J. W. W. Birch telah dilantik menjadi Residen Inggeris yang pertama bagi negeri Perak. Perlantikan Birch sebenarnya tidak diperkenankan oleh Sultan Abdullah memandangkan Birch tidak boleh bertutur bahasa Melayu, jahil mengenai adat istiadat Melayu dan sikapnya memandang rendah akan kebolehan sultan dan pembesar-pembesar tempatan mentadbirkan negeri. Sikap Birch itu menyinggung perasaan sultan dan para pembesar negeri.

Tindakan pertama Birch ialah mengubahsuaikan adat istiadat Melayu dan menjadikan negeri Perak seperti tanah-tanah jajahan Inggeris di Negeri-negeri Selat yang mendatangkan banyak hasil kewangan bagi penjajah Inggeris. Dalam usaha melaksanakan sistem pungutan dan kawalan cukai, Birch bersama rombongan mudik ke hilir Sungai Perak untuk mengisytiharkan bahawa pungutan cukai hanya boleh dijalankan oleh pemungut-pemungut yang dilantik oleh Residen Inggeris.

Tindakan sedemikian telah ditentang oleh Datuk Maharaja Lela di Pasir Salak juga oleh sultan sendiri. Akibatnya pada waktu subuh 2 November 1875, Birch diserang dan dibunuh. Pembunuhan Birch telah menggemparkan pegawai-pegawai Inggeris di Perak dan di Negeri-negeri Selat. Mereka menganggap peristiwa itu sebagai kebangkitan rakyat Melayu menentang penjajahan Inggeris.

Pada 7 November 1875, Inggeris telah menghimpunkan satu angkatan tentera yang besar lalu menyerang Pasir Salak. Serangan Inggeris itu dapat dipatahkan oleh perwira-perwira Melayu yang dipimpin oleh Datuk Maharaja Lela. Dalam pertempuran itu Kapten Innes pemerintah pasukan Inggeris dan dua orang askarnya telah terkorban.

Menyedari akan tentangan orang-orang Melayu begitu hebat, pihak berkuasa Inggeris di Negeri-negeri Selat meminta bantuan tentera dari India dan Hong Kong untuk melancarkan serangan kedua dengan menggunakan kapal perang dan askar-askar yang lengkap dengan senjata. Oleh kerana Inggeris mempunyai angkatan perang yang besar dan alat senjata moden berbanding dengan senjata keris, lembing dan pedang orang-orang Melayu, maka tidak hairanlah pada hari ini dalam tahun 1875, Pasir Salak telah dikuasai oleh Inggeris.

Pembunuhan Birch ini telah memberi peluang keemasan penjajahan Inggeris menjadikan alasan utamanya mencerobohi dan menakluki negeri Perak serta menggunakan kekerasan tentera.


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

12 OKTOBER 1875 PENYERAHAN KUASA PENTADBIRAN NEGERI PERAK KEPADA INGGERIS


Tuesday, 8 November 2022

07 NOVEMBER 1960 PERASMIAN RANCANGAN BEKALAN AIR DI PARIT PERAK

 

Pada hari ini dalam tahun 1960, Sultan Perak, Sultan Yusuf Izzuddin Shah ibni Almarhum Sultan Abdul Jalil Karamallah Nasiruddin Mukhataram Shah Radzillah, telah merasmikan Rancangan Bekalan Air di Parit, Perak. Rancangan ini bertujuan memberi kemudahan kepada penduduk setempat terutamanya bagi menjalankan penanaman padi tanpa gangguan musim kemarau dan bekalan air yang tidak stabil. Rancangan ini merupakan salah satu daripada rancangan Kerajaan Persekutuan Negeri Perak ke arah memajukan sektor penanaman padi.

Menteri Kerja Raya Persekutuan, Datuk V.T Sambathan, Menteri Besar Perak, Exco-exco Kerajaan negeri dan pegawai-pegawai turut hadir di majlis perasmian ini. Perkembangan dan usaha-usaha daripada Rancangan Bekalan Air ini menampakan hasil apabila peningkatan pengeluaran padi yang lebih banyak dan berkualiti selain dapat menambahkan pendapatan kepada para petani tempatan.

#perak #hariinidalamsejarah


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

06 NOVEMBER 1814 SULTAN PERAK MENYELAMATKAN KEDAH & PERAK DARIPADA DISERANG SIAM


06 NOVEMBER 1814 SULTAN PERAK MENYELAMATKAN KEDAH & PERAK DARIPADA DISERANG SIAM

Pada hari ini dalam tahun 1814, Sultan Mansur dari Perak, mengutus surat kepada Sultan Ahmad Tajudin di Kedah, menyatakan bahawa negeri Perak tidak akan tunduk kepada desakan Negeri Siam. Sultan Mansur juga mencadangkan negeri Perak dan Kedah supaya bergabung tenaga bagi menentang ancaman siam. Cadangan itu ditolak oleh Sultan Ahmad Tajudin kerana angkatan tentera Siam itu amat sukar untuk ditewaskan. Sultan Ahmad Tajudin mengutus Seri Raja Lela ke Negeri Perak untuk memujuk Sultan Mansur supaya menghantar Bunga Emas dan Perak ke Negeri Siam.

Perutusan Sultan Tajudin gagal mengadap Sultan Mansur kerana Baginda menaruh syak wasangka terhadap Sultan Ahmad Tajudin selepas Perak gagal merampas daerah Kerian dari Kedah. Namun pada 15 Mei 1815, Sultan Mansur bersetuju menghantar Bunga Emas dan Perak kepada Raja Siam. Keputusan Sultan Mansur ini dapat menyelamatkan Negeri Kedah dan Perak daripada diserang oleh Negeri Siam.


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

24 OKTOBER 1949 PERASMIAN PENUBUHAN MAJLIS AGAMA & ADAT MELAYU NEGERI PERAK DI IPOH


Sunday, 6 November 2022

05 NOVEMBER 1873 PELANTIKAN ANDREW CLARKE SEBAGAI GABENOR NEGERI-NEGERI SELAT

Pada hari ini dalam tahun 1873, Sir Andrew Clarke dilantik sebagai Gabenor Negeri-Negeri Selat bagi menggantikan Sir Harry Ord. Pelantikan ini merupakan sejarah penting dalam siri penjajahan Inggeris di Tanah Melayu kerana melalui tindakan dan dasar beliau, kuasa Inggeris semakin meluas. Ketokohan Clarke bermula apabila berjaya memujuk Raja Abdullah dan penyokongnya untuk menandatangani Perjanjian Pangkor, yang memberikan Inggeris kuasa mentadbir negeri itu melalui perlantikan Residen. Clarke juga mengambil kesempatan untuk campur tangan dalam Perang Saudara di antara anak-anak Raja dan pembesar-pembesar Selangor. 

Beliau berjaya memujuk Sultan Abdul Samad untuk menyerahkan Selangor kepada pentadbiran Inggeris dan menempatkan seorang Residen. Clarke juga bertanggungjawab membawa Negeri Sembilan di bawah pengaruh Inggeris. Kebijaksanaan beliau mendapat kepercayaan sepenuhnya dari Kerajaan Inggeris sehingga beliau dikenali sebagai ‘Imperialis Unggul’.  

Arkib Negara Malaysia


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

20 JANUARI 1874 MEMPERINGATI 145 TAHUN PERJANJIAN PANGKOR


Monday, 24 October 2022

24 OKTOBER 1949 PERASMIAN PENUBUHAN MAJLIS AGAMA & ADAT MELAYU NEGERI PERAK DI IPOH

Pada hari ini dalam tahun 1949, Majlis Agama dan Adat Melayu Negeri Perak telah dirasmikan penubuhannya di Ipoh. Sebelum ini hal ehwal agama Islam telah ditadbirkan dengan berbagai cara sejak kedatangan Islam di Tanah Melayu. Pada zaman kerajaan Melayu tradisional, Sultan adalah bertanggungjawab mengenai pentadbiran agama Islam dan mempunyai kuasa berdasarkan Siyasah Syariyah. Untuk melaksanakan tanggungjawab tersebut Sultan bekerjasama dengan alim ulama yang digelar ”Guru Sultan”.

Pada tahun 1880 Komiti Syarak telah mengambil alih peranan Guru Sultan yang diketuai oleh Kadi Besar. Tidak lama kemudian tertubuh pula Komiti Quran yang dibentuk khas untuk mentadbir sekolah-sekolah agama di negeri Perak. Semasa zaman jepun pula Majlis Mesyuarat Ornag Besar-Besar dan Ulama telah ditubuhkan pada 12 Ogos 1944. Majlis ini mengandungi Jawatankuasa Undang-undang Agama Islam, Jawatankuasa Ulang Bicara dan Jawatankuasa bagi Mentadbirkan Khairat.

Selepas Perang Dunia Kedua beberapa tokoh dan Persatuan Ulama Perak telah mendesak agar sebuah badan baru ditubuhkan untuk mentadbirkan hal ehwal agama Islam diseluruh negeri Perak. Maka pada hari ini dalam tahun 1949, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu telah ditubuhkan. Badan ini mempunyai 10 orang ahli dengan seorang Orang Besar dilantik oleh Majlis Eksekutif Negeri sebagai Pengerusi. Pengerusi yang pertama ialah Raja DiHilir, Raja Kamarulzaman. Tugas utama Majlis Agama dan Adat Melayu ini adalah menjadi penasihat kepada Sultan mengenai perkara-perkara bersangkutan dengan agama dan adat Melayu di negeri perak.

Di samping itu majlis ini juga bertanggungjawab ke atas hal-hal agama. Untuk melaksanakan tanggungjawab ini Majlis Agama dan Adat Melayu negeri Perak mempunyai Bahagian Fatwa, Mahkamah Syariah, Bahagian Pelajaran dan Bahagian Am.


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

17 OKTOBER 1968 MAJLIS KEBANGSAAN BAGI HAL EHWAL AGAMA ISLAM MALAYSIA


24 OKTOBER 1863 ORANG KAYA MENTERI PADUKA TUAN NGAH IBRAHIM

 

Pada hari ini dalam tahun 1863, Ngah Ibrahim bin Long Jaafar dianugerahkan gelaran Orang Kaya Menteri Paduka Tuan dan geran kuasa ke atas Larut oleh DYMM Paduka Seri Sultan Perak Sultan Jaafar Muazzam Shah. Gelaran ini meletakkan Menteri Ngah Ibrahim dalam susun lapis Orang Besar Berempat Perak. Geran kuasa ke atas Larut itu merangkumi kawasan pendalaman hingga ke Kelian Baru; ke timur hingga ke Kuala Sungai Beruas dan ke barat hingga ke Kerian. Melalui kuasa penuh mentadbir Larut yang diperolehinya, Menteri Ngah Ibrahim berjaya membawa kemajuan kepada Larut.

Beliau yang mewarisi pentadbiran Larut daripada ayahnya, Long Jaafar telah membawa masuk buruh-buruh Cina untuk mengusahakan lombong bijih timah. Sesungguhnya penganugerahan gelaran ini adalah sebagai ganjaran atas khidmat serta kecekapan beliau dalam mengendalikan perusahaan lombong di Larut. Penganugerahan ini telah meletakkan Ngah Ibrahim sebagai orang yang berkuasa penuh di Larut. Walau bagaimanapun, setelah termeterainya Perjanjian Pangkor pada 20 Januari 1874, kuasa mutlak Ngah Ibrahim terhadap daerah Larut telah dilucutkan oleh pentadbiran Inggeris

#hariinidalamsejarah


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

18 OKTOBER 1826 PERJANJIAN LOW DITANDATANGANI



21 JULAI 1875

Mesyuarat Antara Sultan Abdullah & Pembesar-pembesar Perak berkenaan dengan Sistem Residen


Friday, 21 October 2022

20 OKTOBER 1909 PERJANJIAN PERLEMBAGAAN MAJLIS PERSEKUTUAN

20 Oktober 1909 – Pada tahun 1909, satu persetujuan telah dicapai antara Pesuruhjaya Tinggi Negeri-negeri Melayu Bersekutu dengan Raja-raja Negeri-negeri Melayu Bersekutu untuk membentuk Majlis Persekutuan, iaitu setelah termeterinya Perjanjian Perlembagaan Majlis Persekutuan.

Pada tahun 1896 kerajaan Inggeris di dalam usahanya menguasai pentadbiran negeri-negeri Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan telah menukarkan corak pentadbirannya dari sistem Residen telah mengurangkan dan melemahkan lagi kuasa Sultan-sultan dan Majlis-majlis Negeri. Ia hanya menguntungkan pihak Inggeris dari segi ekonomi.

Pada tahun 1903, di dalam Majlis Durbar yang telah diadakan di Kuala Lumpur, Sultan Perak iaitu Sultan Idris telah menyuarakan bantahan baginda mengenai penubuhan Persekutuan dan meminta supaya dapat diadakan satu Majlis Persekutuan yang longgar.

Sultan Idris membidas kerajaan Inggeris bahawa kuasa yang sebenarnya sekarang berada di tangan Residen Jeneral dan meminta agar kuasa tersebut dilonggarkan.

Tujuan utama Majlis Raja-raja menyuarakan bantuan tersebut adalah untuk menguatkan semula Kerajaan-kerajaan Negeri, Majlis-majlis Negeri dan mengukuhkan kedudukan Sultan-sultan.

Kerajaan Inggeris di Tanah Melayu pada awal kurun ke-20 itu sedang mengembangkan pengaruhnya terhadap Negeri-negeri Utara Tanah Melayu berusaha untuk menarik minat Negeri-negeri Utara Tanah Melayu terhadap pihak Inggeris.

Ekoran daripada bantahan Sultan Idris dan desakan Sultan-sultan Negeri-negeri Melayu Bersekutu maka pada hari ini dalam tahun 1909, John Anderson, Pesuruhjaya Tinggi Inggeris dan Sultan-sultan Negeri-negeri Melayu Bersekutu telah mencapai persetujuan untuk membentuk Majlis Persekutuan yang bertujuan untuk membahagikan kuasa pentadbiran (desentralisasi).

Sumber : Arkib Negara Malaysia


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

Kebangkitan Raja-raja Melayu di Malaysia



17 OKTOBER 1968 MAJLIS KEBANGSAAN BAGI HAL EHWAL AGAMA ISLAM MALAYSIA


Tuesday, 18 October 2022

18 OKTOBER 1826 PERJANJIAN LOW DITANDATANGANI

 

18 Oktober 1826 – Pada tahun 1826, wakil politik Gabenor Pulau Pinang, Melaka dan Singapura bagi pihak Gabenor dan Syarikat Hindia Timur Inggeris Kapten James Low dan Sultan Perak, Sultan Abdullah Mu’azzam Shah menandatangani suatu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Low.

Perjanjian ini adalah kerana sikap Raja Ligor yang tidak menghormati Perjanjian Burney yang ditandatangani oleh pihak Inggeris dengan Raja Siam pada tahun 1825. Setelah Kapten Burney kembali ke India, Raja Ligor tidak menghormati janjinya mengenai negeri Perak iaitu mengakui hak Sultan Perak untuk ‘memerintah negeri baginda sendiri’. Ini dapat dipastikan apabila Raja Ligor menghantar utusan dengan pasukan tenteranya ke Perak. Raja Ligor telah memberi jawapan yang berdolak-dalik apabila Gabenor Robert Fullerton meminta penjelasan mengenai perbuatannya itu.

Perjanjian Low Ditandatangani

Oleh kerana bimbangkan amaran dari Siam itu dan mengenangkan betapa Inggeris telah mengecewakan harapan Sultan Kedah dengan tidak membantu baginda dari serangan Siam dalam tahun 1821, Sultan Perak berkehendakkan satu perjanjian persahabatan yang dapat menjamin keselamatan negeri baginda dari serangan Siam. Permintaan baginda itu telah dipersetujui lalu pada hari ini dalam tahun 1826, Perjanjian Low ditandatangani.

Di antara perkara-perkara penting yang termaktub dalam perjanjian itu ialah Sultan Perak tidak boleh membuat apa jua bentuk hubungan dengan Raja Siam dan pembesar-pembesarnya, begitu juga dengan Raja Selangor dan pembesar-pembesar baginda, dan juga kuasa-kuasa lain yang berkaitan dengan politik, pentadbiran dan urusan Kerajaan Negeri Perak. Baginda juga mengaku tidak akan mengirim ufti Bunga Emas dan apa jua biaya kepada Raja Siam, Sultan Selangor dan kuasa-kuasa lain.

Perjanjian Low ini telah memeranjatkan pihak atasan di India. Dalam menjanjikan perlindungan Inggeris ke atas negeri Perak itu, Kapten James Low telah melampaui batas kuasa dan arahan yang diberikan kepadanya. Beliau dikatakan telah melanggar dasar tidak campur tangan Syarikat Hindia Timur Inggeris. Bagaimanapun, perjanjian itu mendapat restu dan kelulusan daripada Gabenor Negeri-Negeri Selat, Robert Fullerton.


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

12 OKTOBER 1875 PENYERAHAN KUASA PENTADBIRAN NEGERI PERAK KEPADA INGGERIS


Friday, 14 October 2022

12 OKTOBER 1875 PENYERAHAN KUASA PENTADBIRAN NEGERI PERAK KEPADA INGGERIS

 

12 Oktober 1875 – Pada tahun 1875, Sultan Abdullah Sultan Perak di dalam keadaan serba salah dan dengan desakan J.W.W. Birch terpaksa menandatangani surat persetujuan menyerah kuasa pentadbiran Negeri Perak kepada Inggeris. Dengan ini bermulalah pentadbiran Inggeris secara langsung keatas Negeri Perak.

Perjanjian Pangkor yang ditandatangani pada 20 Januari 1874 tidak dapat menyelesaikan persengketaan politik malah telah merumitkan lagi keadaan politik Negeri Perak. Dalam beberapa perundingan yang menghasilkan Perjanjian Pangkor, hanya Raja Abdullah dan penyokong-penyokongnya sahaja yang hadir, sementara Sultan Ismail dan Raja Yusuf iaitu pembesar-pembesar yang harus terlibat tidak hadir di dalam perjumpaan tanpa di rancang itu. Ini menggambarkan bahawa Sir Andrew Clark hanya berminat untuk melantik Sultan yang sesuai dengan kehendak-kehendaknya.

Ini menimbulkan kemarahan kepada Sultan Ismail dan Raja Yusuf lalu menyatakan penentangan mereka terhadap perjanjian itu. Pembesar-pembesar Negeri Perak menyatakan mereka masih belum menyerahkan kuasa pentadbiran Perak kepada Inggeris. Ini dapat dibuktikan bahawa Sultan Abdullah bukan merupakan Sultan yang sah kerana Baginda tidak memiliki Regalia (Alat kebesaran) Negeri Perak.

Sementara Sultan Ismail, yang mendapat sara hidup seperti tercatit di dalam Perjanjian Pangkor menganggap Baginda berhak mewarisi takhta kerana memiliki (Alat Kebesaran). Baginda Sultan Ismail yang mendapat sokongan dari setengah-setengah pembesar Perak terus menjadi Sultan di Hulu Perak. Dengan keadaan begini terdapat dua Sultan yang memerintah di Negeri Perak di dalam suatu masa. Raja Yusuf yang diketepikan oleh perjanjian itu juga menyuarakan Baginda berhak mewarisi takhta.

Inggeris ketika itu yang baru mula melibatkan diri dalam hal ehwal pentadbiran Negeri Perak merasa tidak senang dengan persengketaan itu yang akan menjejaskan dasar kolonialisme dan Imperialismenya. Bimbang dengan keadaan itu, William Jervois, Gabenor Negeri-Negeri Selat lalu mengadakan lawatan ke Negeri Perak pada bulan September 1875. Beliau telah menemui Sultan Ismail dan Raja Yusuf.

Dalam menghadapi masalah itu pihak Inggeris bermain politik kayu tiga. Ini dapat dibuktikan di dalam pertemuan antara William Jervois dengan Sultan Ismail di mana Sultan Ismail diberi pengakuan akan dilantik menjadi Sultan Perak kerana persetujuan baginda menerima pentadbiran Inggeris. manakala Raja Yusuf pula bersetuju Inggeris mengambil alih pentadbiran di Perak kiranya beliau tidak diganggu dan diberi pendapatan yang lumayan.

Sementara itu J.W.W. Birch memainkan peranannya dengan menghubungi Sultan Abdullah. Beliau menyediakan draf surat untuk ditandatangani oleh Sultan Abdullah bagi penyerahan Negeri Perak kepada Pentadbiran British. Sultan Abdullah mula merasakan dirinya serba salah kerana baginda mengetahui tentang kedudukan Sultan Ismail yang akan dilantik menjadi Sultan Ismail yang akan dilantik menjadi Sultan hasil dari hasutan J.W.W. Birch.

Akhirnya pada hari ini dalam tahun 1875, Baginda dengan rasa serba salah terpaksa menandatangani surat persetujuan Inggeris campur tangan secara langsung keatas pentadbiran Negeri Perak. Surat tersebut diserahkan kepada William Jervois melalui J.W.W. Birch.

Sebaik-baik sahaja William Jervois menerima surat penyerahan kuasa tersebut, beliau mengarahkan supaya surat itu dicetak dan disebarkan kepada rakyat Negeri Perak. Perisytiharan ini menimbulkan kemarahan Datuk Seri Maharaja Lela.

Sultan Abdullah terpaksa berangkat ke Pasir Salak dan menerangkan kepada Datuk Seri Maharaja Lela mengenai perkara sebenarnya di mana baginda telah didesak oleh J.W.W. Birch. Datuk Seri Maharaja Lela mulai membenci J.W.W. Birch dan akhirnya membawa kepada pembunuhan J.W.W. Birch di Pasir Salak.


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

21 JULAI 1875

Mesyuarat Antara Sultan Abdullah & Pembesar-pembesar Perak berkenaan dengan Sistem Residen


Wednesday, 12 October 2022

11 OKTOBER 1913 PEMBUKAAN MAKTAB PERGURUAN MATANG DI PERAK

 

Pada hari ini dalam tahun 1913, Maktab Perguruan Melayu Matang, Perak dibuka dengan rasminya di bangunan bekas Istana Long Jaafar. Maktab perguruan ini merupakan maktab kedua dibuka sebagai penyambung usaha Maktab Singapura yang telah terhenti perjalanannya. Pembinaan Maktab ini adalah atas usaha DYMM Sultan Perak, Sultan Idris Murshidul A’zam Shah bagi mengatasi kekurangan guru di Negeri-negeri Selat dan dikhususkan kepada penuntut-penuntut negeri Perak sahaja.

Pengambilan penuntut-penuntut kemudiannya diperluaskan meliputi Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Bersekutu. Maktab perguruan ini melatih seramai 25 orang pelatih setiap tahun dan berjaya mengeluarkan seramai 200 orang guru sepanjang penubuhannya. Sebagai satu usaha untuk memusatkan dan menyelaras latihan-latihan perguruan, maktab ini akhirnya ditutup pada tahun 1922 apabila Maktab Perguruan Sultan Idris di Tanjung Malim, Perak, telah bersedia menggantikannya dalam memberikan perkhidmatan latihan perguruan ketika itu.

#arkibnegara


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

04 OKTOBER 1971 PENUBUHAN UNIVERSITI PERTANIAN MALAYSIA (UPM)


Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...