Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Sunday 18 July 2021

PAKAIAN TRADISIONAL MELAYU

SEJARAH PAKAIAN TRADISIONAL MELAYU


Pakaian Golongan Bangsawan Dan Para Sultan Di Kepulauan Sumatera Sekitar Tahun 1940an

Orang Melayu tempatan pra sejarah sudah mempunyai kemahiran membuat pakaian daripada kulit kayu melalui bukti batu penerap yang ditemui. Dipercayai, batu penerap itu digunakan sebagai penumbuk kulit kayu supaya menjadi lembut dan nipis.

Sebelum kedatangan Islam, pengaruh Hindu-Buddha masih kuat ke atas masyarakat Melayu. Masyarakat tempatan pada masa itu, memakai pakaian yang amat ringkas. Mereka hanya menutup di bahagian tertentu tubuh. Kaum lelaki hanya menggunakan 2 helai kain iaitu kain di kepala yang diikat ringkas dan kain sarung dikilas atau kain sarung dijadikan cawat. Pakaian sebegini sesuai dan selesa dipakai dalam cuaca panas kawasan tropika. Kaum wanita pula hanya menggunakan 3 helai kain; iaitu

  • kain sarung, 
  • kain kemban dan 
  • kain selendang. 


Garismara Pakaian Melayu (Perempuan) Era Melaka - Johor Dari Abad Ke 13 hingga Abad Ke 19

Perbezaan golongan wanita bangsawan dengan rakyat adalah golongan bangsawan menggunakan kain daripada jenis yang mahal dan indah serta memakai perhiasan keemasan. Dapat dilihat jurang sosial yang wujud dari cara berpakaian masyarakat, semenjak sebelum kedatangan Islam.

Pengaruh Islam sekitar abad ketujuh yang antaranya dibawa oleh pedagang-pedagang Arab melalui kegiatan perdagangan, secara tidak langsung mempengaruhi reka bentuk pakaian tradisional masyarakat Melayu secara berperingkat-peringkat. Dari abad ketujuh hingga ke-13, adalah satu tempoh transisi dan penyesuaian yang panjang. Walaupun agama Islam telah tersebar di alam Melayu, namun pengaruh Hindu-Buddha masih kuat. Dari segi pakaian, masyarakat tempatan mula berpakaian secara sopan dengan menutup badan mereka dengan baju. Kaum wanita dan lelaki memakai baju berbentuk tunik pendek berkain kapas hijau dengan bahagian bawah dililitkan dengan kain sari sutera.

Baju tunik adalah baju yang ditebuk di bahagian leher supaya memudahkan pemakainya menyarungkan baju ini melalui leher, seperti ketika memakai baju kurung.

Selain baju tunik, seperti yang telah disebutkan di atas, ada juga baju yang berlengan pendek, berleher tunik juga dan berkancing sebutir butang emas. Baju ini dinamakan baju alang. Baju alang ini dipakai oleh raja-raja sebagai baju basahan.

Garismasa Pakaian Melayu (Lelaki) Era Melaka Hingga Johor Dari Abad Ke 13 Hingga Abad Ke 19

Selepas abad yang ke-13 baharulah pengaruh Islam menampakkan kesannya. Agama Islam mula dihayati oleh masyarakat tempatan. Pakaian masyarakat tempatan mula dipengaruhi pakaian orang Arab seperti pemakaian jubah.

Proses evolusi pakaian Melayu mencapai tahap tertinggi pada zaman kerajaan Melayu Melaka. Bermula dari istana-istana raja, bangsa Melayu mencapai zaman kegemilangannya dan sehingga sekarang warisan budayanya masih menjadi sumber inspirasi kepada bangsa Melayu. Seperti yang tercatat dalam buku Sejarah Melayu, ada menceritakan bahawa Tun Hassan (yang hidup semasa pemerintahan Sultan Mahmud Shah) adalah orang yang pertama yang mengubah bentuk baju Melayu asal kepada bentuk baju Melayu yang dipakai sekarang. Tun Hassan telah melabuhkan baju Melayu serta membesarkan dan memanjangkan pangkal tangan baju Melayu. Baju itu dinamakan baju kurung. Dengan melabuhkan baju tersebut, bentuk rupa pakaian Melayu serupa dengan bentuk rupa jubah, pakaian orang Arab.

Sekiranya kaum lelaki memakai baju kurung dengan seluar panjang dan kain sarung yang diikat di pinggang hingga ke paras lutut, kaum wanita pula memakai baju kurung dengan kain sarung. Kaum wanita juga telah mula memakai kelubung untuk menutup kepala yang terdedah semasa keluar rumah. Pada waktu itu, wanita-wanita yang berkelubung terdiri daripada golongan istana, bangsawan, anak-anak yang keluarganya ialah guru-guru mengaji.


Gambaran ilustrasi pelukis untuk pakaian rakyat biasa dari Kerajaan Melayu Awal sehinggalah pada Era Kerajaan Melayu Melaka Gemilang & Terakhir

REVOLUSI PAKAIAN TRADISIONAL MELAYU

Proses evolusi pakaian tradisional Melayu turut berlaku pada zaman penjajahan Barat di Asia Tenggara. Pereka pakaian Melayu mulai menyerapkan ciri-ciri Barat yang dianggap sesuai ke pakaian tradisional Melayu. Pakaian bagi kaum lelaki, pada zaman penjajahan British adalah, seperti pakaian baju labuh berkolar dengan kain sarung atau pakaian kot, vest, seluar panjang serta kain samping.

Bagi golongan raja-raja pula, pakaian kot berbutang emas atau logam berbaris yang mengancing baju yang terbuka di bahagian hadapan, seluar panjang berfesyen Inggeris serta memakai pedang. Ada juga yang memakai hiasan jam berantai. Bagi kaum wanita pula, terutama sekali golongan bangsawan, baju kurungnya masih dikekalkan dalam bentuk labuh dan longgar. Baju kurung ini dikenakan dengan kain ikatan ‘ombak mengalun’. Selain baju kurung, ada juga ‘baju labuh’ yang berbelah di hadapan. Bagi golongan istana atau golongan bangsawan, penggunaan aksesori seperti kerongsang sering dipadankan dengan pakaian mereka.

Terdapat pelbagai jenis baju tradisional Melayu yang telah melalui evolusi. Fesyen baju tradisional ini telah dipakai oleh golongan istana atau golongan bangsawan dan kemudian menjadi ikutan rakyat biasa. Akhirnya, reka bentuk pakaian tradisional Melayu antara golongan istana dengan rakyat hampir serupa, hanya jenis kain serta aksesori yang digunakan berbeza.

Dahulu, anugerah raja kepada rakyat yang telah berjasa adalah berupa bahan pakaian. Ada diriwayatkan dalam sejarah Melayu, seorang hamba raja menerima anugerah sepersalinan pakaian. Sepersalinan pakaian itu sebenarnya merupakan bekas pakaian yang pernah dipakai raja. Anugerah sepersalinan pakaian dianggap tinggi kerana nilai sosial yang ada pada masyarakat menganggap apa sahaja yang menjadi budaya diraja, sebagai suatu yang mulia. Sebenarnya anugerah sebegini dapat memperkukuhkan kedudukan raja kerana raja tidak akan memakai atau mengambil sesuatu yang pernah menjadi bekas rakyat tetapi sebaliknya, rakyat boleh mengambil sesuatu yang menjadi bekas raja melalui anugerah raja.

Antara gambar arkib yang menggambarkan pakaian dipakai oleh para hulubalang istana dengan sepersalinan pakaian yang dianugerahkan oleh sultan kepada rakyat biasa

Rakyat zaman dahulu juga tidak dibenarkan memakai kain berwarna kuning dan tidak boleh memakai perhiasan diri serta kain sutera berwarna kuning dan sutera putih. Tercermin pengaruh Hindu yang menganggap warna kuning sebagai warna keramat yang khusus untuk golongan bangsawan.

Bagi orang Melayu, pakaian memainkan peranan penting sebagai suatu yang amat berharga dan disanjung tinggi. Justeru banyaklah ungkapan yang menggunakan istilah ‘kain dipakai’ untuk menerangkan nilai yang ada pada seseorang. Sebagai contoh, ungkapan ‘jika buruk kain dipakai, buruklah sifat seseorang itu’. Namun ungkapan ini bukan bermaksud menghina golongan yang tidak berkemampuan memakai pakaian cantik. Apa yang dimaksudkan dengan buruk kain dipakai adalah cara seseorang itu mengikat kain. Jika tidak teliti dan mahir, kain akan kelihatan berkedut dan tidak rapi. Simboliknya, memaparkan nilai yang ada pada si pemakai sebagai seseorang yang tidak tahu mengurus diri dengan baik, tidak sabar dan kurang teliti.

JENIS PAKAIAN TRADISIONAL MELAYU

Citra pakaian tradisional Melayu begitu penting sehinggakan sebarang perubahan, penyesuaian dan gubahan yang dilakukan terhadap pakaian tradisional tidak boleh lari dari citra asalnya. Buktinya, baju Melayu tetap memantulkan keperibadian Melayu dan terus dipakai hingga kini.

Baju Kurung Teluk Belanga

Menurut Dato’ Haji Muhammad Said Haji Sulaiman, dalam bukunya Pakaian Patut Melayu, pakaian baju kurung yang dipakai sehingga sekarang berasal dari negeri Johor. Menurut beliau, pakaian tradisional ini dipakai di negeri Johor sejak zaman pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar; iaitu pada tahun 1800 di Teluk Belanga, Singapura.

Pada masa itu Teluk Belanga di bawah pemerintahan negeri Johor. Orang Johor telah mengubah suai pakaian Melayu di bahagian leher dengan menjahit “tulang belut” dan “sembat halus” pada seluruh baju kurung itu; supaya kelihatan lebih kemas dan menarik. Baju kurung Teluk Belanga mempunyai leher berbentuk bulat dan belahan di hadapan. Pada bahagian pangkal belahan dibuat tempat pengancing baju iaitu ‘rumah kancing’ dengan menggunakan jahitan benang. Rumah kancing dibuat dengan jahitan ‘insang pari’.

Baju kurung Teluk Belanga memerlukan bahagian lehernya dikancing dengan sebutir butang yang berwarna emas atau perak. Bagi kaum lelaki, baju ini dipadankan dengan seluar serta kain samping dagang. Ciri-ciri ini telah memperlihatkan keunikan identiti baju kurung orang Johor. Bagi kaum wanita, mereka biasanya memakai butang berbatu berlian atau batu lain yang bernilai. Kini, kaum wanita gemar menggunakan keronsang kecil sebagai pengganti butang baju kurung. Baju kurung ini dipakai dengan kain sarung ikatan ‘ombak mengalun’.

Baju Kurung Cekak Musang

Baju kurung telah mengalami pelbagai perubahan sejak dari mula baju ini dicipta. Baju kurung yang ditambah dengan leher berdiri; dinamakan baju kurung cekak musang atau baju wan. Baju ini telah dipengaruhi oleh baju gamis atau kamis (jubah jemaah haji yang pulang dari Makkah). Jubah ini telah dipendekkan ke paras punggung supaya selesa dipakai. Poketnya dijahit serupa dengan baju kurung Teluk Belanga. Bahagian leher baju kurung cekak musang ini dikancing dengan tiga, lima, tujuh atau sembilan butir butang. Bahagian leher ini tidak dijahit tulang belut halus. Bagi kaum lelaki, baju ini dipadankan dengan seluar potong Melayu dengan kain samping dagang luar. Bagi kaum wanita pula, baju kurung cekak musang juga dipakai dengan kain sarung ikatan ‘ombak mengalun’.

Seluar

Pakaian seluar diperkenalkan oleh saudagar Arab, Parsi dan India Muslim. Semasa pemerintahan Sultan Mahmud Shah, seluar menjadi popular di kalangan pembesar dan orang istana. Ini kerana pembuatan seluar pada masa itu memerlukan kepakaran penjahit dan kain yang banyak. Hanya golongan berada yang mampu memakainya.

Golongan bangsawan memakai seluar potongan Acheh, manakala rakyat biasa menggunakan dua jenis potongan seluar iaitu seluar ‘gunting Melayu’ dan seluar ‘gunting Cina’. Seluar potongan gunting Melayu mempunyai potongan yang paling ringkas dan memudahkan pergerakan lasak.

Kain Sarung

Pada masa dahulu, terdapat satu lagi kain sarung yang dinamakan ‘kain dagang’. Kain ini dipakai oleh kaum wanita sebagai kain tudung. Kain dagang ini digunakan untuk melindungi diri daripada cahaya matahari dan daripada pandangan lelaki. Apabila sampai di rumah, kain ini diikat pada pinggang sahaja. Dahulu, kain sarung wanita ini boleh juga menjadi senjata kaum wanita jika diserang.

Baju Kurung Moden

Baju kurung moden mempunyai ciri-ciri yang berlainan dengan baju kurung tradisional. Baju kurung moden digubah supaya kelihatan kemas dan menarik. Ia tidak gelobor seperti baju kurung tradisional. Ini kerana baju kurung moden mempunyai jahitan kekek dan pesak pada bahagian sisi baju. Namun, ciri-ciri utama masih dipelihara. Sebagai contoh, pakaian ini masih berlengan panjang dan masih digunakan dengan kain sarung.

Baju Kebaya

Baju belah telah melalui evolusi kerana telah terpengaruh dengan pakaian wanita Barat. Baju belah yang asalnya gelobor dan labuh kini mulai berubah dengan bentuk yang lebih kemas. Potongan baju menjadi ramping di pinggang serta labuh baju disingkatkan sedikit. Nama yang sesuai telah mengiringi perubahan baju belah ini menjadi baju kebaya.

Baju kebaya mempunyai dua versi iaitu baju kebaya labuh dan baju kebaya pendek. Baju kebaya labuh dikecilkan sedikit untuk mengikut bentuk badan si pemakai. Kain sarung diikat secara ikatan kuncup, iaitu kepala kainnya dilingkup ke bahagian hadapan. Baju kebaya ini dipakai dengan kancing berbunga atau kerongsang yang beransingan atau yang berantai.

Baju kebaya pendek pula, telah diubahsuai untuk kelihatan lebih menarik dengan mengadakan sulaman berbiku di bahagian hujung lengan, dan di tepi bahagian belahan serta di bucu baju.

Baju kebaya moden telah mula dipakai orang Melayu sebelum Perang Dunia Kedua. Walaupun dinamakan baju kebaya moden, namun ciri-ciri kemelayuannya masih ada kerana baju itu dipakai dengan kain. Baju kebaya moden ini adalah baju kebaya pendek yang ketat dan dipadankan dengan kain ikatan secara wiron. Baju ini mendedahkan bahagian leher dan dada serta berzip di sebelah belakang badan.

Kain yang biasa digunakan adalah kain batik lepas yang dililit mengikut bentuk badan. Hujung punca kain di bahagian hadapan diikat seperti kipas.

Pada tahun 1960an, baju kebaya moden dipadankan dengan kain yang ketat dan di bahagian hadapan kain dibuat satu belahan hingga ke paras lutut untuk memudahkan pergerakan. Apabila pemakainya mengatur langkah, betisnya akan kelihatan.

Pada akhir tahun 1970an, baju kebaya moden tidak digemari. Fesyen pakaian itu berubah kepada bentuk lebih longgar dan manis dilihat. Kebaya ini masih dipadankan dengan kain yang berbelah, tetapi selisih kain di bahagian belahan dilebarkan supaya betis tidak kelihatan.

Dewasa ini, baju kebaya turut dipadankan dengan seluar. Seluar itu akan dikecilkan sedikit pada bahagian buku lali. Ini bagi membolehkan si pemakai bergerak bebas.

Pakaian Tradisional Melayu

BAJU KURUNG

Gambaran ilustrasi pelukis untuk pakaian wanita Melayu dari Pasca Srivijaya sehinggalah pada Era Kerajaan Melayu Melaka Gemilang & Terakhir

Sebelum kurun ke-20, wanita Melayu hanya memakai kain kemban sahaja. Setelah kedatangan Islam, mereka mula memakai baju kurung yang sopan. Baju kurung lazimnya diketahui sebagai jenis baju longgar yang labuh, kadang kala hingga ke lutut dan dipadankan dengan kain panjang yang berlipat tepi. Baju tersebut meliputi seluruh tubuh, memperlihatkan wajah dan tangan sahaja, dilihat sebagai mematuhi peraturan pakaian Islam. Baju kurung boleh dipadankan dengan kain tradisional seperti songket atau batik. Digandingkan dengan kain selendang atau tudung kepala. Baju kurung sesuai dipakai dalam majlis-majlis formal atau urusan seharian.


Baju Wanita Melayu Kelantan sepanjang zaman (Kurun ke 13 hingga ke 21)

𝗜𝗻𝗳𝗼𝗴𝗿𝗮𝗳𝗶𝗸 𝗕𝘂𝘀𝗮𝗻𝗮 𝗧𝗿𝗮𝗱𝗶𝘀𝗶𝗼𝗻𝗮𝗹  𝗞𝗲𝗹𝗮𝗻𝘁𝗮𝗻

1  Infografik/ilustrasi pengaruh utama busana wanita melayu sebagai pengenalan dan 7 lagi pecahan infografik/ilustrasi busana Kelantan

  1. Busana Wanita Melayu era Sriwijaya (Kurun 7-13)
  2. Busana Silam (wanita) Melayu Kelantan era CSWK 1 (Kurun ke 13-15)
  3. Busana Tradisi (wanita) Melayu Kelantan (Kurun ke 16-18)
  4. Busana Tarian Diraja & Dayang Melayu Kelantan
  5. Peranan Kelubung dalam permakaian Busana Kemban
  6. Busana Tradisi rakyat (wanita) Melayu Kelantan (Kurun ke 14-18)
  7. Busana diraja era Koloni hingga sekarang (Kurun ke 19-21)
  8. Busana rakyat era 50’- 60’ hingga sekarang (Kurun ke 20-21)

Busana Wanita Melayu era Sriwijaya (Kurun 7-13)


Busana Silam (wanita) Melayu Kelantan era CSWK 1 (Kurun ke 13-15)


Busana Che Siti Wan Kembang 
Asas Pakaian Tradisional Kelantan Berciri Kebudayaan Melayu Srivijaya


Dua Gaya Permakaian Selendang pada Busana Cik Siti Wan Kembang


Busana Tradisi (wanita) Melayu Kelantan (Kurun ke 16-18)


Busana Tarian Diraja & Dayang Melayu Kelantan


Peranan Kelubung dalam permakaian Busana Kemban


Busana Tradisi rakyat (wanita) Melayu Kelantan (Kurun ke 14-18)


Busana diraja era Koloni hingga sekarang (Kurun ke 19-21)


Busana rakyat era 50’- 60’ hingga sekarang (Kurun ke 20-21)

Sumber rujukan utama :

  1. Abbas Alias & Norwani Md. Nawawi, “Pakaian Melayu Sepanjang Zaman”, Kuala Lumpur : Dewan Bahasa dan Pustaka, 2006
  2. Siti Zainon Ismail,”Pakaian Cara Melayu”, Kuala Lumpur Universiti Malaya 1991
  3. Walter Armstrong Graham,"Kelantan", The Library of the University of California, Los Angeles, 1908.
  4. Muzium Istiadat Diraja Kelantan,Istana Jahar, Kota Bharu
  5. Muzium Tekstil Negara, Kuala Lumpur.
  6. https://en.wikipedia.org/wiki/Kelantanese_Malay_people
  7. http://studentsrepo.um.edu.my/2941/6/BAB_3.pdf
  8. https://purimajapahit.wordpress.com/2010/01/02/

Kredit ilustrasi : Minos Halfblack & Dani Warguide, Persatuan Pencinta Sejarah Kelantan

https://www.facebook.com/701547676576843/posts/pfbid02xuDn64thDrgYB7W7zzCNa1FCK9MUSJyzhwSnN9H1A6GnUQ1orjyzA9CVdvHQxaFql/?mibextid=Nif5oz

-----------------------------------

BAJU MELAYU

Pakaian tradisional bagi kaum lelaki Melayu ialah baju Melayu. Baju Melayu merupakan kameja longgar yang dipakai dengan seluar panjang. Pakaian ini selalunya dipadankan dengan kain samping yang diikat di bahagian pinggang dan bersongkok. Baju Melayu bagi rakyat Malaysia terbahagi kepada dua iaitu baju Melayu potongan Teluk Belanga dan baju Melayu potongan cekak musang. Potongan tersebut merujuk kepada cara jahitan pada leher baju tersebut. Baju Melayu Teluk Belanga biasanya terkenal di kawasan selatan Malaysia. Potongan Teluk Belanga potongan lehernya dijahit secara sulaman. Cara memakai baju Melayu Teluk Belanga biasanya samping dipakai di sebelah dalam baju. Potongan Cekak Musang lebih terkenal di kawasan tengah dan utara Malaysia. Potongan Cekak Musang iaitu bahagian penutup atau rumah butangnya bertindan. Cara memakai baju Melayu Cekak Musang ialah samping di sebelah luar baju.

Namun dalam pada kita bangga dengan baju Melayu tradisional ini, pasti ramai yang tidak tahu baju ini sebenarnya mempunyai maksud tersersendiri.

Malah anda mungkin tidak percaya yang setiap bahagian pada baju mempunyai maksud tersirat.

Konsep Pakaian Tradisional Baju Melayu Pada Masa Kini 

Ini antara maksud di setiap rekaan baju Melayu:

#1 Lima Butang Baju Melayu Melambangkan Rukun Islam

Lima butang ini melambangkan kesemua rukun islam termasuklah mengucapkan dua kalimah syahadah, menunaikan solat fardu lima waktu, berpuasa pada bulan Ramadan, membayar zakat dan mengerjakan haji bagi mereka yang mampu.

#2 Tiga Saku Baju

Kebanyakkan baju Melayu mempunyai tiga saku di hadapan, Ketiga-tiga ini melambangkan akidah atau kepercayaan, Islam dan Ihsan.

#3 Sampin

Melambangkan kesungguhan menjaga syahwat, aurat dan maruah.

Memakai sampin dibawah lutut bermaksud anda telah berkahwin manakala di atasnya bermaksud anda masih bujang.

Jika anda sudah berkahwin tetapi masih memakai sampin di atas lutut, maka mungkin anda sedang mencari isteri kedua.

#4 Baju Melayu Butang Satu

Melambangkan tauhid yang mempercayai bahawa Tuhan itu hanya satu. Anda boleh lihat rekaan ini dalam baju Melayu teluk belanga.

https://www.facebook.com/groups/944196589713691/permalink/983205402479476/ 

-----------------------------------

𝐁𝐚𝐣𝐮 𝐌𝐞𝐥𝐚𝐲𝐮, 𝐈𝐚𝐧𝐲𝐚 𝐀𝐝𝐚𝐥𝐚𝐡 𝐁𝐞𝐫𝐤𝐢𝐬𝐚𝐫 𝐊𝐞𝐩𝐚𝐝𝐚 𝐅𝐚𝐥𝐬𝐚𝐟𝐚𝐡 𝐅𝐞𝐬𝐲𝐞𝐧 𝐎𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐌𝐞𝐥𝐚𝐲𝐮 𝐃𝐚𝐧 𝐒𝐮𝐥𝐭𝐚𝐧 𝐌𝐞𝐥𝐚𝐲𝐮 𝐉𝐮𝐠𝐚 𝐀𝐝𝐚𝐥𝐚𝐡 𝐈𝐤𝐨𝐧 𝐅𝐞𝐬𝐲𝐞𝐧 𝐎𝐫𝐚𝐧𝐠 𝐌𝐞𝐥𝐚𝐲𝐮 𝐏𝐚𝐝𝐚 𝐙𝐚𝐦𝐚𝐧 𝐃𝐚𝐡𝐮𝐥𝐮


Sejarah baju telah bermula di Melaka sejak 529 tahun yang lalu. Apabila Sultan Melaka yang ketiga iaitu Sultan Muhammad Shah (1424 hingga 1444 masihi) telah mengilhamkan agar orang Melayu pada masa tersebut mempunyai buasana yang melambangkan jati diri Melayu dan bagi membezakan penampilan orang Melayu dengan bangsa asing di Melaka pada masa tersebut.


Sebelum penciptaan busana Baju Melayu oleh Sultan Muhammad Shah. Pakaian orang Melayu pada zaman dahulu adalah bercirikan busana Timur Tengah. Malah pekara ini telah saya ulas dalam artikel sebelum ini lengkap dengan fakta dan rujukannya. Baju Melayu awal adalah dari jenis cekak musang iaitu mempunyai lima biji butang di bahagian atas baju dan mempunyai tiga poket. Satu di bahagian atas dan dua dibahagian bawah.


Sultan Muhammad Shah bukan sengaja membuat lima biji butang dan tiga poket pada Baju Melayu tersebut. Tetapi penciptaan tersebut adalah berkisar tentang falsafah beliau bercirikan Islam dan mempunyai maksud dimana lima biji butang tersebut melambangkan lima Rukun Islam yang dipegang oleh seorang Islam. Manakala tiga poket pada Baju Melayu pula adalah lambang kepada akidah, syariat dan tasawuf.


Tidak lengkap Baju Melayu tanpa samping. Samping juga adalah pelengkap kepada Baju Melayu. Samping pula melambangkan kesungguhan pemakainya untuk menjaga nafsu syahwat, aurat dan maruah. Pada awal Baju Melayu direka oleh Sultan Muhammad Shah, ianya adalah adalah ketat dan mengikut tubuh si pemakainya dan seluar adalah senteng. Setelah mengalami perubahan zaman, baju dan seluar Baju Melayu ini kemudiannya menjadi longgar seperti fesyen Baju Melayu yang kita pakai sekarang ini.


Falsafah Baju Melayu ini tidak lengkap tanpa satu lagi jenis Baju Melayu iaitu Baju Melayu teluk belanga. Jika lima butang pada Baju Melayu cekak musang yang dicipta oleh Sultan Muhammad Shah melambangkan lima Rukun Islam. Butang Baju Melayu teluk belanga yang hanya mempunyai satu butang sahaja adalah hanya Allah SWT tuhan yang satu. Baju Melayu Teluk Belanga ini sama seperti Baju Melayu cekak musang yang mempunyai tiga poket iaitu satu di bahagian atas dan dua di bahagian bawah.


Jika Baju Melayu cekak musang telah dicipta oleh Sultan Muhammad Shah. Baju Melayu teluk belanga pula telah dicipta oleh Sultan Abu Bakar (1885 hingga 1895 masihi). Baju Melayu teluk belanga ini dicipta oleh baginda bagi mengingati peritiwa perubahan pusat pemerinahan Kerajaan Negeri Johor dari Teluk Belanga kepada Tanjung Puteri. Jika pemakai Baju Melayu cekak musang memakai samping. Maka samping tersebut akan dimasukkan ke dalam baju. Berbeza pula jika pemakai Baju Melayu teluk belanga memakai samping. Maka Baju Melayu tersebut dipakai melepasi samping sahaja.


Penciptaan Baju Melayu samada Baju Melayu cekak musang dan Baju Melayu teluk belanga oleh Sultan Melayu iaitu Sultan Muhammad Shah dan Sultan Abu Bakar. Ianya bukan sekadar penciptaan pakaian untuk menjadi pakaian harian atau tradisi orang Melayu sahaja. Tetapi pada permulaan ianya dicipta adalah berdasarkan falsafah penciptanya yang bercirikan Islam. Jelas sudah Raja Melayu pada zaman dahulu bukan hanya menjadi pemerintah bagi sesuatu kerajaan. Malah mereka juga adalah ikon fesyen orang Melayu pada zaman dahulu.


Gambar ini adalah anak-anak Sultan dari Sumatera Timur. Gambar bertarikh 1931 dan dikatakan gambar ini diambil di Paris Pavillons - Expositions Paris 1931 
(Liste des pavillons de l'exposition Paris 1931)

Tengok saiz orang Melayu kita dan pakaian mereka. Jauh lebih segak dan besar daripada orang Eropah


KREDIT : KHAI NURSERY

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...