Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Showing posts with label askar. Show all posts
Showing posts with label askar. Show all posts

Thursday, 29 December 2022

25 DISEMBER 1972 PERTEMPURAN HEBAT REJIMEN ASKAR MELAYU DENGAN KOMUNIS

25 Disember 1972 – Pada tahun 1972, telah berlaku satu pertempuran hebat di antara Platun Harimau Batalion ke 9 Rejimen Askar Melayu Diraja dengan segerombolan pengganas komunis di Jambusan, Bahagian Pertama, Sarawak. Dalam gerakan tersebut, sebanyak 4 orang anggota komunis telah mati dan beberapa orang lagi mendapat kecederaan.

Kejadian ini berlaku sebagai tindak balas kepada serang hendap yang dibuat oleh segerombolan pengganas komunis ke atas anggota pasukan keselamatan pada 20 Disember. Berikutan dengan peristiwa tersebut, anggota Platun Harimau telah ditugaskan bagi mengesan kumpulan pengganas itu yang dipercayai menuju ke kawasan tertentu di bahagian pertama.

Kejayaan gerakan ini sebenarnya bergantung kepada keberanian dan kebijaksanaan Sarjan Jantan b. Nyamat salah seorang anggota Platun Harimau yang banyak pengalaman di hutan. Sehubungan itu berlakulah tembak menembak yang menyebabkan 4 orang anggota komunis dan beberapa orang lagi cedera.

Peristiwa Malam Natal itu sesungguhnya memaparkan keberanian Sarjan Jantan yang membawa kepada penganugerahan Pingat Pahlawan Gagah Berani sebagai menghargai jasa yang dilakukannya.

#Pahlawan #RAM


Pautan artikel menarik yang berkaitan :- 

27 NOVEMBER 1955 PERBARISAN BESAR-BESARAN DI KUALA LUMPUR

23 DISEMBER 2010 JENERAL (B) TUN IBRAHIM ISMAIL MENINGGAL DUNIA

Pada hari ini dalam tahun 2010, Jeneral (B) Tun Ibrahim Ismail, Bekas Panglima Angkatan Tentera Diraja Malaysia menghembuskan nafas yang terakhir di Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan, Kuala Lumpur. Allahyarham yang berusia 88 tahun meninggal dunia kerana komplikasi sakit tua di sisi isteri tersayang, YBhg. Toh Puan Zakiah binti Ahmad pada pukul 4.40 pagi.

Jenazah Allahyarham dibawa ke rumahnya di Villa Sang Suria, Kuala Lumpur sebelum di bawa ke Masjid Negara untuk penghormatan terakhir dan dikebumikan di Makam Pahlawan. DYMMAl-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Almarhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billal Shah, Yang di-Pertuan Agong turut berkenan mencemar duli berangkat bagi menziarahi jenazah Allahyarham. Anak kelahiran Johor Bharu ini pada asalnya adalah Pegawai Kadet dalam pasukan Askar Timbalan Setia Johor sebelum menyertai pasukan tentera persekutan sebelum dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera (PAT) yang ketiga.

Allahyarham juga pernah berkhidmat di dalam pasukan Force 136 sekitar 1940-an bagi menentang pendudukan Jepun di Tanah Melayu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

16 SEPTEMBER 1953 PENUBUHAN BATALION REGIMEN PERSEKUTUAN


Sunday, 25 December 2022

21 DISEMBER 1948 PENUBUHAN TENTERA LAUT MALAYA

 

21 Disember 1948 – Pada tahun 1948, Ordinance menubuhkan Tentera Laut Malaya (Malayan Naval Force) telah diluluskan oleh Majlis Perundangan Singapura. Ordinance ini dibentangkan oleh Setiausaha Tanah Jajahan Encik P.A.B Mc Kerron. Menurut beliau Tentera Laut Malaya ini akan berusaha melatih seramai 750 orang anggota menjelang 1951 sebagai teras kepada angkatan ini.

Buat permulaannya Tentera Laut Malaya akan dibiayai oleh Tabung Pertahanan Singapura. Ianya juga akan memohon bantuan daripada British Royal Navy terutama dalam bidang teknikal, peralatan, latihan dan menggunakan kapal British Royal Navy.

Penubuhan Tentera Laut Malaya memang kena pada tempatnya di waktu dunia masih lagi bergolak selepas Perang Dunia Kedua, tambahan pula Malaya dan Singapura dikelilingi oleh lautan yang sudah pasti sentiasa terdedah pada musuh. Ianya juga memberi peluang golongan muda memasuki Angkatan Laut ini bukan sahaja untuk mempertahankan negara tetapi sebagai menunjukkan semangat patriotisme.


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

10 DISEMBER 1941 KEHANCURAN SISTEM PERTAHANAN BRITISH DI TANAH MELAYU


Friday, 23 December 2022

19 DISEMBER 1941 PENGUNDURAN TENTERA BRITISH DARI KELANTAN

Batu Peringatan tentera Jepun di Kuala Krai sempena memperingati tentera Jepun menduduki Kuala Krai Kelantan pada 19 Disember 1941 semasa Perang Dunia Ke-2. Lokasi batu peringatan ini di Muzium Kuala Krai Kelantan.

PENGUNDURAN TENTERA BRITISH DARI KELANTAN, OLEH AWW2.

Pada 12 Disember 1941, Komander Kor India ke-3 Jeneral Sir Lewis Heath telah pergi ke Markas Malaya Command untuk membincangkan dasar berkaitan pasukan Briged India ke-8 di Kelantan dengan Lt-Jen Percival. Perlu diingatkan bahawa tugas utama Briged India ke-8 adalah untuk melindungi ketiga-tiga pangkalan udara di negeri itu (Kota Bharu, Machang dan Gong Kedak) bagi kegunaan Tentera Udara British dan menghalang mereka diduduki tentera musuh.

Memandangkan keadaan ini, amat jelas beberapa garis panduan baru diperlukan. Alternatifnya ialah mengekalkan pasukan itu di Kelantan atau mengundurkan mereka untuk bertindak di kawasan lain. Faktor-faktor yang menyokong pilihan ini adalah : -
  1. Mereka mungkin masih boleh menghalang tentera musuh dari menggunakan sepenuhnya ketiga-tiga pangkalan udara tersebut.
  2. Kehadiran pasukan itu di Kelantan dapat mengekang sebahagian daripada kekuatan tentera musuh di negeri itu.
  3. Pengunduran tentera British akan memberi kesan negatif terhadap semangat orang awam dan anggota tentera British sendiri.
  4. Tentera British mungkin akan kehilangan sejumlah besar kelengkapan dan peralatan mereka semasa pengunduran.
Mereka yang menyokong pengunduran memberikan faktor-faktor berikut : -
  1. Pangkalan udara tersebut tidak lagi diperlukan oleh Tentera Udara British dan kemungkinan besar mereka tidak akan diperlukan dalam tempoh yang terdekat.
  2. Ancaman utama tentera musuh nampaknya akan berkembang di pantai barat, di mana tentera British tidak mempunyai kekuatan yang mencukupi untuk menghalang kemaraan mereka.
  3. Jaringan pengangkutan bagi pasukan Briged India ke-8 kini hanya terdiri dari satu landasan kereta api dengan sejumlah jambatan, yang berada dalam keadaan berbahaya, terutamanya mengambil kira kelebihan kekuatan udara pihak musuh.
  4. Dari sudut pandangan (3) di atas, dan memandangkan kekuatan tentera musuh di darat akan bertambah, kemungkinan tentera British akan kehilangan pasukan ini sekiranya mereka kekal di Kelantan.
Setelah memberi pertimbangan dengan sepenuhnya, Leftenan-Jeneral Percival memutuskan untuk mengundurkan pasukan Briged India ke-8 dari Kelantan sebaik sahaja gerabak kereta api dapat disediakan, dengan tujuan untuk mengekalkan kekuatan tentera mereka dan menumpukannya untuk pertempuran utama yang bakal berlaku di pantai barat. Keputusan ini diserahkan kepada Panglima Tertinggi Timur Jauh, Ketua Marsyal Udara Sir Brooke-Popham pada petang yang sama dan beliau telah bersetuju dengan keputusan ini. Arahan dikeluarkan dengan segera dan pemindahan lebihan kelengkapan mereka terus bermula.

Pada 12 Disember di Machang tentera musuh menjadi sangat aktif dan menyerang dengan kuat, tetapi pasukan 2/10th Baluch Regiment telah menyerang balas, bergelut dengan musuh dan mengenakan korban keatas mereka.

Pada 13 Disember pasukan 2/10th Baluch Regiment sekali lagi telah mengenakan korban ke atas tentera musuh yang cuba untuk bergerak ke sebelah belakang mereka.

Selama beberapa hari berikutnya, pengunduran tentera British dilakukan secara teratur, tentera musuh terpaksa berjuang untuk merebut setiap kedudukan, dengan kerugian yang sedikit di pihak tentera British. Menjelang 16 Disember semua lebihan kelengkapan dan peralatan telah dipindahkan dan pengunduran tentera British dengan kereta api bermula.

Pasukan 4/19th Hyderabad adalah pasukan pertama meninggalkan Kelantan supaya mereka dapat bergabung semula dengan briged asal mereka di pantai barat. Pada 19 Disember pasukan British berundur sepenuhnya dari stesen kereta api Kuala Krai.

Pasukan yang berada di belakang sekali berundur dari Kuala Krai dengan berjalan kaki setelah jambatan kereta api yang besar di selatan stesen itu dirobohkan. Hampir semua peralatan dan kenderaan, kecuali sekitar 80 buah kenderaan kerana tiada ruang di atas gerabak kereta api, telah berjaya dipindahkan. Pasukan pengawal belakang, dikenali sebagai 'Mac Force' yang dipimpin oleh Lt-Kol. McKellar telah ditinggalkan untuk mengawasi landasan kereta api dan mencegah jambatan kereta api yang dimusnahkan di baiki semula oleh tentera Jepun.

Pasukan ini terdiri dari Pasukan Sukarelawan Pahang dan Rejimen Askar Melayu dan mereka telah menjalankan tugas ini dengan amat baik. Setelah selesai pengunduran pada 22 Disember Briged Infantri India ke-8 telah berkumpul semula di Kuala Lipis / Jerantut kecuali pasukan 2/12th Frontier Force Regiment yang bergabung semula dengan briged asal mereka di Kuantan.

Angka korban yang dialami oleh tentera British dalam pertempuran di Kelantan adalah cukup besar tetapi tidak terlalu berat. Pengendalian operasi secara amnya dan terutama pengunduran tentera British dari Kelantan mencerminkan kebolehan Panglima Briged India ke-8, (Brigedir B.W. Key) dan para pengawainya.

Sumber: #PersatuanPencintaSejarahKelantan


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

PERTEMPURAN DI MACHANG KELANTAN PADA DISEMBER 1941


Tuesday, 20 December 2022

16 SEPTEMBER 1953 PENUBUHAN BATALION REGIMEN PERSEKUTUAN

 

16 Disember 1953 – Dalam tahun 1953, Batalion Pertama Regimen Persekutuan telah ditubuhkan dengan rasminya bersempena dengan perbarisan ulungnya di Taiping, Perak. Upacara berwarna-warni ini telah mencatatkan satu detik yang bersejarah ke arah perkembangan angkatan tentera yang menjadi benteng pertahanan di negara ini.

General Sir Gerald Templer yang merupakan ‘bapa’ kepada regimen ini tidak dapat turut bersama di hari yang bersejarah ini kerana uzur. Beliau telah diwakili oleh General Sir Hugh Stockwell yang telah menerima tabik kehormatan dan membaca perutusan Sir Gerald Templer.

Di dalam perutusannya, Sir Gerald Templer antara lain telah mengingatkan anggota-anggota tentera bahawa tingkah laku, disiplin dan keberanian mereka adalah perkara yang penting yang mempengaruhi keadaan negara ini yang sedang menuju ke arah kemajuan dan pembentukan identitinya.

Batalion Pertama Regimen Persekutuan ini merupakan pasukan tentera yang julung-julung kalinya dianggotai oleh semua kaum. Anggota- anggotanya terdiri dari 40 peratus Melayu, 40 peratus Cina dan 20 peratus India serta kaum-kaum lain. Kumpulan pelatih pertama seramai 140 orang mula menjalani latihan dalam bulan September 1952. Jurulatihnya dipinjam dari Pasukan Tentera British dan Pasukan Askar Melayu. Seramai 440 orang anggota lain-lain pangkat telah menyertai perbarisan tamat latihan ini. Pegawai Pemerintah Pertama bagi Batalion ini ialah Leftenan Kolonel T. H. Trevor.

Upacara perbarisan dan penubuhan Batalion Regimen Persekutuan ini sesungguhnya merupakan satu catatan bersejarah dalam perkembangan angkatan tentera di negara ini.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

08 JULAI 1953 Upacara Penyerahan Panji-panji regimen kepada Batalion Keempat Askar Melayu DiRaja oleh Sir Gerald Templer.


Sunday, 18 December 2022

PERTEMPURAN DI MACHANG KELANTAN PADA DISEMBER 1941

Arkib : 14 Oktober 2022


Nota : Peta Medan Pertempuran Machang ini dipetik dari Catatan Dairi Perang pasukan 2/10 Baluch Regiment dan dibanding dengan peta google map

Pertempuran di Machang Disember 1941 - oleh AWW2.

Peristiwa 08 Disember 1941

Pada 8 Disember 1941, tentera Jepun dari pasukan Detasmen Takumi mendarat di pantai Kuala Pak Amat untuk menawan lapangan terbang Kota Bharu. Ini memaksa Brigedir B.W Key Panglima Briged India British ke-8 yang mempertahankan lapangan terbang Kota Bharu berundur ke arah selatan.

Pada jam 10.45 pagi pada 11 Disember pasukan 2/10th Baluch Regiment bergerak ke posisi pertahanan baru di Batu 28 ½ di barat Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, dengan Kompeni B di sebelah kanan, Kompeni C di sebelah kiri, Kompeni D di bahagian simpanan manakala Kompeni A berada dalam posisi kawalan di Batu 15 ½ Jalan Pasir Puteh-Machang. Pasukan 2/12th Frontier Force Regiment pula berada di posisi pertahanan di sebelah timur Jalan Kota Bharu -Kuala Krai.

Pada jam 3.40 petang tentera musuh melakukan tembakan curi dari kawasan sawah padi di depan posisi pertahanan mereka dan dari timbunan kayu di tengah sawah padi sehingga senja. Pada jam 3.45 petang semasa briged berundur ke posisi pertahanan ini, pegawai dari unit jurutera 19th Field Company Bombay Sappers & Miners telah meletupkan jambatan jalan utama di Batu 27 terlalu awal kerana terdapat rondaan oleh askar musuh berhampiran. Oleh itu, unit pengawal belakang briged, iaitu psukan 4/19th Hyderabad Regiment, 3/17th Dogra Regiment dan Bateri Meriam Medan ke-73 telah terhalang di sebelah utara jambatan yang rosak itu. Unit pengawal belakang briged bersama dengan Kompeni A dari pasukan 2/10th Baluch Regiment mengawal di sebelah utara jambatan sehingga ia dapat diperbaiki dan pada sebelah malam pasukan ini serta senjata berat mereka dapat dibawa ke seberang dengan selamat.

Peristiwa Pada 12 Disember 1941

Pada 12 Disember, kubu parit untuk senjata telah digali di sepanjang tebing terusan dan kedudukannya telah diperkuatkan dan mereka telah bersedia untuk bertindak. Pada malam 12-13 haribulan, unit peronda tentera Jepun dari Rejimen Infanteri ke-56 yang diketuai oleh Kolonel Yoshio Nasu mara ke bandar Machang. Pada jam 6.30 pagi 13 Disember, satu platun dari Kompeni C pasukan 2/10th Baluch Regiment yang diketuai oleh Subedar Karam Chand telah dihantar ke hadapan di jalan utama untuk menghalang pasukan peronda musuh. Kira-kira 360 meter dari barisan hadapan mereka, anggota platun ini terpaksa merebahkan diri untuk mengelak tembakan musuh. Pada jam 7.30 pagi mereka melaporkan bahawa terdapat 1 kompeni tentera musuh berada dalam hutan di sebelah barat bandar Machang.

Dalam kawasan padi itu terdapat banyak lumpur, air, serta lintah. Oleh itu, sukar bagi mereka untuk mengambil posisi untuk menembak ke arah musuh. Platun itu berbalas tembak dengan askar Jepun dan terdapat anggota yang terkorban di kedua-dua belah pihak. Akhirnya pada jam 8.15 pagi platun ini telah dikepung, ditawan dan dilucutkan senjata oleh tentera musuh. Sudah jelas bahawa tentera musuh hadir dengan kekuatan yang lebih besar daripada yang mereka duga. Pada jam 8.15 pagi, Panglima Briged India ke-8 Brigedir B.W Key tiba dan membincangkan situasi ini dengan Leftenan-Kolonel J.G. Frith, komander pasukan 2/10th Baluch Regiment. Serangan akan dilakukan dengan 2 kompeni hadapan pasukan mereka .

Peristiwa Pada 13 Disember 1941

Setelah melakukan peninjauan secara ringkas, pada jam 9.00 pagi Kompeni A (sebelah kiri) dan Kompeni D (sebelah kanan) pasukan 2/10th Baluch Regiment melancarkan serangan ke dalam hutan di sebelah barat bandar Machang. Mereka tidak menerima sokongan tembakan dari pasukan artileri medan kerana lokasi Pos Pemerhati yang sesuai untuk unit artileri tidak dapat ditemui di sekitar itu. Namun, pada jam 9.20 pagi Kompeni B memberikan tembakan sokongan yang dibantu oleh satu Seksyen kereta perisai Bren Gun Carrier, diikuti lima minit kemudian oleh satu Seksyen lagi, yang mara di sepanjang jalan sambil menembak mesingan mereka.

Bentuk muka bumi adalah sangat buruk dan tidak sesuai bagi anggota pasukan Baluch yang lengkap bersenjata yang terpaska bergerak sejauh 730 meter melalui kawasan padi yang basah serta melalui terusan yang agak dalam.

Kompeni A pasukan 2/10th Baluch yang diketuai oleh Kapten Thiselton-Dyer tiba di objektif mereka sekitar jam 10.00 pagi setelah menghadapi tentangan tentera musuh semasa dalam perjalanan.

Kompeni D pula menghadapi tentangan yang lebih sengit dan kemaraan mereka dihalang kira kira 270 meter dari objektif mereka. Kereta perisai Bren Gun Carrier tidak dapat bergerak di luar jalan, kerana tentera Jepun telah meletupkan jambatan di selatan bandar Machang dan mereka tidak dapat sampai ke bandar Machang.

Semasa kemaraan ini anggota platun Kompeni C yang telah ditawan sebelum itu berjaya melepaskan diri kerana askar musuh tidak sempat menghantar mereka ke bahagian belakang. Subedar Karam Chand telah cedera dan empat askar India yang lain turut cedera dan mereka dipindahkan ke bahagian belakang.

Pada kira-kira jam 10.00 pagi semasa kedua-dua kompeni pasukan Baluch ini hampir sampai ke objektif mereka, pasukan Markas Hadapan Batalion Baluch yang terletak di tepi jambatan Sungai Sat bergerak ke arah timbunan kayu di sebelah timur jalan. Tiba-tiba tembakan curi dilepaskan oleh musuh dari bawah timbunan kayu lebih kurang 10 meter di sebelah utara jambatan, mujurlah tidak ada yang terkena tembakan. Setelah beberapa das tembakan dilepaskan dengan senapang sub-mesingan oleh pasukan Markas Hadapan Batalion Baluch ke arah timbunan kayu itu dan juga Lt-Kol Arthur Edward Cummings komander pasukan 2/12th Frontier Force Regiment yang telah melemparkan bom tangan, tiga askar Jepun yang mati dikeluarkan dari timbunan kayu ini.

Pada jam 12.00 tengahari setelah pergerakan kedua dua kompeni itu terhalang mereka telah diarahkan untuk berudur ke kawasan pertahahan baru di utara jambatan gantung Sultan Ismail. Anggota pasukan 2/10th Baluch Regiment yang terkorban terpaksa ditinggalkan kerana mereka tidak dapat menghantar usungan melalui kawasan sawah padi. Dalam pertempuran di Machang ini 18 orang anggota pasukan 2/10th Baluch Regiment telah terbunuh manakala 22 yang lain cedera serta 11 anggota mereka hilang. Kapten Thiselton-Dyer cedera tetapi dia tetap bertugas. Korban pihak Jepun dianggarkan sekitar 100 terbunuh. Setelah pertempuran ini tentera Jepun telah membina batu bersurat di tepi jambatan Sg. Sat Machang yang kemudiannya dipindahkan ke kawasan SMK Hamzah.

#PPSK


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

08 DISEMBER 1941 PERMULAAN PENJAJAHAN JEPUN DI TANAH MELAYU



10 DISEMBER 1941 KEHANCURAN SISTEM PERTAHANAN BRITISH DI TANAH MELAYU


Thursday, 15 December 2022

13 DISEMBER 2013 PENGANUGERAHAN PANJI-PANJI KEPADA SKUADRON TUDM

 

Pada hari ini dalam tahun 2013, tiga skuadron Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), dianugerahkan panji-panji dalam satu istiadat penuh gemilang di Pangkalan Udara Subang. Penganugerahan panji-panji kepada skuadron TUDM No. 11, 12 dan 15 ini mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan disempurnakan oleh Sultan Pahang, Sultan Haji Ahmad Shah selaku Kolonel Yang Dipertua TUDM. Penganugerahan panji-panji kepada ketiga-tiga skuadron itu merupakan satu pengiktirafan yang tinggi dan diberikan sebagai mengenang jasa dan sumbangan serta pengorbanan warga TUDM dalam mempertahankan kedaulatan tanah air. 


Panji-panji ini menjadi simbol kepahlawanan yang perlu disanjung dan dipertahankan sehingga ke titisan darah terakhir oleh semua anggota TUDM. Dalam pada itu, penyampaian Pingat Jasa Malaysia (PJM) turut dianugerahkan kepada bekas-bekas Panglima TUDM bagi menghargai jasa mereka yang pernah berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia sewaktu operasi menentang pengganas komunis.

Sumber : Arkib Negara Malaysia



Pautan artikel lain yang berkaitan :-

02 DISEMBER 2009 ISTIADAT PENTAULIAHAN PANGKALAN TLDM


Saturday, 10 December 2022

05 DISEMBER 1967 PERJANJIAN BANTUAN TENTERA BRITISH KEPADA MALAYSIA

Pada hari ini dalam tahun 1967, Perjanjian Bantuan Tentera British kepada Malaysia, telah ditandatangani di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur. Upacara menandatangani perjanjian tersebut telah dilakukan oleh Timbalan Perdana Meneteri yang juga Menteri Pertahanan, Tun Abdul Razak bagi pihak kerajaan Malaysia dan Pesuruhjaya Tinggi British di Malaysia, Tuan Micheal Walker bagi pihak Britain. 

Turut hadir menyaksikan upacara itu ialah Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan Encik Abu Bakar Samad bin Mohamad Noor, Ketua Turus Angkatan Tentera, Jeneral Tengku Osman Jewa dan penasihat Tentera kepada Pesuruhjaya British, Brigadier A.W. Cowper. Dalam satu kenyataan bersama, kedua-dua pihak telah menyatakan bahawa perjanjian tersebut adalah bagi memperbaharui perjanjian bantuan anggota tentera British yang lama sehingga penubuhan Malaysia 1963. 

Beberapa ketetapan telah dibuat dalam perjanjian itu, di antaranya ialah :
  1. Menentukan peraturan berhubung dengan pinjaman pegawai tentera British untuk membantu urusan perjawatan, pentadbiran dan latihan Angkatan Tentera Malaysia ;
  2. Mengenakan syarat-syarat tertentu kepada tentera tersebut seperti :
  3. Kepatuhan kepada undang-undang dan peraturan Malaysia
  4. Bertanggungjawab kepada kerajaan Malaysia dan Britain
  5. Mengenai perjalanan dari dan pulang ke United KIngdom, gaji, elaun, dan cuti dalam perkhidmatan ;
  6. Menentukan asas bagi mengekalkan kerjasama yang rapat dan membina di antara kedua buah negara kelak.
Dengan termeterainya perjanjian bantuan tentera Briritsh, pada hari ini dalam tahun 1967, telah membawa erti yang besar terhadap hubungan persahabatan kedua-dua buah negara demi keamanan dan kesejahteraan di negara ini.


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

01 DISEMBER 1941 PEMBENTUKAN BATALION KEDUA REJIMEN MELAYU


Sunday, 4 December 2022

01 DISEMBER 1941 PEMBENTUKAN BATALION KEDUA REJIMEN MELAYU

01 Disember 1941 – Batalion Kedua Rejimen Melayu telah ditubuhkan pada tahun 1941 iaitu selepas 8 tahun penubuhan Rejimen Pertama. Rejimen Pertama ditubuhkan apabila seramai 25 orang rekrut telah diambil bagi menjalani latihan di Port Dickson dalam tahun 1933. Kumpulan pertama ini juga dikenali sebagai Kompeni Percubaan (Experimental Company).

Rejimen Pertama ini berkembang pesat dengan terbentuknya beberapa buah Kompeni dengan bilangan anggota yang bertambah ramai. Kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh Rejimen Pertama ini telah mendorong ke arah perluasan kekuatan anggota pertahanan. Oleh itu dalam bulan March 1941, Gabenor telah mengumumkan persetujuan untuk membentuk satu batalion lagi bagi menambah kekuatan Rejimen tersebut.

Pada hari ini dalam tahun 1941 iaitu seminggu sebelum pendaratan askar-askar Jelun, maka terbentuklah Batalion Kedua. Batalion Kedua ini mempunyai anggota seramai 453 orang dan dipimpin oleh Lt. Colonel F.W. Young. Batalion Kedua Rejimen Melayu ini mengandungi ‘A’ Kompeni dan “D’ Kompeni. ‘A’ Kompeni yang dahulunya ‘W’ Kompeni Batalion Pertama, adalah di bawah pimpinan Major W. Richardson telah ditugaskan di Kuala Krai, Kelantan dan kawasan Pantai Timur. Sementara ‘D’ Kompeni pula yang di bawah pimpinan Captain A.S Taylor mengawasi Pantai Barat.

Pembentukan Batalion Kedua ini telah menambah kuatkan lagi kedudukan Rejimen Melayu bagi menghadapi serangan pihak Jepun ke atas Tanah Melayu.

#hariinidalamsejarah #arkibnegara


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

16 September 1933 Hari Ulang Tahun Angkatan Tentera Malaysia


Saturday, 26 November 2022

21 NOVEMBER 1967 PM MENYAMPAIKAN TAULIAH 3 BUAH KAPAL PENGGEMPUR TLDM DI PELABUHAN KLANG

 

21 November 1967 – Pada tahun 1967, Perdana Menteri Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra, telah menyampaikan tauliah kepada 3 buah kapal penggempur laju Tentera Laut Diraja Malaysia, iaitu K.D. Pendekar, K.D. Handalan dan K.D Gempita di Pelabuhan Klang.

Ketiga-tiga buah kapal penggempur tersebut adalah dari jenis kapal-kapal penggempur yang terlaju di dunia. Kapal yang berharga $6 juta setiap sebuah itu boleh berlayar hingga kira-kira 96 kilometer/ jam dan boleh digunakan sebagai kapal pembedil, kapal pemasang periuk api dan juga sebagai kapal pembawa torpedo.

Di dalam ucapannya sempena upacara penyampaian tauliah tersebut, Tunku menyatakan bahawa TLDM yang kini mempunyai 40 buah kapal dan 3,000 orang kakitangan, akan diperbesarkan secara berperingkat sehingga mempunyai kira-kira 200 buah kapal dari berbagai jenis dan jumlah kakitangannya akan ditambah.

Upacara menyampaikan tauliah kepada 3 buah kapal penggempur laju TLDM pada hari ini dalam tahun 1967, adalah sebahagian dari usaha kerajaan untuk membesarkan lagi angkatan TLDM di dalam usaha mengawasi ancaman melalui laut, menyekat kegiatan penyeludupan dan melindungi nelayan-nelayan kita. Usaha ini penting memandangkan Malaysia mempunyai kawasan pantai yang panjang.

Sumber : Arkib Negara Malaysia


Pautan artikel lain :-

04 NOVEMBER 1986 PERJANJIAN PERKAPALAN MALAYSIA INDONESIA


Wednesday, 23 November 2022

16 NOVEMBER 1981 PM 4 DIBERIKAN SAMBUTAN MERIAH DI NEGERI SABAH

 

Pada hari ini dalam tahun 1981, YAB Datuk Sri Dr. Mahathir Mohamad diberi sambutan meriah setibanya beliau di negeri Sabah. Lawatan ke Sabah ini merupakan lawatan pertama beliau sejak dilantik sebagai Perdana Menteri Malaysia. Datuk Sri Dr. Mahathir menerima tabik kehormatan dari pasukan separuh kawalan terdiri dari 55 orang Pegawai dan Anggota Batalion Pertama Askar Melayu Diraja. Dalam lawatan ini juga, Perdana Menteri telah dikurniakan anugerah tertinggi negeri, Sri Panglima Darjah Kinabalu (S.P.D.K).

Anugerah disampaikan oleh Yang Dipertua Negeri, Tun Haji Mohd Adnan Robert dalam satu majlis yang diadakan di Istana Kota Kinabalu. Penganugerahan ini dibuat sempena ulang tahun beliau yang ke-56 tahun yang jatuh pada tanggal 10 September lalu. Lawatan sulung Perdana Menteri ini menjadi perintis dalam hubungan erat dan kerjasama yang bakal terjalin diantara pemimpin negara dengan masyarakat.


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

07 NOVEMBER 2000 PERJANJIAN MENJADIKAN PUTRAJAYA SEBAGAI WILAYAH PERSEKUTUAN


Tuesday, 15 November 2022

14 NOVEMBER 1976 MAJLIS PERASMIAN KAPAL HIDROGRAFI


Pada hari ini dalam tahun 1976, majlis perasmian Kapal Hidrografi telah disempurnakan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Suhaila di Limbungan Kapal Hong Leong, Butterworth Pulau Pinang. Kapal Hidrografi yang diberi nama K.D. Mutiara milik Tentera Laut Diraja Malaysia merupakan Kapal Hidrografi yang pertama dibina di negara ini. Kapal K.D. Mutiara itu akan menjalankan tugas-tugas utama mengukur dasar laut sepanjang 7000 km perairan Malaysia. 

Kapal ini akan membantu keselamatan pelayaran kapal-kapal terutama kapal pengangkut minyak di sepanjang perairan negara, sekaligus mengelakkan pencemaran laut terutama di Selat Melaka yang menjadi tempat tumpuan nelayan mencari hasil tangkapan. Turut hadir di upacara tersebut adalah YAB Perdana Menteri, Dato' Hussein Onn, Ketua Menteri Pulau Pinang, Dr. Lim Chong Eu, Ketua Turus Angkatan Laut, Laksamana Muda Dato' K. Thanabalasingam, orang-orang kenamaan dan pegawai-pegawai kanan Tentera Laut Diraja Malaysia.


#ArkibNegara


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

27 OKTOBER 1968 PEMBUKAAN RASMI DERMAGA AIR DALAM BUTTERWORTH


Tuesday, 1 November 2022

31 OKTOBER 1985 PERASMIAN PEMBUKAAN BANGUNAN LEMBAGA TABUNG ANGKATAN TENTERA

Pada hari ini dalam tahun 1985, Bangunan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dibuka dengan rasminya oleh Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad merangkap Menteri Pertahanan. Bangunan setinggi 14 tingkat itu dibina dengan kos 35 juta ringgit di kawasan tanah seluas 8000 kaki persegi di persimpangan Jalan Imbi dan Jalan Bukit Bintang. Bangunan ini mempunyai kompleks pejabat seluas 230,000 kaki persegi dan ruang yang boleh disewakan seluas 115,000 kaki persegi. LTAT ditubuhkan pada Ogos 1972 di bawah Akta Parlimen.

Antara lain matlamat LTAT ialah untuk menyediakan faedah-faedah persaraan kepada anggota tentera dan kepada semua pegawai untuk menyertai skim tabungan. LTAT membabitkan diri dalam pelbagai bidang seperti bidang perladangan, harta dan binaan, bank dan kewangan, industri sederhana dan pengangkutan. Selepas 13 tahun ditubuhkan LTAT telah mencapai banyak kejayaan. Pada awalnya penubuhannya jumlah caruman hanya 2 juta ringgit sebulan tetapi sekarang 12 juta sebulan. Perdana Menteri dalam ucapan perasmiannya gembira dengan beberapa kegiatan yang dijalankan oleh LTAT.

#LTAT #hariinidalamsejarah


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

30 OKTOBER 1985 PERASMIAN PEMBUKAAN KEM TAHANAN ANGKATAN TENTERA DI KEM BATU KANTOMEN


Sunday, 30 October 2022

30 OKTOBER 1985 PERASMIAN PEMBUKAAN KEM TAHANAN ANGKATAN TENTERA DI KEM BATU KANTOMEN

 

Jeneral Tan Sri Ghazali Dato Mohd Seth

Pada hari ini dalam tahun 1985, Kem Tahanan Angkatan Tentera di Kem Batu Kantomen, Kuala Lumpur telah dirasmikan pembukaannya oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Ghazali Dato Mohd Seth. Kem Tahanan ini didirikan adalah untuk memberi perhatian terhadap masalah penyalahgunaan dadah dalam kalangan anggota-anggota tentera. Kem ini yang ditubuhkan pada 1962, pada mulanya menempatkan seramai 60 orang yang melakukan pelbagai kesalahan. Dengan adanya bangunan tambahan di pusat ini telah menelan belanja kira-kira $350,000 ia boleh menampung sehingga 260 orang anggota.

Panglima Angkatan Tentera dalam ucapannya berkata, penubuhan pusat ini bukanlah matlamat utama pasukan tentera tetapi ia didirikan untuk memberi kesedaran dan rawatan kepada anggota yang terlibat dengan dadah dan mengawal mereka supaya tidak mempengaruhi anggota lain. Pusat ini akan disediakan dengan pegawai-pegawai khidmat nasihat yang mengikuti kursus dan kelulusan khas dalam bidang kaunseling. Dengan penubuhan pusat ini, penyalahgunaan dadah di dalam kalangan anggota tentera dapat di atasi dengan lebih baik.

#hariinidalamsejarah


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

25 OKTOBER 1960 UPACARA PENYERAHAN PANGKALAN TENTERA UDARA DIRAJA BRITISH


Tuesday, 25 October 2022

25 OKTOBER 1960 UPACARA PENYERAHAN PANGKALAN TENTERA UDARA DIRAJA BRITISH

 

25 Oktober 1960 – Pada tahun 1960, telah berlangsung upacara penyerahan Pangkalan Tentera Udara Diraja British (RAF) di Kuala Lumpur kepada Tentera Udara Diraja Malaya (TUDM). Upacara penyerahan itu dilakukan oleh Pesuruhjaya Tinggi British ke Tanah Melayu Sir Geoffrey Tory kepada Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan, Tun Abdul Razak.

Sempena penyerahan tersebut, satu upacara perbarisan menurunkan bendera RAF dan mengibarkan bendera TUDM telah diadakan. Ini diikuti dengan penerbangan lintas terakhir pesawat Canberra kepunyaan RAF. Tun Razak menyifatkan hari itu sebagai hari yang bersejarah kepada TUDM kerana mulai saat itu TUDM mempunyai pangkalannya sendiri.

Sejak ditubuhkan pada 2 Jun 1958, TUDM hanya menumpang di pangkalan tersebut. Pangkalan yang terletak di Sungai Besi itu kini dikenali dengan Pangkalan TUDM Kuala Lumpur. la adalah pangkalan pertama RAF di Tanah Melayu dan mula beroperasi sebagai stesen RAF pada 1 Jun 1941. Tujuan ditubuhkan ialah untuk memudahkan operasi RAF bagi mempertahankan Tanah Melayu di samping menjadi pusat perhubungan RAF dengan pangkalannya di Seletar, Singapura.

Walaupun pangkalan ini telah diserahkan kepada TUDM, tetapi Pegawai Memerintah pangkalan ini masih dipinjam dari RAF disebabkan menghadapi masalah kekurangan pegawai dan kakitangan. Hanya sembilan tahun kemudian iaitu pada 31 Mac 1969, anak tempatan telah diserahkan tugas sebagai Pegawai Memerintah. Beliau ialah Group Kapten Mohammed Taib.

Pangkalan ini mencatatkan seiarahnya sendiri. la pernah digunakan sebagai Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum Lapangan Terbang Subang siap dibina. Di sinilah juga TUDM mula ditubuhkan dengan 14 orang anggota dan sebuah pesawat ‘Twin Pioneer’. Dekad demi dekad TUDM terus berkembang maju, kuat dan moden.

Perkembangan dan kemajuan yang dicapai oleh TUDM sesungguhnya adalah bertolak dari penyerahan Pangkalan Udara RAF Kuala Lumpur kepada TUDM pada hari ini dalam tahun 1960. Penyerahan itu memberi peluang kepada TUDM membuktikan kemampuannya memulakan usaha ke arah pertahanan sendiri dan menghapuskan unsur-unsur penjajahan British di Tanah Melayu.


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

12 OKTOBER 1963 SIDANG PERTAMA MAJLIS PERTAHANAN MALAYSIA


25 OKTOBER 1985 PERASMIAN MUZIUM ANGKATAN TENTERA MALAYSIA YANG BAHARU

Pada hari ini dalam tahun 1985, Muzium Angkatan Tentera Malaysia yang baharu dirasmikan pembukaannya oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Dato Ghazali Mohd Seth di Kuala Lumpur. Muzium Angkatan Tentera yang baru itu merupakan Muzium Lama yang telah diubahsuai dan diberi wajah baru setelah berlaku pengubahsuaian dari segi bangunan dan ruang simpanan, pameran serta berlaku penambahan dari segi bahan-bahan simpanan.

Bangunan tersebut mengandungi 12 ruang merangkumi berbagai skop pameran seperti peranan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Peranan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Peranan Tiga Khidmat di Sabah dan Sarawak, Peranan Tiga Khidmat di Semenanjung serta jentera dan peralatan tentera. Dalam ucapan perasmiannya, Jeneral Tan Sri Ghazali selaku Pengerusi Muzium Angkatan Tentera menyeru kepada sesiapa yang menemui bahan-bahan berkaitan dengan Angkatan Tentera Malaysia supaya menyerahkan kepada pihak Muzium untuk disimpan sebagai khazanah negara.

Bersempena dengan perasmian Muzium ATM yang baru ini, pameran bertemakan 'Peranan Angkatan Tentera Dalam Pembangunan dan Keselamatan Negara' diadakan dan berlangsung selama 3 bulan. Tujuannya adalah untuk mendekatkan masyarakat dengan tentera agar mereka dapat memahami segala pengorbanan pasukan bersenjata dalam mempertahankan negara.

Turut hadir pada upacara bersejarah ini ialah Timbalan Menteri Pertahanan, YB Dato Abang Abu Bakar; Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Tan Sri Dato Mohd Yusof Abdul Rahman, Panglima Kor Tentera Darat dan ketiga-tiga bekas Panglima Angkatan Tentera terdiri daripada Jeneral (B) Tan Sri Tunku Osman Jewa, Jen (B) Tan Sri Abdul Hamid Bidin dan Jeneral (B) Tan Sri Ibrahim Ismail. Sesungguhnya perasmian Muzium Angkatan Tentera yang baru ini melambangkan kejayaan Angkatan Tentera bukan sahaja dalam perjuangan bersenjata tetapi juga di dalam mengenengahkan warisannya untuk tatapan generasi akan datang.


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

21 OKTOBER 1976 PERASMIAN MUZIUM SULTAN ABU BAKAR DI PEKAN PAHANG


Sunday, 23 October 2022

23 OKTOBER 2007 KAPAL DIRAJA (KD) TUNKU ABDUL RAHMAN

23 Oktober 2007 – Pada tahun 2007 Kapal selam pertama negara, Scorpene secara rasmi dinamakan Kapal Diraja (KD) Tunku Abdul Rahman bagi mengenang jasa Perdana Menteri Malaysia pertama yang juga Bapa Kemerdekaan. Nama Tunku Abdul Rahman dipilih daripada sebanyak 801 cadangan nama daripada lebih 3,000 rakyat Malaysia yang menyertai pertandingan menamakan kapal selam tersebut sebelum ini.

Penamaan kapal selam buatan Perancis dan Sepanyol itu disempurnakan oleh isteri Timbalan Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dalam satu majlis di Limbungan DCN Shipyard International (DCNS) di Cherbourg, Perancis dengan melepaskan botol kristal mengandungi air Yasin pada kapal selam tersebut. Turut menyaksikan acara bersejarah itu ialah Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pertahanan, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Kehadiran kapal selam itu merupakan era baru kepada Malaysia bukan sahaja dalam konteks untuk mempertahankan kedaulatan negara malah menjamin keselamatan serantau terutama di perairan Selat Melaka.


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

09 OKTOBER 2008 PELANCARAN KAPAL SELAM KEDUA MALAYSIA TUN RAZAK


Friday, 14 October 2022

13 OKTOBER 1967 PEMBANGUNAN DAN KESELAMATAN NEGARA SELEPAS MERDEKA

13 Oktober 1967 – Selepas mencapai kemerdekaan, 31 Ogos 1957, Kerajaan Malaya menumpukan perhatian dalam dua aspek yang penting iaitu pembangunan dan keselamatan negara. Bagi keselamatan negara pasukan angkatan tentera telah ditubuhkan.

Di antara ketiga-tiga cabang angkatan tentera, tentera udara merupakan yang paling lewat ditubuhkan, setelah ditubuhkan pasukan ini telah membeli pelbagai peralatan terutamanya pesawat bagi memenuhi keperluan pasukan ini. Pada 1967, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra telah merasmikan nama empat buah pesawat Angkatan Tentera Udara Diraja Malaysia iaitu :
  1. Sebuah pesawat jenis Cessna bernama Tirok
  2. Tiga buah pesawat jenis De Havilland yang diberi nama Merbok, Punai dan Terkukur.
Upacara ini telah diadakan di pangkalan Angkatan Tentera Udara di Sungai Besi, Kuala Lumpur. Turut hadir pada majlis ini ialah Menteri Pertahanan Tun Abdul Razak Hussein, Panglima Angkatan Tentera Udara Diraja Malaya Group, Kapten J.N. Stancey. Pasukan Tentera Udara ini yang diwujudkan, menjadi sangat penting dalam keadaan negara baru mencapai merdeka serta ancaman komunis yang masih lagi ada, pesawat yang ada akan dapat membantu pihak tentera mempercepatkan operasi menghapus kegiatan komunis di negara ini.


#hariinidalamsejarah #arkibnegara


Pautan artikel lain yang berkaitan :- 

05 OKTOBER 1993 PESAWAT PERTAMA BUATAN MALAYSIA EAGLE X-TS


Wednesday, 12 October 2022

12 OKTOBER 1963 SIDANG PERTAMA MAJLIS PERTAHANAN MALAYSIA

 

Pada hari ini dalam tahun 1963, sidang pertama Majlis Pertahanan Malaysia telah diadakan di Kuala Lumpur. Sidang Majlis Pertahanan ini telah dipengerusikan oleh Perdana Menteri, YTM Tunku Abdul Rahman. Di antara yang hadir di persidangan ini ialah Tun Abdul Razak, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pertahanan; Tun Dr. Ismail, Menteri Keselamatan Dalam Negeri; dan General Sir Rodney Moore, Ketua Turus Angkatan Bersenjata Malaysia.

Tujuan diadakan sidang Majlis Pertahanan ini adalah untuk membincangkan rancangan negara untuk “bersiap sedia” berikutan dengan terputusnya hubungan diplomatik di antara Malaysia dengan Indonesia dan Filipina. Ini merupakan sidang pertama Majlis Pertahanan Malaysia semenjak Majlis ini ditubuhkan pada 18 September 1963. Majlis ini dibentuk sebagai langkah untuk menghadapi kemungkinan pencerobohan oleh kuasa asing. Berikutannya tentera simpanan, seperti Tentera Wataniah telah dikerah bagi memperkuatkan lagi angkatan bersenjata.

Manakala pasukan Polis Khas atau Special Constable telah dibentuk semula untuk memperkuatkan angkatan polis negara ini. Selain itu, pertubuhan-pertubuhan awam juga telah dikerah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan.


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

18 SEPTEMBER 1963 PEMBENTUKAN MAJLIS PERTAHANAN MALAYSIA


Tuesday, 11 October 2022

09 OKTOBER 2008 PELANCARAN KAPAL SELAM KEDUA MALAYSIA TUN RAZAK

 

Pada hari ini dalam tahun 2008, kapal selam kedua Malaysia yang diberi nama “Tun Razak” telah dilancarkan oleh DYMM Tuanku Nur Zahirah binti Adil Bakeri, Raja Pemaisuri Agong di Limbungan Navantia, Cartagena, Sepanyol. Turut berkenan hadir dalam majlis tersebut ialah DYMM Tuanku Mizan Zainal Abidin, Yang di-Pertuan Agong. Kapal selam tersebut dinamakan sempena nama mantan Perdana Menteri Malaysia, YABhg.  Tun Abdul Razak bin Hussein. 

Kapal selam moden ini dilengkapi dengan senjata terkini, kemampuan menyelam lebih lama dan dalam, kelajuan tinggi, bunyi yang senyap, pengurusan sistem peperangan terkini serta menggunakan diesel dan elektrik sebagai sumber tenaga. Pelancarannya telah membuktikan iltizam Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) untuk terus meningkatkan kekuatannya dalam mempertahankan kedaulatan negara di samping mengawasi keselamatan maritim yang semakin mencabar dari semasa ke semasa.



Pautan artikel lain yang berkaitan :-

02 OKTOBER 1964 MAJLIS PELANCARAN KAPAL PERANG K.D HANG TUAH


Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...