Arkib : 14 Oktober 2022
Nota : Peta Medan Pertempuran Machang ini dipetik dari Catatan Dairi Perang pasukan 2/10 Baluch Regiment dan dibanding dengan peta google map
Pertempuran di Machang Disember 1941 - oleh AWW2.
Peristiwa 08 Disember 1941
Pada 8 Disember 1941, tentera Jepun dari pasukan Detasmen Takumi mendarat di pantai Kuala Pak Amat untuk menawan lapangan terbang Kota Bharu. Ini memaksa Brigedir B.W Key Panglima Briged India British ke-8 yang mempertahankan lapangan terbang Kota Bharu berundur ke arah selatan.
Pada jam 10.45 pagi pada 11 Disember pasukan 2/10th Baluch Regiment bergerak ke posisi pertahanan baru di Batu 28 ½ di barat Jalan Kota Bharu-Kuala Krai, dengan Kompeni B di sebelah kanan, Kompeni C di sebelah kiri, Kompeni D di bahagian simpanan manakala Kompeni A berada dalam posisi kawalan di Batu 15 ½ Jalan Pasir Puteh-Machang. Pasukan 2/12th Frontier Force Regiment pula berada di posisi pertahanan di sebelah timur Jalan Kota Bharu -Kuala Krai.
Pada jam 3.40 petang tentera musuh melakukan tembakan curi dari kawasan sawah padi di depan posisi pertahanan mereka dan dari timbunan kayu di tengah sawah padi sehingga senja. Pada jam 3.45 petang semasa briged berundur ke posisi pertahanan ini, pegawai dari unit jurutera 19th Field Company Bombay Sappers & Miners telah meletupkan jambatan jalan utama di Batu 27 terlalu awal kerana terdapat rondaan oleh askar musuh berhampiran. Oleh itu, unit pengawal belakang briged, iaitu psukan 4/19th Hyderabad Regiment, 3/17th Dogra Regiment dan Bateri Meriam Medan ke-73 telah terhalang di sebelah utara jambatan yang rosak itu. Unit pengawal belakang briged bersama dengan Kompeni A dari pasukan 2/10th Baluch Regiment mengawal di sebelah utara jambatan sehingga ia dapat diperbaiki dan pada sebelah malam pasukan ini serta senjata berat mereka dapat dibawa ke seberang dengan selamat.
Peristiwa Pada 12 Disember 1941
Pada 12 Disember, kubu parit untuk senjata telah digali di sepanjang tebing terusan dan kedudukannya telah diperkuatkan dan mereka telah bersedia untuk bertindak. Pada malam 12-13 haribulan, unit peronda tentera Jepun dari Rejimen Infanteri ke-56 yang diketuai oleh Kolonel Yoshio Nasu mara ke bandar Machang. Pada jam 6.30 pagi 13 Disember, satu platun dari Kompeni C pasukan 2/10th Baluch Regiment yang diketuai oleh Subedar Karam Chand telah dihantar ke hadapan di jalan utama untuk menghalang pasukan peronda musuh. Kira-kira 360 meter dari barisan hadapan mereka, anggota platun ini terpaksa merebahkan diri untuk mengelak tembakan musuh. Pada jam 7.30 pagi mereka melaporkan bahawa terdapat 1 kompeni tentera musuh berada dalam hutan di sebelah barat bandar Machang.
Dalam kawasan padi itu terdapat banyak lumpur, air, serta lintah. Oleh itu, sukar bagi mereka untuk mengambil posisi untuk menembak ke arah musuh. Platun itu berbalas tembak dengan askar Jepun dan terdapat anggota yang terkorban di kedua-dua belah pihak. Akhirnya pada jam 8.15 pagi platun ini telah dikepung, ditawan dan dilucutkan senjata oleh tentera musuh. Sudah jelas bahawa tentera musuh hadir dengan kekuatan yang lebih besar daripada yang mereka duga. Pada jam 8.15 pagi, Panglima Briged India ke-8 Brigedir B.W Key tiba dan membincangkan situasi ini dengan Leftenan-Kolonel J.G. Frith, komander pasukan 2/10th Baluch Regiment. Serangan akan dilakukan dengan 2 kompeni hadapan pasukan mereka .
Peristiwa Pada 13 Disember 1941
Setelah melakukan peninjauan secara ringkas, pada jam 9.00 pagi Kompeni A (sebelah kiri) dan Kompeni D (sebelah kanan) pasukan 2/10th Baluch Regiment melancarkan serangan ke dalam hutan di sebelah barat bandar Machang. Mereka tidak menerima sokongan tembakan dari pasukan artileri medan kerana lokasi Pos Pemerhati yang sesuai untuk unit artileri tidak dapat ditemui di sekitar itu. Namun, pada jam 9.20 pagi Kompeni B memberikan tembakan sokongan yang dibantu oleh satu Seksyen kereta perisai Bren Gun Carrier, diikuti lima minit kemudian oleh satu Seksyen lagi, yang mara di sepanjang jalan sambil menembak mesingan mereka.
Bentuk muka bumi adalah sangat buruk dan tidak sesuai bagi anggota pasukan Baluch yang lengkap bersenjata yang terpaska bergerak sejauh 730 meter melalui kawasan padi yang basah serta melalui terusan yang agak dalam.
Kompeni A pasukan 2/10th Baluch yang diketuai oleh Kapten Thiselton-Dyer tiba di objektif mereka sekitar jam 10.00 pagi setelah menghadapi tentangan tentera musuh semasa dalam perjalanan.
Kompeni D pula menghadapi tentangan yang lebih sengit dan kemaraan mereka dihalang kira kira 270 meter dari objektif mereka. Kereta perisai Bren Gun Carrier tidak dapat bergerak di luar jalan, kerana tentera Jepun telah meletupkan jambatan di selatan bandar Machang dan mereka tidak dapat sampai ke bandar Machang.
Semasa kemaraan ini anggota platun Kompeni C yang telah ditawan sebelum itu berjaya melepaskan diri kerana askar musuh tidak sempat menghantar mereka ke bahagian belakang. Subedar Karam Chand telah cedera dan empat askar India yang lain turut cedera dan mereka dipindahkan ke bahagian belakang.
Pada kira-kira jam 10.00 pagi semasa kedua-dua kompeni pasukan Baluch ini hampir sampai ke objektif mereka, pasukan Markas Hadapan Batalion Baluch yang terletak di tepi jambatan Sungai Sat bergerak ke arah timbunan kayu di sebelah timur jalan. Tiba-tiba tembakan curi dilepaskan oleh musuh dari bawah timbunan kayu lebih kurang 10 meter di sebelah utara jambatan, mujurlah tidak ada yang terkena tembakan. Setelah beberapa das tembakan dilepaskan dengan senapang sub-mesingan oleh pasukan Markas Hadapan Batalion Baluch ke arah timbunan kayu itu dan juga Lt-Kol Arthur Edward Cummings komander pasukan 2/12th Frontier Force Regiment yang telah melemparkan bom tangan, tiga askar Jepun yang mati dikeluarkan dari timbunan kayu ini.
Pada jam 12.00 tengahari setelah pergerakan kedua dua kompeni itu terhalang mereka telah diarahkan untuk berudur ke kawasan pertahahan baru di utara jambatan gantung Sultan Ismail. Anggota pasukan 2/10th Baluch Regiment yang terkorban terpaksa ditinggalkan kerana mereka tidak dapat menghantar usungan melalui kawasan sawah padi. Dalam pertempuran di Machang ini 18 orang anggota pasukan 2/10th Baluch Regiment telah terbunuh manakala 22 yang lain cedera serta 11 anggota mereka hilang. Kapten Thiselton-Dyer cedera tetapi dia tetap bertugas. Korban pihak Jepun dianggarkan sekitar 100 terbunuh. Setelah pertempuran ini tentera Jepun telah membina batu bersurat di tepi jambatan Sg. Sat Machang yang kemudiannya dipindahkan ke kawasan SMK Hamzah.
#PPSK
Pautan artikel menarik yang berkaitan :-
No comments:
Post a Comment