Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Showing posts with label Utusan. Show all posts
Showing posts with label Utusan. Show all posts

Friday, 6 January 2023

26 DISEMBER 1969 SAAT-SAAT TERAKHIR DI PENGHUJUNG USIA MAT KILAU

Arkib : 05 April 2020


Saat-saat terakhir di penghujung usia Mat Kilau

"Pertemuan Antara Mat Kilau dengan Dato' Bahaman"

Pada hari Jumaat, 26 Disember 1969, Mat Kilau telah pergi ke masjid di Kampung Masjid untuk bersembahyang Jumaat. Selepas sembahyang, Mat Kilau membaca Quran seketika (tidak dapat dipastikan surah apa) dan kemudiannya arwah mengisytiharkan dirinya sebagai Mat Kilau.

Setelah pengumuman, Mat Kilau dibawa pulang ke rumahnya semula di Batu 5 Jalan Gambang, Kuantan. Ketika itu, kedengaran pula di Peramu, Kuantan ada seorang tua yang bergelar Tok Guru Peramu. Ketika itu menantu yang juga adalah Murid Mat Kilau (Haji Abu Bakar) bertanya siapakah sebenarnya gerangan Tok Guru Peramu itu. 

Mat Kilau menjawab itu "Orang Hanyut". Maksud sebenar Mat Kilau Orang Hanyut adalah "Orang dari Hulu Semantan yang ke Hilir Ke Kuantan". Bermakna Tok Guru Peramu adalah Dato' Bahaman. Mat Kilau meminta Haji Abu Bakar menemaninya ke Rumah Tok Guru Peramu @ Dato' Bahaman. 

Haji Abu Bakar pun pergi bersama Mat Kilau berjumpa Tok Guru Peramu. Apabila sampai sahaja di hadapan rumah Tok Guru Peramu, tiba-tiba Tok Guru Peramu Peramu menuding jarinya ke arah Mat Kilau dengan mengatakan Mat Kilau 'orang jahat mulut' yang bermaksud Mat Kilau telah membuka rahsia dirinya.

Selepas itu mereka berdua berpelukan dengan begitu erat untuk beberapa seketika. Pelukan itu jelas adalah pelukan yang siapa memandangnya juga akan merasa sebak. Kerana Tok Guru Peramu tahu Mat Kilau akan menemui ajal tidak lama lagi. 

Mereka berdua tahu akan petanda ajal, kerana mereka bersama bersumpah bersama sahabat perjuangan yang lain dan pantang Sumpah Para Pahlawan itu adalah dilarang mendedahkan identiti sebenar mereka, sepertimana yang dilakukan Mat Kilau kerana telah mengisytiharkan dirinya sebagai Mat Kilau Anak Tok Gajah. 

Jika seorang pahlawan yang engkar dan melanggar sumpah itu, maka pahlawan itu akan menemui ajalnya dalam masa yang terdekat iaitu dalam beberapa hari. Ini mungkin kedengaran mengarut bagi yang tidak percaya, akan tetapi terpulang kepada diri anda masing-masing. Tidak ada paksaan kepada anda untuk percayakannya. 

Sebelum Mat Kilau datang berjumpa Tok Guru Peramu, Tok Guru Peramu pernah berkata, 

"Kalau Mat Kilau hidup dia tak selamat  dan kalau selamat dia tak hidup"

Ada juga beberapa orang yang bertandang ke rumah Tok Guru Peramu yang bertanyakan soal Mat Kilau. Jawapan Tok Guru Peramu lain-lain tetapi maksudnya tetap berkaitan ajal, seperti "Agaknya Mat Kilau itu nak pendek umur." 

Semasa Mat Kilau muncul dan belum isytiharkan dirinya, Mat Kilau masih sihat dan boleh berjalan seperti biasa. Tetapi selepas saja pengakuan itu dibuat, Mat Kilau jatuh sakit. Kakinya bengkak dan mulutnya menjadi herot dan senget. (Mungkin Mat Kilau telah dapat petanda besar mengenai ajalnya). Ilmu Allah itu luas. 

Ada satu lagi kisah pada akhir hayat Mat Kilau berjumpa dengan beberapa orang. Orang itu adalah Mat Kelubi. Walaupun mengikut cerita sebenarnya, Mat Kelubi telah mati ditembak dan dipenggal kepalanya di sungai. Akan tetapi Mat Kelubi tetap hadir menziarahi Mat Kilau. Orangnya kecil sahaja tidak sampai 5 kaki. 

Selain itu, menurut menantu Mat Kilau iaitu Haji Abu Bakar, pada suatu malam seorang yang tidak dikenali diiringi oleh dua orang yang lengkap berpakaian seperti hulubalang zaman dahulu telah datang menziarahi Mat Kilau. 

Pada waktu itu, Haji Abu Bakar agak letih. Orang itu mengucapkan terima kasih kepada Haji Abu Bakar kerana telah menjaga Mat Kilau. Mereka meminta izin untuk pulang dan terus ghaib dari pandangan mata kasar.

Sekian.

Sumber : Perkongsian daripada WhatsApp Sejarah Dunia 🇲🇾 https://chat.whatsapp.com/FcsCeBrJhB951tIj2ihHsz

----------------------------------

Arkib : 06 Julai 2022


Wajah lelaki yang dikatakan Mat Kilau setelah muncul kembali pada tahun 1969

TRIVIA TOKOH : KEMUNCULAN SEMULA “MAT KILAU” DI TANAH MELAYU

Foto Mat Kilau selepas kemunculan semula pada Disember 1969. Foto dirakamkan oleh jurufoto, Allahyarham Haji Wan Musa Wan Omar di Kuantan, Pahang. Sejurus kemunculan seorang lelaki yang mendakwa dirinya Mat Kilau, Kerajaan Pahang menubuhkan  Jawatankuasa Menyiasat Munculnya Mat Kilau pada 8 Januari 1970.  
 
Jawatankuasa itu kemudian mengisytiharkan lelaki itu ialah Mat Kilau.  Selepas kemunculannya, lelaki berkenaan kemudian menghembuskan nafasnya yang terakhir. Menurut anak jurufoto berkenaan, Wan Rafiqah Wan Musa foto itu diambil ayah mereka ketika mengusahakan BP Foto di Kuantan. 
 
Di belakang foto berkenaan tercatat nota bertulis tangan kemunculan semula Mat Kilau dan tarikh beliau meninggalkan dunia buat selama-lamanya, iaitu pada 16 Ogos 1970 bersamaan 14 Jamadilawal 1390 H. 

Al- Fatihah

Sumber : Pertiwi & Prof. Dr. Zainur Rashid Zainuddin

#TriviaTokohBraderFilem


----------------------------------

Arkib : 08 Ogos 2022 

Lokasi persembunyian, anak isteri dan sebab Mat Kilau tukar nama

DALAM wawancara pertama selepas kemunculan semula Mat Kilau, beliau mendedahkan pelbagai kisah sepanjang persembunyiannya.

Tempoh lebih tujuh dekad bukan sekejap. Dalam tempoh tersebut, Tanah Melayu sendiri melalui pelbagai peristiwa bersejarah. Dari pemerintahan British, kemasukan tentera Jepun, 14 hari pemerintahan komunis, darurat, penubuhan Malayan Union, kemerdekaan sehingga nama Tanah Melayu ditukar kepada Malaysia.

Menurut Mat Kilau, selepas diusir Hugh Clifford, beliau merantau sehingga ke Kampung Penar dan Kampung Jambu di Pattani, Thailand, menjadi guru silat di sana. Beliau kemudiannya berpindah ke Kelantan selama tiga tahun dan ke Kampung Pasir Nering, Kuala Berang, Terengganu selama tujuh tahun. Di Terengganu, beliau tinggal bersama ayahnya, Imam Rasu atau lebih dikenali sebagai Tok Gajah.

“Ayah meninggal dunia di hadapan mata Aki di Pasir Nering. Aki kemudiannya membuat keputusan untuk ke Pahang,” kata Mat Kilau kepada dua wartawan Utusan Malaysia yang mewawancaranya, Nordin Mohammad dan Haji Alang Ahmad.

Janji dengan Sultan

Mat Kilau tinggal di Kampung Tanjung Medang, Pekan Pahang sehingga berlakunya banjir besar di negeri itu pada 1926. Kemudian, atas titah Almarhum Sultan Abdullah, beliau berpindah ke Kampung Batu Lima, Jalan Maran, Kuantan pada 1927. 

Dalam pertemuannya bersama Menteri Besar Pahang ketika itu, Tan Sri Yahya Mohd. Seh dan beberapa ahli sejarah, tiga hari selepas mendedahkan identiti di Kampung Pulau Tawar, Mat Kilau mendedahkan punca beliau menyembunyikan diri.

Kata beliau, persembunyian itu merupakan janji antara dirinya dengan Sultan Abdullah yang turut menitahkan supaya beliau menukar nama kepada Mat Siam. Ini kerana Mat Kilau telah menjadi buruan British selepas melakukan pemberontakan bersama beberapa rakan yang lain. 


Pahlawan Mat Kilau (tengah) ditemu bual ketika muncul di Kampung Kedondong, Pulau Tawar, Jerantut, Pahang pada 26 Disember 1969. Usia beliau ketika itu kira-kira 122 tahun

KERATAN laporan Utusan Malaysia tentang kemunculan semua Mat Kilau pada 29 Disember 1969. Hubungi Pusat Maklumat dan Arkib Media Mulia Sdn. Bhd. untuk maklumat berkenaan laporan terdahulu Utusan Malaysia. Hubungi 03-74556428 atau emel infocenter@mediamulia.com.my.

Bilangan isteri dan anak-anak

Di Kampung Batu Lima, Mat Kilau telah berkahwin dengan Che Ajrah Abu Bakar dan mempunyai enam orang anak. Sebelum persembunyiannya, Mat Kilau berkahwin dengan Yang Shik Daud dan dikurniakan empat orang anak. Dua anak daripada perkahwinan pertamanya, Omar dan Khadijah masih hidup pada 1969.

Pada tahun itu juga, semua adik-beradiknya seramai empat orang telah meninggal dunia. 

Dua wartawan Utusan Malaysia itu juga berjaya menemui dan menemu bual Che Ajrah. Menurut Che Ajrah, dia bertemu dengan Mat Kilau yang ketika itu menggunakan nama Mat Siam di rumah saudaranya di Kampung Batu Lima. Mat Kilau menumpang di sana. 

“Dengan perantaraan saudara-mara sebelah saya, kami telah mendirikan rumah tangga dan mendapat enam orang anak,” kata Che Ajrah.

Anak sendiri tidak tahu Mat Siam itu Mat Kilau

Dalam satu laporan pada 30 Disember 1969, dua orang anak Mat Kilau dalam perkahwinan dengan Che Ajrah berkata mereka terkejut apabila mendapat tahu ayahnya yang dikenali sebagai Mat Siam itu sebenarnya pahlawan terbilang.

Anak sulungnya, Minah dan anak bongsunya, Abu Bakar berkata, ayahnya tidak pernah bercerita bahawa dia sebenarnya Mat Kilau, pahlawan Pahang yang masyhur kerana keberaniannya menentang British.

“Kami tidak pernah percaya cerita-cerita ayah mengenai perjuangan pahlawan-pahlawan zaman dahulu kerana kami menganggap ayah sudah nyanyuk,” kata Abu Bakar.

Dalam laporan berasingan pada 31 Disember 1969, cucu Mat Kilau yang tidak dinamakan berkata, dia mendapat ilham untuk mencari Mat Kilau selepas didatangi moyangnya, Tok Gajah dalam mimpi. Dalam mimpi itu, Tok Gajah yang menyuruhnya mencari Mat Kilau.

Anak Mat Kilau, Omar pula bercerita, sebuah busut timbul di bawah tangga rumahnya sejak 30 tahun sebelum itu. Katanya, dia cuba membuang busut itu sebanyak 20 kali tetapi ia tetap tumbuh kembali.

“Setelah rumah lama diruntuhkan dan dibuat rumah baharu yang bersimen, busut itu tumbuh lagi, bersetentang di bawah tangga naik ke loteng,” katanya. Dia kemudiannya didatangi seorang tua berjubah hijau dalam mimpinya, yang meminta supaya tidak mengusik busut tersebut kerana ia tidak meminta makan dan ia akan membawa rahmat.

Omar juga berkata, dia tidak pernah mengesyaki bahawa Mat Siam yang dia kenali selama ini ialah ayahnya sendiri, iaitu Mat Kilau. – RELEVAN

https://www.facebook.com/story.php?story_fbid=pfbid02cB39uiUEtCFVxFmeC7u5YoYeacmWa9sN8jhAYnv1VFHxRRyjNWJJKGgFzkgUHk1dl&id=100063886173763

"Orang Melayu tak akan mulia hanya dengan adat, budaya dan kesultanan, tetapi kita mulia dengan agama dan Allah. Untuk kekal mulia carilah Allah." #MatKilau

https://t.me/zainurrashid

https://www.facebook.com/155707591143880/posts/pfbid02P6LURSBUZVgTUXSPZQvExQDESUANATu2p8aQt4ZNnxvR1mqcZbtPuTHv7hK3hMRcl/

Pautan artikel lain yang berkaitan :-

MAT KILAU KEBANGKITAN PAHLAWAN

https://normanhafizi.blogspot.com/2023/01/mat-kilau-kebangkitan-pahlawan.html

Thursday, 22 December 2022

17 DISEMBER 1931 PENERBITAN AKHBAR MAJLIS

Pada hari ini dalam tahun 1931, akhbar 'Majlis' mula diterbitkan. Sehingga bulan Mac 1937, ia dikeluarkan dua kali seminggu, kemudian tiga kali seminggu sehingga tahun 1939 dan dikeluarkan sebagai akhbar harian sehingga tahun 1941. Majlis merupakan akhbar Melayu yang pertama dicetak di Kuala Lumpur. Untuk beberapa tahun yang awal (1931-1935), Abdul Rahim Kajai menjadi pengarang Majlis yang pertama. Selepas Perang Dunia Kedua pula pengarangnya yang paling giat dan paling lama membimbing akhbar ini ialah Abdul Samad Ahmad iaitu antara tahun 1949-1954.

Majlis telah memenuhkan halamannya dengan perkara-perkara yang bersangkut paut dengan kepentingan orang-orang Melayu. Ini memang telah dinyatakan sendiri di dalam naskhah sulungnya. Di antara perkara-perkara pokok yang mendapat perhatian 'Majlis' ialah soal pelajaran orang-orang Melayu, ekonomi orang-orang Melayu dan kegiatan politik orang-orang Melayu yang mulai jelas kelihatan menjelang akhir tahun 1930-an. Dalam hal ini kebolehan para pengarangnya mengeksploitasi persoalan-persoalan ini menyebabkan Majlis menjadi akhbar terkemuka di Tanah Melayu. Akhbar-akhbar Melayu sebelum perang terutamanya dan juga akhbar-akhbar selepas perang juga turut bertanggungjawab dalam menyedarkan orang-orang Melayu di dalam mengharungi kehidupan di tanahair yang selalu berubah.

Memang banyak bilangan akhbar dan majalah Melayu yang muncul sebelum Perang Dunia Kedua, tetapi umurnya tidak panjang. Masalah pokok yang dihadapi oleh akhbar dan majalah Melayu itu ialah soal kewangan. Bagaimanapun 'Majlis' yang lahir pada hari ini dalam tahun 1931 dapat bertahan hingga meletusnya Perang Dunia Kedua. Ini bukan sahaja kerana kedudukan kewangan yang kukuh tetapi juga kerana kebolehan pengarang-pengarangnya memaparkan perkara-perkara yang membangkitkan semangat orang-orang Melayu. Dari apa yang telah ditunjukkan oleh 'Majlis' maka ia dapat dianggap sebagai akhbar kebangsaan Melayu yang unggul yang dapat memenuhi selera pembaca waktu itu, kerana perhatian yang ditumpukannya kepada kedudukan orang-orang Melayu keseluruhannya.

Sumber : Arkib Negara


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

08 NOVEMBER 1907 PENERBITAN AKHBAR UTUSAN MELAYU DI SINGAPURA


Tuesday, 8 November 2022

08 NOVEMBER 1907 PENERBITAN AKHBAR UTUSAN MELAYU DI SINGAPURA

 

Pada hari ini dalam tahun 1907, Akhbar Utusan Melayu telah diterbitkan di Singapura. Akhbar tersebut telah dicetak dan diterbitkan oleh Singapura Free Press. Akhbar ini dicetak dalam tulisan jawi dan rumi dalam empat halaman bertujuan untuk memudahkan pembaca yang tidak dapat menguasai tulisan jawi atau rumi. Namun begitu ruangan dalam tulisan jawi lebih banyak dan memuatkan berita-berita ringkas serta iklan. Di antara pengarang akhbar ini ialah :-
  1. Encik Yunos Abdullah (1907-1909), 
  2. Encik Abdul Hamid Miskin (1909-1914), 
  3. Encik Mohd Ismail Abdul Kadir (1914-1918) dan 
  4. Syed Sadullah Khan (1908-1921).
Pada awal penerbitannya, akhbar Utusan Melayu ini diterbitkan tiga kali seminggu. Pada tahun 1915, akhbar ini diterbitkan sebagai akhbar harian sehingga tahun 1921 sebelum penerbitannya dihentikan. Bertitik tolak dari penerbitannya pada 1907 itu, akhbar Utusan Melayu terus kekal menjadi lidah perantaraan dalam berbagai topik yang sentiasa melaporkan pelbagai peristiwa yang berlaku di dalam dan luar negara. Akhbar Utusan Melayu juga turut menyumbang dalam menyalur gerakan nasionalisme Melayu sehingga membawa kepada perjuangan memerdekakan tanah air pada 31 Ogos 1957.


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

02 NOVEMBER 1932 PENERBITAN AKHBAR SUARA BENAR DI MELAKA


Friday, 4 November 2022

02 NOVEMBER 1932 PENERBITAN AKHBAR SUARA BENAR DI MELAKA


Pada hari ini dalam tahun 1932, akhbar Suara Benar telah diterbitkan di Melaka oleh Melaka Latifah Press.Akhbar ini dengan prinsip Berani Kerana Benar, Takut Kerana Onar telah diterbitkan di Bandar Hilir Melaka.Ia ditulis dalam Bahasa Melayu dengan huruf jawi dan dicetak oleh Melaka Latifah Press. Akhbar Suara Benar melaporkan berita-berita dan peristiwa-peristiwa penting terutama peristiwa-peristiwa yang berlaku di Melaka dan kawasan sekitar.Terdapat juga berita yang melaporkan peristiwa yang berlaku di luar negeri.

Ruangan Pengarang banyak memberi pandangan, kesedaran dan buah fikiran yang bernas berkaitan kepentingan ilmu pengetahuan, moral dan masalah sosial bangsa Melayu ketika itu.Akhbar ini berhenti penerbitannya pada awal 1934, tetapi peranan cukup besar dalam menyampaikan maklumat kepada penduduk terutama di sekitar negeri Melaka dan juga dunia persuratkhabaran Melayu di negara ini.

#hariinidalmasejarah


LAUNCHING OF THE RENONG SHIP WITH A HISTORY

https://normanhafizi.blogspot.com/2020/08/renong.html

Saturday, 8 October 2016

DR HARON DIN TOKOH PENYATUAN UMMAH

Arkib : 09 Oktober 2016


Rakyat Malaysia menangisi kehilangan sebutir permata ummah yang sangat tinggi ilmunya dan sumbangannya kepada seluruh masyarakat Islam.

Pemergiannya terlalu mendadak sehinggakan ramai yang sukar menerimanya lantaran keilmuannya masih lagi didambakan oleh seluruh umat Islam di Malaysia.

Latar belakang akademik dan pengalaman keilmuan yang dimiliki sudah cukup untuk membuktikan bahawa beliau ialah tokoh yang amat disegani oleh kawan dan lawan.

Menjadi rujukan utama dalam pelbagai bidang, mengasaskan dan mengembangkan ilmu pengubatan Islam, memangkinkan perjuangan gerakan Islam di Malaysia dan konsisten dalam setiap ucapan dan tindakan menjadi trademark kepada kehebatan peribadi mulia ini.

Dalam kelembutan wajah dan manis senyumannya, setiap pendiriannya dituturkan dengan penuh hikmah dan tegas dalam pelaksanaannya.

Nama Tuan Guru Datuk Dr. Haron Din bukanlah baharu dalam bidang politik dan dakwah di Malaysia. Seawal tahun 80an lagi beliau sudah menyinar dan dilihat sebagai ikon yang bakal memimpin masyarakat Islam di Malaysia. Beliau mewakafkan dirinya demi perjuangan Islam dan menginfaqkan seluruh tenaga kudratnya dalam melaksanakan misi dakwah di negara ini.

Dakwahnya merentasi sempadan politik dan perkauman, menumpukan kesatuan Islam bagi masyarakat Melayu serta berusaha mendaulatkan Islam sebagai teras kepada perpaduan dalam negara.

Keberanian beliau menerima tanggungjawab sebagai Ketua Kluster Dakwah, Majlis Perundingan Islam (MPI) di bawah kelolaan Kerajaan Persekutuan membuktikan pendirian berhikmah beliau serta menzahirkan politik yang matang dan sejahtera berasaskan prinsip ajaran Islam yang sebenar.

Ini mencetuskan paradigma baharu kesatuan dan perpaduan masyarakat Islam khususnya, di samping memangkinkan proses mendaulatkan Islam yang menjadi teras dan tunjang bagi keharmonian dalam negara.

Amat mengagumkan apabila perbezaan fahaman politik dan perkauman terus dihapuskan lantaran pemergian beliau. Ucapan takziah dan kesedihan atas pemergian Allahyarham oleh pemimpin kerajaan serta tokoh-tokoh politik tanah air tanpa mengira fahaman parti memberikan gambaran jelas bahawa beliau ialah tokoh yang luar biasa.

Jurang politik sempit berjaya dihapuskan dan politik dakwah beliau membuahkan hasil yang mengagumkan.

Tuan Guru Dr. Haron Din pastinya amat sinonim dengan pengubatan Islam di Malaysia. Kaedah rawatan menggunakan Rukyah Syariah yang telah diasaskan semenjak 1977 berjaya menarik keluar kepercayaan tahyul masyarakat Melayu kepada pengubatan Islam yang tulen.

Beliau seterusnya mengasaskan Persatuan Kebajikan dan Pengubatan Islam (Darussyifa) pada 1988 yang seterusnya merintis kepada perkembangan secara besar-besaran kaedah rawatan Islam yang bukan hanya memfokuskan kepada penyakit rohani, malah sebagai komplimentari kepada rawatan penyakit fizikal dalam perubatan alopati.

Sehingga kini, Darussyifa telah berjaya melahirkan lebih 6000 pe­rawat Islam bertauliah, 65 pusat rawatan di seluruh negara serta 13 kelas pengajian pengubatan Islam hampir di setiap negeri di Malaysia.

Pengiktirafan daripada Kementerian Kesihatan terhadap Pengubatan Islam adalah cita-cita utama beliau dan menjadi kejayaan paling manis bagi perjuangannya dalam pengubatan Islam.

Saya amat yakin semua anak murid dan kenalan rapat beliau pasti mengakui bahawa ilmu ikhlas adalah ajaran dan anugerah terbesar beliau kepada kita semua untuk dicontohi.

Keikhlasan beliau dalam setiap pengucapan dan tindakan memberikan kesan yang sangat mendalam, melebihi kepentingan lain yang selalu merosakkan nilai sesebuah amalan.

Buktinya, pemergiannya ditangisi kawan dan lawan, mengundang jutaan takziah dari segenap pelosok dunia, dan legasi perjuangannya didokong utuh oleh anak murid dan para pengikutnya yang istiqamah sehingga kini!

Allahyarham amat sinonim dengan keilmuan dan dakwah. Paling menarik, pasca pemergian beliau juga mencetuskan paradigma ilmu baharu pengurusan jenazah yang menepati Sunnah Nabawiyyah sekali gus menghapuskan dogma kolot yang lama membekas dalam masyarakat Melayu.

Kehadirannya mencurahkan lautan ilmu, pemergiannya mencetus paradigma baharu dan pastinya menyuntik semangat perjuangan Islam kepada seluruh umat Islam di Malaysia.

Jasa dan sumbangan beliau dalam menyatukan masyarakat Melayu dalam pelbagai bidang wajar dihargai dan dicontohi.

Beliau berjaya menyatukan pemikiran masyarakat Melayu daripada fahaman tahyul kepada kesatuan aqidah yang jitu. Beliau berjaya menghapuskan fahaman politik sempit kepada politik Islam yang membimbing kawan dan seteru. Beliau merintis perubahan kefahaman pemikiran masyarakat Islam kepada mendaulatkan ajaran Islam yang satu.

Maka beliau amat layak dinobatkan sebagai Tokoh Penyatuan Ummah di Malaysia, di dunia jasamu menggunung, ganjaran baik di syurga menunggu.

Berehatlah dengan tenang wahai guruku, Murabbi ummah yang sentiasa membimbing umatmu.

Nikmatilah kerehatan yang hakiki, setelah perjuanganmu di dunia tidak pernah terhenti, selagi nyawa dikandung badan, budi dan keringat telah engkau curahkan. Doa dari kami anak-anak muridmu sentiasa mengiringimu sehingga akhir hayat kami.-20/9/2016

PENULIS ialah Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS) Universiti Teknologi Mara, Shah Alam, Selangor. 

Rencana ini kali pertama disiarkan oleh Utusan Malaysia.

Friday, 22 July 2016

Senarai pemimpin ‘Parti Melayu Baru Bersatu’ jadi viral


Senarai barisan kepemimpinan tertinggi ‘Parti Melayu Baru Bersatu’ menjadi viral melalui media sosial termasuk Facebook dan Twitter hari ini.
Berdasarkan senarai tersebut, bekas Timbalan Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai Presiden manakala bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal menjadi Tim­balannya.
Naib Presiden terdiri daripada bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ib­rahim; bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Rafidah Aziz dinamakan sebagai Bendahari dan bekas Naib Ketua UMNO Ba­hagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan memegang jawatan Setiausaha Agung.
Antara yang disenaraikan sebagai ahli Majlis Tertinggi adalah bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar; bekas Naib Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Kamilia Ibrahim; bekas Ke­tua Menteri Melaka, Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali.
Sementara itu, Abdul Wahid berkata, adalah tidak masuk akal memasukkan namanya da­lam senarai barisan kepimpinan parti berkenaan.
“Saya nafikan sekeras-keras­nya bahawa saya berniat menjadi ahli parti baharu ini.
“Semoga Allah SWT memberi petunjuk kepada pereka senarai pemfitnah tersebut,” kata beliau melalui aplikasi WhatsApp kepada Mingguan Malaysia hari ini.
Rafidah pula ketika dihubungi menyifatkan senarai yang turut membabitkan namanya sebagai sesuatu yang karut.
Dalam pada itu, Ibrahim berkata, kesahihan senarai itu boleh dipersoalkan dan mungkin dilakukan oleh pihak tertentu yang kurang bijak serta berhati jahat.
Menurut beliau, agak sukar diterima akal apabila tokoh-tokoh seperti bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz turut disenaraikan dalam barisan Majlis Ter­tinggi.
Utusan

Wednesday, 8 June 2016

Akar umbi PKR desak Azmin berundur



Akar umbi PKR dikatakan mahu Timbalan Presiden mereka, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berundur berikutan Menteri Besar itu didakwa semakin tamakkan kuasa sehingga menyebabkan parti tersebut semakin lemah.

Timbalan Presiden Gagasan Solidariti Rakyat Selangor, Ha­nisya Abdul Hamid mendakwa, Mohamed Azmin adalah punca PKR kian lemah dan berpecah dengan kartel-kartelnya kini sedang mempergiatkan aktiviti untuk mengambil alih pucuk kepemimpinan parti.

Dakwanya, perancangan dan gerakan tersebut dilakukan melalui pihak dalaman parti dengan kerjasama serta bantuan daripada pihak luar yang secara tidak langsung seperti bersekongkol de­ngan Tun Dr. Mahathir Mohamad.

“Dulu alasan dan justifikasi singkirkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim daripada kerusi Menteri Besar dan memecatnya sebagai ahli PKR kerana kemerosotan hubungannya dengan parti.

“Pergolakan sejak akhir-akhir ini yang melanda dan merempuh PKR akibat keta­makan kuasa Mohamed Azmin dan percaturan politik Setiausaha Agung PKR, Rafizi Ramli te­lah memaksa Penasihat parti itu, Anwar Ibrahim memberi pe­ringatan melalui surat dari penjara.

“Kepemimpinan terpaksa bertindak tegas bagi menyelamatkan parti kerana rakyat yang mendokong, menyokong terutamanya anggota parti yang waras fikiran dan berjiwa merdeka sedang menunggu dan memerhati dengan penuh sabar dan teliti,” katanya yang juga ahli PKR kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Hanisya mendakwa, Mohamed Azmin kini sering membuat keputusan membelakangi Presiden parti, Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail dan seolah-olah beliau Presiden PKR.

“Segala kuasa dan pengaruh sebagai Menteri Besar dipergunakan secara maksimum demi memastikan cengkamannya kepada parti semakin kuat.

“Buktinya, pemilihan ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) menjadi kecoh dan kontroversi baru-baru ini manakala rata-rata pimpinan PKR peringkat cabang kini 89 peratus adalah pengikut dan penyokong tegar Mohamed Azmin,” jelasnya.

Dakwanya, tindak tanduk Mohamed Azmin yang langsung tidak patuh dengan kemahuan parti menyebabkan keadaan PKR dari hari ke hari semakin merun­cing dengan akar umbi semakin jauh terpisah dengan kepimpinan di semua peringkat.

“Kalau parti terus membisu, memekakkan telinga dan menutup mata tanpa ambil peduli, maka tunggu sahaja saat dan ketikanya rakyat akan ajar cukup-cukup apabila tiba pilihan raya,” ujarnya.

Utusan

Thursday, 12 February 2015

PUNCA SIRI ANIMASI HILANG

Arkib : 12 Februari 2015


Gambar : Animasi Ketika Era 1990 iaitu Keluang Man

RAMAI bertanya ke mana perginya siri animasi seperti Usop Sontorian, Keluang Man, dan Anak-anak Sidek yang pernah bersiaran pada hujung minggu suatu ketika dahulu?

Bagi peminat tegar, kehilangan siri animasi tersebut tanpa khabar berita amat dirasai.

Persoalan itu kemudiannya penulis lontarkan kepada Pengarah Urusan Anithink Studios Sdn. Bhd., Ameir Hamzah Hashim yang pernah terbabit dalam pembikinan siri animasi Usop Sontorian dan Keluang Man.

Menurutnya, terdapat banyak faktor menyebabkan syarikat gagal meneruskan penerbitan siri animasi berkenaan.

“Kegawatan ekonomi pada 1997 hingga 1998 merupakan salah satu sebab mengapa penerbitan siri animasi pada masa itu tidak dapat diteruskan. Krisis tersebut telah memberi kesan yang agak ketara kepada seluruh penerbitan.

“Siri animasi Keluang Man misalnya dihentikan setelah tiga tahun bersama masyarakat. Beberapa karyawan pula berpindah ke produksi-produksi animasi lain bagi meneruskan kerjaya masing-masing.

“Stesyen penyiaran juga terpaksa mengurangkan slot siaran bagi siri animasi menyebabkan syarikat lain tidak dapat meneruskan penerbitan disebabkan tiada platform untuk siaran kartun mereka,” katanya yang juga Timbalan Presiden 1, Animas.

Kos yang tinggi dan kekurangan modal menyebabkan perniagaan syarikat penerbitan animasi tidak dapat bertahan. Untuk menghasilkan sebuah karya yang berkualiti membabitkan penggunaan tenaga yang ramai, teknologi, peralatan dan perisian yang canggih.

“Setiap syarikat sudah tentu mahu menghasilkan animasi berkualiti, namun semakin tinggi kualitinya maka semakin banyak kerja yang perlu dilakukan. Jadi faktor-faktor ini yang menyebabkan kos penerbitan meningkat. Ditambah lagi polisi stesyen televisyen yang mahu animasi disiapkan mengikut ketetapan masa mereka, justeru semua itu berkait dengan kos.

“Pendapatan syarikat pula tidak boleh bergantung kepada bayaran daripada stesyen televisyen kerana ia tidak mencukupi untuk menampung kos penerbitan. Apa yang perlu dilakukan ialah mempelbagaikan perniagaan berasaskan produk animasi dan memperhebatkan strategi pemasaran. Namun, masalahnya syarikat tidak mempunyai modal yang banyak,” katanya.

Bercerita mengenai khalayak pula menurut Amir, penonton atau penggemar animasi tempatan tidak ramai dan ‘taksub’ seperti di negara lain.

“Di negara Jepun misalnya mereka mempunyai kelompok peminat tegar anime yang besar. Industri animasi di sana boleh dikatakan setanding dengan industri lain seperti sukan dan pemotoran. Pasaran di Jepun sahaja sudah mencukupi untuk memperolehi pulangan modal dan keuntungan yang tinggi. Animasi di Hollywood pula mempunyai sasaran khalayak yang jauh lebih besar meliputi peringkat global. Justeru mereka mempunyai pulangan yang lumayan kerana penonton dari seluruh dunia.

“Tidak seperti animasi tempatan, khalayak belum mencapai tahap seperti Jepun yang mempunyai peminat setia dan Hollywood yang meliputi global. Justeru untuk menjana pendapatan,syarikat tidak boleh bergantung kepada pasaran tempatan semata-mata dan perlu diperluaskan sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Namun ia bergantung kepada sambutan penonton yang dipengaruhi oleh kualiti kandungan animasi termasuk watak, karakter dan jalan cerita disamping starategi pemasaran yang berkesan. Lihat sahaja animasi Upin & Ipin yang bukan sahaja berjaya memikat hati penonton tempatan malah mereka juga mempunyai peminat sendiri di luar negara.

“Justeru, penyelidikan amat penting dan perlu dilakukan di dalam menerbitkan animasi yang berkualiti dan menarik. Semua itu memerlukan wang atau dana yang tinggi,” katanya.

Keringat di sebalik tabir Sang Kancil

PERIBAHASA Melayu ada mengatakan hendak seribu daya tak hendak seribu dalih. Barangkali kata-kata tersebut menjadi peransang kepada pelopor animasi negara, Hassan Abd. Muthalib sewaktu menghasilkan filem animasi pendek kedua iaitu Sang Kancil dan Monyet sekitar 1983.

Bayangkan dengan tidak mempunyai pengalaman dalam bidang pengarahan, penulisan mahupun pengetahuan tentang pembikinan kartun, namun dia berani menyahut cabaran memikul tanggungjawab tersebut.

Semua itu dilakukan atas semangat ingin mencuba, di samping mempelajari bidang yang dianggap baharu dalam industri tanah air pada ketika itu.

“Jika kita tidak berani menyahut cabaran serta berusaha mempelajari sesuatu yang baharu sampai bila-bila pun kita tidak akan tahu dan berjaya menghasilkan animasi. Sebab itu semasa diberi tugasan oleh pihak atasan, saya hanya terfikir untuk berkata saya boleh buat, walaupun menyedari banyak perkara yang perlu dilakukan selepas itu.

“Jadi boleh dikatakan pembikinan animasi Sang kancil dan Monyet merupakan satu latihan kepada kami. Selain mengarah, saya juga melakukan tugasan lain termasuk merangka jalan cerita, menulis skrip, membuat papan cerita dan menyelia para pelukis. Para pelukis juga dilatih berkaitan animasi,” katanya.

Sewaktu proses pembikinan, Hassan sering bertanya sekiranya terdapat kemusykilan dan pada masa sama beliau turut melakukan pelbagai kajian di samping menjadikan buku-buku sebagai sumber rujukannya.

Animasi ketika itu dibuat secara tradisional menerusi teknik yang disebut sebagai sel iaitu animasi dipindahkan dari kertas ke sejenis plastik yang dikenali sebagai seluloid. Kesemua proses yang melibatkan kerja-kerja melakar, mewarna, membuat papan cerita, memasukkan imej sehingga kepada proses produksi dilakukan secara manual.

“Kami melukis dengan tangan di atas kertas sebelum dipindahkan ke seluloid untuk proses membuat lakaran dan memasukkan warna. Untuk menghasilkan sebuah animasi selama satu saat memerlukan lebih kurang 10 hingga 12 keping lukisan. Bayangkan berapa keping lukisan diperlukan untuk membuat animasi yang berdurasi lebih seminit,”katanya.

Proses seterusnya membabitkan pengambaran yang menggunakan kamera animasi. Sel diletak satu persatu untuk dirakam. Proses tersebut berulang mengikut urutan sel sehingga selesai.

“Begitulah cara tradisional yang kami lakukan. Berbeza dengan zaman sekarang yang menggunakan teknologi canggih, kerja membuat animasi pun bertambah mudah,” katanya yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Unit Senireka di bawah Filem Negara.

Menurutnya lagi, dari segi ucapan dialog setiap watak pula, mereka tidak menggunakan suara pelakon profesional sebaliknya mendapatkan khidmat kakitangan jabatan itu.

“Pada masa itu tiada peruntukan untuk mendapatkan khidmat pelakon luar jadi terpaksa menggunakan suara daripada tiga kakitangan di jabatan kami.

“Petugas makmal, Zainab Wahab meminjamkan suara untuk watak kancil; kerani penerbitan, Nordin Yusof meminjamkan suara untuk monyet, sementara suara latar pula menggunakan khidmat juruanimasi sendiri, Napsiah A. Kadir,” katanya.

Meskipun tayangan filem animasi pendek itu berdurasi empat minit lebih namun proses untuk menyiapkannya mengambil masa selama enam bulan sebelum disiarkan pada 1984.

Kejayaan menghasilkan filem animasi pendek itu telah mencipta sejarahnya tersendiri dalam industri animasi tanah air biarpun tanpa sebarang kepakaran dan teknologi digital yang canggih.

Malah dapat dilihat penambahbaikan dan kelainan yang ditonjolkan Hassan dalam animasi yang dihasilkan antaranya menerusi elemen lucu yang dimasukkan ketika monyet makan cili, api keluar dari telinga lalu melompat dan akhirnya badan menjadi merah.

Begitu juga dari segi jalan cerita yang diadaptasi dan dialog yang dibuat ringkas serta bersesuaian dengan animasi membuatkan ia mudah dan terus diingati sehingga hari ini.

Saturday, 5 July 2014

Kehilangan Fraser kekal misteri

MENYERUPAI suasana kampung di kawasan pedalaman Scotland dengan seni bina bangunan bercirikan Tudor merupakan antara keunikan dan tarikan yang terdapat di Bukit Fraser.

Terletak pada ketinggian 1,420 meter dari aras laut, pusat peranginan itu turut menawarkan keindahan alam semula jadi di samping kepelbagaian spesies burung, flora dan fauna.

Memiliki khazanah hutan yang terpelihara daripada pembangunan melampau, Bukit Fraser sering menjadi tumpuan pencinta alam dan destinasi percutian bagi pasangan yang mahu menghirup udara segar dan menikmati ketenangan di tanah tinggi.

Mengimbau sejarah awal pembukaan Bukit Fraser sebagai pusat peranginan, Pengurus Besar Pelancongan Pahang, Ishak Mokhtar berkata, tanah tinggi itu mendapat nama sempena kehilangan seorang pengembara Scotland, Louis James Fraser.

"Berdasarkan penulisan bekas Pesuruhjaya Tinggi British, George Maxwell, Fraser merupakan seorang akauntan yang disifatkan sebagai individu yang mempunyai semangat pengembaraan yang tinggi.

"Ini dapat dilihat apabila beliau yang kecewa dengan hasil perusahaan lombong emas di Australia, berhijrah ke Tanah Melayu untuk mencuba nasib di dalam perusahaan lain.

"Ketika perlombongan biji timah sedang berkembang pesat sekitar tahun 1890-an, Fraser telah datang ke Pahang dan menetap di Tras.

"Di sana Fraser menjadi peraih bijih timah dengan membeli bijih timah dari pelombong-pelombong Melayu serta Cina dan kemudian mengangkut muatannya itu menggunakan keldai dari Tras menuju ke Kuala Kubu Bharu," katanya.

Ketika berada di kaki bukit, Fraser telah membuat laluan kuda dari Gap sehingga sampai ke atas puncak.
Fraser akhirnya berpindah ke tanah tinggi itu dan menjadikan kawasan bukit tersebut sebagai tapak menjalankan aktiviti perdagangan bijih timahnya.

Pajakan pertama lombong bijih timah di bukit itu telah diberikan kepada orang Melayu, iaitu Abu Suradi pada November 1899 dan pajakan terakhir diberikan kepada Robert Lewis dan Sempam Mining Company Limited sekitar tahun 1906.

"Padang golf (tertua di Malaysia) yang dilihat sekarang ini dahulunya merupakan kawasan lombong bijih timah berkenaan. Lombong tersebut bagaimanapun tidak bertahan lama selepas kehabisan sumber tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Fraser dikatakan hilang secara tiba-tiba kira-kira pada 1916 tanpa diketahui puncanya.
"Tidak ada seorang pun yang mengetahui apa yang berlaku kepada Fraser dan kehilangannya sehingga kini masih menjadi misteri," katanya.

Katanya, pada November 1917, paderi Singapura iaitu Biskop C. J. Ferguson-Davie bersama rakannya yang merupakan paderi Selangor, Reverend A. B. Champion secara tidak sengaja telah pergi ke Bukit Fraser ketika bercuti di rumah rehat Gap.

"Melihat keistimewaan kawasan yang terletak kira-kira lapan kilometer dari Gap itu, sekembalinya ke Singapura paderi tersebut membuat satu laporan mengenai kesesuaian tanah tinggi itu dijadikan stesyen bukit," katanya.

Pada Ogos 1918, selepas laporan mengenai kajian topografi awal diserahkan, J.N Sheffield telah menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan membuka stesyen bukit.

Pada bulan yang sama, pegawai tidak rasmi Majlis Bersekutu, R. C. M. Kindersly telah memaklumkan dalam satu mesyuarat sekiranya projek itu diluluskan, anggaran peruntukan membuka stesyen bukit akan dibuat pada 1919.

Kerja-kerja membuat jalan dari Gap hingga ke puncak bukit dimulakan pada Oktober tahun yang sama.
Setelah pembinaan jalan selesai, Majlis bersekutu secara rasminya meletakkan nama bukit itu sebagai Bukit Fraser pada Disember 1921.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

Sunday, 22 June 2014

3,000 pekerja, 2.6 juta tan bijih besi

Ruang simpanan dibina syarikat Jepun antara bangunan yang masih ada di bekas tapak perlombongan bijih besi, Bukit Besi.

"SAYA dilahirkan di sini pada 1951 selepas tiga tahun ayah bertugas di Bukit Besi. Sungguh menakjubkan dapat kembali semula setelah 44 tahun."

Itu nota ringkas seorang pesara warganegara Britian, Janice Lewis Ree Collier, 63, yang dicatatkan dalam buku pelawat di Galeri Sejarah Bukit Besi, Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah).

Collier merupakan salah seorang daripada puluhan dan mungkin ratusan anak-anak pegawai asing yang pernah berkhidmat di lombong bijih besi itu sebelum operasinya dihentikan secara rasmi pada 1970.
Kunjungan kali pertama Collier ditemani rakannya Ivy Edwards, 60, yang juga merupakan anak kepada pegawai British di lombong itu sedikit sebanyak mengubat kerinduan dan mengimbau babak-babak manis yang pernah dilalui kedua-duanya ketika zaman kanak-kanak.

Membelek terus buku pelawat itu, isi hati yang hampir sama diluahkan penulis-penulis lain yang kebanyakannya bekas anak pekerja lombong bijih di Bukit Besi.

Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun, Wan Mohd. Rosli Wan Ngah (gambar) berkata, perasaan itu sebenarnya dikongsi sesiapa sahaja yang pernah menjadi penduduk di situ.

Menyelusuri sejarah Bukit Besi, Wan Mohd. Rosli memberitahu, pembukaan lombong di kawasan terpencil itu hasil penemuan penyelidik Jepun yang mendapati batuan di lokasi tersebut mengandungi bahan mineral bermutu tinggi dan berpotensi diusahakan besar-besaran.

Katanya, pada Mei 1930, syarikat Nippon Mining Company Ltd. yang diketuai R. Kumada memulakan kerja-kerja melombong dengan pekerja seramai 130 orang Jepun dan 1,500 pekerja Melayu tetapi dalam jangka masa singkat, jumlah itu meningkat kepada 3,000 orang.


"Dalam tahun itu juga, laluan kereta api Dungun-Bukit Besi telah dapat disiapkan di stesen Che Lijah.

"Perlombongan dilakukan secara manual dengan menggunakan tenaga manusia secara insentif dan keadaan itu berkekalan hingga kerja-kerja melombong diambil alih oleh Eastern Mining and Metal Company Ltd. (EMMCo)," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurut Wan Mohd. Rosli, pengambilalihan pengurusan syarikat perlombongan oleh EMMCo itu memperlihatkan beberapa perubahan ketara apabila pihak British cenderung kepada penggunaan jentera berat yang moden termasuk pengorek, mesin penghancur batu, kereta api lokomotif dan lori pengangkut bijih.

Katanya, operasi perlombongan bijih besi itu dibahagikan kepada tiga syif. Ia berlangsung selama 24 jam setiap hari kecuali pada hari raya pertama Aidilfitri dan Aidiladha setiap tahun.

Ujarnya, sekitar tahun 1960, sektor perlombongan bijih besi masih lagi menjadi penyumbang besar dalam ekonomi negeri Terengganu apabila pengeluarannya mencecah 2.6 juta tan dengan jumlah pekerja seramai 1,948 orang.

"Dalam satu-satu masa, kira-kira 90 gerabak kereta api wagon digunakan untuk mengangkut hasil bijih dari kawasan lombong ke jeti Sura. Prosesnya bermula dengan kaedah letupan, penggerudian, pencucian dan kemudian dihantar ke terowong tempat penyimpanan untuk dikeringkan sebelum dibawa ke Dungun.

"Bagaimanapun, pada November 1970, EMMCo mengambil keputusan memberhentikan kerja-kerja perlombongan berikutan empat faktor iaitu kemerosotan hasil bumi itu, penemuan lokasi baharu bijih besi di Australia, tekanan kesatuan sekerja dan isu pembayaran cukai pendapatan kepada kerajaan negeri," katanya.

Dalam pada itu, Wan Mohd. Rosli berkata, tinggalan sejarah perlombongan bijih besi yang ada di lokasi tersebut boleh dikomersialkan dan mampu menjadi produk pelancongan sekiranya wujud usaha bersungguh-sungguh dilakukan ke arah itu.

"Bangunan loji pemecahan, pencucian, pembersihan, terowong kereta api termasuk chimney iaitu tempat memproses bijih besi dalam bentuk jongkong mempunyai nilai estetika yang tinggi jika dibaik pulih, malah sejarah Bukit Besi mampu menjadi setanding sejarah A Famosa di Melaka.

"Adalah satu kerugian buat negara jika khazanah itu dibiarkan begitu sahaja, malah sejak beberapa tahun lalu, sedikit demi sedikit artifak yang terdapat di sini hilang akibat dicuri pihak-pihak tidak bertanggungjawab ," katanya.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

Friday, 27 December 2013

DATO' SAGOR TAK MATI DIGANTUNG ?

Arkib : 28 Disember 2013



TERBIAR... Makam Dato' Sagor di Matang, Perak yang terletak berhampiran kawasan pelupusan sampah dipenuhi lalang sehingga sukar mengesannya.

FAKTA rasmi yang diketahui ramai bahawa Dato' Sagor meninggal dunia setelah digantung British pada 20 Januari 1877 atas kesalahan bersubahat membunuh Residen British, JWW Birch pada 2 November 1875.

Jenazahnya kemudian dikebumikan di sebuah lokasi berhampiran sungai di Matang, Perak.

Namun terdapat satu lagi versi cerita mengatakan pahlawan negara itu sebenarnya tidak mati di tali gantung.

Ketua Sidang Kampung Teluk, Ramli Ngah Mat Ali yang juga cicit kepada Dato' Sagor memberitahu, kisah tersebut diceritakan oleh saudaranya, Dato' Mohd. Abas Ahmad.

Mohd. Abas merupakan waris keturunan Dato' Sagor dan antara individu yang dihormati di negeri Perak satu ketika dahulu.

Menurut Ramli, ketika hendak digantung, British menghadapi kesukaran melaksanakan hukuman itu kerana tali gantung putus.

Diceritakan sebanyak tiga kali tali gantung putus ketika hendak menggantung Dato' Sagor. Situasi itu berlaku kerana kerja menjalankan hukuman gantung itu dilakukan oleh bukan Islam.

"Syarat untuk membolehkan hukuman itu dijalankan adalah ia mesti dilakukan orang Islam. Lalu British mencari orang Islam yang berani melakukan tugas itu. Ada seorang tampil namun atas kerjasama dia helah berjaya dilakukan dan Dato' Sagor terselamat daripada tali gantung.


"Pada ketika itu juga pakatan telah dilakukan bersama pembesar dan hulubalang Melayu untuk 'menyeludup' keluar Dato' Sagor dari daerah Matang tanpa diketahui British," katanya.

Dato' Sagor dikatakan dibawa lari ke Pekan, Pahang dan menetap di sana menggunakan identiti berbeza.

Ramli berkata, ketika hidupnya, Mohd. Abas mendakwa dia pernah bertemu individu yang dikatakan Dato' Sagor itu sebanyak tiga kali di Pekan, Pahang.

"Kali pertama untuk mencungkil rahsia, menyoal siasat identiti, namun tidak berhasil. Selang beberapa bulan, pertemuan diatur lagi dan dengan persediaan maklumat rapi oleh Mohd. Abas dia berjaya memecah rahsia sehingga individu tersebut mengaku sebagai Dato' Sagor.

"Kemudian Mohd. Abas kembali dan berjanji datang sekali lagi untuk membawa keluar individu tersebut. Malangnya belum sempat pertemuan ketiga diadakan, individu tersebut telah meninggal dunia,'' ceritanya lagi

Menurut Ramli, kegagalan itu ada kaitan dengan sumpah yang telah dibuat dan selalunya dilakukan oleh pejuang-pejuang kemerdekaan negara.

"Apabila mereka melanggar sumpah mendedahkan identiti, maka ajal pun menyambut mereka dan keadaan itu berlaku kepada beberapa pahlawan lain. Dikatakan usia Dato' Sagor ketika meninggal dunia adalah 105 tahun.

"Ini bukan sekadar cerita tetapi usaha yang dilakukan oleh Dato' Abas dan beberapa rakannya. Malangnya semua individu terbabit sudah meninggal dunia. Jadi sama ada mahu percaya atau tidak, terpulang," katanya.

© Utusan Melayu (M) Bhd 

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...