Bagi peminat tegar, kehilangan siri animasi tersebut tanpa khabar berita amat dirasai.

Persoalan itu kemudiannya penulis lontarkan kepada Pengarah Urusan Anithink Studios Sdn. Bhd., Ameir Hamzah Hashim yang pernah terbabit dalam pembikinan siri animasi Usop Sontorian dan Keluang Man.

Menurutnya, terdapat banyak faktor menyebabkan syarikat gagal meneruskan penerbitan siri animasi berkenaan.

Kegawatan ekonomi pada 1997 hingga 1998 merupakan salah satu sebab mengapa penerbitan siri animasi pada masa itu tidak dapat diteruskan. Krisis tersebut telah memberi kesan yang agak ketara kepada seluruh penerbitan.

Siri animasi Keluang Man misalnya dihentikan setelah tiga tahun bersama masyarakat. Beberapa karyawan pula berpindah ke produksi-produksi animasi lain bagi meneruskan kerjaya masing-masing.

Stesyen penyiaran juga terpaksa mengurangkan slot siaran bagi siri animasi menyebabkan syarikat lain tidak dapat meneruskan penerbitan disebabkan tiada platform untuk siaran kartun mereka,” katanya yang juga Timbalan Presiden 1, Animas.

Kos yang tinggi dan kekurangan modal menyebabkan perniagaan syarikat penerbitan animasi tidak dapat bertahan. Untuk menghasilkan sebuah karya yang berkualiti membabitkan penggunaan tenaga yang ramai, teknologi, peralatan dan perisian yang canggih.

Setiap syarikat sudah tentu mahu menghasilkan animasi berkualiti, namun semakin tinggi kualitinya maka semakin banyak kerja yang perlu dilakukan. Jadi faktor-faktor ini yang menyebabkan kos penerbitan meningkat. Ditambah lagi polisi stesyen televisyen yang mahu animasi disiapkan mengikut ketetapan masa mereka, justeru semua itu berkait dengan kos.

Pendapatan syarikat pula tidak boleh bergantung kepada bayaran daripada stesyen televisyen kerana ia tidak mencukupi untuk menampung kos penerbitan. Apa yang perlu dilakukan ialah mempelbagaikan perniagaan berasaskan produk animasi dan memperhebatkan strategi pemasaran. Namun, masalahnya syarikat tidak mempunyai modal yang banyak,” katanya.

Bercerita mengenai khalayak pula menurut Amir, penonton atau penggemar animasi tempatan tidak ramai dan ‘taksub’ seperti di negara lain.

Di negara Jepun misalnya mereka mempunyai kelompok peminat tegar anime yang besar. Industri animasi di sana boleh dikatakan setanding dengan industri lain seperti sukan dan pemotoran. Pasaran di Jepun sahaja sudah mencukupi untuk memperolehi pulangan modal dan keuntungan yang tinggi. Animasi di Hollywood pula mempunyai sasaran khalayak yang jauh lebih besar meliputi peringkat global. Justeru mereka mempunyai pulangan yang lumayan kerana penonton dari seluruh dunia.

Tidak seperti animasi tempatan, khalayak belum mencapai tahap seperti Jepun yang mempunyai peminat setia dan Hollywood yang meliputi global. Justeru untuk menjana pendapatan,syarikat tidak boleh bergantung kepada pasaran tempatan semata-mata dan perlu diperluaskan sehingga ke peringkat antarabangsa.

Namun ia bergantung kepada sambutan penonton yang dipengaruhi oleh kualiti kandungan animasi termasuk watak, karakter dan jalan cerita disamping starategi pemasaran yang berkesan. Lihat sahaja animasi Upin & Ipin yang bukan sahaja berjaya memikat hati penonton tempatan malah mereka juga mempunyai peminat sendiri di luar negara.

Justeru, penyelidikan amat penting dan perlu dilakukan di dalam menerbitkan animasi yang berkualiti dan menarik. Semua itu memerlukan wang atau dana yang tinggi,” katanya.