Menurut Naib Presiden (Akademik), Multimedia University, Prof. Dr. Ahmad Rafi Mohamed Eshaq (gambar), situasi itu satu petanda positif animasi negara mula berkembang ke peringkat yang lebih tinggi dan menunjukkan lahirnya lebih ramai penggiat industri kreatif tempatan.

“Jika dahulu penonton terutama kanak-kanak hanya disajikan dengan rancangan kartun yang kebanyakan diterbitkan oleh produksi luar dan mereka tidak mempunyai banyak pilihan, namun penekanan terhadap penggunaan digital menyaksikan pelbagai produk animasi telah dihasilkan oleh anak tempatan.

“Pembangunan teknologi dan perisian juga mendorong penggiat industri kreatif menghasilkan animasi tidak hanya terhad kepada sesuatu genre tetapi lebih meluas berdasarkan kecenderungan kanak-kanak yang dipecahkan daripada beberapa kelompok mengikut umur. Misalnya kanak-kanak berusia antara 7 hingga 9 tahun lebih cenderung kepada penceritaan kartun animasi yang berunsurkan nilai-nilai murni seperti rancangan Upin & Ipin.

“Kanak-kanak berumur 10 hingga 12 tahun pula lebih meminati kartun yang menerapkan penggunaan teknologi seperti Boboiboy. Jadi ini bermakna kartun kini boleh dihasilkan dalam pelbagai tema,” katanya.

Skop animasi bagaimanapun tidak seharusnya hanya tertumpu kepada pembikinan rancangan kartun mahupun filem cereka sahaja malah boleh dikembangkan dan diaplikasikan dalam pelbagai medium yang bukan sekadar menghiburkan tetapi juga boleh digunakan untuk mendidik golongan sasar.

“Salah satu caranya menerusi penceritaan yang terdapat dalam animasi itu sendiri. Cara lain menerusi Pengumuman Perkhidmatan Awam (PSA) iaitu mesej untuk kepentingan awam yang disampaikan oleh media bagi tujuan meningkatkan kesedaran, perubahan sikap dan tingkah laku orang ramai terhadap isu sosial.

“Justeru, dalam konteks ini perlu ada rancangan PSA berbentuk animasi yang disiarkan pada waktu perdana bagi mendidik pelajar. Kaedah ini sangat penting dan perlu digalakkan dengan melibatkan penyertaan daripada pelbagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) atau badan korporat.

“Kita tidak boleh terlalu bergantung kepada kerajaan untuk melakukan semua itu, stesen televisyen swasta juga perlu bersama-sama menyumbang dan melaksanakan tanggungjawab korporat (CSR) dengan menyediakan slot PSA.

“Dengan adanya penglibatan semua pihak akan merancakkan lagi industri animasi yang bukan hanya dilihat sebagai satu rancangan televisyen bersiri semata-mata tetapi lebih meluas termasuk dalam konteks PSA itu tadi,” katanya.

Selain itu, permintaan yang tinggi terhadap kepakaran di dalam seni kesan visual dan kesan khas di negara ini sebenarnya memberi peluang kepada penggiat seni kreatif untuk menerokai bidang baharu dan membangunkan kepakaran mereka.

“Berdasarkan pendapat para penggiat industri tempatan, jika mahu menghasilkan sesuatu filem sebaiknya menggabungkan penggambaran aksi secara langsung dengan animasi yang melibatkan kesan visual (lebih kepada kandungan grafik) dan kesan khas (seperti api, asap, angin, kilat, baying-bayang dan sebagainya yang disesuaikan latar).

“Justeru bidang tersebut perlu diterokai oleh pengamal industri kreatif kerana kerajaan juga ada mewujudkan geran di bawah Program Pembelajaran Sepanjang Hayat Industri Kreatif (CILLP) bagi melahirkan tenaga pakar yang mempunyai kemahiran tinggi dan berkualiti.

“Misalnya, pelagak ngeri tempatan boleh dihantar ke luar negara untuk dilatih dan diiktiraf sebagai pakar dalam aksi ngeri. Perbadanan Filem Nasional Malaysia (Finas) juga ada menyediakan Dana Kesan Khas (CGI) untuk membantu penggiat dan karyawan filem menghasilkan filem yang berkualiti dan mampu bersaing di peringkat global. Kalau ada penerbit yang mahu mencipta kandungan yang menggunakan kesan khas boleh memohon dana tersebut,” katanya.

Dalam bidang profesion serius seperti seni bina, penerbangan, perubatan dan kejuruteraan juga menggunakan animasi.

Bagaimanapun animasi tersebut dipertingkatkan sehingga menghasilkan simulasi masa nyata dan realiti maya.

Simulasi merupakan perbuatan atau latihan yang menggunakan sesuatu yang direka menyerupai keadaan sebenar untuk tujuan menjalankan kajian.

Selain itu ia juga digunakan untuk membantu di dalam mendapatkan ramalan serta jangkaan mengenai sesuatu projek.

“Sebagai contoh, dalam bidang penerbangan, kita boleh lihat sebelum seseorang juruterbang bertugas di lapangan sebenar, mereka akan melalui latihan dan ujian menerusi simulasi,” katanya.