Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Tuesday, 15 June 2021

15 JUN 1971

Artikel dari Repair Gambar Lama


Seniman Nordin Ahmad Meninggal Dunia

MEMPERINGATI 50 TAHUN PEMERGIAN SENIMAN NORDIN AHMAD

Pada suatu petang hari selasa yang sayu. Satu berita dan perkhabaran yang tidak ingin di dengar oleh tiga orang insan yang masih bergelar anak. Kenyataan yang amat berat untuk diterima dalam sejarah kehidupan mereka yang masih lagi kehijauan pada ketika itu. Anak yang masih lagi memerlukan kasih sayang dari seorang ayah. Hakikat yang amat perit untuk diterima oleh seorang isteri yang masih memerlukan seorang teman hidup yang bergelar suami di sisi. Tetapi itulah yang tertulis pada takdir yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. sejak dari Loh Mahfuz. Sebagai manusia biasa haruslah menerimanya dengan penuh keredaan. 

Rumah yang beralamat di No. 35K, Jalan Greja, off Bedok Road, Singapura, telah pun dibanjiri oleh ratusan manusia dari kalangan jiran-jiran, sahabat handai, rakan seni dan para peminat, apabila tersebarnya berita mengenai seorang seniman besar dalam sejarah filem Melayu telah berpulang ke rahmatullah pada usia 42 tahun. 

Seniman Nordin Ahmad telah kembali kepada Maha Pencipta pada hari selasa jam 4.30 petang, 15 Jun 1971, di Hospital Besar Singapura, Outram Road. Beliau menghembuskan nafas terakhirnya di sisi isterinya seniwati Salmah Ibrahim setelah beberapa bulan melawan penyakit kuning (jaundice) yang dihadapinya. 

Hari ini selasa 15 Jun 2021, merupakan hari yang sama dan genaplah 50 tahun pemergian seorang tokoh seniman filem Melayu klasik yang sangat hebat di eranya. Filem-filem lakonan beliau masih lagi segar dan diminati sehingga sekarang oleh para pencinta sinema Melayu tanah air. Agak janggal jika ada yang membicarakan tentang sejarah filem Melayu tanpa menyebut nama Nordin Ahmad. Seorang seniman yang mempunyai kemahiran lakonan yang sangat tinggi dari sudut penghayatan watak. Lakonannya juga penuh dengan kejiwaan yang sangat jitu. Di saat ramai yang masih menanam minat dengan keajaiban persembahan Nordin Ahmad, beliau telah dipanggil pulang oleh yang Maha Esa. 

Begitulah serba sedikit coretan luahan hatiku buat seorang seniman seni yang sangat aku kagumi bernama Nordin Ahmad. Beliau akan sentiasa dikenang sebagai seorang pelakon yang membawa imej citra lelaki Melayu paling sejati di layar perak. Berehatlah dengan tenang wahai senimanku, aku sentiasa mendoakan semoga rohmu dicucuri rahmat dan di tempatkan bersama para solehin di sisi Allah. Al Fatihah... 

"Yang aku tinggalkan hanyalah warisan seni dan cetusan hatiku di layar perak. Kerana seni yang ikhlas itu akan dikenang sepanjang zaman". 

- NORDIN AHMAD -

(4 Ogos 1929 - 15 Jun 1971) 

Teks : HAR 

Sumber : 

  • Sesi sembang santai bersama Allahyarhamah Salmah Ibrahim, FINAS, 26 Jun 2001. 
  • Sesi temubual bersama Allahyarham Mohd Sidik Ahmad (adik), Permatang Pasir, Pulau Pinang, 2 April 2016. 
  • Sesi temubual bersama keluarga Nordin Ahmad, Singapura, 22 Februari 2016. 
  • Utusan Malaysia, 16 Jun 1971
  • Nordin Ahmad | Permata Seni Terbilang : Hidir Ali Razali
  • Bahyah Mahmood

https://www.facebook.com/108871572793160/posts/1510321775981459/

 

SIARAN LANGSUNG: 15 JUN 2021 (SELASA)

15 Jun 1971 merupakan tarikh pemergian seniman tersohor dalam sejarah sinema Melayu, Allahyarham Nordin Ahmad pada usia 42 tahun.

Bersempena dengan tarikh ini pada esok hari, kami dari pihak Repair Gambar Lama mengambil inisiatif mengadakan sesi LIVE Facebook untuk memperingati 50 tahun pemergian aktor yang berkarisma tinggi itu. Kami melancarkan T-Shirt TANAH YANG DIPIJAK - NORDIN AHMAD pada siaran LIVE nanti yang akan kendalikan oleh salah seorang dari admin kami HAR: Hidir Ali Razali. TANYA APA SAJA TENTANG NORDIN OK!

Bangkit!
Mimin



SALMAH IBRAHIM TIDAK TUMPANG POPULARITI SUAMI

Salmah Ibrahim merupakan salah seorang seniwati filem Melayu era studio Jalan Ampas dan Cathay-Keris yang berjaya membawakan watak antagonis wanita tanpa ada cacat celanya.

Salmah Ibrahim yang berasal dari Kampung Paya Kumbuh, Bukit Tinggi, Sumatera, Indonesia, pernah menetap di No.14, Jalan Selamat, Kampung Kembangan, Changi Road, Singapura sangat berjaya dan terkenal dengan watak perempuan penggoda, pisau cukur dan pemusnah rumahtangga orang dalam filem-filem awal tahun 1950-an.

Sepanjang penglibatan Salmah Ibrahim dalam dunia filem Melayu, ramai pengarah filem pada masa itu sangat percaya dengan kebolehannya dalam membawakan watak-watak jahat. Beliau juga tidak pernah membawa watak heroin dalam sesebuah filem yang dilakonkannya sepanjang pembabitannya sebagai pelakon.

Antara filem-filem yang menampilkan  Salmah Ibrahim sebagai watak jahat di MFP ialah, 
  • Sejoli, 
  • Bapa Saya, 
  • Hati Iblis, 
  • Takdir Illahi, 
  • Juwita, 
  • Kechewa, 
  • Kembar, dan 
  • Permata Di-Petlimbahan. 
  • Di dalam filem Chemburu beliau berlakun sebagai seorang isteri yang derhaka kepada suami lakonan Haji Mahadi.
Salmah Ibrahim yang dilahirkan pada tahun 1930 ini telah berkahwin dengan seniman Nordin Ahmad pada tahun 1952. Mereka mula berkenalan semasa sama-sama berlakon di dalam filem Permata Di-Perlimbahan. Sebelum mendirikan rumahtangga dengan seniman Nordin Ahmad, beliau terlebih dahulu berkawan rapat dengan seniman Jaafar Shah. Tetapi hubungan itu tidak kekal lama berikutan Jaafar Shah meninggal dunia dalam satu kemalangan motosikal di Johor Bahru.

Pada tahun 1957 Salmah Ibrahim berhijrah ke studio Cathay-Keris mengikut suaminya yang mendapat tawaran lumayan berlakon di sana. Antara filem-filem lakonan Salmah Ibrahim di Cathay-Keris ialah
  • Satay, 
  • Mahsuri, 
  • Pak Pandir Modern, 
  • Yatim Mustapha, 
  • Ayer Mata Duyong, 
  • Kaseh Ibu, 
  • Naga Tasek Chini, 
  • Playboy dan beberapa lagi filem yang lain. 
Di Cathay-Keris, Salmah Ibrahim kurang menumpukan kepada bidang lakonan ini kerana beliau lebih senang memberi perhatian kepada perniagaan warung Nasi Padangnya yang beroperasi di Joo Chiat Road, di samping itu beliau juga turut melakukan khidmat andaman kepada pelakon-pelakon wanita di Cathay-Keris.

"Bukan saya tidak minat lagi berlakon di Cathay-Keris. Tetapi biarlah dia (Nordin Ahmad) sahaja menumpukan di dalam bidang lakonan dan pengarahan filem. Saya sebenarnya dari kecil sudah menanam minat di lapangan perniagaan, kerana saya juga suka memasak." Itulah kata-kata yang disuarakan oleh Salmah Ibrahim dalam satu temubual bersamanya pada tahun 1965.

Perkahwinan Salmah Ibrahim  kekal sehingga seniman Nordin Ahmad menghembuskan nafas terakhir pada 15 Jun 1971. Selepas Nordin Ahmad meninggal dunia, Salmah Ibrahim masih menjalankan perniagaan Nasi Padangnya demi membesarkan 3 orang anaknya. Salmah Ibrahim meninggal dunia pada 30 April 2009 di kampung halamannya akibat sakit tua.

Titipan doa dan Al Fatihah buat Allahyarhamah seniwati Salmah Ibrahim.

Teks : Mimin

Sumber : 
  • Nordin Ahmad | Permata Seni Terbilang : Hidir Ali Razali
  • Berita Filem
  • Mastika Filem
  • Sesi temubual bersama Salmah Ibrahim, 28 Jun 2001, FINAS, Ulu Klang.


NORDIN AHMAD KENANG JASA P.RAMLEE

"Aduka, lupakah kau kepada Tuhan? Hilangkah kepercayaan kau kepada agama Islam? Kau cemarkan namamu. Kau cemarkan Semerah Padi. Kalau hanya Dara, aku sanggup berikan, kerana aku sayangkan kau lebih dari Dara. Jangan kata membunuh kau, menjatuhkan hukuman pun tak sampai hatiku. Menghukum kau bererti aku menghukum diriku sendiri"

"BIAR BUSUK DAGINGKU MAMAH, ASALKAN KAU TERHINDAR CEMAR"

Itulah dialog keramat yang dilafazkan oleh Nordin Ahmad sebagai Taruna melalui filem Semerah Padi arahan P.Ramlee pada tahun 1956.

Semerah Padi telah berjaya menjulang nama Nordin Ahmad ke kemuncak kemasyhuran sehingga beliau telah ditawarkan berhijrah ke studio Cathay-Keris dengan gaji yang lebih lumayan.

"Kalau bukan sebab Ramlee yang ambil aku berlakon dalam filem Semerah Padi, aku tidak akan sampai ke tahap ini sekarang".

Itulah kata-kata yang sering diungkapkan oleh seniman Nordin Ahmad kepada rakan-rakannya di Cathay-Keris. Nordin Ahmad sangat berterima kasih kepada P.Ramlee kerana telah memberi peluang dan kepercayaan kepadanya bagi membuktikan kemampuannya sebagai seorang pelakon yang berkarisma besar.

Atas nasihat P.Ramlee jugalah yang membuatkan Nordin Ahmad membatalkan hasratnya untuk pulang ke kampung halamannya di Pulau Pinang kerana terlalu kecewa dengan kerjaya lakonannya ketika di Jalan Ampas.

"Sabar dulu sahabatku, masamu akan tiba juga nanti. Aku yakin kau akan menjadi seorang bintang besar suatu hari nanti".

Kata-kata dari P.Ramlee inilah yang menjadi perangsang kepada Nordin Ahmad untuk berusaha dengan lebih gigih bagi memajukan mutu lakonannya. 

"Jika satu hari nanti ada yang memperkatakan tentang kejayaan saya di dalam bidang lakonan, P.Ramlee berhak berkongsi kejayaan itu bersama saya. Ini kerana P.Ramlee lah yang telah membuatkan kerjaya saya dari gelap menjadi terang". 

Teks : HAR

Sumber : 
  • Bulanan Gelanggang Film, bilangan 8, Julai 1958.
  • Mastika Filem, bilangan 6
  • Temubual bersama Aimi Jarr
  • Arkib Negara Malaysia

Pautan artikel lain yang berkaitan :-

09 JUN 2013 : LATIFAH OMAR DALAM KENANGAN


Hikayat Hang Jebat (هڠ جيبت)


No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...