Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Wednesday 9 June 2021

09 JUN 2013 : Fatimah Binti Omar

LATIFAH OMAR DALAM KENANGAN

Mengingati Hari Kelahiran Seniwati Latiffah Omar pada 26 hb Mac 1939.
Al-fatihah (dibaca)... Aamiin.



Fatimah Binti Omar (1939 - 2013)

Kalau tuan mudik ke hulu,
Carikan saya bunga kemboja;
Kalau tuan mati dahulu,
Nantikan saya di pintu syurga.”

Latifah Omar atau nama sebenarnya Fatimah binti Omar telah dilahirkan pada 26 Mac 1939 di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Beliau membuat penampilan pertama di layar perak seawal usia 14 tahun menerusi filem Dahlia yang menjalani penggambaran sekitar tahun 1953. Filem terbitan Keris Film Productions ini mula ditayangkan pada 1 April 1954.

Sepanjang penglibatan beliau dalam dunia perfileman, Latifah Omar telah membintangi sebanyak 35 buah filem. Beliau yang pernah berkhidmat di ketiga-tiga studio — Malay Film Productions, Cathay-Keris Film & Merdeka Film Studio — telah menjadi salah seorang primadona filem Melayu yang paling berpengaruh.

Pihak studio Cathay Keris telah melantik Mahmud June secara rasmi untuk mengajar pencak silat kepada pelakon-pelakonnya. Hal ini kerana pihak studio telah mewajibkan kepada setiap pelakon untuk mempelajari ilmu persilatan kerana mereka lebih banyak mengeluarkan filem-filem bercorak purbawara yang mengandungi elemen persilatan.

Antara pelakon yang diajar bersilat oleh Mahmud June ialah seniwati Siput Serawak untuk filem Sultan Mahmood Mangkat Di-Julang, Fatimah Ahmad untuk filem Lela Satria dan Latifah Omar untuk filem Hang Jebat seperti gambar yang kami lampirkan ini.

Pada 9 Jun 2013, kita telah kehilangan seorang seniwati Latifah Omar. Beliau yang ketika itu berusia 74 tahun meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) pada jam 6:19 petang akibat kanser usus. 

Beliau telah dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam AU4 Keramat, Kuala Lumpur. 

Hari ini genaplah 8 tahun pemergian beliau.

Al Fatihah buat roh Srikandi filem Melayu tersohor. Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.

Teks: DAN

Sumber : Berita Filem & Utusan Malaysia



Pada hari ini dalam tahun 2013, primadona filem Melayu, Latifah Omar, meninggal dunia di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM). Latifah Omar atau nama sebenarnya Fatimah binti Omar, dilahirkan pada 26 Mac 1939 di Kampung Baru, Kuala Lumpur. Penampilan pertama beliau di layar perak bermula seawal usia 14 tahun sebagai pelakun tambahan menerusi filem Dahlia pada tahun 1954. 

Filem Panggilan Pulau yang dibintanginya pada tahun yang sama, mula meletakkan nama beliau di bibir peminat filem Melayu. Kemasyhuran seniwati lagenda ini semakin melonjak setelah membintangi beberapa filem antaranya Selendang Delima, Serangan Orang Minyak, Gurindam Jiwa, Laila Majnun dan Bawang Puteh Bawang Merah. Gandingan mantap beliau bersama Allahyarham Nordin Ahmad sehingga diberi jolokan ‘Loving Couple on Silver Screen’, berikutan keserasian mereka membawa watak-watak romantik di layar perak.

Pemergian Latifah Omar merupakan satu kehilangan besar buat dunia perfileman tanah air.



NORDIN AHMAD & LATIFAH OMAR

"Loving Couple On Silver Screen"

Seniman Nordin Ahmad & Seniwati Latifah Omar adalah pasangan pelakon paling serasi sekali dalam sejarah sinema Melayu. Paling ketara melalui filem keluaran Cathay-Keris Production. Gandingan mereka berdua telah mencetuskan satu fenomena baharu dalam perkembangan filem Melayu Klasik di zaman itu. Disebabkan oleh keserasian gandingan itu, filem lakonan mereka berdua sentiasa mendapat tempat di hati penonton dengan berjaya mengaut keuntungan box office dari segi kutipan. Perkara ini adalah satu perkembangan yang baik kepada pihak studio Cathay-Keris dalam mengeluarkan filem yang bermutu bagi menyaingi filem-filem keluaran Malay Film Production.

RINGKASAN DAN FAKTA 

- Nordin Ahmad dan Latifah Omar mula berlakon di dalam satu filem melalui filem Panggilan Pulau (1954) arahan S.Ramanathan tetapi tidak ada babak bersama.

- Hang Jebat (1961) arahan Hussain Haniff merupakan filem pertama lakonan mereka berdua digandingkan sebagai pasangan kekasih.

- Di Shaw Brothers hanya satu filem sahaja Nordin Ahmad dan Latifah Omar mempunyai babak bersama iaitu melalui filem Bernoda (1956).

- Dalam kehidupan sebenar Nordin Ahmad dan Latifah Omar bukanlah semesra seperti yang digambarkan dalam filem-filem lakonan mereka. Mereka jarang bercakap bersama. Pernah satu ketika mereka berdua tidak bertegur selama 6 bulan atas sebab-sebab tertentu. Tetapi apabila digandingkan mereka tetap memberikan lakonan yang terbaik seperti yang pernah kita tonton melalui filem. Nilai professional mereka sangat tinggi tanpa menghiraukan permasalahan yang berlaku di antara mereka.

- Ketika penggambaran filem Laila Majnun (1962) hubungan mereka sebenarnya sedang dingin. Tetapi apabila kita menonton filem berkenaan ternyata banyak babak romantik yang mereka lakonkan dengan jayanya.

- Apabila M. Amin dilantik menjadi pengarah pada tahun 1962 dengan mengarah filem pertamanya Lanchang Kuning, sekali lagi Nordin Ahmad & Latifah Omar digandingkan. Bermula dari filem inilah hubungan keruh mereka dipulihkan.

- Latifah Omar berlakon 3 buah filem di bawah arahan Nordin Ahmad iaitu Wan Perkasa (1964), Kaseh Ibu (1965) dan Naga Tasek Chini (1966).

- Latifah Omar sudah terpilih untuk berlakon dalam filem Playboy (1967) arahan Nordin Ahmad. Disebabkan beberapa perkara beliau menarik diri di saat akhir dan tempatnya digantikan dengan Rosnani Jamil.

- Kebanyakkan filem-filem lakonan yang mengandingkan mereka berdua mencapai tahap kutipan box office di pawagam. Antara filem filem yang sangat berjaya seperti Hang Jebat, Laila Majnun, Lanchang Kuning, Chuchu Datok Merah, Gul Bakawali, Patong Chendana dan Gurindam Jiwa.

- Latifah Omar pernah berkata bahawa Nordin Ahmad adalah hero filem Melayu yang paling terbaik dari kalangan yang terbaik yang pernah ada di dalam sejarah filem Melayu.

- Semasa menerima berita kematian Nordin Ahmad melalui berita di radio. Latifah Omar ketika itu berada di Kuala Lumpur yang baru selesai penggambaran filem Putus Sudah Kaseh Sayang (1971). Beliau seolah-olah tidak percaya dengan berita kematian itu lalu menangis. 

- Setelah pemergian Nordin Ahmad, Latifah Omar tidak lagi menonton filem-filem lakonan mereka berdua. Menurut Latifah Omar, beliau akan rasa sedih apabila mengenangkan kenangannya bersama Nordin Ahmad, sehingga pada tahun 1990-an barulah beliau ada keberanian untuk menontonnya semula tetapi tetap diiringi dengan airmata.

FILEM-FILEM BERSAMA
  • Panggilan Pulau (1954) #
  • Bernoda (1956) #
  • Serangan Orang Minyak (1959) #
  • Raden Mas (1959) #
  • Gado-Gado (1961) #
  • Hang Jebat (1961) *
  • Laila Majnun (1962) *
  • Lanchang Kuning (1962) *
  • Chuchu Datok Merah (1963) *
  • Gul Bakawali (1963) *
  • Patong Chendana (1965) *
  • Gurindam Jiwa (1966) *
# - Berlakon bersama dalam satu filem
* - Gandingan utama dalam satu filem

Teks : HAR

Sumber :
  • Buku Sinopsis Laila Majnun
  • Layar Perak dan Sejarahnya - M.Amin & Wahba
  • Dari Keris Film Ke Studio Merdeka - Hamzah Hussin

Kali terakhir Latifah Omar berpasangan dengan Nordin Ahmad di layar perak menerusi filem Gurindam Jiwa (1966).

Apabila difikir balik, semua filem yang saya lakonkan dengan Nordin Ahmad, saya suka. Tidak ada pelakon lelaki lain sehebat Nordin Ahmad” - Latifah Omar

LATIFAH OMAR MERAUNG KERANA NORDIN AHMAD

Sempena memperingati tarikh pemergian salah seorang pelakon kesayangan saya, Allahyarham seniwati Latifah Omar, saya kongsikan satu kisah yang mungkin jarang sekali diketahui oleh masyarakat hari ini.

Pada suatu pagi di hari Rabu, 16 Jun 1971, Latifah Omar yang pada ketika itu sedang membaca akhbar Utusan Melayu telah dikejutkan dengan satu berita yang terpapar di muka hadapan, "Seniman Nordin Ahmad meninggal dunia". Apabila terlihat sahaja tajuk berita berkenaan Latifah Omar terus meraung dan menangisi perkhabaran tersebut.

Latifah Omar seakan tidak dapat menerima berita itu apa lagi mempercayainya. Latifah Omar ketika itu sedang menetap di Kuala Lumpur terus menelefon ke Pejabat Cathay-Keris di Singapura bagi mengesahkan berita yang baharu di bacanya itu. Hati seniwati ini akhirnya luluh, sedih dan hiba setelah kebenaran berita itu disahkan sendiri oleh pihak pengurusan studio Cathay-Keris.

Pada hari yang sama juga merupakan ulangtahun ke-5 perkahwinan Latifah Omar dengan suaminya Encik Huzir. Persiapan sambutan ulang tahun yang sudah dirancang itu terpaksa dibatalkan oleh kerana Latifah Omar masih dalam keadaan yang tidak stabil setelah menerima berita kematian seorang sahabat dan pasangan idealnya di layar perak dalam sejarah filem Melayu, Allahyarham Nordin Ahmad. 

Latifah Omar yang ditemui oleh wartawan menyifatkan Allahyarham Nordin Ahmad adalah seorang lelaki yang mempunyai budi bahasa yang tinggi. Tidak pernah Allahyarham marah atau meninggikan suara kepadanya sepanjang mereka bergaul. Nordin Ahmad juga seorang insan yang sangat merendah diri dan pendiam. Perwatakan dan suaranya lemah lembut di luar filem. Walaupun beliau tahu yang namanya sangat besar dan popular sebagai seorang hero filem Melayu, tetapi sedikit pun tidak merubah sifat keperibadiannya itu. Apa yang menjadi sesalan kepada Latifah Omar adalah tidak dapat menziarahi jenazah sahabatnya itu buat kali terakhir kerana telah menetap di Kuala Lumpur. Kali terakhir Latifah Omar bertemu dengan Nordin Ahmad semasa menghadiri majlis doa selamat dan pelancaran filem Playboy arahan pelakon itu pada tahun 1967. 

Latifah Omar kerap digandingkan bersama Nordin Ahmad di dalam filem-filem box office keluaran Cathay-Keris seperti Hang Jebat, Laila Majnun, Lanchang Kuning, Chuchu Datok Merah, Gul Bakawali, Patong Chendana dan Gurindam Jiwa. Gandingan mereka berdua telah menjadi satu fenomena di zaman kegemilangan filem Melayu pada ketika itu sehingga gandingan itu digelarkan "Loving Couple In Silver Screen". 

Latifah Omar pernah memberitahu penulis setelah Nordin Ahmad meninggal dunia beliau tidak lagi menonton filem-filem lakonan mereka berdua lebih dari 20 tahun. Perkara ini kerana beliau tidak sanggup meratapi dan seringkali menangis apabila menonton filem-filem berkenaan kerana terkenangkan kenangannya bersama Allahyarham Nordin Ahmad. Sehingga pada awal tahun 90-an barulah Latifah Omar mempunyai kekuatan untuk menontonnya kembali apabila filem-filem lakonannya di ulang siar di kaca televisyen. 

Titipan doa dan Al Fatihah buat Allahyarham seniman Nordin Ahmad dan Allahyarham seniwati Latifah Omar. 

Teks : HAR

Sumber : 

  • Utusan Melayu, Rabu, 16 Jun 1971
  • Bahyah Mahmood
  • Temubual santai bersama Latifah Omar, Galeri Perfileman FINAS, Jalan Pahang Kecil, 2007.

https://www.facebook.com/108871572793160/posts/1506609006352736/ 

Latifah Omar - Dalam Kenangan

https://www.youtube.com/watch?v=broR9rOW0W4

Latifah Omar ( 1939 - 2013 ) -Fatimah Binti Omar -Lahir : 26 Mac 1939 -Meninggal : 09 Jun 2013 -Dalam Usia : 74 Tahun -Punca Kematian : Barah Usus

Pautan artikel lain yang berkaitan :-

15 JUN 1971 : MEMPERINGATI 50 TAHUN PEMERGIAN SENIMAN NORDIN AHMAD

https://normanhafizi.blogspot.com/2021/06/15-jun-1971.html

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...