Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Showing posts with label Merdeka. Show all posts
Showing posts with label Merdeka. Show all posts

Wednesday, 2 September 2026

02 SEPTEMBER 2025

 

02 SEPTEMBER 2025

KISAH SEJARAH KITA MUNGKIN TAK TAHU PASAL MERDEKA !!
  1. Hari ini 2 September...
  2. Dua hari lepas kita sambut Merdeka. 31 Ogos.
  3. Bunga api, perarakan, laungan.
  4. Satu negara berdiri sebagai satu bangsa.
  5. Meriah...
  6. Tapi hari ini… jalan raya sesak semula.
  7. Ramai yang dah masuk kerja (Saya la ni).
  8. Meneruskan kehidupan.
  9. Bendera mungkin bertahan sampai hari Malaysia nanti...Tapi lepas tu ada yang dibuang ada yang dilipat untuk tahun hadapan.
  10. Semangat Merdeka pun perlahan-lahan kita simpan dalam kotak.
  11. Tunggu tahun depan baru buka balik.
  12. Mungkin ada anak muda tertanya, kenapa 31 Ogos penting sangat?
  13. Sejarah kita panjang. TERINGIN saya nak kongsi.Dan banyak benda saya terfikir.. kenapa kita merdeka?
  14. Tanah ini...Tanah Melayu...telah lama ditakluki.
  15. Portugis merampas Melaka pada 1511, kemudian Belanda pada 1641,
  16. Seterusnya British pada abad ke-19 dan 20,
  17. Diikuti oleh pendudukan Jepun (1941–45) sebelum British kembali.
  18. Malayan Union (1946) yang tidak disenangi rakyat akhirnya digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu (1 Februari 1948)
  19. Landasan politik yang sembilan tahun kemudian mencapai kemerdekaan.
  20. Ratusan tahun kita dijajah.
  21. Tapi...Macam mana kita boleh merdeka tanpa perang besar, tanpa pertumpahan darah?
  22. Kenapa 31 Ogos ? bukan 1 September.. apa signifikasi semua ni.
  23. Jawapannya panjang...
  24. Mengatakan tiada pertumpahan darah.. mungkin tidak 100% tepat...
  25. Sebelum merdeka... ada sahaja pergelutan berdarah berlaku demi untuk mencapai kemerdekaan.
  26. Lepas perang dunia kedua.. Negara diishtihar darurat ketika Komunis berusaha merampas negara kita.
  27. Darurat Tanah Melayu berlangsung dari 1948 sehingga 1960... ye walau kita dah merdeka 1957.... darurat masih berlaku..
  28. Tapi proses pembebasan Malaysia menjadi negara berdaulat berlaku dengan penuh hemah, toleransi dan halus... tiada darah ditumpahkan. Banyak keringat...
  29. Semua berlaku dengan satu perjalanan ke London, pada Januari 1956.
  30. Tunku Abdul Rahman yang pimpin rombongan tu.
  31. Tapi sebelum itu, di Melaka, Tunku ada minta bantuan. Buat crowd fund.
  32. Dana perlu dikumpul untuk tampung kos kapal terbang dan penginapan dan perjalanan di london nanti. Bukan sehari dua.. dan bukan setakat itu kos nya.. banyak kos kos lain....
  33. Dan seorang wanita muda bangun.
  34. Namanya Siti Rahmah Kassim.
  35. Dia buka gelang emas di tangan, serahkan pada Tunku. Gelang tu hadiah kahwin. Dia tahu mak dia pasti marah dia lepas ni. Tapi dia tekad.
  36. “Gunakanlah untuk negara,” katanya.
  37. Seluruh dewan tersentuh. Orang lain pun mula derma cincin, rantai, jam tangan.
  38. Lepas tu Tunku gi London..., tapi Tunku tidak datang dengan senjata.
  39. Dia datang dengan hujah.
  40. 'Parti Perikatan dah menang pilihan raya'
  41. 'Rakyat beri mandat'....ini proses demokrasi yang dicita cita kan oleh British. Mereka perlu tunjuk 'kejayaan' in didalam United Nation.
  42. Tanah Melayu sudah bersedia ada perlembagaan, ada sistem, ada kestabilan.
  43. Dan yang paling penting , Tunku cakap kat kerjaan British..kita akan terus lawan komunis habis habisan.
  44. Hari pertama rundingan menyaksikan perbincangan pembukaan selama setengah jam. Respon British sewaktu perundingan hari pertama ini adalah positif dan membuka jalan kepada rundingan lebih terperinci pada hari-hari seterusnya.
  45. Rundingan ini berlangsung sehingga 6 Februari 1956 dan mencapai matlamatnya.
  46. YTM Tunku kemudian buat pertama kalinya mengumumkan bahawa Persekutuan Tanah Melayu akan merdeka pada 31 Ogos 1957 sewaktu mengadakan pertemuan dengan para pelajar Persekutuan Tanah Melayu di Kirkby Teachers’ Training College, Liverpool.
  47. Dan British pun sebenarnya dah kira kos Darurat yang mencecah ratusan ribu pound sehari.
  48. Mereka nampak bahaya Perang Dingin.
  49. Dan mereka tahu perdagangan getah dan timah tetap akan jalan walaupun kita merdeka.
  50. Jadi mereka setuju.
  51. Pada 8 Februari 1956, Tunku bersama Setiausaha Tanah Jajahan Britain, Alan Lennox-Boyd, menandatangani perjanjian yang menetapkan tarikh kemerdekaan pada Ogos 1957
  52. Tunku pun balik Malaysia
  53. Tunku disambut dengan besar besaran. Sepas mendarat di Airport Sg Besi .. tak lama lepas tu YTM Tunku kumpul rakyat berhimpun pada 20 Februari 1956, di Padang Bandar Hilir, Melaka,
  54. Kat situ beliau umum tarikh kemerdekaan pada bulan Ogos 1957... YTM Tunku laungkan laungan merdeka buat kali pertama di Melaka pada tahun 1956. ...
  55. Rancangan pun dibuat untuk peralihan kuasa..
  56. Dan akhirnya, 31 Ogos 1957, Stadium Merdeka bergema dengan laungan “Merdeka!” sebanyak tujuh kali.
  57. Tapi... Kenapa 31 Ogos?
  58. Ada yang kata praktikal bagi British, sesuai dengan jadual mereka.
  59. Perbincangan di London selesai pada 1956 , so mereka ada tempoh setahun untuk handover.
  60. Dan ini beri mereka masa untuk bentang kan di parlimen london dan meluluskan Federation of Malaya Independence Act pada 31 Julai 1956. So hal hal formaliti sempat selesai.
  61. Majlis ni pun dibuat sebelum september untuk elak musim monsoon dan memastikan kehadiran ramai orang kat stadium merdeka.
  62. Lepas tu, YTM Tunku nak tarikh yang clean.. takder kaitan dgn apa apa.. tarikh yang orang senang ingat..
  63. Apa pun sebabnya, ia kekal tarikh keramat kita.
  64. Tapi....Jangan silap faham , British tak beri kemerdekaan kerana simpati... Cuba bayangkan , kita dah rampas sebidang tanah .. tetiba orang minta balik tanah tu.. sedangkan kita berkuasa.. kenapa nak bagi balik...
  65. Sama ada kita ni mmg baik tapi kalau kita baik takkan kita rampas tanah tu in the first place.
  66. Saya selalu rasa ada something else.. Semua ni keputusan politik.
  67. Sebenarnya Kos Darurat ni sangat tinggi... Sblm Tunku datang London pun... mereka dah bersidang di parlimen..
  68. Kos di tanah Melayu mencecah 100,000 pound... SEHARI... kalau setahun .. banyak duit habis tu..
  69. Dalam konteks Perang Dingin, Malaya yang sederhana lebih baik daripada ancaman komunis.
  70. Perdagangan getah dan bijih timah boleh kekal terjamin dengan cara merdeka.
  71. Lebih baik kemerdekaan diberi secara terhormat daripada dituntut melalui peperangan.
  72. Tak lama lepas merdeka Pada 12 Oktober 1957, termeterai Perjanjian Pertahanan Anglo-Malaya untuk mengekalkan kerjasama keselamatan.
  73. Tapi apa pun niat mereka, sejarah selepas itu tetap milik kita.
  74. Kita bentuk negara.
  75. Kita buat salah, kita betulkan.
  76. Kita jatuh, kita bangkit semula.
  77. Sekarang dah 2025... gambar lama ni pun saya boleh color kan balik. Zaman dah berubah.
  78. Dan Kita Malaysia.
  79. Kadang-kadang gaduh soal kaum, kadang-kadang panas isu politik.Kadang ada kejadian diluar norma kehidupan biasa... kejam sangat...
  80. Tapi tidak ada satu pun yang boleh menarik fakta...sebagai negara ...kita merdeka dan masih kekal merdeka.
  81. Jadi.. walau pun kadang kadang kita Melayu dan Cina dan India nampak macam nak bergaduh di paparan media dan halamam media sosial..
  82. Hakiktnya kita ada rasa kasih sesama kita. Kita bukan extremis...
  83. Tengok jer dua hari lepas..... bila atlet Malaysia menjuarai kejohanan badminton dunia di Paris 2025, tiada siapa peduli tentang kaum. Seluruh negara bersorak bersama.
  84. Itulah wajah sebenar kita.
  85. Merdeka bukan sekadar 31 Ogos.
  86. Merdeka bukan sekadar bunga api.
  87. Merdeka adalah apa yang kita pilih setiap hari.
  88. Cara kita hormat sesama rakyat.
  89. Cara kita jaga negara ini bersama.
  90. Selamat Hari Merdeka...bukan setahun sekali je tau... 🇲🇾
P/S : Gambar mungkin tidak tepat 100%, di warna semula dengan teknologi A.i

Oh ya sebarkan la.. biar ramai tahu : https://www.facebook.com/share/19gYBHJ97s/

Posting Sebelum Ini : https://www.facebook.com/share/p/1BUdzbjDnN/

Posting Lain Yang Berkaitan : https://www.facebook.com/share/p/1Vm7sGf4ZD/

https://www.facebook.com/share/p/19FzUZoBxK/

Monday, 31 August 2026

KEM PELARIAN TERAKHIR

 

Tahukah Anda?

Malaysia pernah menerima lebih 250,000 pelarian Vietnam.

Semuanya telah dihantar keluar. Namun tidak pelarian Rohingya

Malaysia pernah menerima lebih 250,000 pelarian Vietnam dan semuanya telah dihantar keluar namun tidak pelarian Rohingya harini.

KEM PELARIAN TERAKHIR yang ditutup adalah di Kem Sungai Besi pada 25 Jun 1996.

Pelarian Vietnam ketika itu ditempatkan di kem-kem yang dikawal kerajaan, bukannya dibenarkan tinggal secara bebas di seluruh negara.

Mereka juga tidak mempunyai hak untuk bekerja secara bebas.

Ramai mungkin tidak tahu bahawa suatu ketika dahulu, Malaysia pernah berdepan dengan satu krisis pelarian yang sangat besar.

Selepas perng Vietnam berakhir pada tahun 1975, ribuan rakyat Vietnam melarikan diri dengan bot melalui Laut China Selatan. Mereka tiba di Malaysia dalam keadaan lapar, sakit, trauma dan tanpa hala tuju.

Malaysia membuka ruang perlindungan sementara.

Pulau Bidong di Terengganu menjadi antara pusat penempatan terbesar. Pada kemuncaknya, puluhan ribu pelarian berada di sebuah pulau kecil itu.

Malaysia tidak membiarkan mereka begitu sahaja.

Makanan disediakan. Rawatan diberikan. Tempat perlindungan dibina. Pendidikan turut diwujudkan. Kerajaan bekerjasama dengan UNHCR dan organisasi kemanusiaan untuk menguruskan mereka.

Tetapi yang paling penting, Malaysia mempunyai satu pendekatan yang jelas.

Bantu mereka sebagai manusia, tetapi jangan biarkan masalah itu menjadi kekal.

Majoriti pelarian Vietnam yang berada di Malaysia akhirnya ditempatkan semula ke negara ketiga seperti Amerika Syarikat, Australia, Kanada, Perancis dan New Zealand. Sebahagian kecil pula kembali ke Vietnam.

Inilah kehebatan Malaysia pada ketika itu.

Kita tegas, tetapi masih berperikemanusiaan.

Kita membantu, tetapi kita tidak kehilangan kawalan.

Kita membuka pintu untuk sementara, tetapi kita juga memastikan ada jalan keluar.

Hari ini, Malaysia sekali lagi berdepan isu pelarian Rohingya.

Kita tidak boleh menafikan penderitaan mereka. Mereka juga manusia yang melarikan diri daripada konflik, penganiayaan dan ketakutan.

Tetapi kemanusiaan tidak sepatutnya bermaksud Malaysia perlu menerima segala-galanya tanpa batas.

Malaysia perlu kembali menggunakan ketegasan yang pernah kita tunjukkan dahulu.

Sempadan mesti dikawal.

Kemasukan mesti direkodkan.

Status mesti ditentukan.

Mereka yang benar-benar memerlukan perlindungan mesti dibantu.

Dan yang paling penting, mesti ada pelan yang jelas untuk penempatan semula atau penyelesaian jangka panjang.

Kita pernah mengurus lebih 250,000 pelarian Vietnam.

Kita pernah membuktikan bahawa sebuah negara boleh tegas mempertahankan kepentingannya sambil tetap membantu manusia yang sedang berada dalam kesusahan.

Jadi, mungkin yang Malaysia perlukan hari ini bukan kurang kemanusiaan.

Kita perlukan lebih banyak ketegasan.

Ketegasan untuk mengawal.

Ketegasan untuk mengurus.

Ketegasan untuk memastikan bantuan tidak disalahgunakan.

Dan ketegasan untuk mencari penyelesaian, bukan membiarkan masalah berlarutan tanpa penghujung.

Sejarah telah membuktikan Malaysia mampu melakukannya.

Kini, persoalannya ialah sama ada kita masih mempunyai keberanian dan ketegasan yang sama.

Selamat menyambut hari kemerdekaan, 31 Ogos 2026.

Merdeka!
Merdeka!
Merdeka!

https://www.facebook.com/share/p/14oRc6uPGS4/

POSTING SEBELUM INI https://normanhafizi.blogspot.com/2026/06/selamat-malam-rohingya.html

Wednesday, 11 January 2023

DISEMBER 1959 RANCANGAN MEMBAIKI KEADAAN EKONOMI BAKAL-BAKAL HAJI

Arkib : 08 Ogos 2022

Pada hari ini  dalam  tahun  1969,  Lembaga Urusan dan Tabung Haji (LUTH) ditubuhkan dibawah Akta 8/1969.  Penubuhan Tabung Haji bermula apabila Profesor Ungku Aziz mengemukakan kertas kerja bertajuk “Rancangan Membaiki Keadaan Ekonomi Bakal-bakal Haji” kepada kerajaan pada bulan Disember 1959. Melalui kertas kerja ini beliau mencadangkan penubuhan satu perbadanan untuk mengendalikan urusan Fardhu Haji.  

Hasil dari perbincangan itu, “Perbadanan Wang Simpanan Baka-bakal Haji” ditubuhkan.  Pada tahun 1969, Perbadanan ini telah digabungkan dengan Jabatan Hal Ehwal Haji bagi mewujudkan Lembaga Urusan dan Tabung Haji. Lembaga ini diwujudkan bukan sahaja bertujuan mengatasi masalah sosio ekonomi malahan menyediakan pelbagai perkhidmatan yang membolehkan kaum muslimin untuk melabur dan menyertai secara berkesan aktiviti ekonomi Negara.

Sumber : Arkib Negara Malaysia


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

26 SEPTEMBER 1963 PEMBENTUKAN TABUNG SIMPANAN BAKAL-BAKAL HAJI


Saturday, 31 December 2022

31 DISEMBER 1958 NEGERI JOHOR DIISYTIHARKAN SEBAGAI KAWASAN PUTIH

 

31 Disember 1958 – Seluruh negeri Johor diisytiharkan sebagai Kawasan Putih pada 13 Disember 1958. Pengisytiharan tersebut telah dibuat oleh Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail ibni Almarhum Sultan Ibrahim yang mewakili Sultan Johor pada satu upacara perbarisan pasukan-pasukan keselamatan di Johor Bahru.

Di negeri Johor, ‘Kawasan Hitam’ yang terakhir diisytiharkan sebagai kawasan putih ialah Daerah Kota Tinggi. Pada masa darurat diisytiharkan, terdapat lebih 1,200 orang pengganas komunis mengancam keselamatan di daerah di Johor.

Satu operasi yang dipanggil Operasi Badak telah dilancarkan oleh pasukan keselamatan. Operasi ini telah berjaya menghapuskan sebahagian besar pengganas komunis. Pengerusi Jawatankuasa Kerja Operasi Badak, Ungku Mohsin bin Mohamad telah mengalu-galukan pengisytiharan Johor sebagai kawasan putih bersih daripada ancaman dan keganasan komunis.

Pengisytiharan ini memberi makna besar kepada negeri Johor yang telah lama mengalami keadaan darurat serta menerima ancaman yang buruk sekali di Persekutuan Tanah Melayu. Dengan pengisytiharan ini Undang-Undang Darurat seperti sekatan-sekatan ke atas bahan-bahan makanan, bekalan-bekalan penting dan perintah berkurung dihapuskan.

Sebelum Johor diisytiharkan Kawasan Putih beberapa kawasan dan negeri di Persekutuan Tanah Melayu telah pun diisytiharkan sebagai Kawasan Putih seperti Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan dan Sabak Bernam.

#hariinidalamsejarah #arkibnegara


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

29 OKTOBER 1955 KAWASAN PUTIH BAGI DAERAH BENTONG & RAUB DI PAHANG


30 DISEMBER 1957 MAJLIS PERASMIAN KONGRES MELAYU YANG PERTAMA

Pada hari ini dalam tahun 1957, Majlis Perasmian Kongres Melayu yang pertama disempurnakan oleh YAB Dato' Abdul Razak bin Dato’ Hussein, Timbalan Perdana Menteri di Melaka. Kongres yang berlangsung selama tiga hari tersebut dianjurkan oleh Jawatankuasa Kongres Kebudayaan Tanah Melayu yang dihadiri oleh 51 buah badan kebudayaan dan persatuan Melayu dari seluruh Tanah Melayu, Singapura dan Kalimantan Utara. 

Sebanyak 18 kertas kerja telah dibentangkan bagi membincangkan beberapa perkara antaranya ‘Kebudayaan Melayu Secara Umum’, ‘Dewan Kebudayaan Nasional’ dan ‘Kerajinan dan Pertukangan’. Dalam ucapan perasmiannya, Dato' Abdul Razak menyatakan kerajaan Persekutuan sentiasa memberi perhatian dalam usaha menubuhkan kebudayaan nasional. Beliau berharap sebuah badan yang tetap khusus untuk melaksanakan projek tersebut diwujudkan. Di akhir kongres, sebuah badan yang dinamakan Dewan Kebudayaan Kebangsaan telah dibentuk untuk menyelenggara keputusan kongres.

Sumber : Arkib Negara Malaysia


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

20 DISEMBER 1974 PELANCARAN RANCANGAN BUKU HIJAU


29 DISEMBER 1955 RUNDINGAN DAMAI BALING BERAKHIR

29 Disember 1955 – Dalam tahun 1955, Rundingan Damai Baling berakhir tanpa mencapai apa-apa kejayaan. Perundingan damai di antara pihak kerajaan dengan pihak komunis ini bertujuan untuk menamatkan darurat berikutan dengan tawaran pengampunan beramai-ramai kepada anggota-anggota Komunis Malaya yang telah di buat pada 9 September tahun itu.

Rundingan damai ini telah dijalankan di dalam 4 sesi selama dua kali di Baling, Kedah. Pihak kerajaan telah diwakili oleh Ketua Menteri Persekutuan Tanah Melayu; Tunku Abdul Rahman, Ketua Menteri Singapura; Encik David Marshall serta Dato’ Sir Tan Cheng Lock. Manakala pihak komunis diwakili oleh Chin Peng, Chin Tian dan Abdul Rashid Mydin.

Di rundingan itu Tuanku Abdul Rahman menerangkan syarat-syarat berkaitan dengan pengampunan beramai-ramai dan tentang pergolakan-pergolakan politik di negara ini. Beliau menyakinkan pihak komunis yang Tanah Melayu sedang di dalam perjalanannya ke arah mencapai kemerdekaan dengan demikian mereka mestilah memberhentikan perang. Mengenai pengampunan beramai-ramai, mereka yang berbuat demikian tidak akan didakwa kerana apa-apa kesalahan bersabit dengan darurat yang dilakukan sebelum pengisytiharan pengampunan.

Setelah dua hari rundingan, daripada perbincangan dan soal jawab, pihak kerajaan menyedari bahawa pihak komunis hanya berniat untuk mendapatkan kebebasan berpolitik tanpa apa-apa sekatan. Oleh itu kerajaan menyedari bahawa tidak ada gunanya lagi menyambung rundingan, lantaran itu pada hari ini dalam tahun 1955 rundingan damai Baling dihentikan tanpa mendapat apa-apa persetujuan dari pihak komunis.

Kegagalan ini merupakan amaran keras tentang bahaya yang akan dihadapi oleh negara dalam usaha mencapai kemerdekaan.

Sumber : Arkib Negara Malaysia


P/S : Antara perkara utama yang ditolak dalam rundingan tersebut ialah permintaan daripada Chin Peng iaitu Parti Komunis Malaya (PKM) mahu diiktiraf sebagai sebuah parti dalam Persekutuan Tanah Melayu. Ini adalah kerana supaya apabila mereka dapat bergabung bersama-sama dengan Parti Perikatan bagi mencapai kemerdekaan. Seterusnya hasrat mereka dapat membentuk kerajaan selepas kemerdekaan dapat dilaksanakan. Akan tetapi syarat utama yang dinyatakan oleh Chin Peng telah ditolak dan tidak dipertimbangkan dalam urusan Rundingan di Baling, Kedah oleh Y,T.M. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj.

Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

02 DISEMBER 1989 RUNDINGAN DAMAI HAADYAI


Friday, 30 December 2022

27 DISEMBER 1958 AKTA BUANG NEGERI 1959

Pada hari ini dalam tahun 1958, Rang Undang-undang Buang Negeri yang baru, diumumkan. Rang Undang-undang itu telah digubal untuk menggantikan Undang-undang Negeri-negeri Melayu Bersekutu, Bab 38, Ordinan Negeri-negeri Selat, Bab 25 dan Ordinan Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu, 1948 serta Seksyen 226 Kanun Keseksaan. Rang Undang-undang Buang Negeri yang baru itu digubal bertujuan menyatukan undang-undang di semua negeri di dalam Persekutuan Tanah Melayu yang mana sebelum ini, tiap-tiap negeri mempunyai Undang-Undang Buang Negeri yang berlainan.

Penggubalan Rang Undang-Undang itu adalah selaras dengan Artikal 9, Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu tahun 1957 yang menegaskan bahawa seseorang warganegara Persekutuan Tanah Melayu tidak boleh dibuang negeri. Di bawah rang undang-undang ini, Menteri Dalam Negeri berkuasa untuk mengeluarkan perintah buang negeri, menggantung hukuman buang negeri dan memansuhkan perintah buang negeri dengan mengenakan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh pesalah.

#arkibnegara


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

22 DISEMBER 2011 RANG UNDANG-UNDANG HAL KEBAJIKAN PEKERJA DILULUSKAN


Saturday, 24 December 2022

21 DISEMBER 2003 DR MAHATHIR BAPA PEMODENAN MALAYSIA

 

21 Disember 2003 – Pada tahun 2003, Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah mengisytiharkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Bapa Pemodenan Malaysia di Pusat Konvensyen Putrajaya, Kuala Lumpur. Majlis itu diadakan bersempena majlis Jasamu Dikenang sempena persaraan Tun Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri keempat pada 31 Oktober dalam tahun yang sama selepas mengetuai tampuk pemerintahan negara selama 22 tahun.

Turut hadir di majlis tersebut ialah DYMM Yang di-Pertuan Agong Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr. Siti Hasmah Mohamed Ali.

Sambutan Kemerdekaan

Dalam majlis tersebut, DYMM Seri Paduka Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong telah menghadiahkan persalinan kepada Dr. Mahathir dan isteri, Dr. Siti Hasmah.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri menyatakan Dr. Mahathir dilihat sebagai pemimpin yang berfikiran lima hingga sepuluh tahun jauh ke hadapan berbanding dengan rakyat Malaysia yang lain. Ciri itu juga membolehkan beliau memacu Malaysia kepada kejayaan serta asas untuk kegemilangan. Tun Dr. Mahathir juga merupakan negarawan terulung yang mengabadikan diri beliau bagi kemajuan bangsa, agama dan negara.

Sejak meneraju kerajaan dalam tahun 1981, Dr. Mahathir telah berjaya mengubah Malaysia daripada negara yang disegani dan dihormati di pentas dunia.


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

25 NOVEMBER 2008 ANUGERAH MERDEKA


20 DISEMBER 1977 TAN SRI NIK AHMAD KAMIL TELAH KEMBALI KE RAHMATULLAH

Pada hari ini dalam tahun 1977, Yang di Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Nik Ahmad Kamil telah kembali ke rahmatullah. Allahyarham Tan Sri Nik Ahmad Kamil dilahirkan pada 7 Julai 1907 di Kota Bharu, Kelantan. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Majlis Agama Islam, Kota Bharu sebelum melanjutkan pelajaran ke Maktab Melayu Kuala Kangsar. Beliau kemudiannya melanjutkan pelajaran ke London dalam jurusan undang-undang. Sekembalinya dari London, beliau menjawat jawatan Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan. Kemudiannya sebagai Timbalan Menteri Besar Kelantan dan akhirnya sebagai Menteri Besar. 

Beliau pernah dilantik sebagai salah seorang anggota perwakilan perlembagaan ke London mewakili Raja-raja Melayu. Selain dari itu, beliau juga merupakan salah seorang pemimpin UMNO yang menggubal undang-undang tubuh UMNO dan beliau juga merupakan salah seorang yang turut berjuang menuntut kemerdekaan bersama-sama YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Tan Sri Nik Ahmad Kamil bukan sahaja terkenal di bidang politik atau pentadbiran, tetapi juga di bidang perniagaan, perindustrian dan sukarela. Ini terbukti dengan pelbagai jawatan penting yang pernah disandang oleh beliau semasa hayatnya. 


Antara lain, jawatan yang pernah disandang oleh beliau ialah sebagai :-
  • Setiausaha tetap Kementerian Luar Negeri, 
  • Pesuruhjaya Persekutuan Tanah Melayu ke Australia, 
  • Pesuruhjaya Tinggi Malaya ke United Kingdom, 
  • Duta Besar ke Amerika Syarikat dan 
  • Wakil Tetap Malaya ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.
Sesungguhnya kehilangan Allahyarham Tan Sri Nik Ahmad Kamil begitu dirasai dan semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman.


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

14 DISEMBER 1898 WAN MUHAMMAD SAMAN MENINGGAL DUNIA


Sunday, 11 December 2022

06 DISEMBER 1958 KETUA NEGARA ASING PERTAMA MELAWAT TANAH MELAYU

 

Pada hari ini dalam tahun 1958, Presiden India, Dr. Rajendra Prasad membuat lawatan rasmi ke Tanah Melayu. Beliau merupakan Ketua Negara Asing yang pertama melawat negara ini setelah Tanah Melayu mencapai kemerdekaan. Ketibaan Presiden India untuk lawatan selama tiga hari itu diberi sambutan meriah oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, DYMM Sultan Selangor, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman dan lain-lain pembesar negara.  

Dr. Rajendra Prasad, merupakan seorang ahli politik, pendidik dan pembentuk masyarakat India sebelum beliau dilantik menjadi Presiden negara itu. Sebagai pencinta keamanan, beliau datang dengan huluran tangan persaudaraan, kasih sayang dan persahabatan ikhlas, untuk mengeratkan lagi hubungan yang sedia terjalin antara kedua-dua negara. Lawatan Presiden India ini juga merupakan satu penghormatan kepada Tanah Melayu dan memperakukan kedudukan negara ini sebagai negara yang merdeka dan berdaulat.

Sumber : Arkib Negara Malaysia

https://www.facebook.com/701547676576843/posts/pfbid02JChRqNvoL37KBJaVC2e6GiuQ2BN37orgmcYP7fd8BpJQ5LpFj6tjNybp6Sv8euYkl/?mibextid=Nif5oz

Pautan artikel lain :-

04 DISEMBER 1995 MEMORANDUM PERSEFAHAMAN MALAYSIA & GHANA

https://normanhafizi.blogspot.com/2022/12/04-disember-1995-memorandum.html

Wednesday, 30 November 2022

25 NOVEMBER 2008 ANUGERAH MERDEKA

 

Pada hari ini dalam tahun 2008, YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah bin Haji Ahmad Badawi menyampaikan Anugerah Merdeka kepada individu dan organisasi yang memberi sumbangan cemerlang kepada negara dalam bidang masing-masing. Majlis penyampaian Anugerah Merdeka tersebut diadakan di Dewan Filharmonik Petronas, Kuala Lumpur. Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz, Profesor Datuk Dr. Khalid Kadir serta Datuk Leslie Davidson adalah kumpulan pertama penerima anugerah berprestij itu yang dilancarkan sempena 50 tahun kemerdekaan negara atas inisiatif bersama Petronas, ExxonMobil dan Shell.

Para pemenang sulung Anugerah Merdeka diharapkan akan dapat memberi satu suntikan inspirasi dan semangat kepada seluruh rakyat Malaysia bagi menyemarakkan budaya kecemerlangan di negara ini. Ia juga mendapat tempat dalam lipatan sejarah negara sebagai titik tolak pembentukan budaya kecemerlangan dalam kepimpinan dan inovasi serta memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai sebuah negara yang dinamik dan kompetitif dalam apa sahaja lapangan.


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

05 NOVEMBER 2003 PELAN KEWIBAWAAN NASIONAL


Tuesday, 29 November 2022

23 NOVEMBER 1959 PENGAMBILALIHAN SYARIKAT GENERAL TRANSPORT

 

Pada hari ini dalam tahun 1959, sebuah syarikat bas Melayu di ibu kota, Sri Jaya Transport Company Limited telah membeli dan mengambilalih sebuah syarikat pengangkutan Inggeris General Transport Company. Syarikat General Transport adalah sebuah syarikat yang besar dan telah beroperasi selama 24 tahun di ibu kota. Sementara Syarikat Sri Jaya Transport pula sebuah syarikat yang baru ditubuhkan kira-kira 22 bulan yang lalu.


Pembelian syarikat ini mendapat sokongan kerajaan iaitu di bawah Kementerian Pengangkutan. Ini kerana galakan sentiasa diberikan oleh kerajaan kepada syarikat-syarikat Melayu untuk menceburkan diri dalam bidang pengangkutan. Pembelian ini telah diumumkan serentak oleh Kementerian Pengangkutan dan Pengerusi Lembaga Pengarah Sri Jaya Company, Raja Haji Sahar Shah. Kementerian Pengangkutan dalam kenyataannya mengenai pembelian ini menyatakan bahawa ini adalah langkah tegas ke arah perlaksanaan dasar Kerajaan untuk membuka peluang yang lebih luas kepada orang-orang Melayu memasuki lapangan perusahaan pengangkutan jalan raya. 

Memandangkan Sri Jaya Company adalah syarikat yang seratus peratus dimiliki oleh orang Melayu langkah ini membawa erti yang besar di mana syarikat ini akan menguasai satu perusahaan yang besar.  Dengan pembelian Syarikat Pengangkutan Inggeris ini Sri Jaya Company telah menjadi syarikat pengangkutan Melayu yang terbesar di persekutuan ketika itu.



Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

02 OKTOBER 1976 PERASMIAN HENTIAN PUDU RAYA KUALA LUMPUR


Friday, 4 November 2022

02 NOVEMBER 1959 PERASMIAN PEMBUKAAN PUSAT ELEKTRIK-HIDRO DI CAMERON HIGHLAND

Pada hari ini dalam tahun 1959, DYMM Sultan Pahang Sultan Abu Bakar Ibni Almarhum Sultan Abdullah telah berkenan untuk merasmikan pembukaan pusat elektrik-hidro pertama di Cameron Highland. Turut hadir di majlis tersebut ialah Menteri Besar Pahang, Ungku Abd. Aziz; Menteri Hasil Bumi, En. Bahaman bin Samsuddin; Pengerusi Lembaga Pusat Elektrik, Dato' Osman Talib dan Penguasa Agong Lembaga Pusat Elektrik, Tuan J. Sharples. Rancangan pembangunan elektrik-hidro itu merupakan usaha awal kerajaan untuk menyelenggara penggunaan kuasa elektrik-hidro sepenuhnya di Cameron Highlands.

Bagi tujuan tersebut, air terjun Robinson yang setinggi 237.7m telah dipilih sebagai punca kuasa. Projek itu telah diusahakan oleh Lembaga Elektrik Pusat bagi menggantikan sebuah pusat elektrik diesel yang berusia 30 tahun yang hanya dapat membekalkan kuasa elektrik kepada kira-kira 600 orang penduduk Tanah Rata dan Brincang. Pembukaan pusat kuasa elektrik ini dalam juga merupakan langkah awal ke arah meningkatkan lagi pembangunan elektrik-hidro di negara ini.

#harinidalamsejarah


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

30 OKTOBER 1987 PEMBUKAAN RASMI BANGUNAN WISMA SULTAN AHMAD SHAH


Tuesday, 1 November 2022

31 OKTOBER 1962 PENYATA KELEMAHAN PELAJARAN MELAYU AMINUDDIN BAKI

 

Perkembangan Pelajaran orang Melayu selepas Merdeka terutamanya di kalangan murid-murid Sekolah Kebangsaan telah menimbulkan kebimbangan kepada kerajaan. Ini dapat dilihat dari bilangan murid-murid yang benar-benar berkebolehan naik ke sekolah menengah sangat berkurangan. Di atas kesedaran ini, pada 20 Februari 1961 Menteri Pelajaran Encik Abdul Rahman bin Talib, telah membentuk sebuah jawatankuasa seramai sembilan orang yang diketuai oleh Encik Aminuddin Baki dan lapan anggota lain.

Pada hari ini 31 Oktober dalam tahun 1962, "Penyata Kelemahan Pelajaran Melayu Aminuddin Baki" telah diterbitkan oleh Jawatankuasa tersebut. Penyata ini membentangkan syor-syor untuk mengatasi masalah kelemahan pelajaran di kalangan murid-murid Sekolah Kebangsaan khususnya murid-murid Melayu. Sebelum mengeluarkan penyata ini

Jawatankuasa berkenaan telah menjalankan siasatan yang bertujuan untuk menyiasat hal-ehwal sekolah-sekolah Kebangsaan. Antara sebab-sebab utama yang dikenalpasti ialah :-
  1. Sebab-sebab kurangnya jumlah murid-murid Sekolah Kebangsaan masuk ke sekolah menengah;
  2. Kelemahan keputusan peperiksaan murid-murid Melayu dalam peperiksaan Sijil Rendah Pelajaran dan cara mengatasinya.
Hasil dari penyiasatan yang ditugaskan itu pada hari ini dalam tahun 1962, "Penyata Laporan Jawatankuasa Penyiasatan Aminuddin Baki mengenai kelemahan murid-murid sekolah kebangsaan" telah digubal dan diterbitkan. Penyata ini mengemukakan dua belas syor kepada kerajaan dan berpendapat bahawa pada asasnya kemunduran pelajaran murid-murid Melayu adalah disebabkan sistem pelajaran yang terdapat sekarang mewarisi dasar pelajaran penjajah Inggeris.

Sukatan dan pentadbirannya tidak sesuai lagi dengan perubahan-perubahan kaedah pengajaran, pembelajarannya dan kemajuan yang telah dicapai dalam dunia pendidikan selepas negara mencapai kemerdekaan.

#hariinidalamsejarah #Pendidikan #arkibnegara


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

21 OKTOBER 1961 MENGEMASKINI SISTEM PELAJARAN KEBANGSAAN


Sunday, 23 October 2022

22 OKTOBER 1955 PENUBUHAN PERSEKUTUAN KEBANGSAAN MELAYU JOHOR

Pada hari ini 22.10.1955, Persekutuan Kebangsaan Melayu Johor telah ditubuhkan. Tujuan penubuhan ini ialah untuk memisahkan Johor dari Persekutuan Tanah Melayu dan mengembalikan tarafnya sebagai negeri yang 'merdeka' di bawah naungan British. Gerakan untuk keluar dari Persekutuan di Negeri Johor bermula dari satu perdebatan mengenai belanjawan di Majlis Negeri Johor pada akhir tahun 1954. Yap Kim Hock, seorang anggota Majlis Negeri Johor menyatakan bahawa negeri Johor haruslah menimbangkan untuk keluar dari Persekutuan Tanah Melayu melainkan ia diberi bahagian yang lebih saksama dari tabung kewangan Persekutuan.

Penubuhan Persatuan Kebangsaan Melayu Johor ini yang dipimpin oleh Ungku Abdullah bin Omar telah mendapat tentangan dari Perikatan UMNO - MCA - MIC. Ketua Menteri, Tunku Abdul Rahman dalam tentangannya terhadap gerakan serupa itu menegaskan bahawa Perikatan UMNO - MCA - MIC tidak akan bertolak ansur dengan sebarang pihak yang cuba untuk berpisah dari Persekutuan. Perikatan melihat tindakan pertubuhan ini akan mengganggu proses ke arah menuntut kemerdekaan serta boleh menggugat kestabilan politik Persekutuan. Perjuangan Perikatan ini mendapat sokongan padu dari Majlis Raja-Raja yang bersidang pada 21 Disember 1955, dengan syarat kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Pemerintah Berperlembagaan hendaklah dikekalkan.

Menjelang Kemerdekaan, Ungku Abdullah, selaku Setiausaha Agung PKMJ berusaha untuk menggagalkan rancangan kemerdekaan tetapi menemui kegagalan dan bermula dari situ pertubuhan ini tidak lagi mendapat sambutan yang baik dari rakyat Tanah Melayu.

#hariinidalamsejarah


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

19 OKTOBER 1927 PERJANJIAN SEMPADAN PERAIRAN JOHOR DENGAN SINGAPURA


Saturday, 15 October 2022

16 OKTOBER 1961 PEMBENTANGAN USUL PENUBUHAN GAGASAN MALAYSIA

16 Oktober 1961 – Pada tahun 1961, YTM Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra telah membentangkan satu usul bagi menubuhkan gagasan Malaysia. Usul itu berbunyi:

“Bahawa Dewan ini bersetuju pada prinsipnya dengan Konsep Malaysia itu mengandungi sebelas negeri Persekutuan Tanah Melayu, Singapura, Brunei, Borneo Utara dan Sarawak merestui usaha kerajaan untuk menjayakan gagasan tersebut di mana Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra akan memberitahu sebarang kemajuan kepada Dewan ini”.

Sebelum ia dibahaskan, Dewan telah menolak satu pindaan yang dikemukakan oleh Presiden PAS, Dr. Burhanuddin Al-Helmi, supaya Malaysia itu meliputi Republik Indonesia dan Filipina selain dari Tanah Melayu, Singapura dan tiga buah negeri di Borneo. 

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Hj. Mohd. Noah Omar telah menolak pindaan tersebut berdasarkan Peraturan Tetap Dewan yang menurut beliau tidak kena pada tempatnya kerana usul Perdana Menteri itu hanya meminta Dewan memperkenankan pelaksanaan Persekutuan Melayu Raya. Ahmad Boestamam dari Barisan Sosialis pula berpendapat bahawa Malaysia anjuran Tunku itu bukanlah Melayu Raya. Bagaimanapun beliau menyokong kalau Malaysia itu sebagai peringkat awal untuk menubuhkan Melayu Raya atau Malaysia Raya.

Sewaktu membentangkan usul itu Perdana Menteri menegaskan bahawa dengan perpaduan dan keazaman, kita mungkin berjaya untuk mencapai matlamat menciptakan gabungan yang lebih besar iaitu Malaysia. Konsep asas gagasan itu merangkumi kesebelas negeri dalam Persekutuan Tanah Melayu serta Brunei, Sabah dan Sarawak yang disatukan dalam satu Persekutuan.

Perlembagaan Persekutuan yang baru ini akan berasaskan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu. Sedikit perubahan akan dibuat untuk mengadakan peraturan-peraturan bagi masa peralihan kerana kepentingan ketiga-tiga Wilayah Kalimantan dan Singapura.

Dalam ucapannya semasa membentangkan usul itu Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman, menegaskan bahawa semua negeri dalam Malaysia akan menikmati taraf yang sama. Di bawah konsep Malaysia ini tidak ada negeri yang akan menjadi tanah jajahan, bahkan tidak akan ada negeri yang dipanggil Persekutuan Tanah Melayu kerana tempatnya digantikan oleh sebuah negara yang bergabung akan mempunyai taraf yang sama dan mengekalkan kuasa-kuasa tempatan seperti yang akan dipersetujui oleh negeri-negeri itu.


Usul ini telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 18 Oktober 1966. Ucapan Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman itu telah menjadi kenyataan pada 16 September 1963 apabila gagasan ini diisytiharkan dengan rasminya dalam bentuk yang dikenali sebagai Persekutuan Malaysia.

#hariinidalamsejarah


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

14 OGOS 1963 PERJANJIAN MALAYSIA



Friday, 14 October 2022

13 OKTOBER 1967 PEMBANGUNAN DAN KESELAMATAN NEGARA SELEPAS MERDEKA

13 Oktober 1967 – Selepas mencapai kemerdekaan, 31 Ogos 1957, Kerajaan Malaya menumpukan perhatian dalam dua aspek yang penting iaitu pembangunan dan keselamatan negara. Bagi keselamatan negara pasukan angkatan tentera telah ditubuhkan.

Di antara ketiga-tiga cabang angkatan tentera, tentera udara merupakan yang paling lewat ditubuhkan, setelah ditubuhkan pasukan ini telah membeli pelbagai peralatan terutamanya pesawat bagi memenuhi keperluan pasukan ini. Pada 1967, Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman Putra telah merasmikan nama empat buah pesawat Angkatan Tentera Udara Diraja Malaysia iaitu :
  1. Sebuah pesawat jenis Cessna bernama Tirok
  2. Tiga buah pesawat jenis De Havilland yang diberi nama Merbok, Punai dan Terkukur.
Upacara ini telah diadakan di pangkalan Angkatan Tentera Udara di Sungai Besi, Kuala Lumpur. Turut hadir pada majlis ini ialah Menteri Pertahanan Tun Abdul Razak Hussein, Panglima Angkatan Tentera Udara Diraja Malaya Group, Kapten J.N. Stancey. Pasukan Tentera Udara ini yang diwujudkan, menjadi sangat penting dalam keadaan negara baru mencapai merdeka serta ancaman komunis yang masih lagi ada, pesawat yang ada akan dapat membantu pihak tentera mempercepatkan operasi menghapus kegiatan komunis di negara ini.


#hariinidalamsejarah #arkibnegara


Pautan artikel lain yang berkaitan :- 

05 OKTOBER 1993 PESAWAT PERTAMA BUATAN MALAYSIA EAGLE X-TS


Thursday, 6 October 2022

07 JUN 1974 UCAPAN HAMKA DALAM MAJLIS KONVOKESYEN UKM KALI KEDUA

PIDATO HAJI ABDUL MALIK KARIM AMRULLAH (HAMKA) SEWAKTU MENERIMA IJAZAH KEHORMAT DOKTOR UNDANG-UNDANG SEMPENA MAJLIS KONVOKESYEN UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA (UKM) KE-2 BERTARIKH 7 JUN 1974

Yang Amat Berhormat Canselor
Yang Berhormat Pro-Canselor - Pro-Canselor,
Tuan-Tuan Yang Terutama, Dif-Dif Terhormat dan saudara-saudari sekalian,

Assalamualaikum warahatullahi wabarakatuh!

Tidak ada kata lain yang dapat saya ucapkan hanyalah setinggi-tinggi terima kasih atas anugerah yang saya terima dari Universiti Kebangsaan, hasil usaha perjuangan dari negara Malaysia, tetangga karib, serumpun seasal, seadat sekebudayaan dengan negara tempat saya dilahirkan, Republik Indonesia.

Sebenarnya sejak usia 17 tahun, sekitar tahun 1925, saya telah mulai berlatih mengarang dan mula memberanikan diri meningkatkan tangga mimbar untuk berkhutbah Jumaat atau pidato tabligh. Hidup, perjuangan dan ajaran ayah saya telah beransur-ansur tumbuh dalam diri saya. Pokok ajaran itu ialah jiwa yang bebas merdeka, kerana tidak ada tempat takut melainkan Allah dan jangan diambil orang kafir jadi pimpinan. Kemerdekaan jiwa itu tersimpul di dalam kalimah La ilaha illAllah, tidak ada Tuhan yang patut disembah dan yang patut ditakuti melainkan Allah. Dengan itu kita hidup, dengan itu kita mati. Dengan itu juga kita akan berbangkit kelak di kemudian hari. Itulah dia tauhid dan itulah dia Islam. Dan itulah dia kebenaran. Kita wajib berjuang atau berjihad menegakkannya selama hayat di kandung badan. Segala kesanggupan yang ada pada kita, gunakanlah untuk perjuangan itu, baik dengan lisan berpidato, atau dengan tulis mengarang.

Menurut beliau, penjajahan adalah punca dari segala bahaya yang dapat memadamkan roh tauhid itu. Kebodohan dan kejahilan umat adalah tempat bertapak penjajahan. Dan apa yang telah dipahatkan itu, tidak dapat dihapuskan lagi. Sejarah dari batu itu sendiri telah bertahun terinjak-injak dan dilupakan orang, kemudian yang ditemukan kembali adalah qias tentang nasib kita memeluk Islam. Kemudian berturut-turutlah ulama dan ahli-ahli fikir Islam memakai bahasa Melayu untuk memperkukuh agama Allah di bumi yang subur ini. Karangan mereka dijadikan pegangan bagi seluruh negara kita, semasa hubungan ke Makkah dan Mesir belum selancar sekarang. Itulah beliau al-Sheikh Aminuddin Abdul Rauf orang Singkil, Hamzah orang Fansur, Nuruddin al-Raniri, Shamsuddin Sumatrani, Abdul Samad al-Palembangi, Arsyad al-Banjari, Ahmad Khatib al-Minangkabawi, Daud Fatani, Abdullah bin Abdul Kadir Munshi Melaka, Raja Ali Haji Riau Pulau Penyengat. Semuanya selari dengan memperkaya, bahkan memberi bahasa Melayu jiwa yang hidup, jiwa taat yang kepada Tuhan dengan tidak melupakan pengaruh pada zamannya. Bukan lagi menyembah dewa dan keinderaan.

Di awal abad ke-20 ini, datanglah semangat baharu dalam Islam. Menjalar dan azali dari Mesir ke tanah air kita. Maka bangkitlah di Malaysia ini, Tuan Guru al-Sheikh Tahir Jalaluddin diiringi oleh muridnya Syed Sheikh al-Hadi. Bangkit di Sumatera pula adalah al-Sheikh Muhammad Jamil Jambek, Sheikh Abdullah Ahmad dan ayah saya Sheikh Abdul Karim Amrullah, dan yang bangkit di tanah Jawa adalah al-Sheikh Ahmad Dahlan. Semuanya memakai bahasa Melayu!

Inilah suri teladan yang saya turuti. Saya mengarang dalam bahasa Melayu. Berpidato dalam bahasa Melayu. Apabila pena saya tercoret ke atas kertas, yang tergambar dalam ingatan saya ialah seluruh nusantara ini. Seluruh bangsa saya dan umat seagama yang memakai bahasa ini. Melayu; tetapi lebih luas apa yang dinamai Malaysia sekarang.

Tanah Jawi - lebih luas daripada Pulau Jawa, Indonesia dan Malaysia sekarang. Di tanah itulah tempat saya mengabdikan semuanya, tempat saya berkhidmat.

Seperti yang telah saya katakan tadi, khidmat ini telah bermula sejak usia 17 tahun. Kedua-dua negeri ini telah mencapai keerdekaan sewaktu dijajah. Disebabkan itulah jiawa umat dan ilmu agama yang sejati dengan bahasa, dapat mereka fahamkan. Akhirnya kaum penjajah telah mengetahui bahawa ayah saya berbahaya buat mereka. Oleh itu, beliau pun dibuang dan diasingkan. Akhirnya, beliau meninggal di Tanah Jawa.

Didikan beliau itulah yang telah mendorong saya untuk mempelajari agama dengan lebih mendalam. Kata orang, kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga. Saya dalami bahasa Melayu ini dengan penuh cinta dan saya khususkan perhatian saya kepada sejarah Islam di tanah air ini. Rupanya bahasa Melayu telah berkembang baik kerana agama Islam. Bahasa Melayu telah menjadi bahasa persatuan sebelum pemuda-pemuda Indonesia bersumpah pada tahun 1928. Pulau-pulau yang sekarang bersatu menjadi Republik Indonesia, dahulunya bernama "Gugusan Pulau-Pulau Melayu". Walaupun terdapat berpuluh bahasa suku di sana - umpama bahasa Jawa, Sunda, Acheh, Batak, Bugis dan lain-lain - namun sejak beratus tahun yang lalu, bilamana mereka hendak berhubung atau menulis surat, mereka akan menggunakan bahasa Melayu. Demikian juga di semenanjung ini, didiami oleh pelbagai kaum, baik sebelum penjajahan orang putih atau sesudahnya, bahasa perhubungannya tetap bahasa Melayu. Islam mengambil bahagian yang amat mustahak dalam perkembangan bahasa, hasil usaha pengarang dan alim ulama Islam.

Dia telah terhunjam dan terpahat di hati kita, serta tetap hidup. Jika orang Hindu telah memahat Candi Prambanan untuk menunjukkan mereka pernah berpengaruh di sini, dan agama Buddha memahat Candi Borobodur dan Muara Takus, maka nenek moyang orang Islam telah memahatkan peraturan agama Islam dengan bahasa Melayu di atas Batu Bersurat Terengganu! Tidak mati tetapi tetap hidup.

Tetapi bagi saya, seni bukanlah sekadar seni. Bagi saya, seni adalah berpadu menjadi satu antara jamal (keindahan), jalal (kemuliaan) serta kamal (maha sempurna). Itulah sifat Allah. Bilamana telah bertemu sifat Allah, maka hilanglah ghairullah.

Saya mengakui, saya telah mengarang dalam pelbagai bidang. Di waktu muda saya pun telah mengarang beberapa buku roman. Saya mengakui, memang ada juga orang yang memasukkan saya dalam barisan seniman. Sampai sekarang saya masih belum lupa tujuan hidup saya dengan mengarang dan berpidato. Menegakkan agama Islam sampai tercapai kebesaran! Selama yang telah memang menjadi haknya, sesudah dijajah beratus tahun. 

Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada Universiti Kebangsaan Malaysia yang telah memberikan penghargaan atas amal usaha yang tiada santirannya. Sesungguhnya penghargaan ini amat menyentuh hati saya, sebagaimana pengkajian ini adalah tentang diri saya, kuat atau lemahnya tentu dapat dirasai oleh orang Melayu sendiri. 

Semoga penghargaan dan anugerah ini tidak akan menghentikan langkah saya selepas ini, kerana Nabi S.A.W. telah bersabda :

المؤمن لا ينتهى عن الخير حتى يكون منتهاه الجنة

"Orang yang beriman tidaklah akan berhenti berbuat baik sampai di tempat perhentian yang terakhir iaitu syurga".

Saya sedar bahawa saya telah mulai tua. Saya juga telah melihat bagaimana usaha-usaha pihak luar selain Islam hendak menguasai bahasa ini, yang dinamai oleh Jalal ketika seorang pengarah Islam dari Mesir, al-Gharu al-Fikr, menyebarkan ideologi!. Penjajahan dari sudut alam fikiran. Umpama fahaman komunis, ateis, existentialist (kewujudan) dan lain-lain. Yang masuk racunnya ke dalam bahasa kebangsaan. Namun saya percaya, asal semangat bebas merdeka dari La ilaha illaAllah masih bernyala dalam jiwa angkatan muda Islam di Malaysia dan Indonesia, semuanya dapat diatasi. Gayung disambut, kata dijawab!

Saya tidak menyesal jadi tua atau datang ajal sekalipun, kerana angkatan muda yang akan menggantikan saya bagi kejayaan agama dan kemuliaan bahasa telah pun tumbuh.



Teks ucapan tulisan tangan Buya Hamka dalam Jawi

Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

6 JUN 1901 ULANG TAHUN KELAHIRAN SOEKARNO


Monday, 3 October 2022

03 OKTOBER 1957 PERJANJIAN PERTAHANAN TANAH MELAYU - BRITISH

 

Pada hari ini 3.10.1957, satu Perjanjian Pertahanan Tanah Melayu-British telah diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Perundangan Persekutuan Tanah Melayu. Setelah berlaku perdebatan hangat di kalangan ahli-ahli yang terpilih dan dilantik, dengan itu Tunku Abdul Rahman, Perdana Menteri Persekutuan telah membawa usul supaya perjanjian itu diluluskan. Perjanjian pertahanan tersebut penting bagi mempertahankan kedaulatan Tanah Melayu dari sebarang pencerobohan asing dalam usahanya menghapuskan serta menghancurkan pengganas-pengganas komunis. Menurut perjanjian itu juga,

Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu membenarkan tentera-tentera Inggeris ditempatkan di Tanah Melayu dalam kawasan-kawasan yang tertentu yang telah dipersetujui oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Inggeris juga diberi pengkalan tentera di Tanah Melayu tetapi jumlah tentera dan lokasi pengkalan ini mestilah ditetapkan oleh Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu. Tunku menyatakan bahawa Persekutuan Tanah Melayu sebagai sebuah negara yang berdaulat dan merdeka adalah bebas membuat dan mengikut dasar luar negerinya sendiri tanpa mengikut telunjuk mana-mana pihak.

Tanah Melayu juga boleh membuat perjanjian-perjanjian dengan negara-negara lain sekiranya perjanjian-perjanjian itu memberi faedah dan manfaat besar kepada rakyat dan negara Tanah Melayu. Pada hari ini dalam tahun 1957, dengan penuh kesedaran, tanggungjawab serta pandangan yang jauh dan bijak ahli-ahli Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan Tanah Melayu-Inggeris telah diluluskan. Perjanjian Pertahanan Tanah Melayu-British yang diluluskan pada hari ini telah dimeterai pada 13 Oktober 1957 serta ditandatangani oleh Tunku Abdul Rahman Putra bagi pihak Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu dan Encik G. W. Tory, Pesuruhjaya Tinggi Inggeris di Persekutuan Tanah Melayu bagi pihak Kerajaan Inggeris.


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

19 SEPTEMBER 1957 PERJANJIAN PERTAHANAN BRITAIN DAN KERAJAAN MALAYA


Saturday, 1 October 2022

30 SEPTEMBER 2010 SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-50 BUNGA RAYA BUNGA KEBANGSAAN

 

Pada hari ini (30 September) dalam tahun 2010, DYMM Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah, berkenan melancarkan Sambutan Ulang Tahun Ke-50 Bunga Raya Bunga Kebangsaan di Kompleks Kraftangan, Kuala Lumpur. Sempena sambutan itu juga, wang siling khas, setem serta lagu tema bunga raya sebagai bunga kebangsaan negara, turut dilancarkan.

Mengimbau sejarah, bunga Kenanga, Melur, Teratai, Mawar, Cempaka, Bunga Tanjung dan Bunga Raya dicadangkan untuk dipilih sebagai bunga kebangsaan sejurus negara mencapai kemerdekaan pada 1957. Bunga Raya atau nama saintifiknya Hibiscus Rosa-Sinensis, akhirnya diisytiharkan sebagai bunga kebangsaan pada 28 Julai 1960 oleh Perdana Menteri, YTM Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ibni Almarhum Sultan Abdul Hamid Halim Shah. Kini, Bunga Raya terus menjadi inspirasi dalam membentuk identiti negara dan didaftarkan sebagai Objek Warisan Ketara pada 2007.

https://www.facebook.com/701547676576843/posts/pfbid0Abfie85Z5nk4rwnSvd8nbRR9N9BU7bMyPAowjLdiH8tudkoRFE3Au7Loa5735x5wl/

Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

29 SEPTEMBER 1972 PENGISYTIHARAN PERLANTIKAN CANSELOR UNIVERSITI MALAYA


Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...