PIDATO HAJI ABDUL MALIK KARIM AMRULLAH (HAMKA) SEWAKTU MENERIMA IJAZAH KEHORMAT DOKTOR UNDANG-UNDANG SEMPENA MAJLIS KONVOKESYEN UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA (UKM) KE-2 BERTARIKH 7 JUN 1974
Yang Amat Berhormat Canselor
Yang Berhormat Pro-Canselor - Pro-Canselor,
Tuan-Tuan Yang Terutama, Dif-Dif Terhormat dan saudara-saudari sekalian,
Assalamualaikum warahatullahi wabarakatuh!
Tidak ada kata lain yang dapat saya ucapkan hanyalah setinggi-tinggi terima kasih atas anugerah yang saya terima dari Universiti Kebangsaan, hasil usaha perjuangan dari negara Malaysia, tetangga karib, serumpun seasal, seadat sekebudayaan dengan negara tempat saya dilahirkan, Republik Indonesia.
Sebenarnya sejak usia 17 tahun, sekitar tahun 1925, saya telah mulai berlatih mengarang dan mula memberanikan diri meningkatkan tangga mimbar untuk berkhutbah Jumaat atau pidato tabligh. Hidup, perjuangan dan ajaran ayah saya telah beransur-ansur tumbuh dalam diri saya. Pokok ajaran itu ialah jiwa yang bebas merdeka, kerana tidak ada tempat takut melainkan Allah dan jangan diambil orang kafir jadi pimpinan. Kemerdekaan jiwa itu tersimpul di dalam kalimah La ilaha illAllah, tidak ada Tuhan yang patut disembah dan yang patut ditakuti melainkan Allah. Dengan itu kita hidup, dengan itu kita mati. Dengan itu juga kita akan berbangkit kelak di kemudian hari. Itulah dia tauhid dan itulah dia Islam. Dan itulah dia kebenaran. Kita wajib berjuang atau berjihad menegakkannya selama hayat di kandung badan. Segala kesanggupan yang ada pada kita, gunakanlah untuk perjuangan itu, baik dengan lisan berpidato, atau dengan tulis mengarang.
Menurut beliau, penjajahan adalah punca dari segala bahaya yang dapat memadamkan roh tauhid itu. Kebodohan dan kejahilan umat adalah tempat bertapak penjajahan. Dan apa yang telah dipahatkan itu, tidak dapat dihapuskan lagi. Sejarah dari batu itu sendiri telah bertahun terinjak-injak dan dilupakan orang, kemudian yang ditemukan kembali adalah qias tentang nasib kita memeluk Islam. Kemudian berturut-turutlah ulama dan ahli-ahli fikir Islam memakai bahasa Melayu untuk memperkukuh agama Allah di bumi yang subur ini. Karangan mereka dijadikan pegangan bagi seluruh negara kita, semasa hubungan ke Makkah dan Mesir belum selancar sekarang. Itulah beliau al-Sheikh Aminuddin Abdul Rauf orang Singkil, Hamzah orang Fansur, Nuruddin al-Raniri, Shamsuddin Sumatrani, Abdul Samad al-Palembangi, Arsyad al-Banjari, Ahmad Khatib al-Minangkabawi, Daud Fatani, Abdullah bin Abdul Kadir Munshi Melaka, Raja Ali Haji Riau Pulau Penyengat. Semuanya selari dengan memperkaya, bahkan memberi bahasa Melayu jiwa yang hidup, jiwa taat yang kepada Tuhan dengan tidak melupakan pengaruh pada zamannya. Bukan lagi menyembah dewa dan keinderaan.
Di awal abad ke-20 ini, datanglah semangat baharu dalam Islam. Menjalar dan azali dari Mesir ke tanah air kita. Maka bangkitlah di Malaysia ini, Tuan Guru al-Sheikh Tahir Jalaluddin diiringi oleh muridnya Syed Sheikh al-Hadi. Bangkit di Sumatera pula adalah al-Sheikh Muhammad Jamil Jambek, Sheikh Abdullah Ahmad dan ayah saya Sheikh Abdul Karim Amrullah, dan yang bangkit di tanah Jawa adalah al-Sheikh Ahmad Dahlan. Semuanya memakai bahasa Melayu!
Inilah suri teladan yang saya turuti. Saya mengarang dalam bahasa Melayu. Berpidato dalam bahasa Melayu. Apabila pena saya tercoret ke atas kertas, yang tergambar dalam ingatan saya ialah seluruh nusantara ini. Seluruh bangsa saya dan umat seagama yang memakai bahasa ini. Melayu; tetapi lebih luas apa yang dinamai Malaysia sekarang.
Tanah Jawi - lebih luas daripada Pulau Jawa, Indonesia dan Malaysia sekarang. Di tanah itulah tempat saya mengabdikan semuanya, tempat saya berkhidmat.
Seperti yang telah saya katakan tadi, khidmat ini telah bermula sejak usia 17 tahun. Kedua-dua negeri ini telah mencapai keerdekaan sewaktu dijajah. Disebabkan itulah jiawa umat dan ilmu agama yang sejati dengan bahasa, dapat mereka fahamkan. Akhirnya kaum penjajah telah mengetahui bahawa ayah saya berbahaya buat mereka. Oleh itu, beliau pun dibuang dan diasingkan. Akhirnya, beliau meninggal di Tanah Jawa.
Didikan beliau itulah yang telah mendorong saya untuk mempelajari agama dengan lebih mendalam. Kata orang, kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga. Saya dalami bahasa Melayu ini dengan penuh cinta dan saya khususkan perhatian saya kepada sejarah Islam di tanah air ini. Rupanya bahasa Melayu telah berkembang baik kerana agama Islam. Bahasa Melayu telah menjadi bahasa persatuan sebelum pemuda-pemuda Indonesia bersumpah pada tahun 1928. Pulau-pulau yang sekarang bersatu menjadi Republik Indonesia, dahulunya bernama "Gugusan Pulau-Pulau Melayu". Walaupun terdapat berpuluh bahasa suku di sana - umpama bahasa Jawa, Sunda, Acheh, Batak, Bugis dan lain-lain - namun sejak beratus tahun yang lalu, bilamana mereka hendak berhubung atau menulis surat, mereka akan menggunakan bahasa Melayu. Demikian juga di semenanjung ini, didiami oleh pelbagai kaum, baik sebelum penjajahan orang putih atau sesudahnya, bahasa perhubungannya tetap bahasa Melayu. Islam mengambil bahagian yang amat mustahak dalam perkembangan bahasa, hasil usaha pengarang dan alim ulama Islam.
Dia telah terhunjam dan terpahat di hati kita, serta tetap hidup. Jika orang Hindu telah memahat Candi Prambanan untuk menunjukkan mereka pernah berpengaruh di sini, dan agama Buddha memahat Candi Borobodur dan Muara Takus, maka nenek moyang orang Islam telah memahatkan peraturan agama Islam dengan bahasa Melayu di atas Batu Bersurat Terengganu! Tidak mati tetapi tetap hidup.
Tetapi bagi saya, seni bukanlah sekadar seni. Bagi saya, seni adalah berpadu menjadi satu antara jamal (keindahan), jalal (kemuliaan) serta kamal (maha sempurna). Itulah sifat Allah. Bilamana telah bertemu sifat Allah, maka hilanglah ghairullah.
Saya mengakui, saya telah mengarang dalam pelbagai bidang. Di waktu muda saya pun telah mengarang beberapa buku roman. Saya mengakui, memang ada juga orang yang memasukkan saya dalam barisan seniman. Sampai sekarang saya masih belum lupa tujuan hidup saya dengan mengarang dan berpidato. Menegakkan agama Islam sampai tercapai kebesaran! Selama yang telah memang menjadi haknya, sesudah dijajah beratus tahun.
Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada Universiti Kebangsaan Malaysia yang telah memberikan penghargaan atas amal usaha yang tiada santirannya. Sesungguhnya penghargaan ini amat menyentuh hati saya, sebagaimana pengkajian ini adalah tentang diri saya, kuat atau lemahnya tentu dapat dirasai oleh orang Melayu sendiri.
Semoga penghargaan dan anugerah ini tidak akan menghentikan langkah saya selepas ini, kerana Nabi S.A.W. telah bersabda :
المؤمن لا ينتهى عن الخير حتى يكون منتهاه الجنة
"Orang yang beriman tidaklah akan berhenti berbuat baik sampai di tempat perhentian yang terakhir iaitu syurga".
Saya sedar bahawa saya telah mulai tua. Saya juga telah melihat bagaimana usaha-usaha pihak luar selain Islam hendak menguasai bahasa ini, yang dinamai oleh Jalal ketika seorang pengarah Islam dari Mesir, al-Gharu al-Fikr, menyebarkan ideologi!. Penjajahan dari sudut alam fikiran. Umpama fahaman komunis, ateis, existentialist (kewujudan) dan lain-lain. Yang masuk racunnya ke dalam bahasa kebangsaan. Namun saya percaya, asal semangat bebas merdeka dari La ilaha illaAllah masih bernyala dalam jiwa angkatan muda Islam di Malaysia dan Indonesia, semuanya dapat diatasi. Gayung disambut, kata dijawab!
Saya tidak menyesal jadi tua atau datang ajal sekalipun, kerana angkatan muda yang akan menggantikan saya bagi kejayaan agama dan kemuliaan bahasa telah pun tumbuh.
Teks ucapan tulisan tangan Buya Hamka dalam Jawi
Pautan artikel menarik yang berkaitan :-
No comments:
Post a Comment