Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Showing posts with label Melayu. Show all posts
Showing posts with label Melayu. Show all posts

Saturday, 31 December 2022

30 DISEMBER 1957 MAJLIS PERASMIAN KONGRES MELAYU YANG PERTAMA

Pada hari ini dalam tahun 1957, Majlis Perasmian Kongres Melayu yang pertama disempurnakan oleh YAB Dato' Abdul Razak bin Dato’ Hussein, Timbalan Perdana Menteri di Melaka. Kongres yang berlangsung selama tiga hari tersebut dianjurkan oleh Jawatankuasa Kongres Kebudayaan Tanah Melayu yang dihadiri oleh 51 buah badan kebudayaan dan persatuan Melayu dari seluruh Tanah Melayu, Singapura dan Kalimantan Utara. 

Sebanyak 18 kertas kerja telah dibentangkan bagi membincangkan beberapa perkara antaranya ‘Kebudayaan Melayu Secara Umum’, ‘Dewan Kebudayaan Nasional’ dan ‘Kerajinan dan Pertukangan’. Dalam ucapan perasmiannya, Dato' Abdul Razak menyatakan kerajaan Persekutuan sentiasa memberi perhatian dalam usaha menubuhkan kebudayaan nasional. Beliau berharap sebuah badan yang tetap khusus untuk melaksanakan projek tersebut diwujudkan. Di akhir kongres, sebuah badan yang dinamakan Dewan Kebudayaan Kebangsaan telah dibentuk untuk menyelenggara keputusan kongres.

Sumber : Arkib Negara Malaysia


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

20 DISEMBER 1974 PELANCARAN RANCANGAN BUKU HIJAU


Thursday, 29 December 2022

25 DISEMBER 1972 PERTEMPURAN HEBAT REJIMEN ASKAR MELAYU DENGAN KOMUNIS

25 Disember 1972 – Pada tahun 1972, telah berlaku satu pertempuran hebat di antara Platun Harimau Batalion ke 9 Rejimen Askar Melayu Diraja dengan segerombolan pengganas komunis di Jambusan, Bahagian Pertama, Sarawak. Dalam gerakan tersebut, sebanyak 4 orang anggota komunis telah mati dan beberapa orang lagi mendapat kecederaan.

Kejadian ini berlaku sebagai tindak balas kepada serang hendap yang dibuat oleh segerombolan pengganas komunis ke atas anggota pasukan keselamatan pada 20 Disember. Berikutan dengan peristiwa tersebut, anggota Platun Harimau telah ditugaskan bagi mengesan kumpulan pengganas itu yang dipercayai menuju ke kawasan tertentu di bahagian pertama.

Kejayaan gerakan ini sebenarnya bergantung kepada keberanian dan kebijaksanaan Sarjan Jantan b. Nyamat salah seorang anggota Platun Harimau yang banyak pengalaman di hutan. Sehubungan itu berlakulah tembak menembak yang menyebabkan 4 orang anggota komunis dan beberapa orang lagi cedera.

Peristiwa Malam Natal itu sesungguhnya memaparkan keberanian Sarjan Jantan yang membawa kepada penganugerahan Pingat Pahlawan Gagah Berani sebagai menghargai jasa yang dilakukannya.

#Pahlawan #RAM


Pautan artikel menarik yang berkaitan :- 

27 NOVEMBER 1955 PERBARISAN BESAR-BESARAN DI KUALA LUMPUR

23 DISEMBER 1938 MELAYU PERTAMA MEMPEROLEHI SIJIL MEMANDU KAPAL TERBANG

Pada hari ini dalam tahun 1938, Mohamad Hamzah, menjadi anak Melayu pertama berjaya memperolehi sijil memandu kapal terbang dalam usia 26 tahun. Mohamad Hamzah yang dilahirkan di Pulau Pinang pada tahun 1912, berkhidmat dengan Kelab Penerbangan Pulau Pinang sebagai pembantu setelah tamat persekolahannya. Kecekapan dan khidmat cemerlang Mohamad Hamzah, mendapat perhatian daripada Presiden Kelab, E.Newbold dan Timbalannya, Nickson yang kemudiannya membenarkan beliau berlatih memandu kapal terbang. 

Beliau ditauliahkan sebagai juruterbang di Negeri-negeri Selat setelah tamat latihan selama sebulan. Pada tahun 1938, beliau mendapat sijil memandu kapal terbang yang membolehkan beliau memandu kapal terbang selama dua jam sebulan. Jenis-jenis kapal terbang yang pernah dipandunya ialah Tiger Moth, Gypsy Major, Avero Cadet dan Chipmunk. Kejayaan Mohamad Hamzah ini menyuntik semangat ingin berjaya dalam diri anak-anak Melayu yang lain ketika itu.

Sumber : Arkib Negara Malaysia


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

Perkhidmatan Kapal Terbang Labu Kubong, Chenderong Balai Ke Ipoh 1953


Sunday, 25 December 2022

21 DISEMBER 1945 MACMICHAEL BERJAYA DAPATKAN TANDATANGAN RAJA-RAJA MELAYU


KISAH MERDEKA 1 -  MELAYU DAN YAHUDI BENCI MACMICHAEL 

Ketika Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, pihak British telah kembali ke Tanah Melayu tetapi dengan misi yang berbeza. Sir Harold MacMichael selaku wakil British telah tiba ke Pelabuhan Swettenham (Pelabuhan Klang). Tujuannya adalah untuk mendapatkan tandatangan Raja-raja Melayu supaya menyerahkan kuasa pentadbiran kepada Raja British didalam Perlembagaan Malayan Union. Memandangkan Tanah Melayu masih lagi lemah kesan daripada penaklukan Jepun, inilah peluang terbaik untuk mengambil Tanah Melayu sepenuhnya.

MacMichael sangat terkenal di kalangan Yahudi di Palestine. Ketika British sedang sibuk membawa masuk orang Yahudi ke Palestine, MacMichael tersalah percaturan apabila tidak membenarkan kapal pelarian Yahudi masuk ke Palestine pada tahun 1942. Seramai 800 orang Yahudi telah mati di dalam Laut Hitam. Kempen membunuh MacMichael rancak dilakukan dan isterinya hampir mati diserang Yahudi. Desakan tersebut menyebabkan beliau meletak jawatan pada tahun 1944. 

Namun pada tahun 1945, MacMichael datang pula ke Tanah Melayu. Peranan beliau diperlukan pihak British kerana pernah menguruskan konflik Arab-Yahudi di Palestine. Di Tanah Melayu pula beliau perlu berinteraksi dengan bangsa Melayu, Cina dan India untuk membentuk gagasan Malayan Union. Erti kata mudah, beliau ada pengalaman menguruskan kepelbagaian kaum yang duduk di kawasan sama.

Sebelum Malayan Union dibentuk, MacMichael menghantar penyiasat bernama H.C Willan dan Newbolt untuk membuat kajian mengenai kelemahan dan sifat-sifat raja Melayu. Willan juga turut membuat senarai pengganti sultan sekiranya terdapat sultan yang tidak mahu menandatangani perjanjian Malayan Union. Willian nampaknya telah membuat pakatan sulit bersama kerabat yang inginkan takhta kerajaan. 

Biarpun Willan dan Newbolt berjaya menyusun strategi untuk mengambil tandatangan sultan, namun hanya Johor dan Selangor sahaja menandatangani perjanjian tanpa bantahan atas dasar setia kawan. Negeri Perak, Kedah, Negeri Sembilan dan Perlis sangat keras melawan sehingga MacMichael membuat ugutan menukar sultan yang tidak mahu mengiktiraf Malayan Union. Pahang, Kelantan dan Terengganu turut melawan namun masih boleh menerima rundingan. 

Pada 21 Disember 1945, MacMichael telah berjaya mendapatkan tandatangan sultan-sultan Melayu. Kejayaan tersebut sedikit sebanyak menutup kesilapan beliau melemaskan 800 orang Yahudi 3 tahun dahulu.

 

MURDER !

SIR HAROLD MAC MICHAEL 

Known as High Commisioner for Palestine

WANTED for MURDER

OF 800 REFUGEES DROWNED IN THE BLACK SEA ON THE BOAT STRUMA

Gambar penuh di sini :-


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

15 DISEMBER 1945 PERARAKAN MENENTANG MALAYAN UNION DI KOTA BHARU KELANTAN


Tuesday, 20 December 2022

17 DISEMBER 1869 PEPERANGAN TERCETUS DI KELANG KERANA MENGUSIR RAJA MAHADI

Tengku Kudin (duduk)

17 Disember 1869 – Pada tahun 1869, Raja Ismail telah menyerang Raja Mahadi di Kelang. Raja Ismail menyerang Raja Mahadi kerana membalas serangan Raja Mahadi yang telah mengakibatkan ayahandanya Raja Abdullah terpaksa mengundur diri dari Kelang ke Melaka.

Raja Ismail juga bercita-cita untuk merampas semula daerah Kelang yang dimiliki oleh bapanya yang dikurniakan oleh Sultan Abdul Samad. Sebelum ini, Daerah Kelang dikuasai oleh Raja Sulaiman, bapa Raja Mahadi tetapi setelah beliau meninggal dunia, Kelang diserahkan kepada Raja Abdullah.

Ketika Raja Abdullah memerintah, Kelang bertambah maju. Raja Abdullah telah membuka banyak perusahaan melombong bijih dan membawa masuk ramai pelombong Cina ke Kelang untuk membuka lombong bijih di kawasan-kawasan pendalaman. Raja Abdullah bertambah kaya apabila banyak hasil kutipan cukai diterimanya setelah lombong-lombong bijih di kawasan Ulu Kelang dan Ampang mengeluarkan hasil. Kuasa dan kekayaannya telah menambahkan cemburu kepada Raja Mahadi yang tidak puas hati kerana Sultan Abdul Samad telah mengenepikan dirinya dari mewarisi Kelang.

Dengan bantuan orang-orang Melayu Sumatera suku Mandahiling, Rawa, Batu Bara dan pengikut-pengikutnya beliau berjaya mengusir Raja Abdullah dalam tahun 1866. Serangan Raja Mahadi telah mengakibatkan berlakunya Perang Kelang.

Pada hari ini dalam tahun 1869, Raja Ismail menyerang Raja Mahadi untuk merampas kembali Kelang dari Raja Mahadi tetapi gagal mengusir Raja Mahadi. Peperangan berterusan dan melibatkan orang-orang luar yang diminta bantuan seperti Pahang, Kedah, Negeri Sembilan, Inggeris dan Riau.

Peperangan Kelang berakhir pada tahun 1871 apabila angkatan Raja Mahadi dikalahkan oleh Yamtuan Tengku Kudin, menantu Sultan Abdul Samad dengan bantuan tentera upahan Inggeris dan pengikut-pengikutnya.


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

08 NOVEMBER 1872 KEKALAHAN PETALING KUBU PERTAHANAN RAJA MAHADI


https://normanhafizi.blogspot.com/2022/11/08-november-1872-kekalahan-petaling.html

Saturday, 10 December 2022

07 DISEMBER 1947 KEMATIAN YANG MENGERIKAN

 

KEMATIAN YANG MENGERIKAN 

Maarof Zakaria, pengasas bank pertama untuk orang Melayu iaitu Malay National Bank. Namanya diabadikan pada sebatang jalan di Bangsar, Kuala Lumpur iaitu Jalan Maarof. Beliau adalah bapa kepada pelakon veteran terkenal, Allahyarham Datuk Mustapha Maarof.


Sekitar tahun 1947, Maarof Zakaria pernah cuba dibunuh oleh sekumpulan lelaki bersenjata api ketika mereka berpindah ke kediaman baharu di Taman Seputeh, Jalan Klang Lama. Kejadian itu berlaku kira-kira 10 bulan sebelum Maarof ditemui mati digantung pada sebatang pokok di hutan berhampiran Batu 13, Jalan Kuala Lumpur-Bentong, Pahang pada 7 Disember 1947. Sebelum kejadian beliau baharu membeli sebidang tanah dusun dianggarkan seluas 0.8 hektar di kawasan bukit yang mempunyai dua unit rumah setingkat, terletak berhampiran Sekolah Melayu Seputeh (kini SK Taman Bukit Desa).  Ketika pembunuhan itu berlaku, anaknya Mustafa Maarof masih bersekolah di Maktab Melayu Kuala Kangsar.


Maarof telah diculik pada 4 Disember 1947 ketika dalam perjalanan dari rumahnya di Kampung Baru, Kuala Lumpur menuju ke rumah ibunya di Seremban, Negeri Sembilan. Misteri kehilangan Maarof mendapat liputan meluas akhbar The Straits Times dan The Sunday Times yang menyiarkan laporan di muka depan selama dua hari berturut-turut. Laporan The Sunday Times pada 7 Disember bertajuk 'Car only clue to lost banker' (Kereta jadi petunjuk kehilangan pemilik bank).


Berdasarkan laporan itu, kereta Maarof ditemui sehari selepas beliau dikatakan keluar dari rumahnya di Kampung Baru menuju ke Seremban, Negeri Sembilan untuk menziarahi ibunya. Maarof dipercayai diculik ketika dalam perjalanan ke Seremban dan persoalan bagaimana keretanya berada di Pahang menimbulkan tanda tanya pasukan penyiasat. Isterinya, Kamsiah Mohd Ali, berkata suaminya memaklumkan akan pulang pada sebelah petang Khamis dan jika lewat, beliau akan bermalam di Seremban dan akan pulang keesokannya.


Selepas tiga hari diculik, mayatnya ditemui dalam keadaan cukup menyayat hati, digantung pada sebatang pokok dalam hutan, berhampiran Batu 13, Jalan Kuala Lumpur-Bentong, Pahang pada Sabtu, 7 Disember 1947. Maarof Zakaria telah didapati terbunuh di Lake Garden. Jam rolex di tangannya dan wang dalam sakunya telah tidak diambil oleh pembunuh itu. Ini bererti pembunuh berniat ingin membunuh  Maarof sahaja.

Polis percaya, Maarof ditahan oleh beberapa individu yang menaiki kereta lain sebelum membawa mangsa menuju ke Bentong. Keretanya ditinggalkan di penghujung jalan mati, tidak jauh dari kilometer 13, Jalan Kuala Lumpur-Bentong.

Sumber : BHarian

#sejarah #tanahmelayu #malaysia


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

Maarof Dibunuh Untuk Gagalkan Penubuhan Bank Melayu

Maarof Zakaria "Kisah Pejuang Melayu Yang Menyayat Hati"


Kisah sebenar di sebalik nama Jalan Maarof


Jalan Maarof Bangsar bukan dedikasi untuk Almarhum Maarof Zakaria..Akan tetapi, Maarof yang dimaksudkan adalah merupakan kakitangan LLN waktu itu yang juga ketua komuniti kampung-kampung sekitar Bangsar, pantai..

Bacaan sepenuhnya di sini :-

Sunday, 4 December 2022

01 DISEMBER 1941 PEMBENTUKAN BATALION KEDUA REJIMEN MELAYU

01 Disember 1941 – Batalion Kedua Rejimen Melayu telah ditubuhkan pada tahun 1941 iaitu selepas 8 tahun penubuhan Rejimen Pertama. Rejimen Pertama ditubuhkan apabila seramai 25 orang rekrut telah diambil bagi menjalani latihan di Port Dickson dalam tahun 1933. Kumpulan pertama ini juga dikenali sebagai Kompeni Percubaan (Experimental Company).

Rejimen Pertama ini berkembang pesat dengan terbentuknya beberapa buah Kompeni dengan bilangan anggota yang bertambah ramai. Kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh Rejimen Pertama ini telah mendorong ke arah perluasan kekuatan anggota pertahanan. Oleh itu dalam bulan March 1941, Gabenor telah mengumumkan persetujuan untuk membentuk satu batalion lagi bagi menambah kekuatan Rejimen tersebut.

Pada hari ini dalam tahun 1941 iaitu seminggu sebelum pendaratan askar-askar Jelun, maka terbentuklah Batalion Kedua. Batalion Kedua ini mempunyai anggota seramai 453 orang dan dipimpin oleh Lt. Colonel F.W. Young. Batalion Kedua Rejimen Melayu ini mengandungi ‘A’ Kompeni dan “D’ Kompeni. ‘A’ Kompeni yang dahulunya ‘W’ Kompeni Batalion Pertama, adalah di bawah pimpinan Major W. Richardson telah ditugaskan di Kuala Krai, Kelantan dan kawasan Pantai Timur. Sementara ‘D’ Kompeni pula yang di bawah pimpinan Captain A.S Taylor mengawasi Pantai Barat.

Pembentukan Batalion Kedua ini telah menambah kuatkan lagi kedudukan Rejimen Melayu bagi menghadapi serangan pihak Jepun ke atas Tanah Melayu.

#hariinidalamsejarah #arkibnegara


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

16 September 1933 Hari Ulang Tahun Angkatan Tentera Malaysia


Sunday, 13 November 2022

13 NOVEMBER 1946 SEKOLAH KEBANGSAAN ORANG ASLI YANG PERTAMA DIBUKA DI TANAH MELAYU

 

Pada hari ini dalam tahun 1946, Sekolah Kebangsaan Orang Asli yang pertama telah dibuka oleh Pesuruhjaya Tanah Negeri Sembilan, YBhg. Dato' Mohmood. Pembinaan sekolah ini merupakan hasil daya usaha Datuk Penghulu Zainol Abidin bin Lati, Penghulu bagi Mukim Labu, Negeri Sembilan. Bangunan sekolah yang dibina ini terletak 1.6 kilometer dari tapak sekolah yang lama. Pembinaan bangunan sekolah ini adalah hasil dari sumbangan dan derma penduduk-penduduk mukim itu sendiri, ladang-ladang sekitarnya dan juga dari Persatuan Melayu Negeri Sembilan.

Malahan khidmat guru dan kemudahan peralatan juga merupakan sumbangan dari kerajaan negeri. Pada peringkat awal pembukaannya, Sekolah Kebangsaan Orang Asli ini mempunyai murid seramai 26 orang serta seorang guru, iaitu Cikgu Ahmad bin Mohd Ariff. Pendidikan yang terdapat di sekolah ini hanyalah setakat darjah lima dan murid-murid yang berjaya akan menyambung persekolahan di Sekolah Kebangsaan Labu Ulu, kira-kira 3.2 kilometer dari situ.

Di samping bangunan sekolah, terdapat juga bangunan yang dijadikan asrama bagi murid yang datang dari kampung yang jauh seperti dari Batu Empat Mantin, Rompin, Air Hitam dan Bahau. Bangunan ini didirikan dengan berdindingkan buluh dan beratapkan bertam. Pembukaan Sekolah Kebangsaan Orang Asli ini telah memberi peluang kepada anak-anak Orang Asli menerima pendidikan formal seperti rakyat yang lain. Daya usaha yang ditunjukkan jelas menggambarkan kesungguhan penduduk tempatan menyediakan tempat untuk belajar bagi semua lapisan masyarakat.


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

21 OKTOBER 1816 PEMBUKAAN SECARA RASMI PENANG FREE SCHOOL


12 NOVEMBER 1986 PERSIDANGAN ANTARABANGSA TAMADUN MELAYU DI KUALA LUMPUR

 

Pada hari ini dalam tahun 1986, Persidangan Antarabangsa Mengenai Tamadun Melayu 1986, dirasmikan oleh YB Menteri Kemajuan Tanah dan Wilayah, Datuk Dr. Sulaiman Haji Daud mewakili Timbalan Perdana Menteri, Encik Ghafar Baba di Kuala Lumpur. Persidangan yang menghimpunkan para sarjana ini dapat memberikan peluang kepada para peserta untuk bertukar-tukar pandangan, maklumat dan fikiran dalam pelbagai bidang disiplin ilmu. Pembentangan kertas kerja dalam persidangan ini memperlihatkan usaha-usaha pengkajian mengenai kebudayaan dan tamadun Melayu dengan lebih rapi dan menyeluruh dalam pembinaan dan pembangunan budaya bangsa.

Hasil kajian ini dapat mendedah dan mengetengahkan kepada masyarakat mengenai ketinggian falsafah dan pemikiran rakyat asal rantau ini yang telah memungkinkan satu kebudayaan dan tamadun yang agung. Persidangan ini menjadi landasan untuk mengembalikan keagungan tradisi ilmu dan ketinggian kegemilangan budaya tamadun Melayu itu.


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

10 OKTOBER 1983 PUSAT KEBANGSAAN MANUSKRIP MELAYU

PENGISYTIHARAN PERPUSTAKAAN NEGARA MALAYSIA SEBAGAI PUSAT KEBANGSAAN MANUSKRIP MELAYU

Friday, 11 November 2022

10 NOVEMBER 1986 HAJI HARUN AMINURRASHID : NOVELIS SEJARAH MELAYU YANG PROLIFIK

 

Pada hari ini dalam tahun 1986, penulis dan nasionalis Melayu sejak zaman 30-an, Haji Harun Aminurrashid atau lebih dikenali sebagai Cikgu Harun, 79 tahun telah meninggal dunia di rumahnya di Singapura. Allahyarham yang dilahirkan di Singapura telah melanjutkan pelajaran ke Maktab Perguruan Sultan Idris (MPSI) di Tanjung Malim pada tahun 1924. Setelah menamatkan pengajian, Allahyarham terus berkhidmat di Maktab tersebut hingga tahun 1938. Seterusnya beliau telah ditukarkan ke Brunei sehingga tahun 1949, kerana didakwa oleh penjajah British cuba menyemarakkan semangat kebangsaan dalam kalangan penduduk tempatan. 

Allahyarham banyak menulis buku dan novel yang menggambarkan semangat nasionalis Melayu dan menggunakan nama-nama samaran seperti Atma Jiwa, Gustam Negara dan Har. Allahyarham juga pernah dianugerahkan sijil kepujian oleh Penerbit "Dictionary Of International Biography" kerana sumbangannya yang cemerlang sebagai novelis sejarah Melayu yang prolifik. Pemergian beliau juga telah disifatkan sebagai satu kehilangan besar yang sukar dicari ganti. Perjuangannya telah memberikan kesedaran yang tinggi terhadap semangat kebangsaan melalui penulisannya.

Sumber : Arkib Negara Malaysia


Pautan artikel menarik yang lain :-

Al-Khwarizmi Ilmuan Matematik Islam : Pengenalan (algebra)


Sunday, 6 November 2022

06 JUN 1947 ASAL USUL SENI SILAT SENAMAN SIKU 12


Nampaknya filem² Malaysia semakin meriah dengan seni pertahanan diri orang² Melayu . Filem "SIKU 12" diterbitkan oleh Power Team Entertaiment Sdn Bhd dan bakal ditayangkan di pawagam 22 Oktober 2022 . Filem ini dilakonkan oleh Syafiq Kyle dan Zahiril Adzim serta lainnya.

Mungkin ada yang segelintir yang tak tahu apa yang dimaksudkan dengan "Siku 12" kenapa nama filem ni Siku 12 .. ? Baik mari kita bercerita mengenai Siku 12 .

Saya tidaklah tahu sangat mengenainya, tetapi kalau nak cerita serba sedikit tu boleh lah . Nama Siku 12 ni adalah sebuah seni pertahanan diri ataupun ilmu tempur orang Melayu kita, khususnya di Pulau Pinang.

Seni ini diasaskan oleh Allahyarham Sheikh Ghulam Meah bin Syeikh Ahmad Meah. Beliau dilahirkan sekitar awal tahun 1905, berdarah campuran Melayu, Arab dan Pashtun. Beliau dikenali dengan nama "Mamu Dada" 

Beliau seorang yang sangat meminati seni pertahanan diri dan telah mempelajari pelbagai jenis ilmu pertahanan diri termasuklah beberapa ilmu seni persilatan. Disebabkan minat beliau pada ilmu pertahanan diri. Beliau belajar sambil mengkaji teknik dan pukulan yang lebih efektif.

Maka dari sini terciptalah satu sistem atau kaedah beladiri yang berasaskan dari senaman yang pada ketika itu beliau menamakannya dengan nama Senaman Siku. Ia juga boleh dikenali dengan nama Silat Pelaga dan Silat Halalintar/Petir. Manakala nama "Siku 12" hanyalah muncul selepas beliau meninggal dunia.

Pada asasnya, Seni Siku 12 merangkumi seluruh tubuh sebagai senjata serangan. Sama seperti seni beladiri yang lain. Hanya senaman dan senjata anggota tubuhnya lebih kepada penekanan penggunaan siku sebagai senjata utama.

Seni ini mengutamakan tempur jarak dekat. Apabila bertembung atau berlaga secara berhadapan bagi mengalahkan musuh, ia memfokuskan kepada tiga sasaran. Sama ada mencederakan lawan, mematahkan tulang anggota lawan atau memukul dengan pukulan maut.

Falsafah Mamu Dada @ Sheikh Ghulam mudah saja . "Siapa yang cepat dia yang dapat"

Mamu Dada dikatakan sering terlibat dalam beberapa pertarungan dengan beberapa orang yang mahir dalam senibeladiri. Dari situ beliau sering membuat kajian dan ujikaji mengenai teknik, serang bela dan pukulan yang lebih efektif dan sesuai untuk beliau gunakan sebagai ‘pakaian’ diri.

Untuk memahirkan diri dengan seni ini, seseorang itu memerlukan latihan sekurang-kurangnya dua tahun hanya untuk kefahaman dan kemahiran dalam peringkat ‘Senaman 12’ sahaja.

Bagaimanapun, hanya dengan menamatkan Senaman 12 saja sudah cukup memadai untuk digunakan sebagai ilmu seni mempertahankan diri.

Dari sinilah pecahan tiap anggota tubuh diajar sebagai senjata dan juga kaedah pecahan tapak. Mengikut cerita dari orang-orang lama termasuk dari guru-guru Siku 12 tidak ramai yang meneruskan kesinambungan Senaman Siku 12 ke peringkat seterusnya. Kebanyakannya akan berhenti setakat Senaman 12 sahaja.

Mamu Dada diketahui mempunyai ramai anak murid baik sebelum dan selepas Perang Dunia Kedua. Bagaimanapun, diceritakan terdapat 6 orang murid yang mana 5 darinya yang paling terkenal. Antaranya :
  1. Pak Mat Hamden atau lebih terkenal dengan nama Pak Mat Hamdan
  2. Pak Sahak atau dikenali dengan nama Pak Sahak Kastam.
  3. Pak Bidin.
  4. Pak Ibrahim atau dikenali dengan panggilan Ibrahim Body
  5. Haji Yahya atau dikenali dengan panggilan Pak Ya Botak
  6. Lukman Hakim
Apa yang menariknya, kesemua mereka diberi pelajaran yang berbeza antara satu sama lain tetapi masih berasaskan kepada pelajaran asalnya iaitu Senaman Siku. Selepas kematian Mamu Dada, lima muridnya telah membentuk jurusan masing-masing berdasarkan pelajaran yang diterima dari Mamu Dada.

Allahyarham Mamu Dada meninggal dunia ketika berusia 42 tahun pada tanggal 6 Jun 1947 Ketika hayatnya Allahyarham telah mencipta sejenis senaman yang akhirnya mampu diaplikasikan sebagai sejenis seni mempertahankan diri yang diiktiraf oleh masyarakat ketika itu sebagai Silat Kelahiran Pulau Pinang.

Silat ini juga pernah didaftarkan atas nama ‘Seni Silat Petir Negeri Pulau Pinang’ pada tahun 1976 di Tanjong Tokong, Pulau Pinang.

Siku 12 sejak awal kemunculannya dan selepas kematian Allahyarham Mamu Dada hanya berpusat di bahagian pulau sahaja iaitu di kawasan Bayan Lepas hingga ke Teluk Bahang. Kini penyebaran Siku 12 ke tanah besar Seberang Perai hingga sejauh Pulau Langkawi, Negeri Sembilan dan Johor.

‘Siku 12’ menjadi kebanggaan generasi lama Pulau Pinang. Bak kata orang lama “Cek, jangan berani mengaku anak Pulau Pinang kalau tak belajaq Siku 12”. Ini membuktikan bahawa Siku 12 pernah menjadi kebanggaan masyarakat Pulau Pinang satu ketika dulu hingga kini tanpa menidakkan kehebatan seni beladiri yang lain.

Al-Fatihah (dibaca)
Allahyarham Sheikh Ghulam Meah Bin Sheikh Ahmad .
Moga Allah Merahmati Ruhnya .

Sumber Rujukan

Shaik Dada Pendekar Pulau Pinang. http://dadameahpendekarpp.blogspot.com/

Seni Petir Siku 12 Langkawi. http://senipetirlangkawi.blogspot.com/

Kredit kepada The Patriot dan sumber rujukan penulis Encik Mohamad Rosidi.


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

Pusaka Seni Silat Gayong


06 NOVEMBER 1945 PERTEMPURAN DENGAN PENGGANAS KOMUNIS DI BATU KIKIR

6 November 1945 – Pada tahun 1945, satu pertempuran berlaku di antara penduduk kampung dengan pengganas komunis di pekan Batu Kikir, Jempol Negeri Sembilan. Pertempuran di Batu Kikir itu berlaku apabila sekumpulan penduduk di sekitar pekan Batu Kikir keluar beramai-ramai untuk menyelamatkan seorang guru agama yang ditangkap oleh pengganas komunis dan ditahan di markas komunis, di Kuala Pilah.

Guru agama tersebut, Tuan Haji Yahya telah ditangkap ketika menjalankan perniagaannya membeli getah keping di sebuah kedai di pekan tersebut. Oleh kerana tentera Gurkha yang berkawal tidak berusaha membebaskan Haji Yahya, menyebabkan kira-kira 300 orang penduduk dari Kampung Lonek, Kampung Tebat, Kampung Tengah dan Kampung Batu Kikir yang sedang mengikuti seni mempertahankan diri di Masjid Lonek, 3 kilometer dari Pekan Batu Kikir telah keluar untuk menyelamatkan guru tersebut.

Maka berlakulah peperangan antara kedua-dua pihak. Pertempuran pada hari ini dalam tahun 1945 telah berakhir dengan kemenangan di pihak orang kampung. Sesungguhnya ia juga merupakan satu kejayaan besar kepada penduduk Tanah Melayu dalam usaha membanteras kegiatan komunis di Tanah Melayu.


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

06 NOVEMBER 1946 PERISTIWA AMUK DI PADANG LEBAR NEGERI SEMBILAN


MEI 1952 KISAH MANAP JEPUN TERSIMPAN DI MUZIUM KATMANDU

 

KISAH MANAP JEPUN TERSIMPAN DI MUZIUM KATHMANDU

Siapa Manap Jepun? Generasi baharu yang tidak tahu sejarah tanah air pasti terpinga-pinga.

Sedangkan individu itu sangat dikenali dan ditakuti penjajah Inggeris malah askar upahan Gurka pada akhir 1940 dan 1950 kerana semangat anti-Inggerisnya.

Semangat nasionalis menebal Manap Jepun mendorong anak jati kelahiran Temerloh itu menjadi Ketua Platun Kelima Rejimen Ke-10 Parti Komunis Malaya (PKM) yang diketuai Abdullah CD.

Ini kerana kawalan Inggeris terhadap pertubuhan dan aktiviti anti-Inggeris dengan mengisytiharkan darurat 20 Jun 1948 mendorong orang muda seperti Manap Jepun memilih perjuangan bersenjata melawan penjajah British.

Kisah ‘perjuangan’ anti-Inggeris menjadi bukti nyata apabila keratan berita kematian Manap Jepun dan 12 lagi rakannya dalam akhbar The New York Times pada Mei 1952 dipamerkan di Muzium Kathmandu, Nepal.

Bercakap kepada Mingguan Malaysia, Perunding Penyelidikan dan Pembangunan Budaya Melayu Antarabangsa, Profesor Datuk Dr. Aripin Said berkata, keratan berita itu diperoleh daripada seorang rakan rakyat Nepal di Kathmandu.

Bercerita tentang Komunis Melayu itu, beliau berkata, Manap Jepun diberi gelaran kerana ibunya Wan Esah seorang Jepun manakala ayah dikenali Sewang.

“Manap Jepun dikatakan seorang nasionalis bersama-sama beberapa rakan Melayu memilih PKM sebagai medium menentang Inggeris.

“Pihak PKM mengeksploit semangat perjuangan Manap Jepun untuk membebaskan negara daripada penjajahan Inggeris,” katanya di sini.

Aripin berkata, dalam tempoh beberapa bulan sahaja bermula bulan Oktober 1950, Manap Jepun melakukan beberapa sabotaj dan membunuh ramai orang termasuk pegawai kanan Inggeris.

Tambah beliau, Manap Jepun dan pasukan dipimpinnya sentiasa berada di hutan di Temerloh, Jerantut, Raub dan Kuantan.

“Berikutan dengan itu pihak Inggeris pada waktu itu mengisyiharkan Manap Jepun sebagai pengganas nombor satu yang perlu diperangi. Inggeris telah menawarkan ganjaran sebanyak $35,000 (RM75,000) kepada sesiapa yang dapat menembak mati Manap Jepun.

“Pihak Inggeris menggunakan askar upahan Gurkha beberapa kali bertempur secara berdepan tetapi gagal menangkap atau membunuh Manap Jepun.

“Manap Jepun dikatakan kebal tidak lut senjata dan peluru biasa, tetapi orangnya sendiri belot dan membuka buka rahsia kelemahannya, akhirnya seorang askar Gurkha dikenali Bharnabahadur Rai menembak Manap Jepun dengan memasukkan cincin emas dalam laras senapang bersama peluru.

“Manap Jepun bersama 12 pengikutnya terbunuh dalam pertempuran itu dalam hutan daerah Kuantan sekitar pada bulan Mei 1952,” ujarnya

Beliau dalam pada itu berkata, seorang rakyat Nepal dikenali Tadip Yan bekerja sebagai pengawal keselamatan di pasar raya di Kuala Lumpur begitu kagum dengan keberanian orang Melayu.

“Ceritanya, berdasarkan catatan dalam keratan yang dipamerkan di Muzium Kathmandu, orang Melayu berani mati dalam perjuangan.

“Tadip juga memaklumkan bahawa, orang Melayu juga sangat baik dan menghormati rakyat asing. Orang Melayu tidak menyokong keganasan,” katanya.

Sumber Kredit Utusan Malaysia

Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

Sejarah Pemberontakan Komunis di Malaysia

https://normanhafizi.blogspot.com/2018/07/sejarah-pemberontakan-komunis-di.html

06 NOVEMBER 1946 PERISTIWA AMUK DI PADANG LEBAR NEGERI SEMBILAN


Peristiwa Amuk Di Padang Lebar, Negeri Sembilan

Sebelum terjadinya rusuhan kaum terbesar di negara kita selepas Perang Dunia ke 2 pada 13 Mei 1969, beberapa rusuhan kaum juga pernah berlaku di beberapa buah negeri di Tanah Melayu termasuklah Negeri Sembilan.

Dikatakan rusuhan kaum yang telah berlaku di Padang Lebar, Negeri Sembilan adalah antara peristiwa paling buruk yang pernah diceritakan.

Rusuhan kaum yang tercetus akibat daripada peristiwa amuk di Padang Lebar berdekatan Pekan Batu Kikir, Negeri Sembilan terjadi 23 tahun sebelum peristiwa 13 Mei iaitu pada tarikh 6 November 1946.

Peristiwa rusuhan di Padang Lebar, Negeri Sembilan ini bukanlah memberi kesinambungan kepada peristiwa 13 Mei yang melanda negara kita, tetapi ia punyai kaitan yang cukup rapat dengan perang di Batu Kikir, Negeri Sembilan.

Kisahnya waktu itu Tanah Melayu dikuasai oleh komunis dan peraturan-peraturan serta larangan-larangan yang dikenakan oleh ahli Bintang Tiga secara tidak sengaja telah mengakibatkan tercetusnya perang Batu Kikir.

Dalam peristiwa rusuhan kaum di Padang Lebar, orang kampung telah membunuh hampir semua penduduk yang berketurunan Cina di pekan Padang Lebar. Peristiwa itu berlaku berpunca daripada akibat rasa tertekan orang Melayu dengan kezaliman pemerintahan Bintang Tiga yang majoritinya orang cina.

Kebanyakan ahli Bintang Tiga berpengkalan di dalam hutan, tempat memecah batu berhampiran Kampung Serting. Pada waktu itu, pekan Simpang Pertang (Pekan Batu Kikir) adalah markas besar buat Bintang Tiga. Mereka menjadikan gua-gua di hutan berhampiran sebagai tempat persembunyian.

Selepas tentera Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, ahli-ahli pasukan Bintang Tiga mula keluar dari hutan. Mereka mula bertindak ganas ke atas orang Melayu dan menganggap mereka telah menjadi tali barut Jepun. Kesempatan ini diambil oleh orang-orang cina di Padang Lebar untuk menganiaya orang Melayu.

Ahli-ahli Bintang Tiga menangkap dan menghukum ramai orang Melayu walaupun atas kesalahan paling kecil seperti mempertikai harga ikan yang mahal yang dijual orang Cina. Kesalahan itu dijadikan isu bagi mereka sehinggakan si pembeli dikenakan hukuman mati.

Selain itu ada juga didenda dengan jumlah yang tidak munasabah. Antaranya dikenakan denda dengan membayar satu pikul daging kambing, wang enam puluh ribu ringgit, dua tahil emas dan sebatang pen Parker.

Denda yang tidak munasabah ini bertujuan untuk menghukum orang tersebut dengan lebih berat memandangkan mereka tidak mampu membayar denda yang dikenakan. Sejak Bintang Tiga berkuasa, boleh dikatakan ramai orang Melayu telah dihukum dan dibunuh.

Dalam pada masa yang sama ahli Bintang Tiga teruskan keganasan mereka dengan pergi dari satu rumah ke satu rumah orang melayu hanya kerana untuk mencari kesalahan orang melayu.

Oleh yang demikian, kemarahan orang melayu memuncak apabila terdapat berita dari Pekan Lebar yang mana ahli Bintang Tiga telah menangkap 40 orang melayu dalam masa 2 minggu.

Orang melayu mula bersepakat dan merancang untuk menghapuskan kesemua orang cina di pekan Padang Lebar. Maka tercetuslah peristiwa amuk Padang Lebar yang amat gerun dan tidak dapat dilupakan sehingga ke hari ini.

Antara orang yang bertanggungjawab mengetuai amukan tersebut adalah Haji Dollah. Beliau bersama-sama dengan penduduk setempat telah melakukan persediaan yang rapi bagi menghadapi amukan ini antaranya bertemu dengan Kiai Selamat (seorang yang alim dan arif dalam ilmu persilatan) di Kampung Lonek untuk menuntut ilmu persilatan.

Haji Dollah dan orang-orang kampung mula berhimpun di pekan Padang Lebar untuk memulakan rancangan mereka. Mereka berpecah dan berkumpul berasingan di sepanjang jalan di pekan kecil itu.

Dikatakan amukan dimulakan oleh Datuk Nara Sutin Bin Daim yang merupakan seorang guru dan diikuti oleh anak-anak muridnya. Maka ramailah orang Cina dibunuh oleh orang melayu dalam peristiwa berdarah itu.

Kebanyakan mereka yang terbunuh telah dipenggal kepalanya oleh orang melayu yang melakukan amukan tersebut. Akibat dendam kesumat terhadap mereka, dikatakan tidak ada satu orang cina pun yang hidup melainkan seorang sahaja yang bernama See Kun.

See Kun dikatakan telah berjaya melarikan diri walaupun mengalami kecederaan di bahagian perut dan terselamat selepas mendapat rawatan di pekan Kuala Pilah.

Dia adalah merupakan saksi utama dalam peristiwa amukan tersebut. Mangsa-mangsa yang dibunuh, kebanyakannya dibunuh oleh mereka yang berdendam atas kematian ahli keluarga mereka.

Kejadian tersebut akhirnya telah sampai ke pengetahuan pihak atasan Bintang Tiga. Satu pasukan Bintang Tiga telah dihantar ke pekan Padang Lebar dengan bertujuan untuk melawan dan menuntut bela.

Semasa dalam perjalanan, mereka telah dihalang oleh satu pasukan tentera Gurkha yang telah diarahkan supaya melindungi orang-orang Melayu di sekitar pekan Padang Lebar.

Oleh sebab hampa dihalang memasuki kawasan pekan Padang Lebar, mereka sempat membunuh seorang Melayu yang kebetulan berada di situ. Ekoran daripada peristiwa amukan itu, pihak berkuasa telah menahan 11 orang melayu penduduk tempatan dan dijatuhkan hukuman gantung.

Walau bagaimanapun atas sebab-sebab tertentu hukuman gantung telah digantikan dengan hukuman penjara. Pihak berkuasa pada ketika itu telah mengeluarkan perintah melarang orang ramai membawa senjata tajam apabila keluar ke pekan.

Pihak Bintang Tiga turut membantu memastikan semua penduduk mematuhi perintah tersebut. Larangan tersebut telah membawa padah pada pihak berkuasa kerana ia menjadi alasan berlakunya pertumpahan darah bagi kali kedua.

Kali ini pertumpahan darah berlaku di pekan Batu Kikir. Peristiwa ini terjadi tidak sampai seminggu daripada peristiwa di pekan Padang Lebar.

Walaubagaimanapun, peristiwa hitam ini perlu diteliti kerana ianya memberi pengajaran tentang kehidupan yang harmoni datang dari kepercayaan dari satu kaum kepada satu kaum yang lain untuk tinggal bersama di dalam satu tempat.

_______

Kredit : Freddie Aziz Jasbindar

Sumber artikel : Legasi Pemikir [LEKIR] oleh PeristiwaNSejarah


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

Menyingkap Sejarah Hitam Negara


Friday, 14 October 2022

14 OKTOBER 1967 PERLETAKAN BATU ASAS PEMBINAAN KAMPUS INSTITUT TEKNOLOGI MARA

 

14 Oktober 1967 – Pada tahun 1967, Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak bin Hussein telah meletakkan batu asas pembinaan kampus Institut Teknologi Mara (ITM). Pembinaan kampus ini diperlukan kerana negara mengalami kekurangan pekerja terlatih di tahap profesional dan separa profesional di kalangan Bumiputera. Bagi mengatasi masalah ini, Kerajaan meluluskan sebidang tanah seluas 300 ekar di Shah Alam untuk dijadikan tapak bagi Maktab Mara.

Sejarah ITM bermula pada tahun 1956 dengan penubuhan Dewan Latihan RIDA, sebuah pusat percubaan yang menyediakan kursus persediaan bagi belia luar bandar. Dewan Latihan RIDA ini diilhamkan oleh Datuk Onn bin Jaafar, ekoran lawatan beliau ke Ceylon pada tahun 1950 untuk mengkaji program pembangunan luar bandar di negara tersebut. Hasil dari lawatan itu, kertas kerja dibentangkan kepada Majlis Lembaga Kemajuan Kampung dan Perusahaan atau RIDA (The Rural and Industrial Development Authority).

Universiti Teknologi MARA (UiTM)

Pada tahun 1956, RIDA menubuhkan Unit Latihan diketuai oleh Tuan Syed Alwi bin Syed Sheikh Alhadi. Di bawah unit ini lahir Taman Asuhan RIDA dan Dewan Latihan RIDA. Pada Jun 1965, Dewan Latihan RIDA ditukar nama kepada Maktab MARA (Majlis Amanah Rakyat) dan pada 14 Oktober 1967, Maktab Mara secara rasmi ditukar kepada Institut Teknologi MARA.

Pada 26 Ogos 1999, Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad mengumumkan pertukaran nama ITM kepada Universiti Teknologi MARA (UiTM).


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

04 OKTOBER 1971 PENUBUHAN UNIVERSITI PERTANIAN MALAYSIA (UPM)



14 OKTOBER 1969 PERASMIAN PUSAT LATIHAN BELIA PELUPUR PEMBINA NEGARA




Wednesday, 12 October 2022

SIR HAROLD MACMICHAEL

 

Sir Harold MacMichael

11 OKTOBER 1945 KETIBAAN UTUSAN KHAS KERAJAAN INGGERIS DI TANAH MELAYU

11 Oktober 1945 – Pada tahun 1945, Utusan Khas Kerajaan Inggeris, Sir Harold MacMichael tiba di Port Swettenham. Rancangan penubuhan Malayan Union telah diumumkan di Parlimen Inggeris pada 10 Oktober 1945. Oleh itu, persetujuan dari Raja-Raja Melayu diperlukan dan semua perjanjian harus ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu dan perjanjian lama akan dimansuhkan.

Sir Harold MacMichael adalah orang yang bertanggungjawab untuk mendapatkan tanda tangan daripada Raja-Raja Melayu. Kedatangan beliau bukan sahaja bertujuan untuk mendapatkan tandatangan bagi perjanjian-perjanjian Malayan Union tetapi juga untuk mengetahui tentang kedudukan sultan-sultan pada masa itu. Sir Harold MacMichael dengan kebijaksanaannya telah berjaya mendapatkan persetujuan daripada Raja-Raja Melayu. Dengan tandatangan tersebut telah mengesahkan penubuhan Malayan Union pada 1 April 1946.

Tentangan Daripada Orang-orang Melayu

Tindakan mengambil tanda tangan yang dilakukan oleh Sir Harold MacMichael terhadap Raja-Raja Melayu telah mendapat tentangan yang hebat. Malah Raja-Raja Melayu tidak diberi kesempatan untuk meneliti dan mengkaji perjanjian Malayan Union itu. Tentangan hebat orang-orang Melayu menyedarkan pihak Inggeris bahawa penubuhan Malayan Union memerlukan sokongan padu daripada rakyat pribumi.

Akhirnya Malayan Union telah terkubur apabila Kerajaan Inggeris mengisytiharkan Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. Penentangan terhadap Malayan Union adalah satu kemenangan untuk mengembalikan hak kedaulatan maruah bangsa Melayu.

Penentangan Malayan Union Oleh Orang-orang Melayu

#MalayanUnion #Merdeka #arkibnegara

https://www.facebook.com/701547676576843/posts/pfbid028fQVB5uatB9vSf9QDNhWmVLEDUVuEjcqFwFajdPiK54ZVknKveZAttgx9sdC3QhAl/

MELAYU DAN YAHUD1 BENCI MACMICHAEL

Ketika Jepun menyerah kalah pada tahun 1945, pihak British telah kembali ke Tanah Melayu tetapi dengan misi yang berbeza. Sir Harold MacMichael selaku wakil British telah tiba ke Pelabuhan Swettenham (Pelabuhan Klang). Tujuannya adalah untuk mendapatkan tandatangan Raja-raja Melayu supaya menyerahkan kuasa pentadbiran kepada Raja British didalam Perlembagaan Malayan Union. Memandangkan Tanah Melayu masih lagi lemah kesan daripada penaklukan Jepun, inilah peluang terbaik untuk mengambil Tanah Melayu sepenuhnya.

MacMichael sangat terkenal dikalangan Yahudi di Palestine. Ketika British sedang sibuk membawa masuk orang yahudi ke Palestine, MacMichael tersalah percaturan apabila tidak membenarkan kapal pelarian Yahudi masuk ke Palestine pada tahun 1942. Seramai 800 orang Yahudi telah mati didalam Laut Hitam. Kempen membunuh MacMichael rancak dilakukan dan isterinya hampir mati diserang yahudi. Desakan tersebut menyebabkan beliau meletak jawatan pada tahun 1944.

Namun pada tahun 1945, MacMichael datang pula ke Tanah Melayu. Peranan beliau diperlukan pihak British kerana pernah menguruskan konflik Arab-yahudi di Palestine. Di Tanah Melayu pula beliau perlu berinteraksi dengan bangsa Melayu, Cina dan India untuk membentuk gagasan Malayan Union. Erti kata mudah, beliau ada pengalaman menguruskan kepelbagaian kaum yang duduk di kawasan sama.

Sebelum Malayan Union dibentuk, Mac Michael menghantar penyiasat bernama H.C Willan dan Newbolt untuk membuat kajian mengenai kelemahan dan sifat-sifat raja Melayu. Willan juga turut membuat senarai pengganti sultan sekiranya terdapat sultan yang tidak mahu menandatangani perjanjian Malayan Union. Willian nampaknya telah membuat pakatan sulit bersama kerabat yang inginkan tahta kerajaan.

Biarpun Willan dan Newbolt berjaya menyusun strategi untuk mengambil tandatangan sultan, namun hanya Johor dan Selangor sahaja menandatangani perjanjian tanpa bantahan atas dasar setia kawan. Negeri Perak, Kedah, Negeri Sembilan dan Perlis sangat keras melawan sehingga MacMichael membuat ugutan menukar sultan yang tidak mahu mengiktiraf Malayan Union. Pahang, Kelantan dan Terengganu turut melawan namun masih boleh menerima rundingan.

Pada 21 Disember 1945, MacMichael telah berjaya mendapatkan tandatangan sultan-sultan Melayu. Kejayaan tersebut sedikit sebanyak menutup kesilapan beliau melemaskan 800 orang yahudi 3 tahun dahulu.

Histourism - History & Tourism

https://www.facebook.com/100064921921408/posts/pfbid02t7jH966cJqPm8urz9sxGVdTZqiirMHB49uePDdvwxQ6javUcbpDZEtjMis1QLkDtl/?app=fbl

Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

KEBANGKITAN ORANG TUJUH MUAR !

https://normanhafizi.blogspot.com/2016/09/kebangkitan-orang-tujuh-muar.html

Peristiwa Sejarah Bagaimana Orang-orang Melayu Menyelamatkan Raja Mereka

 https://normanhafizi.blogspot.com/2017/02/sejarah-bagaimana-orang-orang-melayu.html

Tuesday, 11 October 2022

10 OKTOBER 1983 PUSAT KEBANGSAAN MANUSKRIP MELAYU

PENGISYTIHARAN PERPUSTAKAAN NEGARA MALAYSIA SEBAGAI PUSAT KEBANGSAAN MANUSKRIP MELAYU

 

Pada hari ini dalam tahun 1983, Perpustakaan Negara Malaysia telah diisytiharkan sebagai Pusat Kebangsaan Manuskrip  Melayu.  Pengisytiharan tersebut telah dibuat oleh Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, YB Encik Anwar Ibrahim, sempena Seminar Pertemuan mengenai Manuskrip yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka. Pusat Manuskrip Melayu diwujudkan memandangkan kepada keperluan satu institusi yang dipertanggungjawabkan secara khusus untuk menyelamatkan warisan pemikiran dan kebudayaan bangsa dan negara daripada zaman silam.  

Di samping itu banyak manuskrip Melayu di dapati di negara-negara barat tersimpan dengan baik daripada manuskrip di dalam negara sendiri.  Pusat Manuskrip yang ditubuhkan menjalankan fungsi-fungsi berikut :
  1. Mengesan dan memperolehi manuskrip Melayu dalam apa juga bentuk dari dalam dan luar negeri
  2. Mendokumentasi, menyelenggarakan katalog induk dan menerbitkan bibliografi-bibliografi.
  3. Menyediakan kemudahan-kemudahan menyimpan, memelihara dan menyalin manuskrip Melayu
  4. Menyediakan kemudahan penyelidikan manuskrip Melayu.
Beberapa langkah segera telah dijalankan oleh pusat berkenaan bagi mencapai objektif kewujudannya. Antaranya ialah memberi latihan pengkhususan dalam bidang manuskrip Melayu di peringkat sarjana dari kalangan pegawai-pegawai ikhtisasnya. Di samping itu, tabung khas yang dinamakan Akaun Amanah Manuskrip Melayu akan segera ditubuhkan untuk menentukan pembiayaan serta perolehan manuskrip Melayu tidak terjejas. Orang perseorangan digalakkan untuk menyerahkan manuskrip-manuskrip Melayu simpanan mereka kepada Pusat ini supaya khazanah warisan budaya dan negara terpelihara dengan baik. 

Pengisytiharan Perpustakaan Negara sebagai Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu ini akan mempertingkatkan lagi usaha untuk memelihara dan menyimpan manuskrip-manuskrip Melayu sebagai warisan untuk generasi akan datang.

#arkibnegara


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

Manuskrip Melayu Lama Di Serata Dunia?


10 OKTOBER 2007 ROKET SOYUZ TMA-11 MELUNCUR KE ANGKASA

 

Pada hari ini dalam tahun 2007, menjadi saat penting apabila roket Soyuz TMA-11 yang membawa angkasawan pertama negara, Dr. Sheikh Muszaphar Al Masrie bin Sheikh Mustapha, doktor bedah ortopedik meluncur ke angkasa. Berada di angkasa dari tapak pelancaran Baikonor Cosmodrone, Kazakhastan bagi memenuhi misi negara, menjalankan program penyelidikan dan pembangunan (R & D) di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) yang terletak kira-kira 402.34 kilometer dari permukaan bumi.

Dr. Sheikh Muszaphar juga mencatat sejarah sebagai angkasawan pertama Islam yang menjalani ibadah puasa dan menyambut Hari Raya AidilFitri di angkasa lepas yang menjadi kebanggaan seluruh umat Islam. Pengumuman pemilihan Dr. Sheikh Muszaphar dan Dr. Faiz sebagai angkasawan negara telah dibuat oleh Dato’ Seri Abdullah bin Hj. Ahmad Badawi pada 24 September 2007. Walaubagaimanapun, pada 9 Oktober 2007, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Jamaludin Jarjis mengumumkan Dr. Sheikh Muszaphar ialah angkasawan pertama Malaysia yang akan berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa dari Baikonur Cosmodrome, Kazakhtan.

Kejayaan angkasawan negara ini menandakan satu lagi pencapaian diperingkat dunia yang mampu diraih oleh negara ini selepas 50 tahun usia kemerdekaan negara.

#AngkasawanNegara


Pautan artikel menarik yang berkaitan :- 

04 OKTOBER 2006 PERASMIAN PUSAT ANGKASA NEGARA



Thursday, 6 October 2022

07 JUN 1974 UCAPAN HAMKA DALAM MAJLIS KONVOKESYEN UKM KALI KEDUA

PIDATO HAJI ABDUL MALIK KARIM AMRULLAH (HAMKA) SEWAKTU MENERIMA IJAZAH KEHORMAT DOKTOR UNDANG-UNDANG SEMPENA MAJLIS KONVOKESYEN UNIVERSITI KEBANGSAAN MALAYSIA (UKM) KE-2 BERTARIKH 7 JUN 1974

Yang Amat Berhormat Canselor
Yang Berhormat Pro-Canselor - Pro-Canselor,
Tuan-Tuan Yang Terutama, Dif-Dif Terhormat dan saudara-saudari sekalian,

Assalamualaikum warahatullahi wabarakatuh!

Tidak ada kata lain yang dapat saya ucapkan hanyalah setinggi-tinggi terima kasih atas anugerah yang saya terima dari Universiti Kebangsaan, hasil usaha perjuangan dari negara Malaysia, tetangga karib, serumpun seasal, seadat sekebudayaan dengan negara tempat saya dilahirkan, Republik Indonesia.

Sebenarnya sejak usia 17 tahun, sekitar tahun 1925, saya telah mulai berlatih mengarang dan mula memberanikan diri meningkatkan tangga mimbar untuk berkhutbah Jumaat atau pidato tabligh. Hidup, perjuangan dan ajaran ayah saya telah beransur-ansur tumbuh dalam diri saya. Pokok ajaran itu ialah jiwa yang bebas merdeka, kerana tidak ada tempat takut melainkan Allah dan jangan diambil orang kafir jadi pimpinan. Kemerdekaan jiwa itu tersimpul di dalam kalimah La ilaha illAllah, tidak ada Tuhan yang patut disembah dan yang patut ditakuti melainkan Allah. Dengan itu kita hidup, dengan itu kita mati. Dengan itu juga kita akan berbangkit kelak di kemudian hari. Itulah dia tauhid dan itulah dia Islam. Dan itulah dia kebenaran. Kita wajib berjuang atau berjihad menegakkannya selama hayat di kandung badan. Segala kesanggupan yang ada pada kita, gunakanlah untuk perjuangan itu, baik dengan lisan berpidato, atau dengan tulis mengarang.

Menurut beliau, penjajahan adalah punca dari segala bahaya yang dapat memadamkan roh tauhid itu. Kebodohan dan kejahilan umat adalah tempat bertapak penjajahan. Dan apa yang telah dipahatkan itu, tidak dapat dihapuskan lagi. Sejarah dari batu itu sendiri telah bertahun terinjak-injak dan dilupakan orang, kemudian yang ditemukan kembali adalah qias tentang nasib kita memeluk Islam. Kemudian berturut-turutlah ulama dan ahli-ahli fikir Islam memakai bahasa Melayu untuk memperkukuh agama Allah di bumi yang subur ini. Karangan mereka dijadikan pegangan bagi seluruh negara kita, semasa hubungan ke Makkah dan Mesir belum selancar sekarang. Itulah beliau al-Sheikh Aminuddin Abdul Rauf orang Singkil, Hamzah orang Fansur, Nuruddin al-Raniri, Shamsuddin Sumatrani, Abdul Samad al-Palembangi, Arsyad al-Banjari, Ahmad Khatib al-Minangkabawi, Daud Fatani, Abdullah bin Abdul Kadir Munshi Melaka, Raja Ali Haji Riau Pulau Penyengat. Semuanya selari dengan memperkaya, bahkan memberi bahasa Melayu jiwa yang hidup, jiwa taat yang kepada Tuhan dengan tidak melupakan pengaruh pada zamannya. Bukan lagi menyembah dewa dan keinderaan.

Di awal abad ke-20 ini, datanglah semangat baharu dalam Islam. Menjalar dan azali dari Mesir ke tanah air kita. Maka bangkitlah di Malaysia ini, Tuan Guru al-Sheikh Tahir Jalaluddin diiringi oleh muridnya Syed Sheikh al-Hadi. Bangkit di Sumatera pula adalah al-Sheikh Muhammad Jamil Jambek, Sheikh Abdullah Ahmad dan ayah saya Sheikh Abdul Karim Amrullah, dan yang bangkit di tanah Jawa adalah al-Sheikh Ahmad Dahlan. Semuanya memakai bahasa Melayu!

Inilah suri teladan yang saya turuti. Saya mengarang dalam bahasa Melayu. Berpidato dalam bahasa Melayu. Apabila pena saya tercoret ke atas kertas, yang tergambar dalam ingatan saya ialah seluruh nusantara ini. Seluruh bangsa saya dan umat seagama yang memakai bahasa ini. Melayu; tetapi lebih luas apa yang dinamai Malaysia sekarang.

Tanah Jawi - lebih luas daripada Pulau Jawa, Indonesia dan Malaysia sekarang. Di tanah itulah tempat saya mengabdikan semuanya, tempat saya berkhidmat.

Seperti yang telah saya katakan tadi, khidmat ini telah bermula sejak usia 17 tahun. Kedua-dua negeri ini telah mencapai keerdekaan sewaktu dijajah. Disebabkan itulah jiawa umat dan ilmu agama yang sejati dengan bahasa, dapat mereka fahamkan. Akhirnya kaum penjajah telah mengetahui bahawa ayah saya berbahaya buat mereka. Oleh itu, beliau pun dibuang dan diasingkan. Akhirnya, beliau meninggal di Tanah Jawa.

Didikan beliau itulah yang telah mendorong saya untuk mempelajari agama dengan lebih mendalam. Kata orang, kalau kail panjang sejengkal, jangan lautan hendak diduga. Saya dalami bahasa Melayu ini dengan penuh cinta dan saya khususkan perhatian saya kepada sejarah Islam di tanah air ini. Rupanya bahasa Melayu telah berkembang baik kerana agama Islam. Bahasa Melayu telah menjadi bahasa persatuan sebelum pemuda-pemuda Indonesia bersumpah pada tahun 1928. Pulau-pulau yang sekarang bersatu menjadi Republik Indonesia, dahulunya bernama "Gugusan Pulau-Pulau Melayu". Walaupun terdapat berpuluh bahasa suku di sana - umpama bahasa Jawa, Sunda, Acheh, Batak, Bugis dan lain-lain - namun sejak beratus tahun yang lalu, bilamana mereka hendak berhubung atau menulis surat, mereka akan menggunakan bahasa Melayu. Demikian juga di semenanjung ini, didiami oleh pelbagai kaum, baik sebelum penjajahan orang putih atau sesudahnya, bahasa perhubungannya tetap bahasa Melayu. Islam mengambil bahagian yang amat mustahak dalam perkembangan bahasa, hasil usaha pengarang dan alim ulama Islam.

Dia telah terhunjam dan terpahat di hati kita, serta tetap hidup. Jika orang Hindu telah memahat Candi Prambanan untuk menunjukkan mereka pernah berpengaruh di sini, dan agama Buddha memahat Candi Borobodur dan Muara Takus, maka nenek moyang orang Islam telah memahatkan peraturan agama Islam dengan bahasa Melayu di atas Batu Bersurat Terengganu! Tidak mati tetapi tetap hidup.

Tetapi bagi saya, seni bukanlah sekadar seni. Bagi saya, seni adalah berpadu menjadi satu antara jamal (keindahan), jalal (kemuliaan) serta kamal (maha sempurna). Itulah sifat Allah. Bilamana telah bertemu sifat Allah, maka hilanglah ghairullah.

Saya mengakui, saya telah mengarang dalam pelbagai bidang. Di waktu muda saya pun telah mengarang beberapa buku roman. Saya mengakui, memang ada juga orang yang memasukkan saya dalam barisan seniman. Sampai sekarang saya masih belum lupa tujuan hidup saya dengan mengarang dan berpidato. Menegakkan agama Islam sampai tercapai kebesaran! Selama yang telah memang menjadi haknya, sesudah dijajah beratus tahun. 

Sekali lagi saya ucapkan terima kasih kepada Universiti Kebangsaan Malaysia yang telah memberikan penghargaan atas amal usaha yang tiada santirannya. Sesungguhnya penghargaan ini amat menyentuh hati saya, sebagaimana pengkajian ini adalah tentang diri saya, kuat atau lemahnya tentu dapat dirasai oleh orang Melayu sendiri. 

Semoga penghargaan dan anugerah ini tidak akan menghentikan langkah saya selepas ini, kerana Nabi S.A.W. telah bersabda :

المؤمن لا ينتهى عن الخير حتى يكون منتهاه الجنة

"Orang yang beriman tidaklah akan berhenti berbuat baik sampai di tempat perhentian yang terakhir iaitu syurga".

Saya sedar bahawa saya telah mulai tua. Saya juga telah melihat bagaimana usaha-usaha pihak luar selain Islam hendak menguasai bahasa ini, yang dinamai oleh Jalal ketika seorang pengarah Islam dari Mesir, al-Gharu al-Fikr, menyebarkan ideologi!. Penjajahan dari sudut alam fikiran. Umpama fahaman komunis, ateis, existentialist (kewujudan) dan lain-lain. Yang masuk racunnya ke dalam bahasa kebangsaan. Namun saya percaya, asal semangat bebas merdeka dari La ilaha illaAllah masih bernyala dalam jiwa angkatan muda Islam di Malaysia dan Indonesia, semuanya dapat diatasi. Gayung disambut, kata dijawab!

Saya tidak menyesal jadi tua atau datang ajal sekalipun, kerana angkatan muda yang akan menggantikan saya bagi kejayaan agama dan kemuliaan bahasa telah pun tumbuh.



Teks ucapan tulisan tangan Buya Hamka dalam Jawi

Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

6 JUN 1901 ULANG TAHUN KELAHIRAN SOEKARNO


Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...