PENANG FREE SCHOOL
Pada hari ini 21.10.1816, Penang Free School, telah dibuka dengan rasminya. Dengan tertubuhnya Penang Free School maka sekolah yang dikenali sebagai 'Free School' mula ditubuhkan di Melaka dan Singapura. Penubuhan sekolah ini asalnya dicadangkan oleh R. S. Hutchings pada tahun 1815 dan diluluskan oleh Kompeni Hindia Timur pada 9 Februari 1816. Urusan pentadbiran sekolah ini akan ditadbir oleh satu jawatankuasa. Bahasa pengantar yang digunakan ialah Vernakular seperti Melayu, Tamil dan Cina.
Walaubagaimanapun bahasa Inggeris boleh juga diajar kepada murid-murid Melayu, Cina dan India. Jawatankuasa Penang Free School ini berusaha mendapatkan derma daripada orang ramai dan berjaya mengumpul sebanyak $ 11,936.61 Wang Sepanyol. Kos tambahan dibiayai oleh Kompeni sebanyak $ 200 dolar sebulan. Bangunan sekolah ini telah dibuka dengan rasminya pada hari ini dalam tahun 1816 dengan kumpulan murid yang pertama seramai 25 orang. Dalam tahun 1830 ia mempunyai seramai 100 orang murid. Di antara tahun-tahun 1821-1823, Cawangan Bahagian Bahasa Melayu telah dibuka di Gelugor, Ayer Hitam dan Bayan Lepas.
Begitu juga dengan Bahagian Bahasa Cina dan Tamil. Dalam tahun 1866 Penang Free School telah diambil alih oleh Pemerintahan Negeri-Negeri Selat dan sistem organisasinya telah disusun semula manakala guru-guru yang bertauliah dibawa dari England untuk berkhidmat di sini. Akhirnya Penang Free School telah berkembang dengan jayanya dan dapat memberi pendidikan yang baik dan bermutu tinggi.
Gambar Penang Free School Yang Terkini
#hariinidalamsejarah #arkibnegara
Pautan artikel menarik yang berkaitan :-
21 OKTOBER 1923 BERMULANYA PERKHIDMATAN KERETAPI BUKIT BENDERA DI PULAU PINANG
https://normanhafizi.blogspot.com/2022/10/21-oktober-1923-bermulanya-perkhidmatan.html
No comments:
Post a Comment