Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Showing posts with label Repair Gambar Lama. Show all posts
Showing posts with label Repair Gambar Lama. Show all posts

Tuesday, 13 July 2021

Hikayat Hang Jebat (هڠ جيبت)

Hang Jebat ialah Datok Bentara Kanan (Sahabat Akrab Hang Tuah)


Gambaran pelukis ilustrasi Potret Wajah Hang Jebat seperti yang dipamerkan di Muzium Istana Sultan Melaka


Gambaran ilustrasi pelukis dalam suatu pertarungan epik antara dua orang sahabat iaitu Hang Jebat (posisi menyerang) menghadap Hang Tuah (posisi bertahan)

Hang Jebat terkenal dengan ungkapannya, 

"Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah!"

Sasterawan Ali Aziz telah menghasilkan sebuah karya cereka Novel bertajuk, Hang Jebat Pelaku Terajidi. Kisah daripada novel ini telah pun diangkat dan dijadikan sebuah filem yang diterbitkan oleh Cathay-Keris dan diarahkan oleh Hussain Haniff pada tahun 1961.


Gambar : Allahyarham Seniman M. Amin (kiri) dan Nordin Ahmad (kanan)

NORDIN AHMAD DAN M.AMIN BERTARUNG 17 HARI KERANA HANG JEBAT

Setelah dilantik menjadi pengarah, Hussain Haniff memilih untuk mengarah cerita dari karya novel Sasterawan Ali Aziz yang bertajuk Hang Jebat Pelaku Terajidi. Hussain Haniff sememangnya terkenal dengan pendirian memberontaknya memulakan kajian terhadap naskah Ali Aziz ini dengan begitu teliti.

Hussain Haniff seorang yang sangat cerewet dalam berkarya, beliau suka memperlihatkan kesempurnaan dalam mempersembahkan hasil kerjanya. Para pelakon seperti Nordin Ahmad, M.Amin, Latifah Omar, Siput Sarawak dan Mahmud Jun dipilih untuk melakonkan watak-watak utama dalam filem ini. 

Penggambaran filem Hang Jebat dimulakan pada pertengahan tahun 1961. Selain penggambaran dalam studio, Hussain Haniff juga ada melakukan penggambaran di luar studio. Antara lokasi yang dipilih untuk menjalankan penggambaran filem ini termasuk di kawasan kampung Bedok Laut dan di sekitar pantai Tanjong Katong.

Semasa melakukan penggambaran babak akhir untuk aksi pertarungan antara Nordin Ahmad dengan M.Amin dalam filem ini, Hussain Haniff dengan seluruh tenaga kerja dan krew yang terlibat dikatakan telah berkampung selama tujuh belas hari di studio Cathay-Keris. Hussain Haniff juga telah mengarahkan dua pelakon utama yang terlibat turut berkampung di studio bagi menyatakan komitmen. Mahmud Jun yang bertindak sebagai koreografer silat turut bersama-sama berkampung di studio Cathay-Keris.

Menurut Mahmud Jun, beliau terpaksa bekerja keras untuk mencipta aksi pertarungan di antara Nordin Ahmad dengan M.Amin dalam babak akhir berkenaan. Nordin Ahmad mudah dibentuk oleh kerana beliau mempunyai asas dan kemahiran dalam persilatan. Berbeza dengan M.Amin yang tidak mempunyai apa-apa asas persilatan. Tetapi Hussain Haniff tetap mahukan M.Amin melakukan seperti apa yang Mahmud Jun lakukan walaupun M.Amin kelihatan agak sedikit kaku. 

Ternyata apabila menonton filem ini banyak aksi persilatan dan buah pukul yang sangat realistik dipersembahkan oleh kedua-dua pelakon berkenan. Sehinggakan menurut Mahmud Jun beliau mengalami bengkak di kaki kerana terlalu banyak bersilat ketika menjalankan latihan untuk mewujudkan satu aksi pertarungan yang ikonik dalam filem Hang Jebat. Begitu juga dengan Nordin Ahmad yang jatuh sakit akibat keletihan semasa menjalankan babak pertarungan dalam filem ini.

Apabila filem ini ditayangkan di pawagam, Hang Jebat telah mengejutkan seluruh peminat dan pengkritik filem Melayu pada ketika itu. Ramai yang beranggapan Hang Jebat merupakan karya paling terbaik dari Hussain Haniff dan di antara filem Melayu terbaik yang pernah dihasilkan oleh Cathay-Keris. Nama Hussain Haniff sebagai pengarah melonjak naik ketika itu sehingga mampu diangkat dan bersaing dengan filem-filem arahan P.Ramlee dari MFP. Kewibawaan Nordin Ahmad sebagai hero nombor satu Cathay-Keris juga sudah tidak boleh dinafikan lagi dengan lakonan yang agresif dan penuh jiwa yang ditonjolkan melalui filem Hang Jebat. 

Sehingga hari ini wajah Nordin Ahmad akan tergambar jika ada yang memperkatakan tentang sejarah yang dikaitkan dengan Hang Jebat.

Teks : HAR

Sumber :
  • Layar Perak Dan Sejarahnya - M.Amin & Wahba
  • Dari Keris Film ke Studio Merdeka - Hamzah Hussin
  • Berita Filem
  • Temubual bersama Dato' Mahmud Jun, Finas, 2001


TRIVIA ~ PERBEZAAN FILEM HANG TUAH & HANG JEBAT


Trivia - Perbezaan filem Hang Tuah & Hang Jebat. Memperkatakan nuansa dua buah filem yang naskah ceritanya mempunyai persamaan. Fakta dan perbezaan mahupun kelainan akan merujuk kepada dua buah filem ini. Kedua dua filem ini mengangkat cerita sejarah pahlawan Melayu dan kemudiannya diadaptasi ke dalam filem. Filem tersebut adalah filem Hang Tuah dan filem Hang Jebat.

Sumber lain : Hang Jebat versi Nordin Ahmad


Hang Jebat | 1961 (Color Version) - Full Movie



BENARKAH HANG JEBAT PEMBELA RAKYAT?

OLEH : Saufy Jauhary

Hang Jebat menjemput rakyat jelata masuk ke istana dan menjamu mereka semuanya makan. Hang Jebat juga mengarahkan pegawai menyembelih dua ekor lembu, sepuluh ekor kambing dan seratus ekor ayam untuk dijamu pada rakyat jelata. Tidak cukup dengan itu, Hang Jebat memecahkan bilik Perbendaharaan Negara dan mengambil semua harta-harta seperti intan, berlian dan emas yang tersimpan di dalam bilik tersebut untuk diberikan pada rakyat. Kata Hang Jebat, “Ini hak rakyat, aku akan kembalikan kepada rakyat!” Maka diberikannya harta-harta tersebut kepada rakyat yang hadir di istana tersebut, “Haa..ambil ini semua, ini semua hak kamu, ambil semua..ambil!!” laung Hang Jebat sambil mencampakkan permata kepada mereka semua. Kemudian ketika rakyat jelata memberi sembah kepadanya sebagai ucapan terima kasih, segera Hang Jebat menolak seraya berkata: “Jangan, jangan sembah aku! Aku bukan gila disembah. Aku bukan sebagai Sultan Melaka yang mengagung-agungkan pangkat dan kebesarannya. Aku Jebat…rakyat biasa. Pangkat aku untuk kepentingan rakyat. Bergerak aku untuk memberi jasa kepada rakyat. Dan aku rela mati untuk rakyat. Kerana aku mahukan keadilan, keadilan, keadilan…!”

Begitulah dialog Hang Jebat yang dilakonkan oleh seniman Nordin Ahmad di dalam filem Hang Jebat tahun 1961. Dialog yang sungguh mempersonakan setiap orang yang mendengarnya. Lagak Hang Jebat bagaikan seorang wakil rakyat yang sedang memberikan khidmatnya kepada rakyatnya. Siapakah yang bergelar rakyat yang tidak akan terpesona dengan dialog tersebut? Tidak mungkin ada melainkan individu itu bukan seorang rakyat. Maka hasil daripada kejayaan filem ini ramailah di antara kita yang hingga kini menanggapi Hang Jebat sebagai wira rakyat lebih daripada Hang Tuah, kerana Hang Jebat membela rakyat sedangkan Hang Tuah hanya membela rajanya. Namun adakah watak Hang Jebat yang dilakonkan di dalam filem tersebut menggambarkan peribadi Hang Jebat yang sebenarnya di dalam sejarah?

Untuk mengetahui hal tersebut hendaklah diselidiki daripada dua sumber utama karya sastera agung bangsa Melayu iaitu Sulalatus Salatin/Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah. Mengapa dua karya ini perlu diambil kira? Kerana dua karya inilah sumber utama asal usul kisah keperwiraan Hang Tuah lima bersaudara. Jika nama Hang Tuah dan sahabat-sahabatnya tidak ditulis di dalam dua buah karya ini maka pada hari ini masyarakat pasti tidak mengenal siapakah gerangannya yang menjadi laksamana dan panglima-panglima di zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka.

Sebenarnya di dalam karya-karya tersebut tidak ada petunjuk bahawa Hang Jebat membela rakyat. Bahkan Hang Jebat dilihat melakukan kezaliman kepada rakyat dengan melakukan pembunuhan sesuka hatinya. Tujuan Hang Jebat melakukan penderhakaan adalah semata-mata untuk membela kematian Hang Tuah yang telah dihukum bunuh oleh Sultan Melaka. Hal tersebut berdasarkan ucapan Hang Jebat di dalam Hikayat Hang Tuah: “Hai Orang Kaya Laksamana, keranamulah (Hang Tuah) maka aku berbuat pekerjaan ini. Pada bicaraku, engkau tiada dalam dunia ini lagi. Jika aku tahu akan engkau ada hidup, demi Allah dan Rasul-Nya, tiada aku berbuat pekerjaan yang demikian ini.” Di dalam Sulalatus Salatin pula Hang Jebat berkata: “Hei Tuah! Adakah lagi engkau? Adalah sangka aku engkau sudah mati, maka aku mahu membuat pekerjaan terlanjur demikian ini.” 

Kezaliman Hang Jebat terhadap rakyat jelata dirakamkan di dalam Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah. Di dalam Sulalatus Salatin, dinyatakan bahawa Hang Jebat telah membunuh gundik raja dengan cara yang mengaibkan: “Maka dipandang oleh Hang Tuah gundik raja yang dibunuh dan dihiris Hang Jebat dari muka lalu ke farajnya dan ditelanjanginya; maka oleh Hang Tuah sambil bertikam itu dikuiskannya kain perempuan itu dengan kakinya, seperti diselimuti, tertutup semua tubuhnya.”

Manakala di dalam Hikayat Hang Tuah pula, setelah Hang Jebat ditikam oleh Hang Tuah, dengan nyawa yang masih bersisa Hang Jebat telah mengamuk dan membunuh segala rakyat jelata yang dijumpainya tanpa belas kasihan: “Maka Hang Jebat pun lalu keluar mengamuk di tengah pasar itu. Maka orang Melaka pun beribu-ribu mati dan luka daripada laki-laki dan perempuan. Maka negeri Melaka pun huru-haralah. Maka Hang Jebat pun masuk mengamuk daripada suatu kampung kepada suatu kampung, daripada satu lorong kepada suatu lorong, daripada suatu tempat kepada suatu tempat itu; banyak mati dan luka; keluar masuk membunuh seperti orang gila. Maka bangkai pun bertimbun-timbun, pada segenap lorong dan segenap kampung dan pintu dan jambatan penuh dengan bangkai. Maka hari pun hampir malam. Maka Hang Jebat pun keluar dari dalam negeri. Ia membunuh orang luar negeri seperti sewah menyambar ke sana ke mari. Maka rakyat isi negeri itu pun keluar dari negeri membawa anak bininya; setengah mendapatkan raja. Setelah baginda melihat demikian itu, maka baginda pun terlalu dukacita melihat rakyatnya demikian itu, seperti alah oleh musuh lakunya, masing-masing membawa dirinya ke sana ke mari. Arkian setelah genap tiga malam Laksamana khalwat itu, maka Laksamana pun hendak ke sungai. Maka dilihat oleh Laksamana Si Jebat mengusir orang di pasar itu, seperti helang menyambar ke sana ke mari. Maka Laksamana pun berseru-seru sambil berdiri melihatkan kelakuan Hang Jebat membunuh. Maka Laksamana pun berseru-seru dengan nyaring suaranya, katanya, “Hai Jebat, padalah engkau membunuh orang beribu-ribu ini, kerana engkau pun akan mati juga; sudahlah. Sekarang segala nyawa orang berpuluh-puluh ribu tiadakah tertanggung atas kepalamu?!” Arkian maka suara Laksamana itu pun terdengarlah kepada Hang Jebat; Hang Jebat pun segera datang mendapatkan Laksamana. Maka dilihatnya Laksamana ada terdiri. Maka kata Laksamana, “Hai Si Jebat, padalah engkau membunuh orang yang berpuluh ribu ini, kerana engkau pun akan mati juga!” Setelah Hang Jebat menengar kata Laksamana demikian itu, maka Hang Jebat pun segeralah menyembah kaki Laksamana, serta katanya, “Hai orang kaya, segeralah buangkan diperhamba. Daripada orang lain membunuh hamba, baiklah orang kaya mendapatkan tangan kepada diperhamba.””

Tindakan Hang Jebat membunuh ribuan rakyat jelata itu membuktikan bahawa Hang Jebat bukanlah pembela rakyat. Masakan orang yang membela rakyat tergamak membunuh rakyat jelata demi melampiaskan dendam semata-mata. Malah dialog Nordin Ahmad seperti di dalam filem Hang Jebat itu tidak ditemui di dalam kedua-dua hikayat. Dialog tersebut adalah rekaan pengarah filem tersebut iaitu Hussain Haniff. Menurut Hidir Ali Razali, pengarah Hussain Haniff telah terpengaruh dengan pemikiran seorang sasterawan bernama Ali Aziz. Ali Aziz telah mencipta teorinya di dalam penulisan bertajuk “Hang Jebat Pelaku Trajidi” (1960). Penulisan Ali Aziz ini telah memaparkan Hang Jebat daripada watak protagonis kepada seorang yang berwatak antagonis yang bersih dari kejahatan serta sahabat yang setia. Ali Aziz telah mengolah watak Hang Jebat dengan menarik hingga keberkesanan olahan dari Ali Aziz itu telah menarik minat seorang pengarah muda yang mempunyai sifat memberontak bernama Hussain Haniff untuk menterjemahkan penulisan tersebut ke layar perak. 

Filem sulong arahan Hussain Haniff ini telah mencetuskan satu fenomena baru dalam kalangan masyarakat Melayu pada ketika itu. Sebelum itu masyarakat Melayu seringkali didendangkan dengan kepahlawanan Hang Tuah dan penderhakaan Hang Jebat. Setelah Hang Jebat ditayangkan di pawagam dengan sekelip mata persepsi masyarakat ketika itu telah berubah. Menurut Ali Aziz kebanyakan yang tertulis di dalam buku-buku berkaitan sejarah Hang Tuah sebelum ini menyatakan kisah Hang Jebat menderhaka seringkali dilihat dari sisi tidak bersih, dan dari situlah tercetus ilham untuk beliau menulis kisah ini. Hal ini disebabkan Ali Aziz sangat terdedah dengan karya penulis tragedi seperti William Shakespeare antaranya Julius Caeser, Macbeth, King Lear, Hamlet dan Othelo.

Timbul persoalan, bolehkah kita menjadikan Hang Jebat sebagai simbol orang Melayu untuk tidak sentiasa hanya tunduk kepada Sultan dan pemerintah? Maka jawapannya tidak boleh. Pertama telah dibuktikan bahawa cerita Hang Jebat seorang pembela rakyat adalah tidak tepat, yang benarnya Hang Jebat adalah seorang penderhaka yang menderhaka kepada Sultan untuk menuntut bela di atas kematian sahabatnya. Tidak sepatutnya untuk menjadikan seorang penderhaka sebagai idola. Yang sepatutnya diangkat sebagai idola pastilah seorang tokoh yang mempunyai imej yang bersih, baik budi dan bukan orang yang berimej jahat.

Kedua, di dalam hukum syariat Islam, menjadi penderhaka kepada pemerintah adalah haram. Seorang pemerintah Islam itu wajib ditaati segala perintahnya selagi perintah tersebut makruf bukan perkara maksiat,bukan perkara yang merosakkan akidah dan akhlak. Sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta’ala di dalam al-Quran:

 يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا أَطِيعُوا اللَّهَ وَأَطِيعُوا الرَّسُولَ وَأُولِي الْأَمْرِ مِنكُمْ 

“Hai orang-orang yang beriman taatilah Allah dan taatilah Rasul-(Nya) dan ulil amri (pemerintah) di antara kalian.” [An-Nisaa: 59]

Juga sabda Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam:

 عَلَى الْمَرْءِ الْمُسْلِمِ السَّمْعُ وَالطَّاعَةُ فِيْمَا أَحَبَّ وَكَرِهَ، إِلاَّ أَنْ يُؤْمَرَ بِمَعْصِيَةٍ، فَإِنْ أُمِرَ بِمَعْصِيَةٍ، فَلاَ سَمْعَ وَلاَ طَاعَةَ

“Wajib atas seorang Muslim untuk mendengar dan taat (kepada penguasa) pada apa-apa yang dia cintai atau dia benci kecuali jika dia disuruh untuk berbuat kemaksiatan. Jika dia disuruh untuk berbuat kemaksiatan, maka tidak boleh mendengar dan tidak boleh taat.”

 [HR. Al-Bukhari (no. 2955, 7144), Muslim (no. 1839), at-Tirmidzi (no. 1707), Ibnu Majah (no. 2864), an-Nasa-i (VII/160), Ahmad (II/17, 142) dari Sahabat Ibnu ‘Umar. Lafaz ini adalah lafaz Muslim]

Daripada Abi Bakrah r.anhu, bahawa aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda:

السُّلْطَانُ ظِلُّ اللهِ فِي الْأَرْضِ، فَمَنْ أَكْرَمَهُ أَكْرَمَهُ اللهُ، وَمَنْ أَهَانَهُ أَهَانَهُ اللهُ

“Sultan (pemerintah) merupakan bayangan Allah di bumi. Barangsiapa yang memuliakannya maka Allah memuliakannya dan barangsiapa yang menghinanya maka Allah akan menghinanya.” [Riwayat al-Baihaqi di dalam Syu’ab al-Iman (6988)]

 [Hadith ini dinilai sahih oleh Imam al-Suyuthi di dalam al-Jami’ al-Saghir, 496/1]

Daripada Abu Hurairah r.anhu, bahawa Nabi s.a.w bersabda:

السُّلْطَانُ ظِلُّ اللهِ فِي الْأَرْضِ، يَأْوِيْ إِلَيْهِ الضَّعيفُ، وَبِهِ ينتَصِرُ المظلومُ، وَمَنْ أَكْرَمَ سُلْطَانَ فِي الدُّنْيَا أَكْرَمَهُ اللهُ يَوْم َالقِيَامَةِ

“Sultan (pemerintah) merupakan bayangan Allah di bumi yang mana orang yang lemah akan pergi kepadanya. Dengannya akan dibantu orang yang dizalimi dan barangsiapa yang memuliakan Sultan di dunia ini maka Allah akan memuliakannya di hari Kiamat.”

 [Lihat: al-Jami’ al-Saghir (4817)] [Imam al-Suyuthi menilai hadith ini sebagai hasan]

Kesimpulannya, tidaklah tepat tindakan sesetengah orang Melayu menjadikan Hang Jebat sebagai idola mereka. Tindakan Hang Jebat menderhaka kepada Sultan jelaslah bukanlah sifat yang mulia malah tidak menepati syarak. Hang Jebat bukan wira rakyat, Hang Jebat tidak pernah mengagihkan harta-harta negara kepada rakyat sebagaimana dalam filem Hang Jebat. Filem itu adalah sekadar filem dan telah diubah dan diolah dari fakta sejarah yang sebenar. Hendaklah rakyat khususnya orang Melayu Islam dan secara amnya rakyat Malaysia berbilang bangsa menumpahkan taat setia kepada kerajaan yang dipimpin oleh Yang Di-pertuan Agong dan Raja-raja Melayu.

SUMBER :-

1) Filem Hang Jebat (1961)

2) Sulalatus Salatin Sejarah Melayu, A. Samad Ahmad (Penyelenggara), terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

3) Hikayat Hang Tuah, Kassim Ahmad (Penyelenggara), terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka.

4) Hidir Ali Razali: Hang Jebat Pelaku Terajidi. Siapa Ali Aziz? rencana Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik.


[Legasi Pemikir - LEKIR]



Hang Jebat Mausoleum in Malacca

Hang Jebat (Jawi: هڠ جيبت) was the closest companion of the legendary Malaccan hero Hang Tuah. Regarded in Malaysia as one of the greatest silat exponents in history, he is well known for his vengeful rebellion against the Malacca Sultan whom he served. He can also be regarded as an early Malay anarchist following his rebellion against the ruler.

Story

After Hang Tuah was sentenced to death, Hang Jebat was conferred the coveted Taming Sari kris, a weapon formerly used by Hang Tuah. Believing that Hang Tuah was unjustly murdered by the sultan he served, Hang Jebat turned against the ruler to avenge his friend's death. No one knew that the bendahara (chief minister) went against the royal decree and hid Hang Tuah in a remote area.

With the kris in his possession, Hang Jebat was undefeatable and there was not one person in the palace who was capable of killing him. Hang Jebat's revenge allegedly became a palace killing spree or furious rebellion against the sultan (sources differ as to what actually occurred). It remains consistent, however, that Hang Jebat wreaked havoc onto the royal court, and the sultan was unable to stop him, as none of the warriors dared to challenge the more ferocious and skilled Hang Jebat.

After learning from the bendahara that Hang Tuah was still alive, the sultan had him recall the warrior and gave him full amnesty. The sultan then ordered Hang Tuah to kill Hang Jebat. Being unquestionably loyal to the ruler, Hang Tuah obeyed the sultan's bidding and went on to challenge Hang Jebat. After fighting in a battle that lasted for seven days, Hang Tuah eventually managed to reclaim the Taming Sari by tricking Hang Jebat. Although stabbed by Tuah, Hang Jebat bandaged his wounds and ran amok in the city square for three days, killing thousands of people before retreating to Tuah's house and dying in his friend's arms.

Hang Jebat's famous quote during the fight was "Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah" meaning "A fair king is a king saluted, a tyrant king is a king disputed." This went against Tuah's philosophy of loyalty without question.

After the fight, the sultan ordered his men to tear down, burn and throw the ashes of the house into the sea. Two months later, when a lady of the bendahara's retinue, Dang Wangi gave birth to Jebat's son, the sultan ordered Hang Tuah to throw the baby into the sea as well. Instead, the laksamana entrusted the child, Hang Nadim, to the bendahara. The child was then taken to Singapore where he was raised.

Source : https://en.wikipedia.org/wiki/Hang_Jebat


🔴 MERUNGKAI KEBENARAN HIKAYAT HANG JEBAT | MELAKA


Deskripsi daripada Studions Production : 

Menurut Hikayat Hang Tuah, Hang Jebat merupakan seorang pahlawan yang telah dibunuh oleh Hang Tuah kerana derhaka dalam pertarungan yang memakan masa tiga hari tiga malam. Hang Jebat pada masa pertarungan itu menggunakan keris Taming Sari yang dianugerahkan oleh Sultan Melaka semasa melantiknya menjadi Laksamana. Keris itu dikatakan menjadikan Hang Jebat kebal tidak lut senjata. Hang Tuah telah berjaya merampas semula keris Taming Sari dalam pergelutan dan menikam Hang Jebat. Selepas menikam Hang Jebat, Hang Tuah yang baru kembali dari buangan, kembali ke rumahnya. Hang Jebat tidak terus mati, tetapi telah membalut lukanya dengan kain Cindai dan kemudiannya memasuki kampung-kampung untuk mengamuk, membunuh sesiapa sahaja yang melintas dihadapannya. Dia akhirnya menghembuskan nafas terakhir di pangkuan Hang Tuah.
Hang Jebat dikatakan telah membuat perhubungan sulit dengan seorang dayang istana bernama Dang Wangi. Ada kisah yang menyebut bahawa sebenarnya Hang Jebat telah bernikah dengan Dang Wangi dan semasa Hang Jebat terbunuh, Dang Wangi sedang hamil anak Hang Jebat. Hang Tuah kemudiannya menghantar Dang Wangi tinggal di Singapura untuk melahirkan dan membela anak Hang Jebat yang dikatakan bernama Hang Nadim. Dalam kisah Singapura Dilanggar Todak, budak bijak yang memberi pendapat supaya berkubukan batang pisang dari serangan todak dikatakan adalah Hang Nadim anak kepada Hang Jebat. Keberanian dan ketegasan Hang Jebat untuk mencari keadilan sehingga sanggup menderhaka kepada Sultan menjadikan dia disanjung oleh sesetengah golongan sehingga ke zaman ini.
✅ Matlamat explorasi ini untuk memberikan pengetahuan kepada masyarakat yang ada segelintir yang tidak tahu sejarah atau lokasi sejarah ini. Selain itu untuk mengingatkan kembali sejarah melayu ini dalam diri kita.

Ungkapan katanya "Raja Adil Raja Disembah, Raja Zalim Raja Disanggah!" menjadi kata-kata hikmat setiap kali memperkatakan perjuangan untuk menuntut keadilan atau bila hendak memperkatakan kezaliman raja yang memerintah. ___________________________ ✅ Biografi: Nazri Salleh dan Puan Ita (akak) adalah perawat Islam yg telah menjalani proses pembersihan hati melalui zikir dan amalan surah-surah selama 40 hari pada waktu tahajud. Jadi bila berjaya melalui proses beberapa peringkat tersebut baru disanadkan jadi perawat Islam. Jadi dari situ Allah kurniakan sedikit kelebihan yang dipinjamkan untuk manfaat manusia tak kisah dalam apa jua perkara seperti merasa, melihat, dan mengetahui sedikit rahsia Allah yang Allah izinkan. ____________________________ Saksikan video ini sehingga habis untuk mengetahui pengalaman team Explorasi Misteri Mistik yang akan dikongsikan. _________________________
🔴Adakah anda ingin menyumbang dana kepada program explorasi ini? Sila klik link berikut:


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

Tuesday, 6 July 2021

Sri Mersing

Arkib : 30 Jun 2021 


Allahyarham  Shariff Medan

PAK MALAU CIPTA PANTUN?

Kajang Pak Malau kajang berlipat,

Kajang saya mengkuang layu,

Dagang Pak Malau dagang bertempat,

Dagang saya musafir lalu.

Itulah bait-bait pantun yang diungkapkan oleh Allahyarham Nordin Ahmad sebagai Damak dalam filem Sri Mersing merupakan filem pertama arahan pengarah Salleh Ghani yang diterbitkan pada tahun 1961. 

Pantun ini seolah-olah menjadi 'trademark' kepada Nordin Ahmad apabila generasi kini merujuk kepada lakonannya. Tapi tahukah kita siapa orang yang bertanggungjawab mencipta baris kata pantun berkenaan?  

Orang yang bertanggungjawab mencipta  pantun berkenaan ialah Allahyarham seniman Shariff Medan yang sememangnya berpengalaman dalam mencipta kiasan kata bual Melayu dalam filem-filem Melayu klasik keluaran Cathay-Keris. Sharif Medan adalah pelakon yang berasal dari pentas bangsawan seawal tahun 1930-an. Beliau turut berlakon dalam filem Melayu pertama berjudul Leila Majnun pada tahun 1933.

Pantun ini juga membawa maksud yang mendalam dan tersirat. Saya cuba huraikan secara terperinci asal usul pantun ini, maksud pembayang, perkaitan antara pembayang dengan maksud dan maksud sebenar pantun Melayu yang menjadi legenda sehingga sekarang.

HURAIAN BARIS PEMBAYANG PANTUN

Kajang bermaksud atap yang dibuat daripada daun mengkuang dan nipah. Maksud pembayang ini ialah atap Pak Malau atapnya berlipat elok, manakala atap Damak dibuat menggunakan mengkuang yang sudah layu sahaja. Dalam erti kata lain, tempat berteduh Pak Malau menggunakan atap yang elok tetapi tempat berteduh Damak menggunakan mengkuang yang sudah layu dan berkemungkinan atapnya tidak tahan lama berbanding Pak Malau.

Maksud pembayang ini secara tersiratnya ialah Pak Malau tinggal di kampung ini tidak mengalami apa-apa masalah kerana dilayan dengan elok. Manakala Damak pula yang datang sebagai pedagang di kampung ini telah difitnah, walaupun niatnya baik iaitu untuk menyelamatkan Sri Mersing daripada diculik.

HURAIAN BARIS MAKSUD PANTUN

Maksud pantun ini membawa maksud bahawa Pak Malau berdagang ke kampung Mersing ini bertempat. Maksud bertempat di sini ialah ada tempat untuk berlindung, tiada orang yang ingin menabur fitnah dan sakit hati terhadap Pak Malau. Manakala Damak yang datang berdagang ke kampung Mersing seperti musafir yang lalu sahaja. Walaupun niatnya baik tetapi dia telah difitnah oleh Awang Sulung.

Teks : HAR

Sumber :

  1. Dari Jalan Ampas Ke Hulu Kelang - Salleh Ghani
  2. Dari Keris Film Ke Studio Merdeka - Hamzah Hussin

https://www.facebook.com/108871572793160/posts/1520609818285988/

SRI MERSING (1961) Ful Movie


SERI MERSING - SHARIFAH AINI

Monday, 28 June 2021

Ali Baba Bujang Lapok

 

BICARA KLASIK : "DISEBALIK CANDU, GANJA & BELACAN" ALI BABA BUJANG LAPOK

Salah satu filem komedi terbaik Allahyarham Tan Sri P.Ramlee yang dianggap oleh sesetengah pengkritik dan peminat filem tanah air. Filem Ali Baba Bujang Lapok sememangnya sangat banyak menyelitkan nasihat, sindiran dan kritikan masyarakat secara tersurat mahupun tersirat. 

Kalau nak dikupas satu persatu sememangnya memerlukan perbincangan yang sangat panjang. Jadi, Brother pilih satu sindiran dan kritikan masyarakat yang disampaikan oleh P.Ramlee dalam filem ini. Mungkin ada yang perasan dan mungkin juga ada yang tidak tahu menahu langsung akan sindiran ini. 

Brother sangat tertarik dengan babak ketika Marjina keluar membeli-belah di pasar. Ketika dia melalui jalan di pasar itu, dia di datangi oleh penjual candu dan ganja yang berniaga di jalanan secara bebas dan terbuka. Apabila dia ingin membeli belacan, peniaga itu terpaksa menjualnya secara sembunyi kerana tidak mempunyai lesen. 

"Jual candu ada lesen, jual ganja ada lesen tetapi jual belacan tak ada lesen. Saya smuggle dari Malaya." Kata peniaga itu kepada Marjina. Menunjukkan pada zaman dalam filem itu, semuanya memerlukan lesen. Tidak kira jenis perniagaan itu halal atau haram. Jika ada lesen, semuanya akan 'beres' belaka. 

Babak ini agak singkat, namun ia penuh dengan maksud yang tersirat. Tersirat dengan sindiran yang ingin disampaikan oleh P.Ramlee. Allahyarham ingin memberitahu kita bahawa, jika sesebuah kerajaan yang memerintah tidak amanah. Maka semua perkara halal atau haram tidak ada bezanya. Yang akan membezakannya adalah lesen untuk mendapatkan kelulusan. 

P.Ramlee juga memberitahu kita, akan tiba suatu zaman di mana manusia terpaksa melakukan perkara baik secara sembunyi-sembunyi. Manakala perkara yang menyimpang dengan agama dilakukan secara terang-terangan tanpa rasa malu atau bersalah. Di mana ketika itu, perbuatan baik di anggap janggal dan perkara buruk di anggap bagus dan menjadi kebanggaan. 

Adakah perkara seperti ini akan berlaku dipenghujung zaman nanti...??? Atau sememangnya sudah pun terjadi, tapi kita pula yang tidak perasan atau tidak endah dengan apa yang berlaku di depan mata...???

Ya Habibi Ali Baba


#BicaraKlasikBraderFilem


Ali Baba Bujang Lapok HQ - Pramlee (versi warna) FULL


Deskripsi dari : nostalgiaWARNA

sesetengah babak terpaksa dipotong / 'MUTE' (tiada suara) disebabkan HAK CIPTA credit : Astro Malaysia Holdings Berhad : Sony ATV Publishing : CASH PanAsia Filem ini berasaskan dari kisah Ali Baba dan 40 Penyamun dari Hikayat 1001 Malam tetapi ditokok-tambah dengan unsur komedi. Seperti filem Bujang Lapok yang lain, filem ini dibintangi P. Ramlee, Aziz Sattar dan S. Shamsuddin. Filem ini merupakan penampilan sulung Sarimah, serta dikenali sebagai filem terakhir di mana P. Ramlee memegang watak jahat / antagonis. #pramlee #filemklasik #nostalgiawarna


ASAL USUL SENAPANG GAJAH ALIBABA BUJANG LAPOK

Menonton filem Ali Baba Bujang Lapok pasti kita teringat bagaimana P. Ramlee sebagai ketua penyamun yang bernama Abu Hassan menggunakan senapang gajah untuk menghukum Kassim Baba lakonan S.Shamsudin.

Senapang gajah yang dikenali sebagai Punt Gun itu telah disewa oleh P.Ramlee dari Army Museum Of Singapore. Berat senapang gajah ini dianggarkan antara 40kg ke 50 kg dan sepanjang 8kaki 4inch (2.54m). Senapang ini diciptakan oleh seorang novelist berbangsa Inggeris bernama Desmond Bagley. untuk berburu angsa dan berpotensi membunuh 100 burung angsa dengan satu das tembakan.  

Teks: HAR & Mimin

Tuesday, 15 June 2021

15 JUN 1971

Artikel dari Repair Gambar Lama


Seniman Nordin Ahmad Meninggal Dunia

MEMPERINGATI 50 TAHUN PEMERGIAN SENIMAN NORDIN AHMAD

Pada suatu petang hari selasa yang sayu. Satu berita dan perkhabaran yang tidak ingin di dengar oleh tiga orang insan yang masih bergelar anak. Kenyataan yang amat berat untuk diterima dalam sejarah kehidupan mereka yang masih lagi kehijauan pada ketika itu. Anak yang masih lagi memerlukan kasih sayang dari seorang ayah. Hakikat yang amat perit untuk diterima oleh seorang isteri yang masih memerlukan seorang teman hidup yang bergelar suami di sisi. Tetapi itulah yang tertulis pada takdir yang telah ditetapkan oleh Allah S.W.T. sejak dari Loh Mahfuz. Sebagai manusia biasa haruslah menerimanya dengan penuh keredaan. 

Rumah yang beralamat di No. 35K, Jalan Greja, off Bedok Road, Singapura, telah pun dibanjiri oleh ratusan manusia dari kalangan jiran-jiran, sahabat handai, rakan seni dan para peminat, apabila tersebarnya berita mengenai seorang seniman besar dalam sejarah filem Melayu telah berpulang ke rahmatullah pada usia 42 tahun. 

Seniman Nordin Ahmad telah kembali kepada Maha Pencipta pada hari selasa jam 4.30 petang, 15 Jun 1971, di Hospital Besar Singapura, Outram Road. Beliau menghembuskan nafas terakhirnya di sisi isterinya seniwati Salmah Ibrahim setelah beberapa bulan melawan penyakit kuning (jaundice) yang dihadapinya. 

Hari ini selasa 15 Jun 2021, merupakan hari yang sama dan genaplah 50 tahun pemergian seorang tokoh seniman filem Melayu klasik yang sangat hebat di eranya. Filem-filem lakonan beliau masih lagi segar dan diminati sehingga sekarang oleh para pencinta sinema Melayu tanah air. Agak janggal jika ada yang membicarakan tentang sejarah filem Melayu tanpa menyebut nama Nordin Ahmad. Seorang seniman yang mempunyai kemahiran lakonan yang sangat tinggi dari sudut penghayatan watak. Lakonannya juga penuh dengan kejiwaan yang sangat jitu. Di saat ramai yang masih menanam minat dengan keajaiban persembahan Nordin Ahmad, beliau telah dipanggil pulang oleh yang Maha Esa. 

Begitulah serba sedikit coretan luahan hatiku buat seorang seniman seni yang sangat aku kagumi bernama Nordin Ahmad. Beliau akan sentiasa dikenang sebagai seorang pelakon yang membawa imej citra lelaki Melayu paling sejati di layar perak. Berehatlah dengan tenang wahai senimanku, aku sentiasa mendoakan semoga rohmu dicucuri rahmat dan di tempatkan bersama para solehin di sisi Allah. Al Fatihah... 

"Yang aku tinggalkan hanyalah warisan seni dan cetusan hatiku di layar perak. Kerana seni yang ikhlas itu akan dikenang sepanjang zaman". 

- NORDIN AHMAD -

(4 Ogos 1929 - 15 Jun 1971) 

Teks : HAR 

Sumber : 

  • Sesi sembang santai bersama Allahyarhamah Salmah Ibrahim, FINAS, 26 Jun 2001. 
  • Sesi temubual bersama Allahyarham Mohd Sidik Ahmad (adik), Permatang Pasir, Pulau Pinang, 2 April 2016. 
  • Sesi temubual bersama keluarga Nordin Ahmad, Singapura, 22 Februari 2016. 
  • Utusan Malaysia, 16 Jun 1971
  • Nordin Ahmad | Permata Seni Terbilang : Hidir Ali Razali
  • Bahyah Mahmood

https://www.facebook.com/108871572793160/posts/1510321775981459/

 

SIARAN LANGSUNG: 15 JUN 2021 (SELASA)

15 Jun 1971 merupakan tarikh pemergian seniman tersohor dalam sejarah sinema Melayu, Allahyarham Nordin Ahmad pada usia 42 tahun.

Bersempena dengan tarikh ini pada esok hari, kami dari pihak Repair Gambar Lama mengambil inisiatif mengadakan sesi LIVE Facebook untuk memperingati 50 tahun pemergian aktor yang berkarisma tinggi itu. Kami melancarkan T-Shirt TANAH YANG DIPIJAK - NORDIN AHMAD pada siaran LIVE nanti yang akan kendalikan oleh salah seorang dari admin kami HAR: Hidir Ali Razali. TANYA APA SAJA TENTANG NORDIN OK!

Bangkit!
Mimin



SALMAH IBRAHIM TIDAK TUMPANG POPULARITI SUAMI

Salmah Ibrahim merupakan salah seorang seniwati filem Melayu era studio Jalan Ampas dan Cathay-Keris yang berjaya membawakan watak antagonis wanita tanpa ada cacat celanya.

Salmah Ibrahim yang berasal dari Kampung Paya Kumbuh, Bukit Tinggi, Sumatera, Indonesia, pernah menetap di No.14, Jalan Selamat, Kampung Kembangan, Changi Road, Singapura sangat berjaya dan terkenal dengan watak perempuan penggoda, pisau cukur dan pemusnah rumahtangga orang dalam filem-filem awal tahun 1950-an.

Sepanjang penglibatan Salmah Ibrahim dalam dunia filem Melayu, ramai pengarah filem pada masa itu sangat percaya dengan kebolehannya dalam membawakan watak-watak jahat. Beliau juga tidak pernah membawa watak heroin dalam sesebuah filem yang dilakonkannya sepanjang pembabitannya sebagai pelakon.

Antara filem-filem yang menampilkan  Salmah Ibrahim sebagai watak jahat di MFP ialah, 
  • Sejoli, 
  • Bapa Saya, 
  • Hati Iblis, 
  • Takdir Illahi, 
  • Juwita, 
  • Kechewa, 
  • Kembar, dan 
  • Permata Di-Petlimbahan. 
  • Di dalam filem Chemburu beliau berlakun sebagai seorang isteri yang derhaka kepada suami lakonan Haji Mahadi.
Salmah Ibrahim yang dilahirkan pada tahun 1930 ini telah berkahwin dengan seniman Nordin Ahmad pada tahun 1952. Mereka mula berkenalan semasa sama-sama berlakon di dalam filem Permata Di-Perlimbahan. Sebelum mendirikan rumahtangga dengan seniman Nordin Ahmad, beliau terlebih dahulu berkawan rapat dengan seniman Jaafar Shah. Tetapi hubungan itu tidak kekal lama berikutan Jaafar Shah meninggal dunia dalam satu kemalangan motosikal di Johor Bahru.

Pada tahun 1957 Salmah Ibrahim berhijrah ke studio Cathay-Keris mengikut suaminya yang mendapat tawaran lumayan berlakon di sana. Antara filem-filem lakonan Salmah Ibrahim di Cathay-Keris ialah
  • Satay, 
  • Mahsuri, 
  • Pak Pandir Modern, 
  • Yatim Mustapha, 
  • Ayer Mata Duyong, 
  • Kaseh Ibu, 
  • Naga Tasek Chini, 
  • Playboy dan beberapa lagi filem yang lain. 
Di Cathay-Keris, Salmah Ibrahim kurang menumpukan kepada bidang lakonan ini kerana beliau lebih senang memberi perhatian kepada perniagaan warung Nasi Padangnya yang beroperasi di Joo Chiat Road, di samping itu beliau juga turut melakukan khidmat andaman kepada pelakon-pelakon wanita di Cathay-Keris.

"Bukan saya tidak minat lagi berlakon di Cathay-Keris. Tetapi biarlah dia (Nordin Ahmad) sahaja menumpukan di dalam bidang lakonan dan pengarahan filem. Saya sebenarnya dari kecil sudah menanam minat di lapangan perniagaan, kerana saya juga suka memasak." Itulah kata-kata yang disuarakan oleh Salmah Ibrahim dalam satu temubual bersamanya pada tahun 1965.

Perkahwinan Salmah Ibrahim  kekal sehingga seniman Nordin Ahmad menghembuskan nafas terakhir pada 15 Jun 1971. Selepas Nordin Ahmad meninggal dunia, Salmah Ibrahim masih menjalankan perniagaan Nasi Padangnya demi membesarkan 3 orang anaknya. Salmah Ibrahim meninggal dunia pada 30 April 2009 di kampung halamannya akibat sakit tua.

Titipan doa dan Al Fatihah buat Allahyarhamah seniwati Salmah Ibrahim.

Teks : Mimin

Sumber : 
  • Nordin Ahmad | Permata Seni Terbilang : Hidir Ali Razali
  • Berita Filem
  • Mastika Filem
  • Sesi temubual bersama Salmah Ibrahim, 28 Jun 2001, FINAS, Ulu Klang.


NORDIN AHMAD KENANG JASA P.RAMLEE

"Aduka, lupakah kau kepada Tuhan? Hilangkah kepercayaan kau kepada agama Islam? Kau cemarkan namamu. Kau cemarkan Semerah Padi. Kalau hanya Dara, aku sanggup berikan, kerana aku sayangkan kau lebih dari Dara. Jangan kata membunuh kau, menjatuhkan hukuman pun tak sampai hatiku. Menghukum kau bererti aku menghukum diriku sendiri"

"BIAR BUSUK DAGINGKU MAMAH, ASALKAN KAU TERHINDAR CEMAR"

Itulah dialog keramat yang dilafazkan oleh Nordin Ahmad sebagai Taruna melalui filem Semerah Padi arahan P.Ramlee pada tahun 1956.

Semerah Padi telah berjaya menjulang nama Nordin Ahmad ke kemuncak kemasyhuran sehingga beliau telah ditawarkan berhijrah ke studio Cathay-Keris dengan gaji yang lebih lumayan.

"Kalau bukan sebab Ramlee yang ambil aku berlakon dalam filem Semerah Padi, aku tidak akan sampai ke tahap ini sekarang".

Itulah kata-kata yang sering diungkapkan oleh seniman Nordin Ahmad kepada rakan-rakannya di Cathay-Keris. Nordin Ahmad sangat berterima kasih kepada P.Ramlee kerana telah memberi peluang dan kepercayaan kepadanya bagi membuktikan kemampuannya sebagai seorang pelakon yang berkarisma besar.

Atas nasihat P.Ramlee jugalah yang membuatkan Nordin Ahmad membatalkan hasratnya untuk pulang ke kampung halamannya di Pulau Pinang kerana terlalu kecewa dengan kerjaya lakonannya ketika di Jalan Ampas.

"Sabar dulu sahabatku, masamu akan tiba juga nanti. Aku yakin kau akan menjadi seorang bintang besar suatu hari nanti".

Kata-kata dari P.Ramlee inilah yang menjadi perangsang kepada Nordin Ahmad untuk berusaha dengan lebih gigih bagi memajukan mutu lakonannya. 

"Jika satu hari nanti ada yang memperkatakan tentang kejayaan saya di dalam bidang lakonan, P.Ramlee berhak berkongsi kejayaan itu bersama saya. Ini kerana P.Ramlee lah yang telah membuatkan kerjaya saya dari gelap menjadi terang". 

Teks : HAR

Sumber : 
  • Bulanan Gelanggang Film, bilangan 8, Julai 1958.
  • Mastika Filem, bilangan 6
  • Temubual bersama Aimi Jarr
  • Arkib Negara Malaysia

Pautan artikel lain yang berkaitan :-

09 JUN 2013 : LATIFAH OMAR DALAM KENANGAN


Hikayat Hang Jebat (هڠ جيبت)


Friday, 4 June 2021

04 Jun 2013 : Shamsuddin Bin Dali (1929-2013)

 

"JIKA INGIN JADI PELAWAK BELAJAR DENGAN S. SHAMSUDDIN" 

S. Shamsuddin atau nama sebenarnya Shamsudin bin Dali dilahirkan pada 1 Januari 1929 di Pasir Panjang, Singapura. Bakat S. Shamsuddin yang lebih dikenali dengan nama Sudin dalam bidang lawak turut diakui oleh rakan-rakannya. 

Sekitar tahun 1964, telah diadakan bengkel seni lakon bersama seniman dan pengarah NORDIN AHMAD. Bengkel itu telah diadakan di dewan studio Cathay Keris anjuran beberapa gabungan majalah hiburan dan telah dihadiri oleh bakat-bakat baru yang ingin menempa nama sebagai pelakon. 

Di akhir sesi, Nordin Ahmad berpesan agar rajin bertanya kepada pelakon-pelakon yang telah lama berkecimpung dalam dunia seni lakonan.

"Jika ingin jadi pelawak belajar dengan A.R TOMPEL dan S. SHAMSUDIN".

Apabila menonton siri BUJANG LAPOK kita telah disajikan dengan lawak jenaka spontan yang tidak pernah jemu untuk ditonton walaupun telah berulang kali kita menontonnya. S. Shamsuddin adalah seorang watak penting yang memainkan peranan dalam menghidupkan lawak jenaka bersama P. Ramlee dan Aziz Sattar. 

Satu kehebatan Sudin dalam berlawak, beliau adalah seorang yang tidak memerlukan skrip dalam menterjemahkan dialognya disamping permainan mimik mukanya sangat berkesan sehingga mempu membuat penonton yang melihat ketawa walaupun tidak berdialog.

Salah satu rahsia yang beliau amalkan untuk membuatkan beliau sebati dengan pelbagai jenis lawak ialah dengan menggunakan kerengga. Menurut S. SUDARMAJI, Sudin akan berlatih seorang diri dengan meletakkan kerengga di atas batang hidungnya dan membiarkan kerengga itu berkeliaran di mukanya. Dengan cara ini Sudin dapat membuat senaman muka bagi mengelakkan beliau berasa geli akibat berkeliarannya kerengga itu tadi. Secara tidak langsung Sudin telah melakukan teknik memek muka yang natural bukan di buat-buat.

Menurut seniman Wahid Satay, sangat susah untuk mendominasi pentas apabila beliau seringkali digandingkan dengan Sudin ketika melakukan stand up comedy bersama.

"Kalau kita ada kuncinya baru berjaya kita diamkan Sudin", katanya lagi.

Itulah serba sedikit perkongsian tentang sifat keperibadian seorang pelawak yang sangat berkarisma di era nya. Sudin sentiasa berada di dalam kelasnya yang tersendiri.

Hari ini genap 8 tahun S. Shamsuddin pergi menemui penciptanya. 

Shamsuddin bin Dali meninggalkan seorang isteri dan 7 orang anak. Beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Pusara Abadi, Singapura. Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang orang beriman. 

Al-Fatihah buat salah seorang pelawak terbaik dalam sejarah perfileman Melayu. 

Rujukan :
  • Kelab Filem & Muzik Melayu Klasik
  • Berita Filem - Falsafah Nordin Ahmad
  • Koleksi Peribadi Sandakiah Azez- Anak Aziz Sattar

Pautan artikel lain yang berkaitan :-

04 Jun 1952 : Ayu 20 sen sudah bergelar nenek

Thursday, 3 June 2021

03 Jun 1999 : The Grande Dame of Malay Films

BILA SIPUT SUDAH TIADA..


Al-fatihah (dibaca) Aamiin.
Mengingati Seniwati Siput Sarawak



Nama Siput Sarawak sinonim dengan gaya lakonannya yang mantap dan pengaruhnya yang besar dalam sejarah perfileman Melayu. Oleh sebab itu, beliau pernah digelarkan sebagai “The Grande Dame of Malay Films” oleh sebuah akhbar paling berpengaruh di Malaysia.

Walaupun tidak pandai membaca dan menulis, itu tidak pernah menjadi penghalang dirinya untuk memberikan seratus peratus komitmen dalam seni lakon yang diceburinya sejak tahun 1930-an lagi. Dari pentas bangsawan sehingga ke layar perak, Siput sentiasa memberikan yang terbaik dalam menzahirkan watak yang diserahkan kepadanya.

Bidang lakonan sentiasa menjadi cinta pandang pertama bagi Siput. Beliau sangat terkenal dengan watak-watak antagonis dan lebih senang membawakan watak-watak sebegitu. Apa yang dilakonkan oleh Siput di layar perak sentiasa meninggalkan kesan terhadap siapa yang menontonnya.   

Pada 3 Jun 1999, dunia seni telah kehilangan sebutir permata apabila Siput Sarawak menghembuskan nafasnya yang terakhir di Singapura. Beliau yang menghidap sakit tua telah pergi pada usia 79 tahun. Jenazahnya disemadikan di Singapura pada hari yang sama.

Sahabat baik beliau, Hamzah Hussin, bekas pegawai penerangan Cathay Keris memberi komen: “Dia sentiasa bercakap tentang keinginannya untuk menjadi pengarah filem. Dua perkara yang tidak sempat dilakukannya ialah mengerjakan haji dan mengarahkan filem berdasarkan perjalanan hidupnya”.

Hari ini genap 22 tahun pemergian Siput Sarawak atau nama sebenarnya Ramlah binti Mohammad Sulaiman @ Dollah menghadap penciptanya. Al Fatihah buat rohnya.  

Teks: DAN



Allahyarhamah Seniwati Siput Sarawak (1921 – 3 Jun 1999)

Wednesday, 2 June 2021

02 JUN 2004

 AHMAD B – HILANGNYA RAJA STUNT FILEM

Hari ini genap 17 tahun drama televisyen 90-an kehilangan kelibat Ahmad B atau nama sebenarnya Ahmad bin Abdul Hamid. Beliau dilahirkan pada tahun 1930 di Kuala Lipis, Pahang dan  menerima gelaran Ahmad 'B' ketika berlakon dalam kumpulan bangsawan Rahman 'B' pada akhir tahun 40-an.

Satu fakta yang jarang sekali diketahui ramai adalah kisah  beliau menjadi stuntman selepas kejatuhan zaman kegemilangan bangsawan. Ahmad B pernah diberi gelaran sebagai 'King of Stunt' oleh pelakon Hindi, Kaber Bedi selepas melakukan adegan stunt bagi filem antarabangsa bertajuk SANDOKAN- PIRATE OF MALAYSIA (1976). Beliau mencampakkan diri dari atas dek kapal, lereng bukit dan keluar bangunan. Filem produksi Itali ini melakukan pengambaran selama beberapa minggu di Singapura & Pengkalan Setar, Kuala Terengganu.

 “Pelakon bangsawan yang baik melakukan sendiri semua adegan stunt”. kata Ahmad B.

Kepakaran Ahmad B diperlukan apabila muncul bersama P.Ramlee dalam filem JANGAN TINGGAL DAKU (1971), sebagai watak cameo di kelab malam kemudian di dalam kereta yang terlibat dalam kemalangan. 

Penglibatan seni tahun 80-an hingga 90an, Ahmad B lebih menonjol dan sering muncul dalam drama tempatan bersama anaknya Ainina Ahmad B. Antara lakonan drama Ahmad B yang paling diingati adalah Datuk Limbong arahan Aziz Jaafar, dibintangi oleh Aziz Abdullah dan Hail Amir tahun 1980-an.

Pada tahun 1997 beliau menerima pingat Ahli Mangku Negara (A.M.N) oleh Agong ke-9 ;Tuanku Ja’afar ibni Almarhum Tuanku Abdul Rahman. 

Seniman Ahmad B meninggal dunia pada 02 Jun 2004, meninggalkan isteri Alijah Abdul Rahman (juga pelakon bangsawan) beserta 4 orang anak;  Mohamad, Ainina, Omar Baki dan Abdul Rahman. Beliau dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Tunjuk, Petaling Jaya. Al fatihah Ahmad bin Abdul Hamid, semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama orang-orang yang beriman. 

Text: Mimin

Rujukan :

  • Repair Gambar Lama
  • Ainina Ahmad B (Anak Ahmad B)
  • Bacaria 1997 oleh Azian Adnan
  • Berita Filem

Dipetik dari - https://www.facebook.com/108871572793160/posts/1501802770166693/

Saturday, 29 May 2021

Masam-masam Manis

P. Ramlee: Masam Masam Manis (VERSI WARNA)

P.RAMLEE AKUR PERMINTAAN TUNKU

Semasa P.Ramlee ingin mengarahkan filem Masam-Masam Manis di Studio Merdeka. Beliau telah dihubungi oleh Tunku Abdul Rahman. Tunku Abdul Rahman meminta P.Ramlee agar memberi salah satu peranan penting untuk anak saudaranya dalam filem berkenaan. 

Sharifah Hanim binti Syed Hamzah berketurunan dari kerabat Di-Raja Perlis yang berasal dari Arau. Beliau pernah menjadi pengacara di RTM dan pernah menjuarai gelaran Ratu Cantik UMNO pada tahun 1956.

P.Ramlee telah merombak semula watak-watak di dalam filem Masam-Masam Manis. Watak Cikgu Norkiah yang sepatutnya dibawa oleh Mariani diberikan kepada Sharifah Hanim. Manakala Mariani diberikan watak Rosnah yang sepatutnya peranan itu milik Jah Haji Mahadi. 

Filem ini juga merupakan filem pertama dan terakhir Sharifah Hanim berlakon dibawah arahan P.Ramlee.

Teks : HAR

Sumber : 

Erti Yang Sakti - Tun Ahmad Sarji

Berita Filem


-------------------------------------------------------------------------------------------

Sharifah Hanim - Dalam Kenangan


Deskripsi dari Kisah Sedih YouTube :

Sharifah Hanim (1935 - 2003)
  • Sharifah Hanim Binti Syed Hamzah Jamalullail
  • Lahir Tahun : 1935
  • Usia : 68 Tahun
  • Meninggal : 25 November 2003
  • Beliau anak kelahiran Arau, Perlis, dan telah menghembuskan nafas terakhirnya pada 01 Syawal 1424 Hijrah, di Hospital Kuala Lumpur (HKL), sekitar pukul 05.20 Petang, setelah dua bulan dalam keadaan uzur (Gering).
  • Masalah Hati Tidak Berfungsi
Antara filem-filem yang pernah dilakonkan oleh Seniwati Sharifah Hanim
  • Filem : Masam-Masam Manis (1965), Arahan : P. Ramlee,
  • Filem : Gadis Langkawi (1966), Arahan : Dhiresh Ghosh,
  • Filem : Bukan Salah Ibu Mengandong (1969), Arahan : Jinn Shamsuddin,
  • Filem : Asmara Kirana (1971), Arahan : Nas Achnas,
  • Filem : Pedang Sakti (1971), Arahan : S.Sudarmaji,
  • Filem : Anak-Ku Suami-Ku (1972), Arahan : Omar Rojik,
  • Filem : Bunga Mas (1973), Arahan : Nas Achnas,
  • Filem : Satu Penentuan (1973), Arahan : M. Amin,
  • Filem : Penyamun Si Bongkok (1973), Arahan : M. Amin,
  • Filem : Pertiwi (1975) Arahan : M. Amin,
  • Filem : Rahsia Hatiku (1975), Arahan : Nas Achnas,
  • Kemunculan dalam Drama Televisyen, Drama : Membelah Awan, Tahun : (1977)

Allahyarhamah YM Seniwati Sharifah Hanim. Terkenal dengan watak sebagai Norkiah Hanum dalam filem Masam-Masam Manis (1965) https://www.facebook.com/groups/785267792063800/permalink/869302406993671/

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...