Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Showing posts with label Johor. Show all posts
Showing posts with label Johor. Show all posts

Tuesday, 10 September 2024

SULTAN ABU BAKAR KEHILANGAN MAHKOTA

 


SULTAN ABU BAKAR DAN KEHILANGAN MAHKOTA : 
APAKAH ADA AGENDA TERSEMBUNYI?


APAKAH ADA AGENDA TERSEMBUNYI?

Perkongsian daripada @husnirahman1797 dari YouTube pada 6 hari yang lalu : 

SUMBER INFO : Allahyarham Raja Mahadi bin Raja Mahmoodiah bin Sultan Abu Bakar. 

Raja Mahmoodiah adalah anaknya Sultan Abu Bakar dan isteri Sultanah Rogayah. Nama keduanya Mahmoodiah dan Rogayah ada di abadikan sebagai nama jalan di Johor Bahru dan Batu Pahat. Tanah perkuburan Mahmoodiah di Johor Bahru asalnya ialah Istana Tengku Mahkota Raja Muda Mahmoodiah. Dirobohkan dan ditukar ke tapak perkuburan selepas peristiwa rampasan kuasa. Istana Zaharah (Ungku Zahrah adik bongsu Sultan Abu Bakar) juga dirobohkan yang tinggal hanya Balai Cengkeh. Banyak lagi bangunan legasi Sultan Abu Bakar dirobohkan selepas berlaku rampasan kuasa.

RAMPASAN KUASA ke atas pemerintahan Sultan Abu Bakar kerana beberapa faktor :

  1. Baginda terima nasihat Sultan Turki iaitu untuk lawan British dari dijajah ialah dengan undang-undang COMMON LAW British itu sendiri. Oleh itu beliau persiapkan pentadbirannya seperti standard di Eropah. Johor Negeri Pertama mengukur sempadan negeri menggunakan khidmat juru ukur dari Itali dan dokumentasi perundangan di London.
  2. Baginda membuat hubungan diplomatik dengan kuasa besar barat seperti Jerman dan Amerika. Tujuannya mempromosikan Johor sebuah negara yang maju dan berdaulat.
  3. Baginda juga adalah sahabat yang paling disukai oleh Queen Victoria.
  4. Baginda aktif terlibat dalam politik tempatan seperti di Selangor, Kesang, Negeri Sembilan dan Pahang. Tujuannya untuk menyatukan Negeri-negeri Melayu supaya ada kuasa yang kuat menentang perancangan Penjajahan British Company.
  5. Sebenarnya yang paling di benci British company ialah Abd Rahman Andak, penasihat baginda sultan. Beliau seorang yang sangat bijak dalam soal diplomatik dan menjadi penghalang terbesar rancangan Penjajahan British Company.

Disebabkan faktor faktor di atas dan di tambah Baginda sangat akrab dengan Jerman Turki dan Jepun (musuh politik antarabangsa British), maka Baginda dianggap bahaya dan perlu di lucutkan kuasa. Selepas dari baginda menghadiri Chicago World’s Columbian Exposition, 1893 sewaktu belayar pulang ke Johor berlakulah rampasan kuasa (1895). Lebih kurang 300 orang yang setia kepada baginda sultan telah dibunuh dan kuburan mereka ada di belakang Istana Bukit Serene. Sultanah dan anaknya Raja Mahmoodiah telah dikurung sebagai tahanan. 

Demi bagi mengelakkan lebih ramai terkorban dan demi keselamatan keluarganya, baginda sultan telah melepaskan kuasa. Baginda hidup sebagai rakyat biasa bersama keluarganya di sebuah negeri lain di semenanjung dan meninggal di sana. Abdul Rahman Andak pula hidup miskin terkandas di London. Terpaksa bekerja sebagai Pensyarah Bahasa Melayu di sebuah universiti di sana. Dari menteri besar dan pegawai kerajaan, segala dokumen dan gambar gambar berkaitan Sultan Abu Bakar telah dirampas. Pada waktu itu sesiapa yang bersuara akan dibunuh.

Menurut sumber cerita iaitu Waris Sultan Abu Bakar, makam yang ada di Johor Bahru bukanlah makam sebenar almarhum baginda sultan. Dan yang naik takhta pengganti sultan seterusnya bukanlah dari waris Sultan Abu Bakar tapi dari waris yang bersekongkol dengan British Company merampas kuasa. Hingga ke hari ini harta dan aset baginda sultan di luar negara masih tidak dituntut menunggu waris sebenar Almarhum Sultan Abu Bakar hadir menuntut. Ada berani ke nak tampil menuntut? Wallahualam.

- TAMAT - 

Posting lain yang berkaitan di sini :

https://normanhafizi.blogspot.com/2022/12/03-disember-1892-istana-tyersall.html

Saturday, 31 December 2022

31 DISEMBER 1958 NEGERI JOHOR DIISYTIHARKAN SEBAGAI KAWASAN PUTIH

 

31 Disember 1958 – Seluruh negeri Johor diisytiharkan sebagai Kawasan Putih pada 13 Disember 1958. Pengisytiharan tersebut telah dibuat oleh Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail ibni Almarhum Sultan Ibrahim yang mewakili Sultan Johor pada satu upacara perbarisan pasukan-pasukan keselamatan di Johor Bahru.

Di negeri Johor, ‘Kawasan Hitam’ yang terakhir diisytiharkan sebagai kawasan putih ialah Daerah Kota Tinggi. Pada masa darurat diisytiharkan, terdapat lebih 1,200 orang pengganas komunis mengancam keselamatan di daerah di Johor.

Satu operasi yang dipanggil Operasi Badak telah dilancarkan oleh pasukan keselamatan. Operasi ini telah berjaya menghapuskan sebahagian besar pengganas komunis. Pengerusi Jawatankuasa Kerja Operasi Badak, Ungku Mohsin bin Mohamad telah mengalu-galukan pengisytiharan Johor sebagai kawasan putih bersih daripada ancaman dan keganasan komunis.

Pengisytiharan ini memberi makna besar kepada negeri Johor yang telah lama mengalami keadaan darurat serta menerima ancaman yang buruk sekali di Persekutuan Tanah Melayu. Dengan pengisytiharan ini Undang-Undang Darurat seperti sekatan-sekatan ke atas bahan-bahan makanan, bekalan-bekalan penting dan perintah berkurung dihapuskan.

Sebelum Johor diisytiharkan Kawasan Putih beberapa kawasan dan negeri di Persekutuan Tanah Melayu telah pun diisytiharkan sebagai Kawasan Putih seperti Melaka, Terengganu, Negeri Sembilan dan Sabak Bernam.

#hariinidalamsejarah #arkibnegara


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

29 OKTOBER 1955 KAWASAN PUTIH BAGI DAERAH BENTONG & RAUB DI PAHANG


Friday, 23 December 2022

19 DISEMBER 1862 PENYERAHAN TELUK BELANGA KEPADA TEMENGGUNG ABU BAKAR

19 Disember 1862 – Pada tahun 1862, satu perjanjian penyerahan kuasa Teluk Belanga kepada Temenggung Abu Bakar oleh Kerajaan Inggeris telah berlangsung di Singapura. Perjanjian ini harus dibuat berikutan dengan persetujuan Gabenor Negeri-Negeri Selat, Blundell bagi pihak Kerajaan Inggeris untuk menyerahkan kawasan tanah di Teluk Belanga kepada Temenggung Abu Bakar. Kawasan itu menjadi hak milik baginda turun temurun.

Kawasan tanah di Teluk Belanga dikuasai Inggeris berikutan dengan perjanjian di antara Residen Inggeris di Singapura, J.Crawford dengan Sultan Hussein dan Temenggung Abdul Rahman pada 2hb Ogos 1824. Mengikut perjanjian tersebut, Pulau Singapura dan pulau-pulau yang berhampiran diserahkan kepada pihak Inggeris. Sultan Hussein dan Temenggung Abdul Rahman tidak lagi mempunyai kuasa ke atas Pulau Singapura. Wang saguhati sebanyak $15000 dibayar oleh Kerajaan Inggeris kepada Temenggung Abdul Rahman apabila kawasan tanah di Teluk Belanga diserahkan kepada Inggeris.

Semasa Johor di bawah pemerintahan Temenggung Ibrahim, baginda telah berusaha untuk menguasai semula Teluk Belanga. Temenggung Ibrahim berpendapat bahawa dalam masa 30 tahun akan datang, nilai tanah di Teluk Belanga akan berlipat ganda. Menyedari keadaan tersebut, dalam tahun 1857, Temenggung Ibrahim telah membantah usaha membuka sebuah pangkalan arang batu berhampiran dengan Teluk Belanga. Bantahan baginda itu tidak dihiraukan oleh pihak Inggeris.

Semasa pemerintahan Temenggung Abu Bakar, baginda telah berusaha memajukan negeri Johor. Baginda telah membuat banyak perubahan di dalam sistem pemerintahan, menggalakkan perdagangan di Tanjung Puteri dan mengukuhkan hubungan persahabatan dengan negeri Pahang. Cara pemerintahan Temengung Abu Bakar amat disenangi oleh pihak Inggeris. Hubungan baginda dengan Pihak Inggeris dan pembesar-pembesar negeri berjalan dengan baik dan lancar.

Apabila baginda menyuarakan hasrat supaya Teluk Belanga dijadikan hak milik baginda, pihak Inggeris telah memberi persetujuan. Hasil daripada persetujuan tersebut, satu perjanjian penyerahan kuasa Teluk Belanga kepada Temenggung Abu Bakar telah ditandatangani pada hari ini dalam tahun 1862 di mana teluk Belanga diserahkan semula kepada Kerajaan Johor.

#hariinidalamsejarah #Johor


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

11 DISEMBER 1885 PERJANJIAN PERSAHABATAN KERAJAAN JOHOR DENGAN INGGERIS


Sunday, 18 December 2022

14 DISEMBER 1745 PENYERAHAN WILAYAH SIAK KEPADA BELANDA

14 Disember 1745 – Pada tahun 1745, Sultan Sulaiman, Sultan bagi Kerajaan Johor- Riau telah menyerahkan Siak kepada Belanda. Penyerahan itu adalah sebagai balasan kepada Belanda yang akan membantu Sultan Sulaiman memerangi musuhnya, iaitu orang-orang Bugis.

Tindakan orang-orang Bugis menguasai bidang ekonomi dan juga politik di negeri-negeri Melayu menimbulkan perasaan tidak senang hati di kalangan orang-orang Melayu dan Belanda. Dengan berpengkalan di Selangor maka pengaruh Bugis mula merebak ke Kedah dan Perak.

Menyedari akan keadaan itu, Sultan Sulaiman mengalihkan perhatian kepada pihak Belanda yang sememangnya biasa membuat perjanjian dengan kerajaan Johor. Pada masa yang sama Sultan Sulaiman sendiri terhutang budi dengan orang-orang Bugis yang membantu Baginda mendapatkan semula takhta kesultanan Johor-Riau. Sebagai balasan, gelaran Yang Di Pertuan Muda Riau diberikan kepada keturunan Bugis.

Namun begitu, tindakan Bugis yang sentiasa berusaha meluas pengaruh, menimbulkan rasa cemburu di kalangan orang-orang Melayu termasuklah Sultan Sulaiman sendiri. Oleh yang demikian, Sultan Sulaiman tidak mempunyai pilihan lain, kecuali meminta pertolongan Belanda.

Dengan itu, pada hari ini dalam tahun 1745, Baginda menyerahkan Siak kepada Belanda sebagai memenuhi kehendak Belanda. Dengan perjanjian itu juga, Baginda berjanji untuk mengkaji semula perjanjian yang pernah dibuat dengan Syarikat Hindia Timur Belanda, dengan memberikan keutamaan kepada monopoli bijih timah.


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

12 DISEMBER 1756 PENTADBIRAN LINGGI & REMBAU DIAMBIL ALIH BELANDA


Tuesday, 13 December 2022

12 DISEMBER 1756 PENTADBIRAN LINGGI & REMBAU DIAMBIL ALIH BELANDA

12 Disember 1756 – Dalam tahun 1756, Belanda telah menguasai Linggi dan Rembau. Surat penguasaan Linggi dan Rembau telah ditandatangani oleh Sultan Sulaiman, Tun Dalam dan Temenggong Abdul Majid dengan pihak Belanda di Melaka.

Penguasaan Linggi dan Rembau oleh Belanda adalah hasil tindakan Sultan Sulaiman untuk melemahkan kedudukan orang-orang Bugis yang berpengaruh di daerah tersebut. Sultan Sulaiman menghadapi banyak masalah di dalam hubungannya dengan orang-orang Bugis akibat keputusannya untuk berbaik-baik dengan Belanda. Baginda juga berusaha untuk mendapatkan pengiktirafan terhadap kuasa dan pemerintahan baginda dari Daing Kemboja, Raja Alang di Batu Bara, Raja Tua Kelang dan dari Sultan Salehuddin, Selangor.

Di samping itu Sultan Sulaiman juga boleh mendapatkan kembali alat-alat kebesaran Diraja Johor dari Daing Kemboja. Daing Kemboja enggan menyerahkan alat-alat kebesaran tersebut dan membuat aduan kepada Gabenor Belanda di Melaka bahawa beliau telah difitnahkan oleh Sultan Sulaiman. Daing Kemboja juga melaporkan bahawa kapal-kapal Belanda di Linggi telah diusir keluar.

Gabenor Belanda di Melaka telah memberitahu Daing Kemboja supaya menumpukan taat setianya kepada Sultan Sulaiman. Dalam pada itu orang-orang Bugis telah membakar banyak rumah-rumah di Melaka. Untuk menentang ancaman orang-orang Bugis ini, tentera Belanda telah menyerang Linggi dan mengusir orang-orang Bugis.

Berikutan dengan serangan tentera Belanda itu, orang-orang Bugis bersama sekutunya dari Rembau telah menyerang dan mengusir orang-orang Belanda dari Kelebang di Melaka. Walau bagaimanapun pemerintahan Belanda di Melaka enggan mengalah kepada orang-orang Bugis dan tetap mengakui Sultan Sulaiman sebagai Sultan Johor-Riau yang berkuasa di daerah-daerah jajahannya.

Penentangan orang-orang Bugis terus berlaku dan berlarutan sehingga setahun kemudian barulah Daing Kemboja dan pengikut-pengikutnya di Linggi dan Rembau dapat diusir dan dipecahkan. Sultan Sulaiman merasakan walaupun penentangan orang-orang Bugis dari daerah-daerah tersebut telah dapat dipatahkan tetapi orang-orang Bugis masih mempunyai pengaruh yang besar.

Untuk menjamin keamanan dan untuk melemahkan kedudukan orang-orang Bugis seterusnya, maka pada hari ini Sultan Sulaiman telah bersetuju supaya pentadbiran Linggi dan Rembau diambil alih oleh Belanda.

#hariinidalamsejarah #arkibnegara


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

26 NOVEMBER 1818 PERJANJIAN PERSAHABATAN JOHOR-RIAU DAN BELANDA DI MELAKA


11 DISEMBER 1885 PERJANJIAN PERSAHABATAN KERAJAAN JOHOR DENGAN INGGERIS

11 Disember 1885 – Pada tahun 1885, satu perjanjian persahabatan di antara kerajaan Johor dengan Inggeris telah ditandatangani di Pejabat Tanah Jajahan Inggeris di London. Perjanjian itu dimeterai oleh Maharaja Abu Bakar bagi pihak kerajaan Johor dan Setiausaha Negara bagi Tanah Jajahan, Frederick Arthur Stanley, yang mewakili kerajaan Inggeris.

Dengan termaktubnya perjanjian itu negeri Johor bersetuju menerima seorang pegawai Inggeris yang berjawatan sebagai kaunselor di negeri itu. Apabila Frederick Weld dilantik menjadi Gabenor Negeri-negeri Selat pada tahun 1880, beliau telah berusaha untuk meluaskan dan menguatkan lagi dasar penjajahan Inggeris di negeri-negeri Melayu. Tumpuan perhatiannya adalah ke atas negeri Johor.

Pada tahun 1884, beliau telah mencadangkan kepada kerajaan Inggeris supaya memperbaharui dasar Inggeris ke atas negeri Johor yang merdeka dan menjalankan pemerintahan sendiri. Beliau juga mencadangkan supaya dilantik seorang Residen Inggeris untuk mentadbir negeri itu, seperti yang terdapat di Perak, Selangor dan Negeri Sembilan.

Maharaja Abu Bakar merasa terkejut mendengar cadangan Gabenor Federick Weld itu, lalu baginda membuat keputusan berangkat segera ke England untuk menemui Setiausaha Jajahan British di London. Pada bulan Mei, 1885 Maharaja Abu Bakar dan rombongannya tiba di London. Sepanjang rundingannya dengan kerajaan Inggeris di London, baginda telah dibantu oleh Setiausaha baginda, Datuk Seri Amar Diraja Abdul Rahman yang fasih berbahasa Inggeris dan sungguh faham dengan tipu muslihat penjajah Inggeris.

Rundingan berjalan sehingga enam bulan dan akhirnya pada hari ini dalam tahun 1885, perjanjian persahabatan tersebut telah ditandatangani. Antara lain perjanjian itu menyatakan bahawa Johor tidak akan mencampuri urusan politik dan pentadbiran di negeri-negeri Melayu yang lain dan Inggeris mengakui Maharaja Johor dan keturunan baginda sebagai waris takhta Johor. Dengan termeterainya perjanjian ini, maka terselamatlah Johor dibawah pemerintahan secara Residen.

#hariinidalamsejahrah #arkibnegara

https://www.facebook.com/701547676576843/posts/pfbid0hQViUYhtjk4suYrRAooMQEpGvAcix145h5pcv6xoBikae88WZfiPK7AiGhVWksRMl/?mibextid=Nif5oz

Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

24 OKTOBER 1878 PENGIKTIRAFAN MAHARAJA ABU BAKAR SEBAGAI PEMERINTAH MUAR

https://normanhafizi.blogspot.com/2022/10/24-oktober-1878-pengiktirafan-maharaja.html

Sunday, 11 December 2022

09 DISEMBER 1943 PEMBUKAAN MAJLIS PENASIHAT NEGERI JOHOR

 


Pada hari ini dalam tahun 1943, Majlis Penasihat Negeri Johor telah ditubuhkan. Pembukaan Majlis Penasihat ini merupakan satu usaha pemerintah Jepun untuk memberi peluang kepada penduduk tempatan melibatkan diri dalam pentadbiran negeri. Majlis Penasihat Negeri Johor yang dipengerusikan oleh Gabenor Wilayah negeri Johor ini mengandungi seramai 13 orang ahli iaitu 8 orang Melayu, 3 orang Cina dan 2 orang India. Majlis Penasihat Negeri yang telah ditubuhkan di negeri-negeri di Tanah Melayu pada masa pemerintahan Jepun ini sama dengan Majlis Mesyuarat Negeri semasa pemerintahan British dari segi keanggoataannya.

Ahli Mesyuarat Negeri juga dilantik dari pelbagai kaum dan tiap-tiap anggota dianggap sebagai mewakili kepentingan kaum masing-masing. Anggota yang dilantik biasanya terdiri daripada mereka yang berpengaruh dan terkenal di kalangan kaum masing-masing. Walau bagaimanapun, dari segi fungsi dan kepentingan Majlis Penasihat dalam pentadbiran dan pemerintahan di Johor ternyata majlis ini jauh kurang pentingnya dibandingkan dengan Majlis Mesyuarat Negeri. Majlis Mesyuarat Negeri merupakan sebuah badan yang berkuasa menggubal undang-undang dan undang-undang yang telah diluluskan itu dimasyhurkan atas nama Sultan. Oleh itu peranan Sultan dalam Majlis Mesyuarat juga boleh dikatakan penting.

Sebaliknya Majlis Penasihat yang telah ditubuhkan itu mempunyai peranan semata-mata menasihati pihak berkuasa Jepun sahaja dan tidak lebih dari itu. Walaupun Majlis Penasihat yang ditubuhkan di negeri-negeri Tanah Melayu pada masa pemerintahan Jepun ini dianggap kurang penting dibandingkan dengan Majlis Mesyuarat Negeri di masa pemerintahan British, namun ia merupakan satu usaha pihak berkuasa Jepun untuk mendapatkan pandangan dan buah fikiran dari penduduk tempatan mengenai masalah-masalah yang dihadapi pada masa itu dan juga bagi memahami tentang penduduk tempatan itu sendiri.

#hariinidalamsejarah #arkibnegara


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

26 NOVEMBER 1818 PERJANJIAN PERSAHABATAN JOHOR-RIAU DAN BELANDA DI MELAKA


03 DISEMBER 1892 ISTANA TYERSALL

KESULTANAN JOHOR : SEJARAH RINGKAS ISTANA TYERSALL SINGAPURA

Istana Tyersall di Singapura dibina pada zaman pemerintahan Sultan Sir Abu Bakar, di atas tanah seluas 27.1 hektar yang dibeli pada tahun 1860-an daripada penasihat undang-undang Baginda, William Napier.

Pada 3 Disember 1892, Sultan Sir Abu Bakar telah menjemput dan memberi penghormatan kepada Gabenor Negeri-Negeri Selat ketika itu, Sir Cecil Clementi untuk merasmikan Istana Tyersall.

Dato’ Yahya Awaluddin, seorang Ahli Jumaah Menteri Baginda yang juga seorang arkitek diberi tanggungjawab menyediakan reka bentuk istana itu mengikut citarasa Sultanah Fatimah Binti Abdullah iaitu suri ketiga Sultan Sir Abu Bakar ketika itu.

Ciri utama yang terdapat pada istana ini adalah sebuah menara 70 kaki tinggi di tengah bangunan yang berbumbung genting berwarna merah.

Satu lambang bulan sabit dan bintang sebagai simbol agama Islam menghiasi mercu menara itu. Istana itu dilengkapi dengan 420 pintu, selain mempunyai tangga besar berhiaskan besi waja berkerawang, dewan mengadap, dewan tari-menari, dan dewan santapan yang luas. Pada 14 April 1895, Sultan Sir Abu Bakar mewasiatkan supaya Tyersall dijadikan harta kerajaan Johor setelah kemangkatan Baginda, khas untuk kegunaan waris-waris dan pengganti-pengganti Kesultanan Johor turun temurun.

Istana Tyersall musnah terbakar disebabkan litar pintas elektrik pada 10 September 1905, jam 2.45 pagi.

Pada 2006, Almarhum Sultan Iskandar Ibni Almarhum Sultan Ismail berkenan mengurniakan keseluruhan kawasan Tyersall kepada cucunda Baginda, Raja Muda Johor, Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim ( kini Tunku Mahkota Johor).

Sumber : The Royal Johor

https://www.facebook.com/701547676576843/posts/pfbid02K9cHdZaQKUptLSa36PRxs7wdwsA54K6X5fK7LRYWRQjSNhpvh7CrDRaPMyQmvpTnl/

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Kisah Sejarah Penuh Istana TYERSALL

Singapore, "Tyersall" Residence Sultan Of Johore

Dalam tahun 1860an Maharaja Abu Bakar membeli hartanah seluas 67 ekar di Tanglin Singapura milik penasihat undang-undang Baginda William Napier. Sebuah kediaman “Tyersall” yang dibina di tanah tersebut pada tahun 1854 kemudiannya dijadikan tempat persemayaman suri ketiga Baginda Sultanah Fatimah Binti Abdullah. Setelah merobohkan rumah kediaman tersebut pada tahun 1890 Sultan Abu Bakar bersama Sultanah Fatimah merancang membina sebuah istana mengikut ciri ciri kediaman mewah di Eropah. Dato’ Yahya Awaluddin salah seorang Ahli Jumaah Menteri Baginda yang juga seorang arkitek diberi tanggungjawab menyediakan reka bentuk istana itu mengikut citarasa Sultanah Fatimah.


Sultanah Che' Puan Fatimah Binti Abdullah

Maharaja Abu Bakar bernikah dengan Che’ Puan Fatimah seorang gadis keturunan Cina (nama asal Wong Ah Gew sebelom memeluk agama Islam) anak kepada seorang Kangcu Rengit pada tahun 1885. Che’ Puan Fatimah yang dikurniakan gelaran Maharani Fatimah enggan dimahkotakan bersama Sultan Abu Bakar pada tahun 1886. Walau bagimanapun Sultan Abu Bakar mengurniakan gelaran Sultanah kepadanya dan diukir gelaran serta namanya di beberapa peralatan keemasan untuknya dari perhiasan sehinggakan ke perkakas jamuan.

Istana ini berbentuk empat segi tepat berukuran 210 kaki panjang dan 174 kaki lebar, dengan seni bina Corinthian. Ciri utama yang terdapat pada istana ini adalah sebuah menara 70 kaki tinggi di tengah bangunan yang berbumbung genting berwarna merah. Satu lambang bulan sabit dan bintang sebagai simbol agama Islam menghiasi mercu menara itu. Pemborong binaan Wong Ah Fook dari Johor Bahru dipertanggungjawabkan membina istana tersebut, dan selesai pembinaannya pada tahun 1892, setahun selepas kemangkatan Sultanah Fatimah.


Wong Ah Fook (1900)

Antara ciri menarik bangunan yang mempunyai 420 pintu itu adalah tangga besar berhiaskan besi waja berkerawang, dewan menghadap yang selesa, dewan tari-menari, dan dewan santapan yang luas. Kayu jati digunakan menghiasi pintu dan tingkap. Perabot, langsir yang indah dan permaidani empuk dibeli dari England. Barang-barang perhiasan China, Jepun dan lain-lain yang diperolehi sendiri oleh Sultan Abu Bakar ketika lawatan ke negara asing menghiasi ruang koridor dan bilik-bilik istana.

Sultan Abu Bakar mengekalkan nama asal “Tyersall” dari bahasa Scot bagi istana yang dijadikan kediaman persemayaman rasmi Baginda di Singapura. Baginda menjemput dan memberi penghormatan kepada Gabenor Negeri-negeri Selat Sir Cecil Clementi untuk merasmikan Istana Tyersall pada 3 Disember 1892 disaksikan oleh Sultan Pahang, Sultan Riau, serta pembesar-pembesar Johor dan Singapura.

Istana Tyersall menyaksikan beberapa peristiwa bersejarah di antaranya pada 10 Disember 1892 Sultan Abu Bakar menerima anugerah darjah Imperial Order of the Double Dragon Pangkat Pertama dari Emperor China yang disampaikan oleh Konsul Jeneral China di Singapura. Maharaja China amat menghargai jasa baik Sultan Abu Bakar di atas keprihatinan dan bantuan Baginda membenar dan memberi perlindungan kepada rakyat Negara China yang bermastautin di Johor.

Singapore, Thursday June 6, 1895

Beberapa hari sebelom berangkat kali terakhir ke London pada 18 April 1895, satu majlis yang sederhana diadakan di Istana Tyersall dimana Sultan Abu Bakar telah melantik Tunku Mahkota Tunku Ibrahim sebagai Pemangku Raja disaksikan oleh Jumaah Menteri Baginda. Pada 4 Jun 1895, Pemangku Raja menerima perkhabaran berita kemangkatan Sultan Abu Bakar melalui telegram yang dikirimkan oleh Dato’ Sri Amar Di Raja Dato' Abdul Rahman Andak semasa beradu di Istana Tyersall.

Pada 14 April 1895 Sultan Abu Bakar mewasiatkan supaya Tyersall dijadikan harta kerajaan Johor setelah kemangkatan Baginda, khas untuk kegunaan waris-waris dan pengganti-pengganti Baginda turun temurun. Kerajaan Singapura pada tahun 1990 mengambil balik sebahagian tanah Tyersall untuk tujuan awam dengan bayaran gantirugi sebanyak $25 juta.

Terbit dari satu tuntutan Mahkamah Tinggi Singapura pada tahun 2005 mengesahkan, oleh kerana Tyersall telah di kurnia untuk kegunaan takhta Kerajaan Johor, Almarhum Sultan Iskandar yang pada masa itu Sultan Johor berhak menerima keseluruhan wang pampasan tersebut.


Fire at "Tyersall". Sultan's Palace In Flames

Pada 10 September 1905 jam 2.45 pagi Istana Tyersall musnah terbakar disebabkan litar pintas eletrik. Adalah menjadi satu perkara pelik antara bangunan yang pertama menerima bekalan letrik di Singapura dimusnahkan oleh api yang berpunca dari kerosakan eletrik.

Pada tahun 2006 Sultan Iskandar telah mengurniakan keseluruhan kawasan Tyersall kepada cucuanda Baginda  Raja Muda Johor Tunku Ismail Ibni Tunku Ibrahim (sekarang Tunku Mahkota Johor).

Yang Berhormat Dato’ Abdul Rahim Ramli

Yang Di Pertua

Jumaah Majlis Di Raja Johor

https://www.facebook.com/groups/944196589713691/permalink/987366785396671/ 


Istana Tyersall sekarang dah terbiar di mamah usia

-------------------------------------------------------------------------------------------------

Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

04 JUN 1895 : MAHARAJA ABU BAKAR


Thursday, 8 December 2022

04 DISEMBER 1717 PERISTIWA RAJA KECIL DITABAL SEBAGAI YANG DIPERTUAN JOHOR

04 Disember 1717 – Pada tahun 1717, Raja Kecil meminta bantuan Belanda untuk merampas semula takhta Kerajaan Negeri Johor. Raja kecil seorang Ketua Minangkabau yang menetap di Bengkalis telah menulis surat kepada pihak Belanda di Melaka menyatakan bahawa dirinya adalah anak kepada Sultan Mahmud Shah (Raja Mangkat dijulang).

Bagi membuktikan bahawa baginda adalah waris yang sah dan berhak menaiki takhta Kerajaan Johor, Raja Kecil merancang untuk menyerang Johor. Oleh kerana itu baginda telah menulis surat meminta pihak Belanda di Melaka membantunya. Berita yang disampaikan oleh Raja Kecil itu telah menimbulkan keraguan pihak Belanda.

Ini disebabkan pada ketika Sultan Mahmud Shah mati dibunuh dalam tahun 1699, baginda tidak meninggalkan anak lelaki sebagai waris kerajaan. Oleh kerana itu pihak Belanda enggan membantu Raja Kecil. Tambahan pula pada ketika itu Belanda mengamalkan polisi tidak mahu campurtangan dalam hal-hal berkaitan negeri-negeri Melayu.

Keengganan Belanda membantu Raja Kecil untuk menyerang Johor telah menambahkan lagi keretakkan hubungan antara Belanda di Melaka dengan orang-orang Minangkabau. Sebelum ini pemerintah Belanda di Melaka telah menerima dua pucuk surat dari pemerintah Minangkabau di Pagar Ruyong. Kedua-dua surat itu meminta bantuan pihak Belanda mendapatkan semula barang-barang dan orang-orang Sultan Mahmud Shah yang telah ditawan dan dibawa oleh orang-orang Bugis ke Bengkalis. Sekiranya pihak Belanda enggan memberi bantuan pemerintahan Minangkabau di Pagar Ruyong bersedia untuk memutuskan hubungan dengan pihak Belanda.

Walaupun pihak Belanda enggan membantu orang-orang Minangkabau menyerang Johor, namun rancangan itu masih diteruskan atas alasan untuk membalas dendam kematian Sultan Mahmud Shah. Maka dalam tahun 1718 meletuslah peperangan antara orang-orang Minangkabau dengan Johor. Pada 21 Mac 1718, Raja Kecil menawan Panchor. Raja Kecil melantik sendiri dirinya sebagai Yang Dipertuan Johor dan bergelar Sultan Abdul Jalil Rahmat Shah.

#hariiinidalamsejarah

https://www.facebook.com/701547676576843/posts/pfbid0JW4Ys7uprStmrQPLrbrr4E9oqAaFAsLsKyn9hV9mccHrWWyESvDfbKACRnYQGfpml/?mibextid=Nif5oz

--------------------------------------------------------


Gambar : Sultan dan pembesar Siak Sri Indrapura

Selepas Raja Kechil bergelar Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah berjaya menawan Johor, baginda telah bertunang dengan Tengku Tengah iaitu anak kepada Bendahara Tun Abdul Jalil ( bekas sultan )..

Tetapi apabila Raja Kechil melihat adik Tengku Tengah iaitu Tengku Kamariah lebih cantik maka baginda telah membatalkan pertunangan tersebut dan berkahwin dengan Tengku Kamariah..

Tengku Tengah merasa amat malu lalu berpakat dengan abangnya Raja Sulaiman dan Bugis 5 bersaudara untuk menggulingkan Raja Kechil.. Untuk itu Tengku Tengah berkahwin dengan salah seorang Bugis itu iaitu Daeng Perani.

Seri Cendekiawan 2.0

https://www.facebook.com/701547676576843/posts/pfbid039WYxxytrtDcbJj1ep7L5aZkvGeeu7PLnngKkZiLANAficNaQCeDJ285SCYUJRoTl/?mibextid=Nif5oz

Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

03 SEPTEMBER 1699 BERAKHIRNYA KESULTANAN MELAYU MELAKA DI JOHOR

https://normanhafizi.blogspot.com/2022/09/03-september-1699-berakhirnya.html

Thursday, 1 December 2022

26 NOVEMBER 1818 PERJANJIAN PERSAHABATAN JOHOR-RIAU DAN BELANDA DI MELAKA

 

26 November 1818 – Pada tahun 1818, satu perjanjian persahabatan telah ditandatangani di antara Sultan Johor-Riau-Lingga-Pahang Sultan Abdul Rahman dan Yamtuan Muda Raja Jaafar, dengan Laksamana Wolterback bagi pihak pemerintah Belanda di Melaka.

Perjanjian Persahabatan Johor-Riau-Belanda ini adalah sebagai membaharui perhubungan persahabatan yang telah terjalin di antara kedua-dua kerajaan sebelum Melaka diserahkan kembali oleh Inggeris kepada Belanda. Dengan perjanjian ini juga kerajaan Belanda mengakui bahawa Sultan Abdul Rahman sebagai Sultan bagi kerajaan Johor-Riau-Lingga dan Pahang.

Perjanjian persahabatan ini dibuat setelah Inggeris, melalui wakilnya William Farquhar memberitahu Sultan Abdul Rahman kononnya Belanda akan datang menyerang dan mungkin akan mengambil Riau dan Lingga. Farquhar yang menemui Sultan Abdul Rahman dalam bulan Julai 1818, menyuruh Sultan bersiap sedia dan berjanji bahawa Inggeris akan membantu.

Sultan Abdul Rahman menyerahkan perkara itu kepada Yamtuan Muda Raja Jaafar. Farquhar telah memujuk Raja Jaafar supaya membuat perjanjian dengan Inggeris. Perjanjian itu telah dimeteraikan pada 19 Ogos 1818 dan antara kandungannya ialah menetapkan bahawa hanya Inggeris yang berhak menguasai hasil dagangan dalam daerah kekuasaan Sultan Johor.

Dalam bulan September 1818, Inggeris menyerahkan semula Melaka kepada Belanda. Seorang sahabat lama Yamtuan Muda Raja Jaafar, Adriaen Koek yang tinggal di Melaka mendapat tahu mengenai fitnah Inggeris ke atas Belanda itu. Beliau telah pergi menemui Raja Jaafar dan menafikan khabar angin tersebut. Pemerintah Belanda di Melaka juga telah menolak semua tuntutan Inggeris yang terkandung dalam perjanjian 19 Ogos 1818 itu.

Panglima Laut Belanda, Laksamana Wolterback diiringi oleh Adriaen Koek telah diutus ke Riau. Yamtuan Muda Raja Jaafar telah menyatakan kesalnya kerana menandatangani perjanjian dengan Inggeris itu lalu mencadangkan supaya satu perjanjian baru dibuat antara kerajaan baru dibuat antara kerajaan Riau-Lingga dengan Belanda bagi menjamin keselamatan Riau-Lingga.

Maka pada hari ini dalam tahun 1818, Perjanjian Johor-Riau dan Belanda ini telah ditandatangani sebagai menghapuskan rasa curiga di antara kedua-dua pihak akibat dari fitnah Inggeris.


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

20 NOVEMBER 1745 PEMBINAAN SEMULA KOTA BELANDA DI PULAU PANGKOR



21 SEPTEMBER 1818 PERISTIWA INGGERIS MENYERAHKAN MELAKA KEPADA BELANDA


Friday, 11 November 2022

10 NOVEMBER 1893 PEMBUKAAN BANDAR BATU PAHAT OLEH DATUK BENTARA LUAR

 

10 November 1893 – Pada tahun 1893, Datuk Bentara Luar telah menerima perintah daripada Sultan Abu Bakar untuk membuka bandar Batu Pahat. Datuk Bentara Luar atau nama sebenarnya Muhamad Salim bin Perang merupakan salah seorang elit Johor moden. Beliau mempunyai rekod perkhidmatan yang lama sebagai pegawai kerajaan Johor. Beliau pernah menjadi kerani kepada Sultan Abu Bakar sebelum menjawat jawatan-jawatan yang lebih tinggi seperti Pesuruhjaya Polis dan lain-lain.

Antara projek-projek pembangunan yang telah dibuat termasuklah mendirikan rumah atap bagi bangunan pejabat-pejabat kerajaan seperti pejabat daerah, mahkamah, balai polis, penjara dan rumah sakit. Pembangunan infrastruktur seperti membina pasar, perigi umum dan menambak jalan raya telah juga dilaksanakan.

Tumpuan juga diberikan kepada usaha memajukan bidang pertanian dan beliau turut memberi galakkan kepada penduduk agar menanam kelapa, kopi, sagu dan sebagainya. Beliau juga menggalakkan petani-petani membina parit bagi mengatasi masalah tanah gambut.

Datuk Bentara Luar juga telah memulakan pelajaran Melayu di bandar tersebut. Sesungguhnya, beliau memainkan peranan penting dalam menjadikan Batu Pahat sebagai daerah ketiga terpenting dan terbesar di Johor.


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

MUHAMMAD SALLEH BIN PERANG - Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas



07 NOVEMBER 1964 PENUBUHAN PASUKAN TENTERA WATANIAH WANITA YANG PERTAMA DI JOHOR


Tuesday, 8 November 2022

07 NOVEMBER 1862 DUA BUAH KAPAL PERANG KE TERENGGANU


7 November 1862 Major General Sir William Orfeur Cavenagh mengutus dua buah kapal perang ke Trengganu, susulan kepada tindakan Sultan Mahmud IV Muzaffar Shah (1835 - 7 Oktober 1857) Sultan dari Riau Lingga cuba mendapatkan perlindungan di Trengganu. Sebelum itu Sultan Mahmud Lingga telah di lucutkan takhta dari Kesultanan Riau Lingga berikutan timbul pertelingkahan antara baginda dengan Residen Belanda kerana gagal mencari kesepakatan serta melengah-lengahkan dari meneruskan tradisi “Persetiaan Melayu dan Bugis“ dalam melantik pengganti baru berikutan kemangkatan Raja Ali Raja Ja'afar (1844 – 1857) Yang Di Pertuan Muda Riau.


Sultan Mahmud Lingga memilih berada di Trengganu kerana bondanya Tengku Kalsom Sultan Ahmad I merupakan saudara kandung kepada Sultan “Baginda” Umar. Di samping itu baginda berhasrat mendapat sokongan dan bantuan keluarga sebelah bondanya bagi menuntut kembali takhta Kesultanan Riau Lingga. Namun begitu tindakan baginda tidak mendapat sokongan, lalu beralih arah dengan cuba mendapatkan sokongan daripada Wan Mutahir pada peringkat awalnya kemudian mencuba dengan Wan Ahmad namun kedua-duanya gagal. Akhirnya baginda beralih arah dengan meraih sokongan dan bantuan dari Raja Mongkut di Siam.

Penglibatannya dalam Perang Saudara antara Wan Mutahir dan Wan Ahmad menganggu gugat ketenteraman dan hubungan perdagangan bijih antara Singapura dan Pahang. Dewan Perniagaan Singapura memberi tekanan kepada Sir Orfeur Cavenagh selaku Gabenor Negeri-Negeri Selat di samping timbul keresahan bagi Temenggong Abu Bakar Johor seandai pihak yang menang dalam Perang Saudara di Pahang sedia menerima Sultan Mahmud Lingga sebagai Sultan yang sah. Ini sudah pasti boleh menganggu gugat tampuk pemerintahannya kerana status Sultan Mahmud Lingga seorang Sultan yang “Berdaulat” dan kedudukannya mengatasi Keluarga Bendahara di Pahang atau Temenggong di Johor yang sudah lama dipisahkan akibat dari Perjanjian Inggeris Belanda 1824. Inggeris akhirnya bertindak menghantar 2 buah kapal perang, H.M.S Coquette dan H.M.S Scout ke Pahang serta ke Trengganu bagi menjejak Sultan Mahmud Lingga.

11 November 1862, kedua-dua kapal tiba dan berlabuh di kawasan perairan Kuala Trengganu. Lieutenant Colonel Ronald MacPherson masuk mengadap Sultan Baginda Umar dengan menyampaikan hasrat dan tujuan Inggeris bagi menangkap serta membawanya keluar dari Trengganu kerana telah bertindak campurtangan dalam Perang Saudara di Pahang. Sultan Trengganu di berikan kata dua samada menyerahannya dalam masa 48 jam ataupun Bandar dan Istana di Kuala Trengganu akan di bedil kerana bersubahat melindungi penjenayah.

Sultan Trengganu dengan penuh berhemah menolak permintaan Inggeris dengan alasan baginda tidak berupaya menangkap Sultan Mahmud Lingga kerana di kawal rapi oleh sekumpulan hulubalang yang gagah perkasa. 16 Julai 1862 Inggeris mengutus nota bantahan kepada Kerajaan Siam berikutan tindakan Sultan Mahmud Lingga mencampuri urusan di Pahang dan bercita-cita ingin merampas takhta Trengganu. Raja Mongkut diberikan kata dua samada menghantar delegasi serta membawa keluar Sultan Mahmud Lingga ke Bangkok ataupun bersedia beliau ditangkap serta di penjarakan. Ini kerana tindakannya berhubung dan cuba mendapatkan sokongan Kerajaan Siam sampai ke pengetahuan Inggeris di Singapura.

Apabila cukup tempoh masa yang diberikan, namun masih tiada kelibat Sultan Mahmud Lingga yang sudi menyerah diri, Kapal-kapal Perang Inggeris mula melepaskan tembakan meriam ke dalam bandar dan kota istana di Kuala Trengganu. Selang beberapa jam tembakan meriam dihentikan, namun tembakan di teruskan pada malam hari serta di sambung hingga keesokan paginya. Pihak Inggeris menghentikan bedilan dan kapal-kapalnya bertolak balik ke Singapura. Sultan Baginda Umar menghantar nota bantahan kepada Inggeris kerana membedil Kuala Trengganu serta menuntut ganti rugi susulan dari kemusnahan dan kerosakan yang di alami.


Akhirnya Rombongan Raja Mongkut tiba dan membawa Sultan Mahmud Lingga berangkat ke Bangkok bagi mendapatkan perlindungan dan Suaka Politik dari Kerajaan Siam. 1861 Raja Mongkut berkenaan dengan permintaannya dengan syarat dibenarkan memperisterikan Tengku Sufiyah iaitu saudara kandungnya. 

1864 Sultan Mahmud Lingga mangkat di Pahang.

Rujukan :
  1. Mahmud, Sultan of Riau and Lingga (1823-1864).Virginia Matheson. Indonesia.No. 13 (Apr., 1972), pp. 119-146
  2. Foto Lieutenant Colonel Ronald MacPherson - Cathedral Singapore Website.
  3. Foto Seamen of the HMS Coquette -1855 -Twitters Anna Maria Barry.
  4. Baginda Omar “The Conqueror”.Dato Haji Mubin Sheppard. Persatuan Sejarah Malaysia. MIH_1968_Oct_7.
  5. A Short History of Trengganu. M. C. ff Sheppard. JMBRAS, Vol. 22, No. 3 (149) (June 1949), pp. 1-74
  6. Forum - worldnavalships Website.
  7. Foto H.M.S Scout - City of Vancouver Archives
  8. Ganupedia.
Sumber : Kesultanan Terengganu Islamiah Melayuwiah

Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

MEMPERINGATI PERPECAHAN KEPULAUAN MELAYU

17 MAC 1824 - PERJANJIAN INGGERIS-BELANDA

07 NOVEMBER 1964 PENUBUHAN PASUKAN TENTERA WATANIAH WANITA YANG PERTAMA DI JOHOR

Pada hari ini dalam tahun 1964, seramai 49 orang wanita yang diketuai oleh Ahli Parlimen kawasan Johor Bahru, Datin Fatimah binti Abdul Majid menubuhkan Pasukan Tentera Wataniah Wanita yang pertama di negeri Johor. Pasukan ini dibahagikan kepada dua platun dan menerima latihan tentera di Kem Majidee, Kota Tinggi, Johor.

Antara tokoh wanita yang turut menganggotai pasukan ini ialah Hajah Zainun binti Sulaiman serta pemimpin wanita tempatan yang telah memberi semangat kepada wanita-wanita lain untuk sama-sama menyertai pasukan Tentera Wataniah Wanita di Johor. Pasukan Tentera Wataniah merupakan badan sukarela yang bertindak sebagai Angkatan Simpanan Tentera Darat Malaysia dan merupakan benteng kedua dalam mempertahankan negara.

Penubuhan Pasukan Tentera Wataniah Wanita yang pertama di Johor ini telah mengorak langkah kepada penubuhan lebih banyak pasukan Tentera Wataniah Wanita di negara ini.

https://www.facebook.com/701547676576843/posts/pfbid0gFCk681C5mR4FKn89J4aRWRwKcV5GWLqMYczhUZgoHsrhyrFZrMSFCqEEUqPDHb1l/

Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

Kalau tak merasa, jangan pernah berani mengata...

https://normanhafizi.blogspot.com/2014/05/berat-mata-memandang-berat-lg-bahu.html

Friday, 4 November 2022

04 NOVEMBER 2006 PELANCARAN PELAN PEMBANGUNAN WILAYAH PEMBANGUNAN ISKANDAR

 

Pada hari ini dalam tahun 2006, DYMM Sultan Johor, Sultan Iskandar Ibni Al-Marhum Sultan Ismail Al-Haj telah melancarkan pelan pembangunan Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI) di Teluk Danga, Johor. Pelan ini merupakan pelan pembangunan terbesar dalam sejarah negara yang melibatkan pertumbuhan kawasan seluas 2,217 kilometer persegi. Dengan tempoh pembangunan sehingga tahun 2025, wilayah ini dijangka memerlukan kos lebih RM47 bilion bagi penjanaan pertumbuhan ekonomi sebanyak lapan peratus dalam tempoh lima tahun yang pertama.

Sebanyak RM4.3 bilion telah diperuntukkan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) sebagai bukti komitmen kerajaan ke atas pelan pembangunan ini. Kewujudan wilayah ini juga, diyakini mampu menarik firma besar bertaraf antarabangsa untuk menjalankan perniagaan dan dijangka akan dapat menarik pelaburan awal bernilai RM10 bilion. Pelan pembangunan ini merangkumi lokasi segi tiga di antara Lapangan Terbang Senai di utara, Pelabuhan Tanjung Pelepas di barat daya dan Pelabuhan Pasir Gudang di tenggara.


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

22 OKTOBER 1955 PENUBUHAN PERSEKUTUAN KEBANGSAAN MELAYU JOHOR


Sunday, 30 October 2022

29 OKTOBER 1874 PERISTIWA BELANDA MENYERANG RIAU

 

29 Oktober 1784 – Pada tahun 1784, Belanda menyerang Riau Ibu Negeri Kerajaan Johor-Riau-Lingga-Pahang yang diperintah oleh Sultan Mahmud Shah III. Serangan dilakukan kerana Sultan Mahmud Shah III telah bekerjasama dengan orang-orang Bugis iaitu musuh Belanda. Belanda telah memberi amaran kepada orang Bugis supaya meninggalkan Riau dan memansuhkan jawatan Yam Tuan Muda. Tetapi pengaruh Bugis telah meluas di dalam pemerintahan Kerajaan Johor dan Sultan enggan mengikut kehendak Belanda.

Permusuhan di antara Bugis dan Belanda bermula sejak raja-raja Bugis menguasai kepulauan Melayu dan jalan perdagangan. Belanda berhasrat menguasai sepenuhnya perdagangan Melaka dan kepulauan Melayu. Raja Haji yang menjadi Yam Tuan Muda Johor pada tahun 1777, telah berkali-kali menyerang Belanda di Melaka dalam tahun 1783 dan 1784. Pada bulan Feb 1784, Raja Haji telah menyerang dan mengepung Melaka selama 4 bulan. Belanda hampir menyerah kalah tetapi malangnya Raja Haji telah terkorban pada 18 Jun 1784.

Belanda kemudiannya telah menyerang Riau pada hari ini dalam tahun 1784. Pada 30 Oktober 1784, Yam Tuan Raja Ali terpaksa melarikan diri ke Sukadan di Kalimatan. Akhirnya pada 1 November 1784, Sultan Mahmud dan pembesar-pembesar Melayu serta pedagang asing di Riau terpaksa menyerah kalah kepada Belanda. Baginda telah mengutus Raja Tua Encik Andak, Bendahara Abdul Majid, Temenggung dan Raja Indera Bongsu berjumpa Admiral Jacob Pieter Van Braam Ketua angkatan perang Belanda untuk menandatangani surat pengakuan.

Di antara lain isinya menyebutkan bahawa :-
  1. Semua kubu-kubu di Riau dan peluru-peluru diserahkan kepada Belanda.
  2. Sultan Mahmud III dibenarkan terus memerintah menduduki takhtanya.
  3. Orang-orang Melayu dibenarkan tinggal dan memiliki harta mereka d Riau.
  4. Pedagangan asing yang telah membantu Bugis juga dibenarkan memiliki harta mereka di Riau tetapi dikenakan denda ganti rugi sebanyak $20,000.
  5. Sultan dikenakan membayar ganti rugi peperangan yang dilancarkan oleh Raja Haji dan orang-orang Bugis terhadap Belanda. Hal ini akan dinyatakan di dalam satu perjanjian yang akan ditandatangani pada 11 Nov, 1784.
Pada hari ini dalam tahun 1784, Belanda telah berjaya mengalahkan Johor dan mengusir orang-orang pengaruh Yam Tuan Muda. Meskipun begitu Sultan dibenarkan terus berkuasa dan memerintah kerajaan dan mengadakan perhubungan persahabatan dengan Belanda.


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

RAJA HAJI FISABILILLAH



25 JULAI 1746


Perjanjian Di Antara Kerajaan Perak Dengan Syarikat Hindia Timur Belanda Untuk Tujuan Ekonomi Bagi Pelombongan Bijih Timah Dan Juga Menghadapi Ancaman Daripada Orang-orang Bugis 



Thursday, 27 October 2022

27 OKTOBER 1949 SKIM PENEMPATAN TERANCANG PERTAMA DI MALAYA

27 Oktober 1949 – Pada tahun 1949, Skim Penempatan Terancang yang pertama di Malaya menerima kumpulan pertama setinggan. Ianya terletak di Mawai, Kota Tinggi, Johor. Skim Penempatan Terancang itu diwujudkan untuk menempatkan kaum Cina berikutan keputusan Kerajaan mengisytiharkan Darurat di Malaya.

Kerajaan menyedari anasir-anasir Komunis berjaya mempengaruhi sebilangan besar orang-orang Cina menyertai perjuangan mereka. Atas kesedaran dan daya usaha Parti Malayan Chinese Association (M.C.A) satu kawasan tanah pertanian seluas tiga ekar telah berjaya diperolehi daripada Kerajaan Negeri Johor dan belanja membuka kawasan ini dibiayai sepenuhnya oleh M.C.A. sendiri. Ia dibuka dengan kos sebanyak RM422,000 dan berkemampuan menampung seramai 2000 keluarga.

Sesungguhnya Skim Penempatan Terancang yang pertama di Malaya yang di buka di Mawai, Kota Tinggi, Johor pada hari ini dalam tahun 1949 bukan sahaja menjadi perintis kepada negeri-negeri lain untuk membuka kawasan penempatan masing-masing tetapi juga suatu langkah bijak untuk mengurangkan ancaman pengganas komunis.

#hariinidalamsejarah


Pautan artikel menarik yang berkiatan :-

15 OKTOBER 1948 SISTEM PENDAFTARAN PENDUDUK BAGI PERSEKUTUAN TANAH MELAYU


Tuesday, 25 October 2022

24 OKTOBER 1878 PENGIKTIRAFAN MAHARAJA ABU BAKAR SEBAGAI PEMERINTAH MUAR

 

24 Oktober 1878 – Pada tahun 1878, Maharaja Abu Bakar diiktiraf sebagai Pemerintah Muar oleh Kerajaan Inggeris. Pengiktirafan ini dibuat berikutan dengan kemangkatan Yang Dipertuan Muar, Sultan Ali Iskandar pada 20 Jun 1877. Muar pada mulanya adalah sebahagian daripada negeri Johor tetapi hasil daripada perjanjian antara kerajaan Johor dengan Inggeris pada 10 Mac 1855, Muar telah dijadikan sebuah negeri yang berasingan.

Sultan Ali Iskandar telah dilantik menjadi Yang Dipertuannya yang pertama. Sebelum Sultan Ali mangkat, baginda telah meninggalkan wasiat supaya putera baginda, Tengku Mahmud menggantikan baginda. Wasiat ini telah ditentang oleh Tengku Alam yang merasakan lebih berhak kerana ia lebih tua dari Tengku Mahmud.

Sengketa perebutan takhta ini kian meruncing apabila Pemangku Gabenor Negeri-negeri Selat, Gabenor Anson pada 26 November 1877, meletakkan Maharaja Abu Bakar sebagai pemerintah Muar. Tindakan ini diambil kerana memenuhi permintaan penghulu dan ketua-ketua tempatan Muar. Tindakan Anson ini dibantah oleh Tengku Alam. Bantahan tersebut tidak diendahkan oleh Anson dan beliau terus mengiktiraf Maharaja Abu Bakar sebagai pemerintah Muar pada hari ini dalam tahun 1878.

#ArkibNegara


-------------------------------------------------


Temenggung Abu Bakar telah mengadap Yam Tuan Muda di Riau dengan tujuan supaya baginda diangkat menjadi Raja di Johor selepas Johor tidak bertuan. Johor tidak bertuan selepas Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah II dan Yam Tuan Muda Raja Abdullah  telah menandatangani perjanjian dengan Belanda pada tahun 1857 yang mana perjanjian ini telah mengesahkan perjanjian Inggeris Belanda 1824..

Yam Tuan Muda Riau setuju untuk merajakan Temenggung dengan syarat beliau sendiri akan ke Johor dan yang keduanya Temenggung Abu Bakar tidak boleh memakai gelaran Sultan mahupun Yang Dipertuan... Jadi sebab itulah baginda menggunakan gelaran Maharaja Abu Bakar..

Jadi bila mula guna gelaran Sultan Johor??  Segalanya bermula apabila baginda ke London dan satu perjanjian persahabatan Johor- British telah ditandatangani pada tahun 1885.. 

British telah mengiktiraf baginda sebagai pemerintah Johor yang sah dan berdaulat sekaligus membenarkan baginda memakai gelaran Sultan..

Mengenai doa pula sebagaimana doa di hari jumaat yang menyebut "Sultan bagi negeri dan jajahan Johor" pula telah digariskan oleh British.. British suruh guna ayat tersebut dan tidak mahu guna ayat "Sultan Johor" secara langsung kerana itu akan bermaksud Sultan Abu Bakar akan mewakili seluruh kawasan wilayah Kesultanan Johor Lama iaitu Johor dan juga Pahang. Dalam erti kata lain Sultan Abu bakar merupakan penguasa Johor dan Pahang kerana kedua-dua wilayah ini merupakan Bekas Wilayah Kesultanan Johor Lama.

Berkenaan Jajahan Johor pula merujuk kepada Muar kerana baginda mendapat daerah tersebut melalui Perang Jementah.. Sedangkan Johor diperolehi selepas Perjanjian Temenggung dengan Sultan Ali Iskandar (anak Sultan Hussin) pada tahun 1855.


Pautan artikel menarik yang berkaitan :-

29 JULAI 1886 MAHARAJA ABU BAKAR SEBAGAI BAPA JOHOR MODEN


Sunday, 23 October 2022

22 OKTOBER 1955 PENUBUHAN PERSEKUTUAN KEBANGSAAN MELAYU JOHOR

Pada hari ini 22.10.1955, Persekutuan Kebangsaan Melayu Johor telah ditubuhkan. Tujuan penubuhan ini ialah untuk memisahkan Johor dari Persekutuan Tanah Melayu dan mengembalikan tarafnya sebagai negeri yang 'merdeka' di bawah naungan British. Gerakan untuk keluar dari Persekutuan di Negeri Johor bermula dari satu perdebatan mengenai belanjawan di Majlis Negeri Johor pada akhir tahun 1954. Yap Kim Hock, seorang anggota Majlis Negeri Johor menyatakan bahawa negeri Johor haruslah menimbangkan untuk keluar dari Persekutuan Tanah Melayu melainkan ia diberi bahagian yang lebih saksama dari tabung kewangan Persekutuan.

Penubuhan Persatuan Kebangsaan Melayu Johor ini yang dipimpin oleh Ungku Abdullah bin Omar telah mendapat tentangan dari Perikatan UMNO - MCA - MIC. Ketua Menteri, Tunku Abdul Rahman dalam tentangannya terhadap gerakan serupa itu menegaskan bahawa Perikatan UMNO - MCA - MIC tidak akan bertolak ansur dengan sebarang pihak yang cuba untuk berpisah dari Persekutuan. Perikatan melihat tindakan pertubuhan ini akan mengganggu proses ke arah menuntut kemerdekaan serta boleh menggugat kestabilan politik Persekutuan. Perjuangan Perikatan ini mendapat sokongan padu dari Majlis Raja-Raja yang bersidang pada 21 Disember 1955, dengan syarat kedudukan Raja-Raja Melayu sebagai Pemerintah Berperlembagaan hendaklah dikekalkan.

Menjelang Kemerdekaan, Ungku Abdullah, selaku Setiausaha Agung PKMJ berusaha untuk menggagalkan rancangan kemerdekaan tetapi menemui kegagalan dan bermula dari situ pertubuhan ini tidak lagi mendapat sambutan yang baik dari rakyat Tanah Melayu.

#hariinidalamsejarah


Pautan artikel lain yang berkaitan :-

19 OKTOBER 1927 PERJANJIAN SEMPADAN PERAIRAN JOHOR DENGAN SINGAPURA


Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...