Kesan Perjanjian Inggeris-Belanda Masih Lagi Terkesan Di Bumi Pentas Sunda Sehingga Ke Hari Ini
MEMPERINGATI PERPECAHAN KEPULAUAN MELAYU (17 Mac 1824)
Genaplah 192 tahun berlakunya peristiwa perjanjian yang ditandatangani di antara dua kuasa besar nun jauh di kota London sana, namun perjanjian itu memberi kesan yang amat besar kepada penduduk peribumi di sebuah kepulauan besar di Timur Jauh dan kesannya sejak dari nenek moyang masih lagi dirasai sehinggalah kepada anak cucu mereka walau pada zaman teknologi kini.
Perjanjian ini ditandatangani di antara Hendrik Fagel dan Anton Reihard Flack mewakili kerajaan Belanda dengan George Canning dan Charles Watkin Williams Wylkin mewakili kerajaan British. Perjanjian ini ditandatangani untuk menyelesaikan konflik di antara dua pihak berhubung dengan tindakan British membina pengaruhnya di Singapura, salah sebuah wilayah dalam Empayar Johor-Riau-Lingga ketika itu yang semakin melemah akibat perebutan takhta di antara kerabat diraja dan campur tangan dua kuasa besar Barat (siapa lagi kalau bukan British dan Belanda) yang berusaha mencari pangkalan strategik untuk meluaskan pengaruh mereka di Timur Jauh itu.
Belanda mendakwa tindakan British membuka pangkalan di Singapura sebagai tidak sah dan menganggap bahawa Singapura di bawah pengaruh mereka. Empayar Johor Riau Lingga juga ketika itu mempunyai dua sultan dalam kerajaannya iatu Sultan Hussein (bersemayam di Singapura) dan Sultan Abdul Rahman (bersemayam di Lingga).
Perbincangan dilakukan di antara dua pihak sejak tahun 1820 lagi untuk menyelesaikan konflik Singapura itu. Setelah berbuat perbincangan sekian lama, akhirnya kedua-dua pihak bersetuju membuat perjanjian untuk membahagikan kepulauan Melayu amnya dan wilayah Empayar Johor-Riau Lingga khasnya kepada dua bahagian. Dalam perjanjian ini ;
- Kekuasaan British diakui dan diiktiraf di wilayah Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura.
- Kekuasaan Belanda diakui dan diiktiraf di wilayah selatan Singapura seperti Kepulauan Riau Lingga dan juga di Sumatera (termasuklah wilayah Kepulauan Natuna)
- British akan menyerahkan pangkalannya di Bengkulu (Bencoolen) kepada Belanda dan berjanji tidak akan membina mana-mana pangkalan di Sumatera atau membuat apa-apa perjanjian dengan para pemerintahnya.
- Belanda akan menyerahkan pangkalannya di Melaka kepada British dan tidak akan meluaskan pengaruhnya atau membina pangkalannya di Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura.
Perjanjian ini ditandatangani oleh pihak penjajah bagi memudahkan mereka memperluaskan pengaruh dan kuasa mereka di Alam Nusantara. Mudah sekali percaturan mereka untuk membahagikan tanah kita sesuka hati seolah-olah tanah ini milik mereka.
Hasil perjanjian ini telah berjaya memecah-belahkan Empayar Kesultanan Johor-Riau-Lingga. Alam Kepulauan Melayu juga telah terbahagi kepada dua kawasan yang diatur oleh kuasa asing. Tanah Melayu dan Singapura pula di bawah pengaruh British. Manakala kepulauan Lingga, Riau, Sumatera dan lain-lain kepulauan selatan Singapura dibawah cengkaman Belanda. Hal ini telah memudahkan urusan penjajahan dan pentadbiran bagi kedua-dua belah pihak kuasa asing.
Tamadun Melayu dirosakkan dengan membelah wilayahnya di bahagian yang paling "prosperous".
- Segenting Kra & Utara Semenanjung
- Selat Melaka
- Kepulauan Siantan
- Kepulauan Riau Lingga
Pemecahan ini menyebabkan pertikaian politik dan penyerakkan fokus perdagangan antarabangsa dan entreportism yang menjadi teras kegagahan Alam Melayu kepada sekurang-kurangnya 3 entiti :
- Malaysia,
- Indonesia dan
- Singapura
Sehingga kini, kesan perjanjian ini meninggalkan kesan yang sangat berbekas dalam sanubari orang Melayu di ketiga-tiga buah negara sehingga kini. Banyak di antara kita yang mempunyai sanak saudara jauh yang masih terdapat di Singapura dan pulau Sumatera misalnya.
Pada masa inilah juga Pulau Natuna yang begitu dekat dengan orang Melayu Sarawak juga terpisah. Sehingga sekarang masih ramai lagi orang Melayu di Sarawak yang mempunyai saudara mara di kepulauan ini. Ini merupakan antara kesan Perjanjian British Belanda yang masih dirasai oleh kita sehingga sekarang.
Sesungguhnya tanpa antara satu sama lain entiti-entiti tersebut tidak mampu untuk bangkit sebagai kuasa besar dunia meskipun rantau mereka begitu luas, makmur dan berpopulasi tinggi.
Kekayaan hasil bumi Indonesia tidak akan menjadi satu impak ketamadunan apabila tidak hadir elemen penting yang terdapat di Singapura yakni pelabuhan bertaraf antarabangsa dan di Malaysia-Brunei (Berunai) di mana elemen kemelayuan dan kerajaannya yang merupakan "core society and culture" (teras kemasyarakatan dan kebudayaan) rantau Asia Tenggara.
Meskipun hakikatnya Alam Melayu secara politik tidak pernah bersatu sebelum penubuhan negara bangsa ala-Barat tetapi sistem talasokrasi yang wujud pasca Srivijaya masih kekal dipraktikkan sehingga ratusan kerajaan kecil Alam Melayu menjadi ibarat satu jua dan memerlukan antara satu sama lain. Bentuk budaya antarabangsa yang poros tersebut berubah terus apabila tiba-tiba dicipta tembok-tembok ghaib sempadan negara bangsa.
Bangsa rumpun Melayu yang dulunya ibarat tinggal di dalam ratusan bilik berbeza di dalam sebuah rumah induk akhirnya menjadi tiga buah rumah yang sendat lagi berjauhan antara satu sama lain.
Selamat menyambut tarikh 17 Mac para pembaca sekalian :)
-RAD,TMII dan HB-
Kredit gambar : Fitrie Fudzi
Sumber : The Patriot
https://www.facebook.com/groups/539960930554145/permalink/597074414842796/
------------------------------------
17 Mac 1824 – Pada tahun 1824, satu perjanjian ditandatangani di antara pihak Inggeris dengan Belanda. Perjanjian yang lebih dikenali sebagai Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 ini meliputi pembahagian tanah- tanah jajahan dan pusat-pusat perniagaan.
Mengenai tanah jajahan, pihak Belanda menyerahkan Melaka serta jajahan takluknya kepada Inggeris. la mengaku tidak akan membuka sebarang tempat di Semenanjung Tanah Melayu ataupun menandatangani sebarang perjanjian dengan mana-mana raja, pembesar ataupun sebarang negeri di Tanah Melayu dan memansuhkan segala tuntutan ke atas Semenanjung Tanah Melayu.
Pihak Belanda juga mengesahkan pendudukan Inggeris di Singapura dan menarik semula semua bantahan mengenainya. Belanda juga dikehendaki menyerahkan kilang-kilangnya di India dan menarik semula semua tuntutannya mengenai kemudahan dan pengecualian.
Pihak Inggeris pula berundur dari Sumatera dan menyerahkan Bangkahulu serta segala hak miliknya di Sumatera kepada Belanda sebagai pertukaran dengan Melaka, dan tidak akan membuat sebarang perjanjian dengan mana-mana pemerintah atau pembesar atau membuka penempatan di Sumatera. Pihak Inggeris juga tidak dibenarkan membuka sebarang penempatan atau membuat perjanjian dengan mana-mana pihak di Kepulauan Karimun, Semenanjung Riau-Lingga dan mana-mana pulau di Selatan Selat Singapura.
Kedua-dua kuasa mengaku tidak akan membuka sebarang tempat baharu tanpa pengetahuan pihak yang lain dan jika mana-mana pihak hendak berundur daripada salah satu kawasannya, pihak itu hendaklah memberi peluang kepada pihak yang lagi satu memilikinya.
Mengenai perniagaan pula pihak Belanda diberi hak monopoli di Kepulauan Rempah tetapi tidak sama sekali di Semenanjung Tanah Melayu; perjanjian-perjanjian monopoli tidak boleh dibuat dengan mana-mana pihak. Kedua-dua pihak bersetuju untuk memberi “layanan negara istimewa” (most favoured nation treatment) di Ceylon, India dan Semenanjung Tanah Melayu.
Pihak Belanda hendaklah menamatkan perjanjian monopoli bijih timah dengan Perak dan Selangor. Pedagang-pedagang tempatan hendaklah dibenarkan berdagang di pelabuhan-pelabuhan kedua-dua pihak dan juga pelabuhan-pelabuhan tempatan. Kedua-dua pihak juga hendaklah sama-sama membasmi kegiatan-kegiatan lanun.
Hasil daripada Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 ini seluruh kawasan Nusantara telah dikuasai sepenuhnya oleh kedua-dua kuasa itu dan dibahagikan kepada kawasan pengaruh masing-masing. Kedua-dua pihak menentukan Selat Singapura sebagai sempadan kawasan pengaruh mereka Kawasan sebelah utara Selat Singapura diletakkan di bawah pengaruh Inggeris manakala sebelah selatannya pula di bawah pengaruh Belanda.
Kawasan yang banyak terlibat ialah tanah jajahan Johor di mana ia dengan sewenang-wenangnya telah dibahagikan sama ada kepada Belanda atau Inggeris. Dalam hal ini Pemerintah Johor tidak ada suara terhadap satu-satu keputusan yang dibuat mengenai negerinya.
Akibat dari Perjanjian Inggeris-Belanda 1824 ini, Inggeris telah dapat menguasai satu pusat perniagaan bebas yang makmur di tengah-tengah kawasan yang dulunya begitu lama dikuasai Belanda. Dengan menguasai Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura itu maka jalan perniagaan Timur-Barat terbuka seluas-luasnya kepada pihak Inggeris.
#hariinidalamsejarah #arkibnegara
Sudah tiba masanya untuk Bangsa Melayu bersatu dengan sokongan diberikan kepada pewaris Kedaulatan Kesultanan Riau Lingga Pahang untuk membuat tuntutan gantirugi terhadap British & Belanda.
ReplyDeletePerjanjian yang dometerai diantara British & Belanda adalah TIDAK SAH disisi undang2 antarabangsa kerana Kesultanan Melayu bukan salah seorang dari yang menandatanggani perjanjian tersebut.
Saya setuju dengan pendapat tuan ini. Sekarang ini pun kita dah nampak kebersamaan antara negara kita (Malaysia) dengan negara jiran kita dari Indonesia. Mereka pun sedang membina ibunegara yang baru dengan nama Nusantara. In Shaa Allah, tak lama lagi kita usahakan pula dengan penggunaan Bahasa Melayu / Indonesia sebagai bahasa utama untuk rantau di Asia Tenggara. Aamiin.
Delete