Arkib : 2 Julai 2021 Sebuah Pendedahan Rahsia Daripada Ilmuan Islam
Sebuah Tugu Peringatan Ibn Khaldun
IBN KHALDUN DAN KEBANGKITAN RAKYAT
Himan Fikri Azman
Kebangkitan rakyat dalam menolak penguasa bukanlah fenomena baru dalam sejarah Islam. Sedari kurun pertama Hijrah lagi penolakan telah dizahirkan oleh kelompok Khawarij yang mengingkari rundingan Tahkim Ali bersama Muawiyah. Disusuli setelah itu dengan beberapa siri kebangkitan, yang sebahagiannya menumbangkan dinasti-dinasti besar seperti Khilafah Umayyah dan ‘Abbasiyyah.
Tulisan ringkas ini menyingkap beberapa intipati utama dalam karya agung filasuf sejarah pada abad ke-14 bernama ‘Abd al-Rahman Ibn Khaldun berjudul “al-Muqaddimah.” Tidak begitu ramai ulama pada hari ini yang mencermati al-Muqaddimah dalam menafsirkan fenomena kebangkitan rakyat, barangkali kerana dianggap tidak setaraf dengan karya sejarawan terkemuka seperti al-Tabari, al-Mas’udi dan al-Ya’qubi yang cenderung kepada metodologi sanad. Ini yang diperhatikan oleh Syed Farid Alatas.
Namun karya ini mendapat tempat dalam kalangan sejarawan Barat yang tidak terpasung dalam kerangka Eurosentisme dan Orientalisme. Karya ini misalannya telah membuka mata Ortega y Gasset, pemikir dari Sepanyol terhadap tahap keilmuan di Afrika Utara pada zaman itu, yang beliau paparkan dalam makalahnya yang berjudul “Abenjaldún nos revela el secreto: pensamientos sobre Africa Menor” (Pendedahan Rahsia oleh Ibn Khaldun kepada Kita: Catatan mengenai Afrika Utara).
Tidak ketinggalan para pemikir dan sejarawan seperti Alfred von Kremer, Robert Flint, Ludwig Gumplowicz, René Maunier, Franz Oppenheimer dan Howard Becker yang turut menyanjung tinggi al-Muqaddimah. Ortega bahkan memuji Ibn Khaldun kerana menjadi penulis pertama yang membicarakan mengenai falsafah sejarah dan bidang sosiologi.
Sudah tentu karya utama Ibn Khaldun ini sarat dengan pelbagai mauduk, namun yang ingin dikupas dalam ruang yang terbatas ini adalah tentang teori kebangkitannya, atau islah, yang berpangkal pada konsep taghyir al-munkar, yakni semangat untuk merubah kemungkaran dan kebobrokan.
Sejarah membuktikan, apabila mula sahaja keselesaan menyelubungi kaum elit penguasa, bererti mereka sudah terpesong dari tujuan sebenar sebuah pemerintahan. Keghairahan menumpuk harta berbanding meringankan beban rakyat, dan lalai serta berfoya-foya ketimbang tumpu usaha merungkai kemelut kesihatan dan ekonomi – amaran Ibn Khaldun ini amat wajar diambil iktibar.
Kemungkaran ini justeru akan mengundang rasa kecewa rakyat yang miskin dan susah pada awalnya, sebelum ia bertukar menjadi kemarahan rakyat keseluruhannya atas dasar empati. Amarah yang tidak terbendung ini kemudiannya akan menyatu menjadi suatu suara raksasa, mendesak agar kebobrokan pemimpin ini segera ditamatkan. Jika terus ditekan, rakyat sudah hampir pasti akan bangkit dan menghumban para penguasa keluar dari mahligai mereka.
Desakan rakyat ini sememangnya bukan sekadar ikut-ikutan, tetapi ada asasnya yang terbit dari hati nurani yang mahukan keadilan. Tatkala rakyat menderita kerana kelemahan dan ketidakcekapan pengurusan, para penguasa pula bermaharajalela dengan kesenangan, hampir tidak menghiraukan rintihan dan nasihat yang diberikan. Singgung Ibn Khaldun lagi, para penguasa juga lunak dan bermudah-mudah dengan undang-undang. Tatkala rakyat di bawah dihukum semahunya, undang-undang tidak berani menyentuh jubah penguasa.
Pertembungan ini, yang diungkapkan Ibn Khaldun sebagai antara al-‘umrān al-badawī (kelompok miskin yang mewakili rakyat) dan al-‘umrān al-ḥaḍarī (kelompok penguasa yang senang dan selesa) dalam hubungan dialektik kemasyarakatan, telah melahirkan negara dan peradaban. Andaikan perubahan pimpinan telah dilakukan, tegas Ibn Khaldun, kebobrokan yang sama akan menjengah kembali, jika budaya yang sama diteruskan, dan tiada kesedaran serta islah diikhtiar dari dalam untuk menamatkannya.
Maka al-‘umrān al-badawī yang asalnya menderita akan menjelma sebagai al-‘umrān al-ḥaḍarī yang angkuh, sebelum ditumbangkan semula oleh gerakan islah baru yang bencikan kebobrokan dan kezaliman.
Pautan artikel lain yang berkaitan :-
Zaman Kegemilangan Andalusia
https://normanhafizi.blogspot.com/2022/02/zaman-kegemilangan-andalusia.html
No comments:
Post a Comment