Perkhidmatan Kapal Terbang Labu Kubong, Chenderong Balai ke Ipoh 1953
Pada 1953, kerajaan Malaya melalui agensi RIDA (Rural And Industrial Development Authority) telah memperkenalkan satu skim baru iaitu untuk menyediakan perkhidmatan pengangkutan udara bagi Kampung Labu Kubong ke Ipoh. Idea yang datang dari Pegawai Pembangunan RIDA bagi Negeri Perak iaitu Mr. E. K. Fish adalah bertujuan untuk memudahkan para petani yang menanam sayur di Labu Kubong menjual hasil tanaman mereka di Ipoh dalam keadaan yang masih segar.
Perkhidmatan ini telah bermula pada hari Isnin 7 Disember 1953 dengan penerbangan pertama dari Ipoh berlepas pada jam 10.10 pagi dan tiba di Kampung Labu Kubong pada jam 10.50 pagi. Pada peringkat percubaan, para penumpang dikenakan tambang sebanyak $5.00 untuk perjalanan dari Labu Kubong ke Ipoh. Perkhidmatan ini hanya disediakan seminggu sekali pada hari Isnin sahaja.
Setelah mendapat sambutan yang memberansangkan, perkhidmatan ini telah disambung ke Kampung Lambor. Tambang dari Labu Kubong ke Kampung Lambor hanya $4.00 sahaja. Perkhidmatan udara bagi laluan ini telah dioperasikan oleh syarikat Federal Air Service (FAS) dengan menggunakan kapal terbang jenis DHC-2 Beaver.
Tidak dapat dipastikan pada tahun bila perkhidmatan pengangkutan udara dari Kampung Labu Kubong, Lambor ke Ipoh ini ditamatkan. Dipercayai pada tahun 1959 apabila syarikat Federal Air Service diserap ke dalam Malayan Airways Limited (MAL) perkhidmatan ini tidak lagi diteruskan.
Bekas lapangan terbang kecil Labu Kubong dipercayai berada di tapak Sekolah Menengah Sultan Abdullah Chenderong Balai.
Sila rujuk kepada gambar yang telah disertakan bersama dengan keterangan sebagai rujukan
Gambar 1 : Iklan dalam tulisan jawi berkenaan perkhidmatan kapal terbang dari Kampung Labu Kubong, Kampung Lambor dan Ipoh.
Gambar 2 : Iklan dalam bahasa Inggeris berkenaan tempat-tempat yang tersedia perkhidmatan kapal terbang.
Gambar 3 : Kapal terbang DHC-2 Beaver Pergam di Kuala Lumpur 1953
Gambar 4 : Kapal terbang DHC-2 Beaver Raja Udang di Kuala Lumpur 1952
No comments:
Post a Comment