Nampaknya filem² Malaysia semakin meriah dengan seni pertahanan diri orang² Melayu . Filem "SIKU 12" diterbitkan oleh Power Team Entertaiment Sdn Bhd dan bakal ditayangkan di pawagam 22 Oktober 2022 . Filem ini dilakonkan oleh Syafiq Kyle dan Zahiril Adzim serta lainnya.
Mungkin ada yang segelintir yang tak tahu apa yang dimaksudkan dengan "Siku 12" kenapa nama filem ni Siku 12 .. ? Baik mari kita bercerita mengenai Siku 12 .
Saya tidaklah tahu sangat mengenainya, tetapi kalau nak cerita serba sedikit tu boleh lah . Nama Siku 12 ni adalah sebuah seni pertahanan diri ataupun ilmu tempur orang Melayu kita, khususnya di Pulau Pinang.
Seni ini diasaskan oleh Allahyarham Sheikh Ghulam Meah bin Syeikh Ahmad Meah. Beliau dilahirkan sekitar awal tahun 1905, berdarah campuran Melayu, Arab dan Pashtun. Beliau dikenali dengan nama "Mamu Dada"
Beliau seorang yang sangat meminati seni pertahanan diri dan telah mempelajari pelbagai jenis ilmu pertahanan diri termasuklah beberapa ilmu seni persilatan. Disebabkan minat beliau pada ilmu pertahanan diri. Beliau belajar sambil mengkaji teknik dan pukulan yang lebih efektif.
Maka dari sini terciptalah satu sistem atau kaedah beladiri yang berasaskan dari senaman yang pada ketika itu beliau menamakannya dengan nama Senaman Siku. Ia juga boleh dikenali dengan nama Silat Pelaga dan Silat Halalintar/Petir. Manakala nama "Siku 12" hanyalah muncul selepas beliau meninggal dunia.
Pada asasnya, Seni Siku 12 merangkumi seluruh tubuh sebagai senjata serangan. Sama seperti seni beladiri yang lain. Hanya senaman dan senjata anggota tubuhnya lebih kepada penekanan penggunaan siku sebagai senjata utama.
Seni ini mengutamakan tempur jarak dekat. Apabila bertembung atau berlaga secara berhadapan bagi mengalahkan musuh, ia memfokuskan kepada tiga sasaran. Sama ada mencederakan lawan, mematahkan tulang anggota lawan atau memukul dengan pukulan maut.
Falsafah Mamu Dada @ Sheikh Ghulam mudah saja . "Siapa yang cepat dia yang dapat"
Mamu Dada dikatakan sering terlibat dalam beberapa pertarungan dengan beberapa orang yang mahir dalam senibeladiri. Dari situ beliau sering membuat kajian dan ujikaji mengenai teknik, serang bela dan pukulan yang lebih efektif dan sesuai untuk beliau gunakan sebagai ‘pakaian’ diri.
Untuk memahirkan diri dengan seni ini, seseorang itu memerlukan latihan sekurang-kurangnya dua tahun hanya untuk kefahaman dan kemahiran dalam peringkat ‘Senaman 12’ sahaja.
Bagaimanapun, hanya dengan menamatkan Senaman 12 saja sudah cukup memadai untuk digunakan sebagai ilmu seni mempertahankan diri.
Dari sinilah pecahan tiap anggota tubuh diajar sebagai senjata dan juga kaedah pecahan tapak. Mengikut cerita dari orang-orang lama termasuk dari guru-guru Siku 12 tidak ramai yang meneruskan kesinambungan Senaman Siku 12 ke peringkat seterusnya. Kebanyakannya akan berhenti setakat Senaman 12 sahaja.
Mamu Dada diketahui mempunyai ramai anak murid baik sebelum dan selepas Perang Dunia Kedua. Bagaimanapun, diceritakan terdapat 6 orang murid yang mana 5 darinya yang paling terkenal. Antaranya :
- Pak Mat Hamden atau lebih terkenal dengan nama Pak Mat Hamdan
- Pak Sahak atau dikenali dengan nama Pak Sahak Kastam.
- Pak Bidin.
- Pak Ibrahim atau dikenali dengan panggilan Ibrahim Body
- Haji Yahya atau dikenali dengan panggilan Pak Ya Botak
- Lukman Hakim
Apa yang menariknya, kesemua mereka diberi pelajaran yang berbeza antara satu sama lain tetapi masih berasaskan kepada pelajaran asalnya iaitu Senaman Siku. Selepas kematian Mamu Dada, lima muridnya telah membentuk jurusan masing-masing berdasarkan pelajaran yang diterima dari Mamu Dada.
Allahyarham Mamu Dada meninggal dunia ketika berusia 42 tahun pada tanggal 6 Jun 1947 Ketika hayatnya Allahyarham telah mencipta sejenis senaman yang akhirnya mampu diaplikasikan sebagai sejenis seni mempertahankan diri yang diiktiraf oleh masyarakat ketika itu sebagai Silat Kelahiran Pulau Pinang.
Silat ini juga pernah didaftarkan atas nama ‘Seni Silat Petir Negeri Pulau Pinang’ pada tahun 1976 di Tanjong Tokong, Pulau Pinang.
Siku 12 sejak awal kemunculannya dan selepas kematian Allahyarham Mamu Dada hanya berpusat di bahagian pulau sahaja iaitu di kawasan Bayan Lepas hingga ke Teluk Bahang. Kini penyebaran Siku 12 ke tanah besar Seberang Perai hingga sejauh Pulau Langkawi, Negeri Sembilan dan Johor.
‘Siku 12’ menjadi kebanggaan generasi lama Pulau Pinang. Bak kata orang lama “Cek, jangan berani mengaku anak Pulau Pinang kalau tak belajaq Siku 12”. Ini membuktikan bahawa Siku 12 pernah menjadi kebanggaan masyarakat Pulau Pinang satu ketika dulu hingga kini tanpa menidakkan kehebatan seni beladiri yang lain.
Al-Fatihah (dibaca)
Allahyarham Sheikh Ghulam Meah Bin Sheikh Ahmad .
Moga Allah Merahmati Ruhnya .
Sumber Rujukan
Shaik Dada Pendekar Pulau Pinang. http://dadameahpendekarpp.blogspot.com/
Seni Petir Siku 12 Langkawi. http://senipetirlangkawi.blogspot.com/
Kredit kepada The Patriot dan sumber rujukan penulis Encik Mohamad Rosidi.
Pautan artikel lain yang berkaitan :-
No comments:
Post a Comment