Tokoh filem animasi, Hassan Abd. Muthalib berkata, elemen yang terdapat pada wayang kulit seperti menggunakan layar, ada imej yang bergerak, suara dalang dan muzik sudah cukup mengaitkannya sebagai animasi.

“Bagaimanapun, perkembangan filem atau siri animasi tempatan sebenar bermula apabila Filem Negara (terdahulu dikenali Unit Filem Malaya) ditubuhkan pada 1946.

“Gillie Porter yang berkhidmat dengan tentera Inggeris dilantik sebagai pengarah seni Filem Negara pertama dan diarahkan untuk melatih tenaga kerja tempatan dalam bidang lukisan judul filem dan animasi. Pembantunya, Goh Meng Huat merupakan anak tempatan yang terawal mempelajari animasi daripada Potter sebelum menjadi juruanimasi pertama negara,” katanya.

Potter pada masa sama turut memperkenalkan kamera animasi (Bell dan Howell), penebuk, rostrum dan cakera animasi yang digunakan untuk menghasilkan kerja seni animasi dan judul. Judul persembahan Cathay Organisation dan Cathay-Keris merupakan antara hasil kerja awal yang dihasilkan.

Berbekalkan pengalaman menghasilkan lukisan judul filem tersebut, Filem Negara mula menerbitkan filem animasi pendek pertama bertajuk Hikayat Sang Kancil hasil garapan Anandam Xavier.

“Xavier pada masa itu bukanlah seorang juruanimasi tetapi bertugas sebagai pereka set. Namun, dia bersama yang lain diarahkan untuk membuat satu filem animasi.

“Kerja-kerja tersebut tidak ada kaitan dengan tugasan hakiki yang dilakukan Xavier ketika itu bagaimanapun hanya dia seorang sahaja yang tahu serba sedikit mengenai animasi, justeru dia pun memikul tanggungjawab mengarah filem animasi pendek berkenaan.

“Jadi boleh dikatakan Xavier telah melakukan sesuatu yang luar biasa apabila berjaya menghasilkan sebuah filem animasi pendek pertama negara walaupun tanpa memiliki banyak pengetahuan mengenai bidang tersebut. Meskipun animasi Hikayat Sang Kancil itu berjaya disiapkan pada 1978 namun ia ditayangkan kepada umum pada Hari Raya Aidilfitri tahun 1983,” katanya.

Selepas itu filem pendek lain muncul pada tahun 1984 hingga 1987 antaranya bertajuk Sang Kancil dan Monyet, Sang Kancil dan Buaya, Gagak yang bijak, Arnab yang sombong dan Singa Yang Haloba.

“Sejajar dengan penekanan terhadap penggunaan teknologi digital, karyawan animasi tempatan, Kamarudin Ismail mengorak langkah menghasilkan siri animasi televisyen pertama, Usop Sontorian pada tahun 1993.

“Perkembangan itu sekali gus mendorong kemunculan pelbagai siri animasi antaranya Yokies, Sang Wira, Frootees, Anak-anak Sidek dan Keluang Man. Sementara itu, Silat Lagenda merupakan filem cereka animasi pertama yang sebelum disiarkan pada 1998,”ujarnya.

Karya beberapa kartunis juga telah diadaptasi kepada bentuk animasi antaranya Datuk Dr. Mohd. Nor Khalid atau Datuk Lat yang menghasilkan Kampung Boy.

Terkini pelbagai kejayaan dicapai penggiat industri kreatif tanah air antaranya, syarikat Les’ Copaque Production Sdn. Bhd. menerusi siri animasi pendek Upin & Ipin dan filem animasi Geng Pengembaraan Bermula.

Begitu juga dengan siri animasi Boboiboy yang berjaya mencipta fenomena tersendiri apabila mengetengahkan watak adiwira kanak-kanak dengan cara pengolahan serta jalan cerita cukup menghiburkan setanding siri animasi luar negara yang lain.