Bayangkan dengan tidak mempunyai pengalaman dalam bidang pengarahan, penulisan mahupun pengetahuan tentang pembikinan kartun, namun dia berani menyahut cabaran memikul tanggungjawab tersebut.

Semua itu dilakukan atas semangat ingin mencuba, di samping mempelajari bidang yang dianggap baharu dalam industri tanah air pada ketika itu.

Jika kita tidak berani menyahut cabaran serta berusaha mempelajari sesuatu yang baharu sampai bila-bila pun kita tidak akan tahu dan berjaya menghasilkan animasi. Sebab itu semasa diberi tugasan oleh pihak atasan, saya hanya terfikir untuk berkata saya boleh buat, walaupun menyedari banyak perkara yang perlu dilakukan selepas itu.

Jadi boleh dikatakan pembikinan animasi Sang kancil dan Monyet merupakan satu latihan kepada kami. Selain mengarah, saya juga melakukan tugasan lain termasuk merangka jalan cerita, menulis skrip, membuat papan cerita dan menyelia para pelukis. Para pelukis juga dilatih berkaitan animasi,” katanya.

Sewaktu proses pembikinan, Hassan sering bertanya sekiranya terdapat kemusykilan dan pada masa sama beliau turut melakukan pelbagai kajian di samping menjadikan buku-buku sebagai sumber rujukannya.

Animasi ketika itu dibuat secara tradisional menerusi teknik yang disebut sebagai sel iaitu animasi dipindahkan dari kertas ke sejenis plastik yang dikenali sebagai seluloid. Kesemua proses yang melibatkan kerja-kerja melakar, mewarna, membuat papan cerita, memasukkan imej sehingga kepada proses produksi dilakukan secara manual.

Kami melukis dengan tangan di atas kertas sebelum dipindahkan ke seluloid untuk proses membuat lakaran dan memasukkan warna. Untuk menghasilkan sebuah animasi selama satu saat memerlukan lebih kurang 10 hingga 12 keping lukisan. Bayangkan berapa keping lukisan diperlukan untuk membuat animasi yang berdurasi lebih seminit,”katanya.

Proses seterusnya membabitkan pengambaran yang menggunakan kamera animasi. Sel diletak satu persatu untuk dirakam. Proses tersebut berulang mengikut urutan sel sehingga selesai.

Begitulah cara tradisional yang kami lakukan. Berbeza dengan zaman sekarang yang menggunakan teknologi canggih, kerja membuat animasi pun bertambah mudah,” katanya yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Unit Senireka di bawah Filem Negara.

Menurutnya lagi, dari segi ucapan dialog setiap watak pula, mereka tidak menggunakan suara pelakon profesional sebaliknya mendapatkan khidmat kakitangan jabatan itu.

Pada masa itu tiada peruntukan untuk mendapatkan khidmat pelakon luar jadi terpaksa menggunakan suara daripada tiga kakitangan di jabatan kami.

Petugas makmal, Zainab Wahab meminjamkan suara untuk watak kancil; kerani penerbitan, Nordin Yusof meminjamkan suara untuk monyet, sementara suara latar pula menggunakan khidmat juruanimasi sendiri, Napsiah A. Kadir,” katanya.

Meskipun tayangan filem animasi pendek itu berdurasi empat minit lebih namun proses untuk menyiapkannya mengambil masa selama enam bulan sebelum disiarkan pada 1984.

Kejayaan menghasilkan filem animasi pendek itu telah mencipta sejarahnya tersendiri dalam industri animasi tanah air biarpun tanpa sebarang kepakaran dan teknologi digital yang canggih.

Malah dapat dilihat penambahbaikan dan kelainan yang ditonjolkan Hassan dalam animasi yang dihasilkan antaranya menerusi elemen lucu yang dimasukkan ketika monyet makan cili, api keluar dari telinga lalu melompat dan akhirnya badan menjadi merah.

Begitu juga dari segi jalan cerita yang diadaptasi dan dialog yang dibuat ringkas serta bersesuaian dengan animasi membuatkan ia mudah dan terus diingati sehingga hari ini.