Walaupun tidak sepopular watak kartun yang menjadi lambang terulung Walt Disney, namun kehadiran animasi Sang Kancil di kaca televisyen menceriakan kehidupan pelbagai lapisan masyarakat. Kali terakhir ia bersiaran pada 1987.

Sudah sekian lama berlalu, namun kartun bercirikan haiwan terutama Sang Kancil dan Monyet masih segar dalam ingatan penonton yang sempat menyaksikan kepintaran dan kelincahan haiwan kecil tersebut.

Begitu juga dengan pelbagai siri animasi seperti Usop Sontorian, Keluang Man, Yokies, Frootees, Anak-anak Sidek, Sang Wira yang pernah menghiasi rancangan televisyen tempatan pada era 1990-an.

Kepelbagaian karakter serta keunikan watak kartun yang begitu dekat dengan budaya masyarakat tempatan cukup menghiburkan dan sangat digemari ramai penonton khususnya golongan kanak-kanak.

Setiap kali menghampiri masa siaran, pasti ada yang menunggu di hadapan televisyen untuk menyaksikan siri kartun kegemaran masing-masing. Kanak-kanak yang aktif bermain pada mulanya boleh jadi duduk diam seketika bagi memberi tumpuan terhadap rancangan yang dipaparkan.

Namun semuanya hanya tinggal kenangan dan menjadi nostalgia yang pernah menggamit memori khalayak suatu ketika dahulu. Siri animasi yang menjadi kegemaran ramai terhenti dan ‘hilang’ menyepi dari saluran arus perdana tanpa ada kesinambungan.

Wartawan S2, ROZIANAH RISMAN dan jurugambar NOORADZRENE MOHD. NOOR dan NASIRRUDDIN YAZID menyingkap punca kehilangan dan kisah di sebalik pembikinan kartun yang pernah menjengah hati penonton suatu ketika dahulu.