Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Saturday, 5 July 2014

Kehilangan Fraser kekal misteri

MENYERUPAI suasana kampung di kawasan pedalaman Scotland dengan seni bina bangunan bercirikan Tudor merupakan antara keunikan dan tarikan yang terdapat di Bukit Fraser.

Terletak pada ketinggian 1,420 meter dari aras laut, pusat peranginan itu turut menawarkan keindahan alam semula jadi di samping kepelbagaian spesies burung, flora dan fauna.

Memiliki khazanah hutan yang terpelihara daripada pembangunan melampau, Bukit Fraser sering menjadi tumpuan pencinta alam dan destinasi percutian bagi pasangan yang mahu menghirup udara segar dan menikmati ketenangan di tanah tinggi.

Mengimbau sejarah awal pembukaan Bukit Fraser sebagai pusat peranginan, Pengurus Besar Pelancongan Pahang, Ishak Mokhtar berkata, tanah tinggi itu mendapat nama sempena kehilangan seorang pengembara Scotland, Louis James Fraser.

"Berdasarkan penulisan bekas Pesuruhjaya Tinggi British, George Maxwell, Fraser merupakan seorang akauntan yang disifatkan sebagai individu yang mempunyai semangat pengembaraan yang tinggi.

"Ini dapat dilihat apabila beliau yang kecewa dengan hasil perusahaan lombong emas di Australia, berhijrah ke Tanah Melayu untuk mencuba nasib di dalam perusahaan lain.

"Ketika perlombongan biji timah sedang berkembang pesat sekitar tahun 1890-an, Fraser telah datang ke Pahang dan menetap di Tras.

"Di sana Fraser menjadi peraih bijih timah dengan membeli bijih timah dari pelombong-pelombong Melayu serta Cina dan kemudian mengangkut muatannya itu menggunakan keldai dari Tras menuju ke Kuala Kubu Bharu," katanya.

Ketika berada di kaki bukit, Fraser telah membuat laluan kuda dari Gap sehingga sampai ke atas puncak.
Fraser akhirnya berpindah ke tanah tinggi itu dan menjadikan kawasan bukit tersebut sebagai tapak menjalankan aktiviti perdagangan bijih timahnya.

Pajakan pertama lombong bijih timah di bukit itu telah diberikan kepada orang Melayu, iaitu Abu Suradi pada November 1899 dan pajakan terakhir diberikan kepada Robert Lewis dan Sempam Mining Company Limited sekitar tahun 1906.

"Padang golf (tertua di Malaysia) yang dilihat sekarang ini dahulunya merupakan kawasan lombong bijih timah berkenaan. Lombong tersebut bagaimanapun tidak bertahan lama selepas kehabisan sumber tersebut," katanya.

Dalam pada itu, Fraser dikatakan hilang secara tiba-tiba kira-kira pada 1916 tanpa diketahui puncanya.
"Tidak ada seorang pun yang mengetahui apa yang berlaku kepada Fraser dan kehilangannya sehingga kini masih menjadi misteri," katanya.

Katanya, pada November 1917, paderi Singapura iaitu Biskop C. J. Ferguson-Davie bersama rakannya yang merupakan paderi Selangor, Reverend A. B. Champion secara tidak sengaja telah pergi ke Bukit Fraser ketika bercuti di rumah rehat Gap.

"Melihat keistimewaan kawasan yang terletak kira-kira lapan kilometer dari Gap itu, sekembalinya ke Singapura paderi tersebut membuat satu laporan mengenai kesesuaian tanah tinggi itu dijadikan stesyen bukit," katanya.

Pada Ogos 1918, selepas laporan mengenai kajian topografi awal diserahkan, J.N Sheffield telah menyatakan sokongan penuh terhadap cadangan membuka stesyen bukit.

Pada bulan yang sama, pegawai tidak rasmi Majlis Bersekutu, R. C. M. Kindersly telah memaklumkan dalam satu mesyuarat sekiranya projek itu diluluskan, anggaran peruntukan membuka stesyen bukit akan dibuat pada 1919.

Kerja-kerja membuat jalan dari Gap hingga ke puncak bukit dimulakan pada Oktober tahun yang sama.
Setelah pembinaan jalan selesai, Majlis bersekutu secara rasminya meletakkan nama bukit itu sebagai Bukit Fraser pada Disember 1921.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...