JIKA Cameron Highlands terkenal dengan ladang teh dan sayur-sayuran, Genting Highlands popular dengan jolokan kota keriangan, Bukit Fraser pula lebih dikenali sebagai The Little England of Malaysia.
Terletak di banjaran Titiwangsa dan bersuhu sekitar 17 hingga 24 darjah celsius, Bukit Fraser memiliki keistimewaan tersendiri dari segi kepelbagaian flora dan fauna di samping keunikan bangunan yang berkonsepkan seni bina gaya Inggeris.
Meskipun kegiatan pelancongan tidak semeriah pusat peranginan tanah tinggi lain di Pahang, namun Bukit Fraser sering menjadi tumpuan pelancong khususnya pencinta alam dan pengkaji hidupan semula jadi.
Bagi warga Lembah Klang yang ingin menikmati percutian di Bukit Fraser boleh melalui dua jalan iaitu dari Kuala Kubu Bharu, Selangor atau Raub, Pahang sebelum tiba di Gap yang menjadi pintu masuk ke puncak Bukit Fraser. Perjalanan dari ibu negara sejauh 140 kilometer dan mengambil masa kira-kira dua jam setengah.
Baru-baru ini wartawan S2, ROZIANAH RISMAN bersama jurugambar, WAHIDAH ZAINAL mengunjungi Bukit Fraser bagi menyingkap sejarah berkaitan tanah tinggi tersebut sekali gus menyaksikan tarikan yang terdapat di sana.
Menyelusuri jalan sejauh lapan kilometer menaiki Bukit Fraser ternyata begitu memenatkan berikutan keadaan laluan yang sempit di samping banyak selekoh berbahaya dan curam. Namun, melihat pokok-pokok berdiri teguh di kiri kanan jalan membuatkan kami begitu teruja seolah-olah kedatangan disambut oleh tuan rumah.
Tingkap kereta dibuka tatkala menghampiri puncak bagi merasai sendiri suasana sejuk di situ. Ternyata gambaran yang diberikan pengunjung sebelum ini memang benar. Berada di pekan kecil Bukit Fraser sungguh menenangkan hati dan perasaan.
Pandangan kami kemudian tertumpu pada deretan bangunan. Difahamkan kebanyakan bangunan dan banglo yang terdapat di situ dibina berdasarkan kehendak dan citarasa kolonial British. Dinding rumah dibina daripada batu konkrit bersaiz besar yang disusun dan disimen. Warna dinding pula berwarna putih dengan diselang seli warna hitam pada tiang jenang.
Tidak jauh dari bangunan tersebut kelihatan sebuah menara jam di jalan bulatan yang menjadi mercu tanda Bukit Fraser. Turut terdapat beberapa buah hotel dan apartment yang menawarkan penginapan bilik kepada para pengunjung yang datang bertandang.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20140705/pl_01/Tarikan-Bukit-Fraser#ixzz36er7KXS9
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment