Batu Peringatan tentera Jepun di Kuala Krai sempena memperingati tentera Jepun menduduki Kuala Krai Kelantan pada 19 Disember 1941 semasa Perang Dunia Ke-2. Lokasi batu peringatan ini di Muzium Kuala Krai Kelantan.
PENGUNDURAN TENTERA BRITISH DARI KELANTAN, OLEH AWW2.
Pada 12 Disember 1941, Komander Kor India ke-3 Jeneral Sir Lewis Heath telah pergi ke Markas Malaya Command untuk membincangkan dasar berkaitan pasukan Briged India ke-8 di Kelantan dengan Lt-Jen Percival. Perlu diingatkan bahawa tugas utama Briged India ke-8 adalah untuk melindungi ketiga-tiga pangkalan udara di negeri itu (Kota Bharu, Machang dan Gong Kedak) bagi kegunaan Tentera Udara British dan menghalang mereka diduduki tentera musuh.
Memandangkan keadaan ini, amat jelas beberapa garis panduan baru diperlukan. Alternatifnya ialah mengekalkan pasukan itu di Kelantan atau mengundurkan mereka untuk bertindak di kawasan lain. Faktor-faktor yang menyokong pilihan ini adalah : -
- Mereka mungkin masih boleh menghalang tentera musuh dari menggunakan sepenuhnya ketiga-tiga pangkalan udara tersebut.
- Kehadiran pasukan itu di Kelantan dapat mengekang sebahagian daripada kekuatan tentera musuh di negeri itu.
- Pengunduran tentera British akan memberi kesan negatif terhadap semangat orang awam dan anggota tentera British sendiri.
- Tentera British mungkin akan kehilangan sejumlah besar kelengkapan dan peralatan mereka semasa pengunduran.
Mereka yang menyokong pengunduran memberikan faktor-faktor berikut : -
- Pangkalan udara tersebut tidak lagi diperlukan oleh Tentera Udara British dan kemungkinan besar mereka tidak akan diperlukan dalam tempoh yang terdekat.
- Ancaman utama tentera musuh nampaknya akan berkembang di pantai barat, di mana tentera British tidak mempunyai kekuatan yang mencukupi untuk menghalang kemaraan mereka.
- Jaringan pengangkutan bagi pasukan Briged India ke-8 kini hanya terdiri dari satu landasan kereta api dengan sejumlah jambatan, yang berada dalam keadaan berbahaya, terutamanya mengambil kira kelebihan kekuatan udara pihak musuh.
- Dari sudut pandangan (3) di atas, dan memandangkan kekuatan tentera musuh di darat akan bertambah, kemungkinan tentera British akan kehilangan pasukan ini sekiranya mereka kekal di Kelantan.
Setelah memberi pertimbangan dengan sepenuhnya, Leftenan-Jeneral Percival memutuskan untuk mengundurkan pasukan Briged India ke-8 dari Kelantan sebaik sahaja gerabak kereta api dapat disediakan, dengan tujuan untuk mengekalkan kekuatan tentera mereka dan menumpukannya untuk pertempuran utama yang bakal berlaku di pantai barat. Keputusan ini diserahkan kepada Panglima Tertinggi Timur Jauh, Ketua Marsyal Udara Sir Brooke-Popham pada petang yang sama dan beliau telah bersetuju dengan keputusan ini. Arahan dikeluarkan dengan segera dan pemindahan lebihan kelengkapan mereka terus bermula.
Pada 12 Disember di Machang tentera musuh menjadi sangat aktif dan menyerang dengan kuat, tetapi pasukan 2/10th Baluch Regiment telah menyerang balas, bergelut dengan musuh dan mengenakan korban keatas mereka.
Pada 13 Disember pasukan 2/10th Baluch Regiment sekali lagi telah mengenakan korban ke atas tentera musuh yang cuba untuk bergerak ke sebelah belakang mereka.
Selama beberapa hari berikutnya, pengunduran tentera British dilakukan secara teratur, tentera musuh terpaksa berjuang untuk merebut setiap kedudukan, dengan kerugian yang sedikit di pihak tentera British. Menjelang 16 Disember semua lebihan kelengkapan dan peralatan telah dipindahkan dan pengunduran tentera British dengan kereta api bermula.
Pasukan 4/19th Hyderabad adalah pasukan pertama meninggalkan Kelantan supaya mereka dapat bergabung semula dengan briged asal mereka di pantai barat. Pada 19 Disember pasukan British berundur sepenuhnya dari stesen kereta api Kuala Krai.
Pasukan yang berada di belakang sekali berundur dari Kuala Krai dengan berjalan kaki setelah jambatan kereta api yang besar di selatan stesen itu dirobohkan. Hampir semua peralatan dan kenderaan, kecuali sekitar 80 buah kenderaan kerana tiada ruang di atas gerabak kereta api, telah berjaya dipindahkan. Pasukan pengawal belakang, dikenali sebagai 'Mac Force' yang dipimpin oleh Lt-Kol. McKellar telah ditinggalkan untuk mengawasi landasan kereta api dan mencegah jambatan kereta api yang dimusnahkan di baiki semula oleh tentera Jepun.
Pasukan ini terdiri dari Pasukan Sukarelawan Pahang dan Rejimen Askar Melayu dan mereka telah menjalankan tugas ini dengan amat baik. Setelah selesai pengunduran pada 22 Disember Briged Infantri India ke-8 telah berkumpul semula di Kuala Lipis / Jerantut kecuali pasukan 2/12th Frontier Force Regiment yang bergabung semula dengan briged asal mereka di Kuantan.
Angka korban yang dialami oleh tentera British dalam pertempuran di Kelantan adalah cukup besar tetapi tidak terlalu berat. Pengendalian operasi secara amnya dan terutama pengunduran tentera British dari Kelantan mencerminkan kebolehan Panglima Briged India ke-8, (Brigedir B.W. Key) dan para pengawainya.
Sumber: #PersatuanPencintaSejarahKelantan
Pautan artikel menarik yang berkaitan :-
No comments:
Post a Comment