Pada hari ini dalam tahun 2009, DYMM Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah berkenan berangkat bagi menyempurnakan Istiadat Pentauliahan Pangkalan Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) dan Penamaan KD Sultan Badlishah di Langkawi, Kedah. Dalam titahnya, Baginda menegaskan pembinaan pangkalan TLDM di Langkawi merupakan satu keputusan strategik di mana selain berperanan memantau Selat Melaka, pangkalan ini juga menyumbang kepada pembangunan kemajuan sosio ekonomi serta kemakmuran Negeri Kedah amnya.
Baginda turut mezahirkan kesyukuran kerana TLDM dan ATM memilih nama ayahanda Baginda, Almarhum Sultan Badlishah Abdul Hamid Halim Shah untuk menamakan unit ini. Titah Baginda, pemilihan nama ini amat bertepatan di atas jasa bakti Almarhum Baginda kepada negara yang bersemangat patriotik dalam menentang penjajahan Inggeris. Dengan adanya pangkalan ini, Kementerian Pertahanan dapat memantau kemasukan kapal-kapal di Selat Melaka selain dapat menjaga keutuhan serta keselamatan perairan barat Semenanjung Malaysia.
#hariinidalamsejarah #arkibnegara
Pautan artikel lain yang berkaitan :-
No comments:
Post a Comment