Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Saturday 20 September 2014

25 Jun 1972 : Kisah Pilu Dan Menyayat Hati...

Kisah Pilu Dan Menyayat Hati Seorang Anak Seni Bernama Ahmad Nisfu Yang Ramai Tidak Tahu!!


Kehidupan Menyayat Hati & Kedaifan Ahmad Nisfu Yang Ramai Orang Tidak Tahu : Menangis Melihat Keadaan Ahmad Nisfu Sebelum Menghembus Nafas Terakhir

Siapakah Ahmad Nisfu

Kalau menonton filem P. Ramlee sudah pasti anda mengenali Ahmad Nisfu. Ahmad Nisfu sememangnya kawan baik dengan P.Ramlee.

Banyak filem arahan P. Ramlee akan melibatkan Ahmad Nisfu dan dia juga sering membawa watak agak besar.

Ahmad Nisfu juga digelar Pak Besar oleh P. Ramlee kerana lubang hidung Ahmad Nisfu yang besar.

Awal Karier

Pelakon ini berasal dari Tanjong Takong, Pulau Pinang. Beliau sering memegang watak kecil di awal karier bersama Shaw production. Sahw yang membawa Ahmad Nifsu ke dunia lakonan.

Walaupun memegang watak-watak yang kecil, Ahmad Nisfu sentiasa bersyukur walaupun upah yang diterimanya adalah terlalu kecil.

Kehiduapan Sosial

Untuk pengetahuan Ahmad Nisfu adalah seorang yang sebatang kara, tiada saudara mara, keluarga dan juga isteri.

Aktiviti sosial Ahmad Nisfu ini hanyalah dengan beramal di masjid di kawasan beliau tinggal dan juga di sekitar studio Jalan Ampas. Ahmad Nisfu dikhabarkan seorang yang pandai mengaji Al-Quran. Beliau juga merupakan seorang bilal di masjid di tempat beliau menetap dahulu.

Penutupan Studio Jalan Ampas

Hinggalah penutupan studio Jalan Ampas, Ahmad Nisfu telah menghambakan dirinya dalam dunia lakonan. Selepas penutupan studio Jalan Ampas, Ahmad Nisfu telah hilang punca pencarian hidup. Filem Puaka dikatakan filem terakhir lakonan beliau.

Disebabkan tiada punca rezeki, Ahmad Nisfu hidup dengan bantuan ehsan dari orang ramai. Kerana tiada punca rezeki, Ahmad Nisfu hanyalah menetap di Kubu Jepun (pillbox) di Jalan Labu.


Di situlah juga tempat Ahmad Nisfu telah menghembuskan nafas terakhirnya di dalam keadaan yang sungguh daif tanpa saudara mara, ahli keluarga dan isteri. Hanyalah teman rapat.- Balbo

Kehidupan Selepas Berhenti Berlakon

Setelah tidak bermain wayang lagi, Ahmad Nisfu sering berada dikedai kopi dipersimpangan Joo Chiat, Geylang Road dan Changi Road. Kedai kopi itu juga dulunya tempat ‘extras’ Shaw dan Cathay berkumpul. Sering juga mereka diambil sebagai ‘pak pacak’ dengan gaji $5.00 ringgit sehari!

Selain meluangkan masa disitu, dia sering ke seberang jalan untuk menikmati ‘sop kambing’ kegemarannya. Kedai mamak sop itu terletak dilorong masuk ke restoran Osman Ghani yang terkenal di Geylang Serai dengan ‘kari ikan’ dan ‘dalca rusuk kambing’nya.

Ahmad Nisfu juga pernah menjadi imam di Masjid Onan Road (sudah tiada lagi – tapaknya diambil oleh Muslim Convert Association). Pernah satu kali, kami anak anak nakal, waktu sembahyang berimamkan Ahmad Nisfu, sedang dalam rukun, kami menyanyi perlahan lahan sesama sendiri “Pura Cendana! Pura Cendana!” sambil menggigil gigil menahan ketawa. Habis sembahyang, tak sempat cium tangannya, kami diperambat hingga keluar masjid! “Korang usik aku ya!!! setan!!!” Itulah pengalaman nakal saya bersama ‘Raja Alam Syahbana, raja negeri Pura Cendana’.

Mungkin kerana keuzuran dia tidak lama menjadi imam disitu. Seperti sudah berputus asa, dia hidup berteduh di kubu Jepon di Jalan Labu tidak jauh dari Masjid Aminah di Jalan Nanas off Geylang Serai. Lama juga dia tinggal bersendirian di situ di bawah ikhsan orang kampung sekeliling. Tidak lama kemudian dia meninggal, setelah beberapa lama hidup sebatang kara dalam penuh kedaifan.

Sumber asal dipetik dari blog yuya-hotlips



Ahmad Nisfu meninggalkan seorang balu yang bernama Chik binti Osman, tiga orang anak dan 14 orang cucu. Menurut anaknya lagi, Ahmad Nisfu dikelilingi ahli keluarganya semasa meninggal dunia

Sumber: Berita Harian Singapura


Di bawah ini adalah sumber tambahan dengan info yang lebih tepat lagi. Sila rujuk kepada maklumat yang disertakan di sini untuk tatapan semua pembaca setia blog ini.

Sumber 1 : The Patriots



Gambar 1 : Sumber daripada The Patriots


Gambar 2 : Tajuk Utama - Benarkah Ahmad Nisfu Hidup Sebatang Kara Dalam Kedaifan?

Pautan Laman Sesawang Daripada The Patriots. Sila rujuk di bawah ini.


Sumber 2 : YouTube KeliBiru


Benarkah AHMAD NISFU Hidup Sebatang Kara DI AKHIR HAYATNYA? - Kelibiru

Sedikit info tambahan berkenaan dengan sejarah hidup dan hasrat peribadi Ahmad Nisfu


Gambar 1 : Maklumat judul filem antara lakonan beliau di bawah arahan P. Ramlee


Gambar 2 : Sedikit kisah Ahmad Nisfu di luar bidang lakonan serta hasrat beliau pada penghujung usianya


Gambar 3 : Hajatnya tidak kesampaian kerana beliau terlebih dahulu pergi menemui ilahi. Al-fatihah (dengan bacaan) untuk beliau.

Sumber 3 : Repair Gambar Lama


AHMAD NISFU HIDUP MELARAT KE? INI KISAH SEBENARNYA
Oleh: DAN

AHMAD NISFU dilahirkan di Medan pada tahun 1902 dengan nama Mohamed bin Nisfu. Ahmad Nisfu merupakan anak sulung daripada empat adik beradik. Beliau kemudiannya berpindah bersama-sama keluarganya ke Pulau Pinang ketika masih kecil. Ahmad Nisfu menetap dan membesar di Kampung Makam, Pulau Pinang.

Ahmad Nisfu terdedah dengan dunia pentas bangsawan sejak kecil lagi. Bapanya merupakan tokoh utama dalam Wayang Kassim, sebuah kumpulan wayang bangsawan di Pulau Pinang. Semasa di Pulau Pinang, Ahmad Nisfu mendapat pendidikan agama di madrasah. Beliau hanya boleh membaca dan menulis dalam tulisan Jawi. Semasa di Pulau Pinang juga, Ahmad Nisfu mula berlakon bersama Grand Opera pada tahun 1912. Mereka sering mengadakan persembahan di utara semenanjung Tanah Melayu. Dari situlah Ahmad Nisfu mengasah bakat lakonannya sedikit demi sedikit. Beliau kemudiannya menyertai Star Opera yang beroperasi di Perak bersama-sama bapanya.

Ketika berusia 18 tahun, beliau telah berhijrah ke Singapura pada tahun 1920 dengan mengikuti kumpulan Indera Bangsawan yang dimiliki oleh Siti Hawa yang sangat terkenal dengan panggilan Seri Panggung Mak Lebai. Semasa berada di Singapura, Ahmad Nisfu bertambah aktif dalam dunia lakonan di pentas-pentas bangsawan sehingga namanya menjulang naik.

Pada tahun 1950-an, ramai tokoh-tokoh bangsawan telah beralih angin untuk menceburkan diri dalam dunia perfileman termasuklah Ahmad Nisfu.  Filem pertama yang dilakonkan oleh Ahmad Nisfu ialah Anak Pontianak  (1958) arahan Ramon A. Estella, diikuti dengan filem Gergasi (1958) yang diarahkan oleh Dhiresh Gosh. Kedua-dua filem ini telah diterbitkan oleh Malay Film Productions (MFP) yang dimiliki oleh Shaw Brothers. Nama Ahmad Nisfu semakin menjulang tinggi apabila P.Ramlee mengambilnya berlakon di dalam Pendekar Bujang Lapok pada tahun 1959. Beliau berjaya menghidupkan watak tauke sampan dan kepala samseng di dalam filem itu walaupun ia bercorak komedi. Hal ini tidak menjadi masalah kepada Ahmad Nisfu kerana pengalamannya berlawak semasa di pentas bangsawan dahulu sangat luas.

Ahmad Nisfu sering diberi watak penting di dalam filem-filem arahan P. Ramlee di MFP. Lakonan beliau dalam filem-filem arahan P. Ramlee sangat menyerlah dan masih meninggalkan kesan yang mendalam kepada penonton, hingga ke hari ini. Filem-filem yang dilakonkan oleh Ahmad Nisfu di bawah arahan P.Ramlee ialah :-
  • Musang Berjanggut (1959), 
  • Nujum Pa' Blalang (1959), 
  • Antara Dua Darjat (1960), 
  • Seniman Bujang Lapok (1961), 
  • Ibu Mertua Ku (1962), 
  • Nasib Si Labu Labi (1963), 
  • Madu Tiga (1964) dan 
  • 3 Abdul (1964)
Dalam satu kenyataan, P. Ramlee pernah mengatakan bahawa pelakon-pelakon yang dikaguminya ialah bintang Hollywood Stewart Granger, Marlon Brando, dan seniman tanahair iaitu Ahmad Nisfu. P. Ramlee sering memanggil Ahmad Nisfu dengan gelaran Pak Besar kerana lubang hidungnya sangat besar. Hubungan mereka juga boleh dikatakan sangat erat seperti bapa dan anak.

Filem-filem lain yang dilakonkan oleh Ahmad Nisfu di MFP ialah :-
  • Doctor (1958), 
  • Saudagar Minyak Urat (1959), 
  • Siti Muslihat (1962), 
  • Gerhana (1962), 
  • Korban (1963), 
  • Pileh Menantu (1963), 
  • Siapa Besar! (1964), 
  • Pusaka Pontianak (1965), 
  • Sayang Si Buta (1965), 
  • Dayang Senandong (1965), 
  • Sri Andalas (1966), 
  • Lampong Karam (1967) dan 
  • A Go Go 67 (1967).
Suatu perkara yang menarik mengenai Ahmad Nisfu, beliau tidak terikat dengan mana-mana studio. Beliau lebih selesa menjadi pelakon bebas. Oleh sebab itu kita dapat melihat beliau juga turut berlakon di dalam filem-filem yang diterbitkan oleh Cathay-Keris Film (CKF) seperti :- 
  • Dang Anom (1962), 
  • Tun Fatimah (1962), 
  • Jula Juli Bintang Tujoh (1962), 
  • Laila Majnun (1962), 
  • Lanchang Kuning (1962), 
  • Darah-Ku (1963), 
  • Bayangan Di-Waktu Fajar (1963), 
  • Bunga Tanjung (1963), 
  • Tajul Ashikin (1963), 
  • Pontianak Kembali (1963), 
  • Ayer Mata Duyong (1964), 
  • Wan Perkasa (1964), 
  • Istana Berdarah (1965), 
  • Dua Kali Lima (1966), 
  • Playboy (1967), 
  • Mat Raja Kapor (1967), 
  • Si-Murai (1968), 
  • Nafsu Belia (1969), 
  • Puaka (1970), 
  • Lobang Nuraka (1970), 
  • Mat Karung Guni (1970) dan yang terakhir 
  • Jahanam (1971)
Di luar bidang lakonan, Ahmad Nisfu pernah menjadi seorang bilal di Masjid Khalid, Joo Chiat Road, Singapura. Beliau seringkali memberi tazkirah serta nasihat agama kepada orang awam di masjid. Beliau juga sering membaca al-Quran di masjid ketika tiada penggambaran filem. Jikalau beliau dikehendaki untuk menjalani penggambaran, sebuah kereta milik studio akan datang menjemputnya di rumah.

Ahmad Nisfu meninggal dunia ketika berusia 70 tahun pada 25 Jun 1972, sekitar jam 9:00 pagi akibat penyakit kencing berdarah di rumah anak lelakinya di Kampung Kuchai, Lorong 3, Geylang. Beliau meninggalkan seorang balu yang bernama Chik binti Osman, tiga orang anak dan 14 orang cucu. Menurut anaknya lagi, Ahmad Nisfu dikelilingi ahli keluarganya semasa meninggal dunia. Ramai rakan-rakan seniman dan seniwati dari studio MFP dan CKF melawat jenazahnya untuk memberi penghormatan terakhir. Jenazah beliau disemadikan di Tanah Perkuburan Bidadari, dan kemudiannya telah dipindahkan ke Tanah Perkuburan Lim Chu Kang oleh kerajaan Singapura.

Pada awal tahun 1970-an, Ahmad Nisfu berhajat untuk menulis riwayat hidupnya serta pengalaman beliau sepanjang melibatkan diri di dalam seni lakonan bermula daripada pentas bangsawan sehinggalah ke layar perak. Menurutnya, adalah penting bagi seseorang yang terlibat dalam dunia seni itu menulis segala pengalaman serta pahit getir semasa bergelar seniman untuk tatapan keluarga dan para peminat.

Malangnya, hajat beliau untuk menulis dan membukukan riwayat hidupnya itu tidak kesampaian kerana ajal telah menjemputnya terlebih dahulu. Segala pengalaman, pahit getir serta kenangan manis semasa hidupnya dibawa bersama ke alam barzakh.

Sumber
  1. Berita Harian
  2. P. Ramlee Erti Yang Sakti
  3. Filem Melayu Citra Budaya dan Rakaman Sejarah
  4. The Patriots

Pautan artikel lain yang berkaitan :-

02 JUN 2004 : AHMAD B -HILANGNYA RAJA STUNT FILEM


No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...