Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Friday, 21 August 2020

Masjid Sultan...

Berita Arkib : 29/1/2020 23:51 Update: 31/1/2020 16:10

Masjid Sultan ditutup sementara kepada pelancong asing demi elak penularan virus Wuhan

Oleh : NURULKHASANAH AGOST

SINGAPURA: Masjid Sultan, yang menjadi salah satu tarikan pelancong di negara ini, mengambil langkah menutup buat sementara waktu pintunya kepada para pelancong menyusuli penularan virus Wuhan di Singapura.

Masjid tersebut memberitahu BERITAmediacorp, langkah tersebut dikuatkuasakan sejak Sabtu lalu (25 Jan).

Sehari selepas kes pertama virus korona Wuhan disahkan di Singapura pada 23 Januari, Lembaga Pengamanah Masjid Sultan dan juga Lembaga Pentadbir Masjid Sultan segera berbincang. Pada malam Tahun Baru Cina Jumaat lalu itu (24 Jan), keputusan sebulat suara untuk berhenti menerima kunjungan pelancong asing dibuat.

Sebaik sahaja dimuktamadkan, papan-papan tanda yang memaklumkan tentang penutupan sementara itu diletakkan di kesemua 10 pintu masuk di keliling masjid, yang terletak di daerah Kampung Gelam dan Arab Street yang popular di kalangan pelancong.

Pada notis tersebut tertera pemberitahuan yang berbunyi: “Ditutup kepada lawatan pelancong sehingga diberitahu kemudian. Jemaah Muslim dialu-alukan untuk masuk menunaikan solat. Kami meminta maaf atas kesulitan ini”.

PENCEGAHAN LEBIH BAIK DARIPADA MENGUBATI...

Semasa ditemui BERITAmediacorp, Pengurus Masjid Sultan, Zainal Abidin Omar berkata pihak lembaga pentadbir masjid segera melaksanakan langkah-langkah pencegahan demi memastikan maslahat para jemaah dan kakitangannya selain untuk mengelak penyakit atau virus daripada merebak.

“Kita khuatir. Jemaah kita ramai. Satu kali kalau solat, saya rasa lebih 1,000 orang. Solat Jumaat jangan cakaplah. Macam (solat Jumaat) minggu lalu, penuh masjid,” ujar Encik Zainal.


Encik Zainal Abidin Omar, pengerusi Masjid Sultan. (Gambar: BERITAmediacorp)

Masjid Sultan, yang diwartakan sebagai monumen negara pada tahun 1975, menerima kunjungan 600 hingga 700 pelancong setiap hari. Pada hujung minggu pula, jumlahnya melonjak kepada 1,000 pelancong sehari. Ini bermakna, sekitar 5,000 pelancong keluar masuk Masjid Sultan dalam tempoh seminggu!


Masjid Sultan. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Encik Zainal berkata masjid itu mempunyai lebih kurang 10 sukarelawan dan petugas-petugas yang berada di barisan hadapan untuk menerima kunjungan para pelancong setiap hari.

“Kita tutup sementara masjid untuk mencegah virus daripada terus merebak. Pencegahan lebih baik daripada mengubati. Kalau kita tengok di hospital pun, mereka juga tidak benarkan orang sahaja-sahaja datang masuk pekarangan hospital. Semua ini kerana tidak mahu virus merebak,” jelas Encik Zainal.

SEBAHAGIAN PELANCONG MASIH MAHU LIHAT MASJID SULTAN

Semasa kunjungan BERITAmediacorp ke Masjid Sultan semalam (29 Jan), kami dapat melihat beberapa kumpulan pelancong yang menyedari tentang notis yang diletakkan dipintu-pintu masjid. Namun mereka masih meminta kepastian daripada petugas sama ada mereka benar-benar tidak boleh memasuki pekarangan masjid.


Kawasan di belakang ruang solat di mana pelancong lazimnya berdiri. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Para pelancong asing yang mengunjungi Masjid Sultan lazimnya akan masuk ke dalam bangunan masjid untuk meninjau-ninjau struktur bangunannya dan juga bergambar.


Panel-panel maklumat tentang Islam. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Mereka juga boleh mempelajari sedikit sebanyak mengenai Islam menerusi panel-panel pameran yang diletakkan berdekatan pintu gerbang masjid dan juga kitab-kitab al-Quran dengan terjemahan dalam pelbagai bahasa.


Kitab-kitab al-Quran dengan terjemahan dalam pelbagai bahasa. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

PELITUP ADA BUAT JEMAAH YANG BETUL-BETUL MEMERLUKAN

Sementara itu, Masjid Sultan juga menyiapkan rancangan pencegahan penularan penyakit virus Wuhan menjelang solat Jumaat esok (31 Jan).

Misalnya dengan menyediakan pelitup jika perlu. Iaitu, para jemaah yang datang untuk menunaikan solat Jumaat boleh mendapatkan pelitup dari kaunter di luar pintu gerbang masjid.

Menurut Encik Zainal, sejak hujung minggu lalu, masjid sudahpun mula meletakkan pelitup berdekatan pintu masuk dan jemaah bebas untuk mengambilnya, seorang satu. Namun, pelitup-pelitup itu kini diletakkan di kaunter yang dijaga petugas. Sesiapa yang betul-betul memerlukannya boleh meminta daripada petugas berkenaan.

“Memandangkan bekalan (pelitup) kita pun makin kurang dan kita sedang berusaha mendapatkan lagi bekalan, sekarang kita kawal sikit. Sekarang kita letak di kaunter sahaja kerana jumlah pelitup dah berkurangan,” jelas Encik Zainal.


Pelitup yang pada mulanya diletakkan berdekatan pintu masuk masjid. (Gambar: Zainal Abidin Omar)

Beliau menambah, bekalan pelitup yang ada kurang dari 20 kotak daripada keseluruhan 50 kotak yang ada sebelum ini. Setiap kotak memuatkan sebanyak 125 keping pelitup.

Ruang solat Masjid Sultan boleh memuatkan sehingga 5,000 jemaah pada satu-satu masa. Namun bagi solat Jumaat, khususnya yang jatuh pada cuti umum, jumlah jemaah boleh melonjak antara 6,000 hingga 8,000 orang.


Jemaah semasa solat Jumaat pada 24 Jan. (Gambar: Zainal Abidin Omar)

Memandangkan jumlah jemaah solat Jumaat yang mungkin melimpah ruah hingga ke pekarangan masjid itu esok (31 Jan), Encik Zainal berharap agar mereka yang batuk atau selesema mendapatkan pelitup dari petugas kaunter.


Sekotak pelitup yang diletakkan di kaunter di pintu gerbang Masjid Sultan. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

SARAN JEMAAH WANITA BAWA TELEKUNG SENDIRI

Selain pelitup, buat pertama kalinya mulai esok, Masjid Sultan akan meletakkan botol-botol ‘hand sanitiser’ atau cecair nyah kuman sebagai langkah tambahan menjaga kebersihan.

“Sebelum ini kita tak gunakan ‘hand sanitiser’ sebab kita pun memang mengambil wuduk. Namun ini adalah langkah tambahan untuk membasmi kuman dan virus,” kata Encik Zainal, sambil mengatakan bahawa beliau sudah menempah 10 botol 'sanitiser' kesemuanya.


Infografik daripada Pemerintah yang turut diletakkan di Masjid Sultan. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Bagi memastikan kebersihan berada di tahap tertinggi, tandas-tandas juga akan dibersihkan dengan lebih kerap. Iaitu sebanyak empat kali sehari berbanding tiga kali sehari sebelum ini. Telekung-telekung yang disediakan di ruang solat wanita pula akan dicuci setiap hari berbanding tiga kali seminggu sebelum ini.

“Kita cuci separuh separuh. Hari ini cuci separuh, esok cuci lagi separuh dan begitulah setiap hari. Ini untuk meningkatkan tahap kebersihan. Kami juga menggalakkan jemaah wanita supaya bawa telekung sendiri supaya kebersihannya lebih terjaga,” kata Encik Zainal kepada BERITAmediacorp.


Sebahagian daripada telekung yang disediakan di dewan solat wanita. (Gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Selain itu, Masjid Sultan akan meneruskan rutin mengelap pintu gerbang masjid dan membersihkan permaidani di ruang solat setiap hari. Buat masa ini, permaidani masjid disyampu sekali setiap dua minggu.

“Kita teruskan. Kita tengok keadaan kalau semakin runcing, mungkin setiap minggu kita syampu. Buat masa ini Alhamdulillah semuanya baik-baik sahaja,” tambah beliau.

Apabila ditanya sama ada langkah-langkah tambahan yang diambil Masjid Sultan menelan belanja tambahan? Ini jawapan Encik Zainal: “Kami belum nampak kesannya. Namun mungkin bil api air akan meningkat. Tetapi tidak bagi tenaga kerja kerana tiada perubahan.”

- BERITAmediacorp/nk

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...