Some write for money. Some write to share.
I write to share for your knowledge. Religions, Politics and Conspiracy Theories, these are my fields of interests.
I am not a perfect person. Please correct me if you saw my mistakes so that I will learn from it…
Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018
Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)
Sunday, 31 January 2021
01 FEBRUARI 1948 HARI PENUBUHAN PERSEKUTUAN TANAH MELAYU
01 Februari 1948 – Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu ini merupakan kejayaan orang-orang Melayu yang menuntut Malayan Union dihapuskan dan mengembalikan semula kedaulatan Raja-raja Melayu. Ia ditubuhkan pada 1 Februari 1948 oleh sembilan buah Negeri-Negeri Melayu dan dua penempatan British Pulau Pinang dan Melaka. Perjanjian Persekutuan telah digubal sejak Jun-Disember 1946. Di akhir mesyuarat tersebut telah menghasilkan apa yang dikenali sebagai Blue Book setebal 100 muka surat.
Antara 1946 – 1948, 11 negeri ini membentuk tanah jajahan British yang dipanggil Malayan Union. Disebabkan bantahan orang Melayu yang dipimpin oleh Dato Onn Jaafar, Malayan Union dibubarkan dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu, yang mengembalikan kedudukan simbolik raja-raja Melayu. Malayan Union dibubarkan secara rasmi pada 21 Januari 1948.
Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu
Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu telah ditandatangani pada 21 Januari 1948 di King House dan diumumkan oleh kerajaan British . Perjanjian ini ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu, dan Sir Edward Gent, sebagai wakil Kerajaan British . Perjanjian ini adalah sebagai persediaan ke arah penubuhan Persekutuan Tanah Melayu pada 1 Februari 1948. Perjanjian ini penting kerana ia memansuhkan Malayan Union dan menyatukan negeri-negeri Melayu dalam sebuah Persekutuan untuk pertama kali. Kedudukan Raja-Raja Melayu juga telah dikembalikan.
Dalam Perjanjian Persekutuan ini, walaupun negeri-negeri Melayu menjadi negeri naungan British, Pulau Pinang dan Melaka kekal menjadi tanah jajahan. Seperti Malayan Union, persekutuan ini tidak di anggotai Singapura, yang sebelum ini dianggap sebagai sebahagian dari Malaya.
Ahli Persekutuan Tanah Melayu :
Perlis
Kedah
Pulau Pinang
Perak
Selangor
Negeri Sembilan
Melaka
Johor
Pahang
Terengganu
Kelantan
𝐒𝐢𝐬𝐭𝐞𝐦 𝐤𝐞𝐫𝐚𝐣𝐚𝐚𝐧
Kerajaan Persekutuan Tanah Melayu ini diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi British yang mempunyai kuasa-kuasa eksekutif dengan dibantu dan dinasihati oleh Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan Tanah Melayu dan Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan Tanah Melayu.
Majlis Mesyuarat Kerja Persekutuan mengandungi 7 orang ahli rasmi dan 7 orang ahli tidak rasmi. Majlis Mesyuarat Undangan Persekutuan pula mengandungi Pesuruhjaya Tinggi sebagai Presiden Majlis, 14 orang ahli rasmi serta 50 orang ahli tidak rasmi yang mewakili Negeri-negeri Selat, golongan peniaga dan semua kaum. Selain daripada itu 9 orang Yang Di Pertua Majlis Mesyuarat Negeri, (Menteri Besar) dan 2 orang wakil dari Negeri-negeri Selat menjadi ahli tidak rasmi.
Majlis Raja-Raja Melayu akan menasihatkan Pesuruhjaya Tinggi mengenai dasar imigresen.Residen British digantikan dengan seorang Menteri Besar di tiap-tiap negeri dalam Persekutuan.
𝐒𝐲𝐚𝐫𝐚𝐭 𝐤𝐞𝐫𝐚𝐤𝐲𝐚𝐭𝐚𝐧
Syarat-syarat Kerakyatan di bawah Persekutuan Tanah Melayu ini diperketatkan lagi melalui penguatkuasaan undang-undang dan naturalisasi secara memohon. Mengikut undang-undang ini, mereka yang berikut secara automatik boleh menjadi warganegara ;
Rakyat kepada Sultan pada mana-mana negeri.
Rakyat British yang dilahirkan di Pulau Pinang atau Melaka dan telah tinggal dalam Persekutuan berterusan selama 15 tahun.
Rakyat British yang dilahirkan di Persekutuan dan bapanya dilahirkan di Persekutuan atau tinggal berterusan selama 15 tahun.
Sesiapa juga yang dilahirkan di Persekutuan dan bertutur dalam bahasa Melayu serta mengikut adat istiadat Melayu dalam kehidupan harian.
Sesiapa juga yang dilahirkan di Persekutuan Tanah Melayu di mana kedua ibubapanya dilahirkan serta telah tinggal berterusan selama 15 tahun.
Melalui proses naturalisasi (secara memohon) pula seseorang itu boleh menjadi warganegara sekiranya;
Dilahirkan di Persekutuan Tanah Melayu dan telah tinggal sekurang-kurangnya selama 8 tahun daripada 12 tahun di Persekutuan Tanah Melayu sebelum permohonan dibuat dan
Telah tinggal di Persekutuan Tanah Melayu selama 15 tahun daripada 20 tahun sebelum ia membuat permohonan.
Dalam kedua-dua perkara itu (melalui proses naturalisasi) pemohon-pemohon mestilah berkelakuan baik, bersumpah taat-setia dan menjelaskan tujuannya hendak menetap di Persekutuan Tanah Melayu, mengetahui bahasa Melayu dengan baik atau bahasa Inggeris dengan baik.
Persekutuan Tanah Melayu melalui perlembagaannya menjamin hak-hak dan kedudukan istimewa orang-orang Melayu serta hak, kuasa dan kedaulatan Raja-Raja Melayu di negeri masing-masing.
Perjanjian Persekutuan menetapkan kuasa-kuasa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri. Hal ehwal kewangan mestilah dikendalikan oleh negeri masing-masing. DYMM Sultan diberikan kuasa penuh ke atas hal-hal agama dan adat istiadat Melayu. Masalah luar negeri dan pertahanan pula masih dipegang oleh Kerajaan British.
Perjanjian Persekutuan telah dijadikan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dan diisytiharkan dengan rasminya pada 1 Februari 1948. Dewan Perundangan Persekutuan Tanah Melayu mengadakan persidangan pertama di Dewan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada 18 Januari 1948. Persidangan Raja-raja Persekutuan Tanah Melayu juga turut diadakan pada hari yang sama.
Peristiwa-peristiwa Penting Pada Tarikh 01 Februari
01 FEBRUARI 1972 PERISYTIHARAN BANDARAYA KUALA LUMPUR
01 Februari 1972 – Kuala Lumpur merupakan petempatan pertama di Malaysia yang dikurniakan status Bandaraya sejak mencapai kemerdekaan. Perisytiharan Bandaraya Kuala Lumpur ini diadakan dalam satu majlis yang berlangsung di Bangunan Parlimen.
DYMM Seri Paduka Baginda Yang Di Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah berkenan memberikan penganugerahan dalam upacara yang gilang gemilang dan bersejarah ini.
Perdana Menteri, YAB Tun Abdul Razak telah menyampaikan Surat Perisytiharan tersebut bagi pihak Yang di-Pertuan Agong kepada Menteri Teknologi, Penyelidikan dan Kerajaan Tempatan, Dato’ Ong Kee Hui. Pada waktu yang sama, Pesuruhjaya Ibu Kota, Tan Sri Lokman Yusuf telah dilantik sebagai Datuk Bandar Kuala Lumpur yang pertama.
Pada 1 Februari 1974, Kuala Lumpur menjadi Wilayah Persekutuan dan statusnya sebagai ibu negeri Selangor diserahkan kepada Shah Alam pada tahun 1978.
01 FEBRUARI 1974 PENGISYTIHARAN WILAYAH PERSEKUTUAN
01 Februari 1974 – Bandaraya Kuala Lumpur dan kawasan-kawasan sekitarnya telah diisytiharkan sebagai Wilayah Persekutuan dengan rasminya pada 1974. Selepas pengisytiharan ini Kuala Lumpur telah dijadikan sebuah wilayah yang dikendalikan oleh Kerajaan Pusat di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan No.2) 1973. Serentak dengan itu kawasan Kuala Lumpur telah diperluaskan lagi dari 93.24 kilometer persegi kepada 243.46 kilometer persegi.
Detik bersejarah yang gilang gemilang penuh dengan adat istiadat kebesaran Raja-Raja Melayu itu berlangsung tepat pada jam 10.00 pagi bila Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor menandatangani Perjanjian Kuala Lumpur di Istana Negara. Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong dalam titah ucapannya menyifatkan dengan penubuhan Wilayah Persekutuan ini maka terciptalah lembaran baru dalam Sejarah Malaysia sebagai hasil pengorbanan yang besar oleh Sultan Selangor untuk membolehkan Kuala Lumpur lahir sebagai lambang kemegahan bangsa dan negara.
Yang Dipertuan Agong juga melahirkan rasa terhutang budi dan penghargaan yang tinggi kepada Sultan Selangor yang telah berkenan menyerahkan semua kuasa dan hak daulat atas ibu kota serta kawasan sekitarnya kepada Kerajaan Malaysia. Sebelum itu Baginda Sultan Selangor bertitah bahawa Kerajaan Negeri menyedari sepenuhnya hasrat Kerajaan Persekutuan hendak memiliki sebuah ibu negara supaya dapat ditadbirkan secara langsung.
Baginda berharap seluruh rakyat Malaysia akan menganggap ibu negara ini sebagai pusat tumpuan taat setia terhadap negara. Ini diikuti pula dengan pengisytiharan Wilayah Persekutuan oleh Perdana Menteri Tun Abdul Razak pada jam 10.21 pagi.
Sesuai dengan kemegahannya sebagai ibu negara, Kuala Lumpur berkembang dengan begitu pesat sekali. Pada 28hb Julai 1978, Wilayah Persekutuan telah diletakkan di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan. Badan yang menggerakkan segala kerja pembangunan dan pentadbiran Wilayah Persekutuan ialah Dewan Bandaraya. Datuk Bandar adalah pentadbir dalam organisasi ini dan dibantu oleh Lembaga Penasihat yang terdiri dari Datuk Bandar sebagai Pengerusi, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan dan 10 orang ahli tidak rasmi.
Dengan perluasan kawasan, Wilayah Persekutuan telah dibahagikan kepada 5 bahagian iaitu Setapak, Kepong, Kuala Lumpur, Damansara dan Sungai Besi. Pada hari ini dalam tahun 1984 merupakan ulang tahun ke 10 penubuhan Wilayah Persekutuan. Pembangunannya telah berkembang dengan begitu pesat sekali. Bangunan-bangunan pencakar langit dibina satu demi satu, malah Bandaraya Kuala Lumpur menjadi kebanggaan bukan saja penduduk Wilayah Persekutuan tapi juga masyarakat Malaysia.
Pada 1 Februari 1974 telah menyaksikan detik bersejarah penyerahan ibu negeri Selangor iaitu Kuala Lumpur kepada Kerajaan Persekutuan. Perjanjian bersejarah itu diwakili oleh Sultan Selangor, DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah bagi pihak Negeri Selangor dan bagi pihak Kerajaan Persekutuan pula diwakili oleh YDP Agong ke-5 iaitu DYMM Sultan Abdul Halim Mua'dzam Shah. Kesemua Raja-Raja Melayu juga turut hadir menyaksikan upacara tersebut yang berlangsung di Istana Negara.
Kerajaan Negeri Selangor mendapat pampasan sebanyak RM3.5 billion dan selepas itu bermulalah pembangunan ibu negeri Selangor yang baharu di kawasan estet kelapa sawit Sungai Renggam yang kini dikenali sebagai Shah Alam. Dalam masa satu dekad, bandaraya Shah Alam menjadi bandaraya yang termaju dan tersusun di Malaysia dengan pembangunan yang indah dan seimbang di mana Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah menjadi ikon kebanggaan Negeri Selangor Darul Ehsan.
Upacara menandatangani Perjanjian Penyerahan Kuala Lumpur sebagai Wilayah Persekutuan yang disaksikan oleh Raja-Raja Malaysia telah dijalankan di Istana Negara pada 1 Februari 1974. Kerajaan Selangor diwakili oleh Sultan Selangor iaitu Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj ibni Almarhum Sultan Hisamuddin Alam Shah manakala Kerajaan Persekutuan pula diwakili oleh Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah.
01 FEBRUARI 2001 PENGISYTIHARAN PUTRAJAYA SEBAGAI WILAYAH PERSEKUTUAN
01 Februari 2001 – YAB Perdana Menteri, Dato Seri Dr. Mahathir bin Mohamad telah mengisytiharkan secara rasmi Putrajaya sebagai Wilayah Persekutuan di majlis yang diadakan di Dataran Perdana Putrajaya pada tahun 2001. Pengisytiharan itu menjadikan Putrajaya sebagai Wilayah Persekutuan yang ketiga di negara ini selepas Kuala Lumpur dan Labuan.
Selain itu, ia mencatat sejarah kepada pembangunan negara apabila menjadi pusat pentadbiran negara yang baru secara rasmi. Putrajaya yang mengabadikan jasa dan kenangan terhadap Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman Putra Al Haj itu dibina dengan ciri-ciri kemajuan yang dihasratkan oleh negara untuk memacu ke arah kemajuan yang melewati rangka Wawasan 2020.
Bandar tersebut juga dilengkapi dengan infrastruktur tercanggih dari segi komunikasi serta urusan pejabat dan diharap dapat menghasilkan pentadbiran yang moden, cekap, berkesan serta maju.
Ketika berucap pada ucapan perasmian Perdana Menteri menyatakan bahawa kerajaan merasa gembira kerana berjaya membangunkan Putrajaya dan menjunjung kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor, Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Duli Yang Teramat Mulia Pemangku Sultan Selangor dan berterima kasih kepada Kerajaan Selangor yang telah bersetuju menyerahkan kawasan seluas 4,581 hektar ini untuk dijadikan kawasan Wilayah Persekutuan Kerajaan Pusat.
Perdana Menteri turut menurunkan tandatangannya pada plak perisytiharan Putrajaya sebagai tanda simbolik bandar itu secara rasmi menjadi sebuah Wilayah Persekutuan yang turut sama di hadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; Menteri Besar Selangor, Datuk Dr. Mohd. Khir Toyo, pegawai-pegawai kanan kerajaan serta para diplomat asing.
Gambar 1 : Selamat Menyambut Hari Wilayah Persekutuan
1 Februari 1948: Memperingati Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu
Saya yakin ramai yang tidak mengetahui bahawa tarikh 1 Februari adalah hari penubuhan Persekutuan Tanah Melayu di mana negeri-negeri Melayu telah diisytiharkan sebagai sebuah persekutuan, ataupun negara.
Gambar 2 : Demonstrasi membantah penubuhan Malayan Union di Tanah Melayu
Penubuhan Persekutuan Tanah Melayu 1948 ini adalah hasil perjuangan jitu orang Melayu yang bersatu-padu menggagalkan penubuhan Malayan Union yang sepatutnya menjadi satu entiti koloni mahkota British. Tidak lama selepas itu, Tanah Melayu pun diisytiharkan merdeka dan kemudiannya terbentuknya Persekutuan Malaysia selepas Sabah, Sarawak dan Singapura menyertainya.
Saya tidak ingin menceritakan lanjut mengenai perincian-perincian sejarah tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu, tetapi saya ingin menulis mengenai iktibar dan refleksi realiti masa kini terhadap perkara ini.
Kini, bukan sahaja tidak ramai yang tahu akan asalnya Malaysia adalah Persekutuan Tanah Melayu tetapi memang sudah jadi norma bahawa apabila disebut perkataan "Tanah Melayu" maka dilabelnya sebagai rasis dan pelbagai konotasi negatif. Ini membimbangkan kita kerana hakikat ini akan menjadikan generasi akan datang tidak mengetahui akan asal usul negara bangsa yang kita ada hari ini. Malah, 'Melayu' mereka akan hanya pada nama sahaja.
Gambar 3 : 9 Raja-raja Melayu bersama-sama dengan Pesuruhjaya Tinggi British
Konotasi Tanah Melayu memberikan makna bahawa bangsa Melayu berdaulat di tanah airnya sendiri, maka mereka perlu ada rasa izzah dan bersungguh-sungguh untuk menjaga izzah itu dengan berusaha bersungguh-sungguh membangun anak bangsa dari segenap aspek. Bangsa lain bangga menyebut tentang bangsa mereka, menyebut tentang tanah mereka. Namun, semakin ramai orang Melayu malu mengaku Melayu, jauh sekali ingin berjuang mengubah nasib anak bangsa mereka sendiri yang ketinggalan.
Bukan setakat itu, saya bimbang jika naratif sejarah akan ditukar di mana hakikat tanah ini adalah asalnya Tanah Melayu akan lenyap dan akhirnya orang Melayu tidak merasakan ini adalah tanah keramat yang diwariskan nenek moyang mereka. Jika kita lupa akan asalnya tanah ini, maka kita akan tidak merasakan apa-apa apabila tanah-tanah Rizab Melayu hilang digadai kepada orang lain. Itu yang kita sudah mula lihat berlaku pada masa kini. Apatah lagi apabila menjadi pemimpin; tiada rasa bersalah menggadai tanah dan maruah bangsa.
Apa salahnya tarikh 1 Februari dijadikan cuti umum di semua negeri yang pernah menganggotai Persekutuan Tanah Melayu. Bukan sahaja cuti, kita jadikannya sebagai sambutan tahunan sebagaimana kita menyambut Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia. Kita sambut kemenangan kita menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu setelah berjaya menumbangkan Malayan Union yang penuh tipu daya. Bayangkan apa yang akan terjadi jika kita terus dengan Malayan Union, dan tidak berjaya menubuhkan Persekutuan Tanah Melayu?
Alangkah baiknya jika perkara ini direalisasikan suatu hari nanti. Ameen.
No comments:
Post a Comment