Mencontohi Nabi bukan sekadar serpihan,
tetapi perlu dalam semua aspek kehidupan kita. Jadi, bagaimanakah cara
hidup yang diamalkan Rasulullah s.a.w yang perlu umat Islam contohi?
Baginda sentiasa berada dalam keadaan
sihat walaupun menggalas tugas berat dan mencabar. Perhatikan perbezaan
dengan diri kita yang menghidap pelbagai penyakit serta penderitaan.
Badan kita sihat, tetapi kebanyakannya hati berpenyakit. Antara beberapa cara hidup sihat yang Baginda amalkan adalah:
- Selalu bangun sebelum subuh
Rasulullah mengajak umatnya untuk bangun
sebelum Subuh bagi melaksanakan solat sunat, solat fardu dan solat Subuh
secara berjemaah.
Hal ini memberi hikmah yang mendalam
antaranya mendapat limpahan pahala, kesegaran udara subuh yang baik
terutama untuk merawat penyakit tibi serta memperkuatkan akal fikiran.
- Aktif menjaga kebersihan
Rasulullah sentiasa bersih dan rapi.
Setiap Khamis atau Jumaat, Baginda mencuci rambut halus di pipi,
memotong kuku, bersikat serta memakai minyak wangi.
“Mandi pada hari Jumaat adalah sangat dituntut bagi setiap orang dewasa. Demikian pula menggosok gigi dan pemakai harum-haruman.” (Hadis riwayat Muslim)
- Tidak pernah makan berlebihan
Sabda Rasulullah w yang bermaksud: “Kami
adalah satu kaum yang tidak makan sebelum lapar dan apabila kami makan
tidak terlalu banyak (tidak sampai kekenyangan).” (Muttafaq Alaih)
Dalam tubuh manusia ada tiga ruang untuk
tiga benda: Sepertiga untuk udara, sepertiga untuk air dan sepertiga
lainnya untuk makanan.
Bahkan ada satu pendidikan khusus bagi
umat Islam iaitu dengan berpuasa pada Ramadan bagi menyeimbangkan
kesihatan selain Nabi selalu berpuasa sunat.
- Gemar berjalan kaki
Rasulullah berjalan kaki ke masjid,
pasar, medan jihad dan mengunjungi rumah sahabat. Apabila berjalan kaki,
peluh pasti mengalir, roma terbuka dan peredaran darah berjalan lancar.
Ini penting untuk mencegah penyakit
jantung. Berbanding kita sekarang yang lebih selesa menaiki kenderaan.
Kalau mahu meletakkan kenderaan, mesti letak betul-betul di hadapan
tempat yang hendak kita pergi.
- Tidak pemarah
Nasihat Rasulullah ‘jangan marah’
diulangi sampai tiga kali. Ini menunjukkan hakikat kesihatan dan
kekuatan Muslim bukanlah terletak pada jasad, tetapi lebih kepada
kebersihan jiwa.
Ada terapi yang tepat untuk menahan
perasaan marah iaitu dengan mengubah posisi ketika marah, bila berdiri
maka hendaklah kita duduk dan apabila sedang duduk, maka perlu
berbaring.
Kemudian membaca Ta’awwudz kerana marah
itu daripada syaitan, segera mengambil wuduk dan solat dua rakaat bagi
mendapat ketenangan serta menghilang kan gundah di hati.
- Optimis dan tidak putus asa
Sikap optimis memberikan kesan emosional
yang mendalam bagi kelapangan jiwa selain perlu banyakkan sabar,
istiqamah, bekerja keras serta tawakal kepada Allah s.w.t.
- Tidak pernah iri hati
Bagi menjaga kestabilan hati dan kesihatan jiwa, semestinya kita perlu menjauhi daripada sifat iri hati.
“Ya Allah, bersihkanlah hatiku dari sifat-sifat mazmumah dan hiasilah diriku dengan sifat-sifat mahmudah.”
- Pemaaf
Pemaaf adalah sifat yang sangat dituntut
bagi mendapatkan ketenteraman hati dan jiwa. Memaafkan orang lain
membebaskan diri kita daripada dibelenggu rasa kemarahan.
Sekiranya kita marah, maka marah itu melekat pada hati. Justeru, jadilah seorang yang pemaaf kerana yang pasti badan sihat.
Melayukini.net –
Bahagia sebenarnya bukan mendapat tetapi dengan memberi. Sebenarnya,
banyak lagi cara hidup sihat rasul semoga hati kita semakin dekat dengan
Nabi yang amat kita rindukan pertemuan dengannya.
Sumber: Wanita Sihat | Koleksi Kesihatan & Riadah Melayukini.net
No comments:
Post a Comment