Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Sunday, 15 July 2012

Antara Malaysia dan Turki


DATUK Zaini Hassan, dalam kolum mingguannya Cuit di Utusan Malaysia 11 Julai lalu telah mencatatkan dengan panjang lebar kekagumannya terhadap perkembangan Islam di Turki dan kemajuan yang ditempa oleh pergerakan Hizmet dalam membangunkan ummah melalui usaha sukarelawan dan wakaf.
Menulis dari Istanbul, Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan yang juga ahli jawatankuasa pengurusan Yayasan Iqra' itu antara lain menjelaskan:
''Hizmet memberi fokus kepada pendidikan, kesihatan, media, kewangan beretika dan bantuan kemanusiaan. Pertubuhan ini sama seperti pertubuhan wakaf di negara kita, Malaysia. Tetapi dalam konteks Turki yang selama ini ditekan oleh pihak tentera, pergerakan ini tidak berjalan secara berstruktur.
''Ia bermula dengan pengajian Islam oleh Fethullah (Gulen), yang kemudian berkembang menjadi sebuah pergerakan yang disertai jutaan rakyat Turki. Satu daripada tiga penduduk Turki terbabit dalam pergerakan sukarela ini menerusi semangat sukarela atau melalui yayasan."
Kebetulan selepas membaca catatan Zaini, hamba menerima satu SMS panjang daripada seorang kenalan, Syed Hassan Syed Ali, Setiausaha Agung Perkasa (Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia). Dengan izinnya, dipanjangkan kandungan SMS itu kepada pembaca seperti berikut:
''Dah baca Cuit hari ini. Kagum sungguh kagum, tetapi apakah usaha ini jika diterapkan di tanah air boleh berjaya jika kuasa Melayu sudah hilang? Ya, benar Hizmet boleh bergerak dengan berjaya walaupun secara senyap sebelum ini ketika kerajaan yang menentang pergerakan ini berkuasa.
''Tetapi Turki satu bangsa dan 99 peratus Islam. Walaupun asas negara itu sekular, jiwa bangsa dan Islamnya tidak pernah pudar.
''Berlainan di Malaysia. Rakyat berbilang kaum. Bukan Islam pun sudah lebih 40 peratus. Jika Melayu hilang kuasa, pergerakan seperti Hizmet pastinya sukar bergerak walaupun dalam senyap.
''Ketika berkuasa ini pun, Melayu takut hendak sebut fasal Islam dan Melayu. Sepatutnya Islam bertambah maju dan ditakuti ketika umatnya sedang berkuasa. Kita pernah begitu berani dan jelas sekali perjuangan Islam di negara ini.
''Kenapa pula kita hendak menuju kepada pergerakan secara senyap. Sifat menderma, menyumbang dan mengambil berat kepada Islam sepatutnya secara agresif ditanam kepada semua umat Islam negara ini ketika kuasa masih di tangan.
''Malangnya di Malaysia, tanah wakaf yang terletaknya madrasah hendak dirobohkan dan dijual kepada bukan Islam bagi tujuan komersial mereka. Yang berusaha sungguh untuk lepaskan tanah wakaf itu pula (ialah) umat Islam sendiri. ''Apalah malang nasib!''
Hamba tidak berhasrat untuk mengulas dan menokok tambah pandangan Setiausaha Agung Perkasa itu. Terpulanglah kepada pembaca untuk membuat tafsiran masing-masing.
Bagi hamba, apa jua usaha amal soleh yang hendak dilakukan oleh mana-mana pihak berwajib, dialu-alukan dan disokong oleh seluruh umat Islam yang beriman. Yang penting kita berusaha, tanpa menetapkan angka sasaran kejayaan.
Kejayaan
Selagi niat kita ikhlas dan sentiasa beristiqomah dalam menjayakan usaha tanpa rasa jemu dan kecewa, biarlah Allah yang menentukan kejayaannya.
Agama Islam bermula daripada seorang manusia bernama Muhammad bin Abdullah yang mengembangkannya tanpa menetapkan berapa ramai manusia yang akan menjadi pengikutnya. Yang penting Baginda berusaha tanpa rasa jemu, takut dan sentiasa mara ke hadapan hingga ke akhir hayat.
Kejayaan usaha dakwah Baginda ditentukan Allah SWT. Contoh klasik ialah betapa Rasulullah gagal mengislamkan bapa saudara yang amat dikasihinya, Abu Talib. Baginda tidak pernah putus asa, malah ketika bapa saudaranya terlantar nazak, dicubanya juga supaya Abu Talib melafazkan dua kalimah syahadat.
Lalu Allah berfirman bahawa iman itu adalah hak-Nya dan Dia lebih mengetahui siapa yang layak diberikan iman.
Begitu jugalah kisah Nabi Yunus as yang kecewa apabila dakwah kepada kaumnya tidak dihiraukan oleh sesiapapun. Lantaran marah dan kecewa, beliau terus meninggalkan kaumnya dan berkelana jauh membawa hati yang lara.
Dalam pengembaraan meninggalkan jauh kaumnya, Nabi Yunus as telah menaiki kapal. Apabila kapal dilanda ribut, nakhoda kapal terpaksa mengurangkan muatan untuk mengelakkan daripada ditenggelami ombak besar. Selain membuangkan barang-barang, juga dijalankan cabutan undi bagi memilih penumpang yang terpaksa terjun ke laut.
Dengan takdir Allah, Nabi Yunus mencabut undian terjun ke laut. Apabila terjun ke laut, Nabi Yunus ditelan ikan besar. Ketika itulah beliau tersedar kesilapannya meninggalkan kaumnya kerana gagal mendakwahkan mereka.
Dengan penuh keinsafan, beliau berdoa 'La ilaha illa anta subhaanaka inni kuntu minazzholimiin''' yang bermaksud ''Tiada Tuhan melainkan Engkau (ya Allah)! Maha Suci Engkau, Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang yang menganiaya diri sendiri."
Lalu ikan besar itu memuntahkan Nabi Yunus as keluar dari perutnya dan akhirnya baginda terdampar ke darat. Nabi Yunus as kemudian kembali ke kampung halamannya untuk meneruskan semula dakwahnya dan dengan izin Allah seluruh kaumnya yang berjumlah kira-kira 100,000 orang telah beriman kepada ajarannya.
Moral daripada dua kisah nabi yang difirmankan dalam al-Quran ini ialah apa jua usaha, khususnya yang bersifat keagamaan hendaklah dilakukan dengan niat ikhlas semata-mata kerana Allah. Kita hanya berusaha, tetapi Allah jualah yang menetapkan hasilnya. Itulah prinsip yang diajar kepada setiap nabi.
Maka jika dicampuraduk kerja agama kita dengan niat lain yang bersifat duniawi, nescaya Allah tidak akan menerimanya sebagai amal soleh. Dikhuatiri bukan sahaja amal yang dilakukan berakhir dengan sia-sia di dunia, malah pahala untuk bekalan akhirat sedikit pun tidak diperoleh.
Hamba percaya prinsip inilah yang dipegang oleh para pengikut dan penyokong Fethullah Gulen yang menjayakan pergerakan Hizmet. Mereka bukan mencari kemasyhuran, sanjungan dan keuntungan dunia. Mereka hanya mencari keredaan Allah.
Dan kita tidak perlu takutkan kegagalan dalam melaksanakan apa jua kerja kebajikan. Orang-orang beriman mestilah bersikap optimis dan tidak boleh kecewa seperti yang dilalui Nabi Yunus as. Yang penting niat mesti betul dan usaha tidak bertentangan dengan syariat. Berjaya atau tidak, itu urusan Allah SWT.
Tidak kurang penting, jika ada beberapa pergerakan atau yayasan wakaf yang melakukan kerja amal yang sama, jangan sesekali bersaing untuk mendabik dada siapa yang lebih berjaya. Jika sukar untuk bergabung, hendaklah mereka bekerjasama dan tolong menolong.
Jangan jadi seperti orang-orang politik yang menggunakan agama untuk tujuan politik.


© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...