Fethullah Gulen ialah pengasas pergerakan Hizmet.
ISTANBUL ialah bandar raya yang indah, tersusun dan mistik. Keagungan empayar Uthmaniah 700 tahun lalu cukup mengagumkan. Kerana empayar itulah Turki wujud sekarang.
Walaupun selepas kejatuhan empayar itu dan berada di era Mustafa Kemal Ataturk, yang menyebabkan umat Islamnya tertutup kepada syiar Islam, Turki kini bangun semula.
Mungkin ada hikmahnya, Ataturk menerajui negara itu. Jika tidak mungkin Turki tidak sebegini hari ini. Mungkin, Turki akan terus mundur dan langsung tidak dipedulikan oleh Eropah.
Setelah tertutup, ditekan dan dinafikan hak beragama oleh Ataturk lebih 40 tahun, kini syiar Islam mulai berkembang semula. Jika dulu laungan azan pun dalam bahasa Turki, bacaan al-Fatihah pun dalam bahasa Turki, ajaran dan perkembangan Islam dilarang sama sekali, kini ia sudah dibuka walaupun tidak sepenuhnya.
Walaupun Perlembagaannya tetap sekular, tapi pemerintahan Turki kini tidak melarang Islam berkembang dan hanya menutup sebelah mata.
Masjid melimpah-ruah dengan jemaah. Saya sempat bersolat Jumaat di bandar raya Bursa, kira-kira 400 kilometer dari Istanbul. Masjid Ulu Cami dibina pada tahun 1396-1399, atau kira-kira 650 tahun lalu.
Masjid itu merupakan mercu tanda awal senibina Uthmaniah yang diarah pembinaannya oleh Sultan Bayezih I. Ia mempunyai 20 kubah dan dua menara azan. Jemaah melimpah sehingga keluar semasa solat Jumaat.
Semua orang di sini sudah mula bercakap mengenai Islam. Di kedai-kedai di Istanbul, pekedai-pekedai secara terbuka bercakap mengenai agama agung itu. Pengetahuan agama mereka cukup baik. Mereka juga amat kagum dengan orang Malaysia.
Dari orang muda hingga tua mereka cukup kagum apabila mengetahui saya dari Malaysia. Malaysia amat baik bagi mereka. Bagus, bagus, bagus, kata mereka. Tapi aneh, rakyat Malaysia sendiri cukup benci dengan kemakmurannya?
Semangat orang Turki cukup hebat. Semangat mereka mengalir turun-temurun daripada darah keturunan Uthmaniah yang cukup agung. Darah mereka ialah darah pahlawan silam. Darah mereka ialah darah kesatria, darah mereka ialah darah para ambia dan ahli-ahli Sufi yang mengamalkan nilai-nilai murni, ikhlas dan merendah diri.
Turki kini bangkit kembali. Walaupun Eropah tidak mahu menerimanya memasuki ke dalam Kesatuan mereka semasa zaman kegemilangan EU dan Eurozone, namun Turki tidak berdukacita.
Ada hikmahnya. Kini negara-negara Eropah lain, termasuk jirannya Greece dan Sepanyol sedang kemurungan, Turki sebaliknya terus memuncak.
Semangat rakyat Turki cukup hebat, ekonominya amat rancak dan ia kini merupakan ekonomi kedua terancak dan terbesar di Eropah selepas Jerman.
Pelancong berpusu-pusu memasuki bandar raya ini di musim panas ini. Ramai yang terpegun melawat Istana Topkapi yang kini dijadikan muzium. Ia dibina semasa pemerintahan Sultan Mehmet II atau Sultan Mehmet Penakluk pada 1460 hingga 1478 sebagai pusat pentadbirannya.
Pelancong terpegun melihat Muzium Hagia Sophia yang wujud sebagai gereja 916 tahun dulu semasa zaman Byzantine dan selama 481 tahun sebagai masjid di bawah kepimpinan Uthmaniah. Pertembungan dua tamadun yang mengayakan budaya negara itu.
Pelancong berpusu-pusu beratur panjang memasuki Masjid Biru untuk bersolat, masjid yang dibina oleh Sultan Ahmed I dengan sentuhan arkitek abad ke-17 Sedefkar Mehmet Aga. Inilah Turki pada hari ini.
Namun misi saya di Turki ialah untuk belajar. Belajar mengenai semangat kesukarelaan oleh sebuah pergerakan yang bergerak secara longgar, tidak berdaftar, dan telah berjaya menanamkan Semangat Memberi di kalangan rakyat Turki, iaitu Hizmet.
Hizmet yang bergerak atas platform Pertubuhan Pergerakan Sosial (SMO), bererti Khidmat atau Pergerakan Sukarela. Ia juga dikenali sebagai Pergerakan Gulen, mengambil nama seorang ulama terkenal Turki yang mengasaskannya iaitu Imam Fethullah Gulen.
Hizmet memberi fokus kepada pendidikan, kesihatan, media, penerbitan, kewangan beretika dan bantuan kemanusiaan. Dalam bidang media, pergerakan Hizmet memiliki akhbar terbesar di Turki, Zaman edisi Turki dan Inggeris. Ia juga memiliki stesen televisyen dan agensi berita.
Pergerakan ini sama seperti pertubuhan wakaf di negara kita, Malaysia. Tetapi dalam konteks Turki yang selama ini ditekan oleh pihak tentera, pergerakan ini tidak berjalan secara berstruktur.
Ia bermula dengan pengajian Islam oleh Fethullah, yang kemudian berkembang menjadi sebuah pergerakan yang disertai oleh jutaan rakyat Turki. Satu daripada tiga penduduk Turki terbabit dalam pergerakan sukarela ini menerusi semangat sukarela atau melalui yayasan.
Sesiapa sahaja yang kita temui di Istanbul atau di seluruh Turki mengetahui mengenai pergerakan ini. Semasa berjalan-jalan di Grand Bazaar di bandar raya ini, saya bertemu dengan seorang penjual karpet mewah dan antik. Dia boleh menceritakan mengenai Hizmet dengan lancar sekali.
Bersama dua lagi rakan, kami terpegun sehingga naik bulu roma mendengar penjelasannya mengenai khidmat ini. Ayah saya mendermakan AS$50,000 setahun kepada Hizmet bagi mendirikan sekolah-sekolah di negara-negara mundur dan miskin.
Kami berdakwah melalui pendidikan di negara mundur di Afrika, misalnya atau di Asia. Pendidikanlah yang akan menghindarkan daripada kekufuran. Ia adalah amal kebajikan dalam bentuk yang cukup subjektif," kata Muzaffar berkelulusan Kejuruteraan Mekanikal dari Jerman.
Hizmet, kata Muzaffar dianggotai oleh bapanya secara langsung. Ia diasaskan melalui semangat Sufi iaitu ikhlas dan menjangkau pancaindera kami, katanya.
Walaupun diasaskan oleh Fethullah, tokoh itu tidak pernah dipuja. Kami tidak pernah memujanya, malah beliau pun tidak mahu dipuja, kata Muzaffar.
Fethullah yang kini dalam usia 73 tahun tinggal di Amerika Syarikat dan pernah dipenjara oleh kerajaan Turki terdahulu kerana dikatakan cuba menjatuhkan kerajaan menerusi pergerakannya itu yang mendapat sambutan rakyat. Semasa Republik Turki mulai wujud, Fethullah cukup azab ditindas dan disekat daripada mengajar agama.
Kini keadaannya sudah berbeza. Hizmet diterima oleh pemerintah Turki, walaupun bukan secara terbuka.
Kami akan tetap bergerak secara longgar dan tidak terbuka. Kita tidak tahu apa akan jadi kepada Turki di masa akan datang," kata salah seorang penggeraknya, Sabahattin Atalay, Pengarah Fatih Universiti - antara universiti terkemuka Turki yang diasaskan menerusi sumbangan wakaf ahli-ahli Hizmet.
Kini beribu-ribu sekolah dari peringkat tadika, rendah, menengah hingga ke universiti ditubuhkan menerusi pergerakan ini melalui yayasan-yayasan yang ditubuhkan. Ia mengajar ilmu pendidikan moden selaras dengan ilmu yang perlu dikecapi oleh ummah. Ia juga mewujudkan madrasah-madrasah yang mengajar anak-anak di luar sekolah mengenai al-Quran dan al-Hadis.
Madrasah-madrasah yang saya lawati bukan seperti sekolah pondok yang tidak terurus, tetapi cukup moden siap dengan perpustakaan yang lengkap dan kelengkapan yang mencukupi. Ia juga terlalu bersih dan tersusun.
Apa yang penting untuk dilihat ialah semangatnya. Semangat Sufisme yang diterapkan oleh rakyat negara ini yang secara ikhlas membantu antara satu sama lain, sayang menyayangi, hormat menghormati, kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria yang turut menyertai lawatan itu.
Itulah semangat yang juga perlu diterapkan dalam masyarakat kita di Malaysia. Semangat untuk membantu antara satu sama lain dan bersatu-padu antara ummah.
Hizmet bukan pergerakan untuk membantu individu, seperti fungsi zakat, tetapi untuk menggerakkan ummah ke arah yang lebih besar menerusi pendidikan. Anak-anak yang berjaya ini kelak, akan menyumbang semula kepada kumpulan yang lain.
Inilah hebatnya Hizmet di Turki, yang kini turut menyalurkan bantuan ke negara-negara bekas jajahan Soviet, terutamanya negara Islam yang mundur.
Pendidikan yang diterapkan oleh pergerakan itu mengorientasikan rakyat berfikir sendiri dan menjadi ejen perubahan mengikut nilai-nilai keadilan sosial, hak asasi manusia dan toleransi.
Inilah yang membezakan ia dengan organisasi atau pergerakan kultus (ajaran sesat atau pemujaan seperti Al-Arqam) yang berorientasikan hak dalaman, keseragaman, upacara-upacara tertentu, perlambangan untuk menentukan keahlian, sedangkan Hizmet tiada semua itu.
Lawatan itu diketuai oleh ahli lembaga amanah Yayasan Iqra Malaysia, Datuk Seri Idris Jusoh yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara). Yayasan Iqra kini ialah penggerak kepada pendekatan Wakaf Korporat di Malaysia.
Ia merupakan satu inisiatif bagi menggerakkan sumber-sumber dan tenaga ke arah membina Dana Wakaf sebagai tapak perniagaan dan kemajuan ekonomi umat Islam menerusi pembentukan kekayaan mapan ummah. Syarikat-syarikat milik ummah yang sukar boleh diselamatkan dan ditadbir urus oleh wakaf ini.
Turut serta dalam lawatan itu ialah anggota Yayasan Iqra terdiri daripada ahli perbankan, bekas-bekas kapten perbankan, ahli-ahli pendidik serta ahli-ahli perniagaan.
Kami mahu belajar mengenai kejayaan pergerakan ini. Kita bukan mahu memuja pengasasnya Fethullah Gulen, tapi mahu mempelajari semangat yang berjaya diterapkan di sanubari ahli-ahli perniagaan dan rakyat jelata.
Ahli-ahli perniagaan sini dengan ikhlas membuat amal jariah membantu kumpulan yang tidak bernasib baik. Ia berlaku, mungkin kerana rakyat Turki selama ini tidak boleh bergerak secara terbuka melalui satu ummah.
Dalam konteks Malaysia, kita berbeza. Kebebasan yang ada pada kita tidak seharusnya menjadi rintangan dan sepatutnya Semangat Memberi ini lebih berjaya di negara kita," kata Idris yang menyifatkan lawatan itu cukup berjaya.
Semasa menaip Cuit ini di restoran hotel yang dihuni berhadapan Selat Bosphorus, saya ditegur oleh kakitangan hotel itu. Dia berkata adakah saya sedang menulis buku. Saya berkata saya sedang menulis mengenai Hizmet di Turki.
Dia dengan bangga berkata: Saya berasal dari Armenia dan lulusan dari sekolah yang didirikan oleh pergerakan Hizmet di sana. Saya cukup gembira saudara menulis mengenai pergerakan ini. Ia adalah satu pergerakan yang cukup murni dan perlu dicontohi," katanya.
Baca buku mengenai soal jawab mengenai pergerakan itu bertajuk: Hizmet Questions and Answers on the Gulen Movement oleh Muhammed Cetin, Blue Dome 2012.
Sebenarnya, Hizmet bukanlah satu-satunya pertubuhan seumpamanya yang ada. Kaum Yahudi atau bangsa-bangsa lain juga mempunyai pergerakan yang sama yang membantu antara satu sama lain.
Begitu juga kaum Cina di Malaysia juga mempunyai yayasan demi yayasan bagi membantu bangsa mereka untuk maju dalam pelbagai bidang.
Kaum Melayu Islam, nampaknya masih jauh ketinggalan dalam hal ini. Wakaf sebenarnya ialah jawapan kepada permasalahan ini.
Jika dulu, orang kampung mewakafkan tanah untuk didirikan madrasah atau tanah perkuburan, konsep itu sebenarnya perlu diperluaskan lagi ke peringkat yang lebih besar.
Walaupun kita bukan seperti Turki, yang menurut CIA World Factbook, 99.8 peratus penduduknya beragama Islam, kita masih boleh berjaya jika bersatu. Rakyat Turki harus perlu dijadikan contoh atas semangat mereka yang bersatu.
Walaupun Islam majoriti, tapi ekonomi kami pernah dikuasai oleh kumpulan Yahudi semasa era Ataturk kerana kami berpecah dan tidak bernasib baik. Orang Turki Islam pada masa itu dihantar ke medan perang dan akhirnya mati dan cacat.
Tapi yang menguasai segala-galanya pada masa itu ialah orang Yahudi yang kecil jumlahnya. Kini kami cuba menguasainya semula - baik dalam ekonomi, pendidikan dan sebagainya melalui semangat Hizmet ini," kata Setiausaha Agung Persatuan Dialog Malaysia-Turki, Kursat Ciftci.
Namun, Hizmet bukanlah sebuah pertubuhan yang terkongkong kepada orang Islam semata-mata, pelbagai kumpulan etnik bukan Islam turut menyumbang ke arah kesejahteraan manusia melalui pergerakan itu.
Tasekkur ederim Turkiye - Terima kasih Turki di atas budi baik anda kepada kami. Kita harus mencontohi Semangat Memberi itu. Wakaf adalah agenda penyelamat ummah.
Nota: Zaini Hassan juga adalah
Ahli Jawatankuasa Pengurusan Yayasan Iqra
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20120711/re_02/Seminggu-di-Istanbul:-Semangat-Uthmaniah,-Hizmet-dan-Iqra%E2%80%99#ixzz2f6hjlp9h
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment