Soalan; Assalam..ustaz, boleh atau tidak aqad wakalah aqiqah/qurban dlm sms/email/whatsapp dan lain2? trm ksh ustaz..
Jawapan;
Sebarang akad tidak sah melainkan dengan sighah yang jelas. Maksud sighah ialah pernyataan secara zahir dari kedua pihak yang berakad sebagai tanda kerelaan mereka untuk melakukan aqad. Ia meliputi ijab (iaitu pernyataan untuk beraqad dari pihak yang memulakan akad) dan qabul (iaitu penerimaan/persetujuan dari pihak kedua). Sighah (pernyataan) ini boleh berupa percakapan, tulisan, bahasa isyarat yang difahami[1] atau dengan perbuatan/tindakan (seperti satu pihak memberi dan satu pihak lagi mengambil). Secara ringkasnya dapat kita katakan bahawa berakad melalui sms, email dan seumpamanya masuk dalam hukum akad melalui tulisan. Para ulamak mengharuskannya dengan syarat tulisan itu jelas (tiada kesamaran), benar datang dari pihak berakad dan bertujuan akad.[2] Selain itu, kedua pihak yang berakad hendaklah orang yang sah untuk berakad, iaitu; telah baligh dan beraqal (waras).kerana -melalui sms, email dan seumpamanya itu- aqad dilakukan secara berjauhan, qabul dari pihak kedua dikira setelah tulisan sms/email dari pihak pertama dibaca dan difahaminya dan ia menyatakan persetujuannya selepas itu.
Wallahu a’lam.
Rujukan;
1. al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 28/160 (perkataan ‘sighah’).
2. al-Mu’amalaat al-Maliyah-2, as-Syubaily, hlm. 76.
3. at-Tijarah al-Iliktroniyah, ‘Ali Muhammad Ahmad Abu al-‘Izzi, hlm. 190.
4. Hukm Ijra’ al-‘Uqud bil-Alati al-Hadithah, Dr. al-Farfur (Majallah Majma’ al-Fiqh; 6/593).
[1] Beraqad dengan isyarat hanya harus bagi orang yang tidak mampu bercakap dan menulis.
Sumber: USTAZ AHMAD ADNAN FADZIL
No comments:
Post a Comment