Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Sunday 17 November 2013

Berlakon, berlawak hingga akhir hayat

Oleh ABD. AZIZ ITAR
aziz.itar@utusan.com.my


Ahmad Busu bersama barisan pelakon Pi Mai Pi Mai Tang Tu ketika menjayakan teater musikal sitkom itu pada November 2006.

ALLAHYARHAM Ahmad Busu sebenarnya bukanlah pelakon atau pelawak sepenuh masa. Biarpun bergelumang dalam dua bidang seni itu sejak 1978, tetapi pada masa sama beliau juga merupakan seorang kakitangan kerajaan.

Anak kelahiran Taiping, Perak ini ialah bekas pesara di Lembaga Pelabuhan Klang. Beliau bertugas di agensi kerajaan itu dari tahun 1973 sehinggalah persaraannya pada 1992.

Namun, kerana minat yang mendalam dalam bidang lakonan, Ahmad atau lebih dikenali dengan watak Mat Deris dalam sitkom popular Pi Mai Pi Mai Tang Tu pada tahun 1980-an ini bijak dalam membahagi-bahagikan masanya sebagai kakitangan kerajaan dan anak seni.

Sejak pertama kali berlakon dalam teater Tuan Hakim bersama kumpulan Angkatan Seni Tanah Air (Asnita) pada 1978, kariernya sebagai pelakon terus berkembang sehinggalah ke akhir hayatnya yang mana beliau telah menghembuskan nafas terakhir malam semalam.

Nama arwah bukan sahaja terus menyinar sebagai pelakon teater dan drama tetapi turut lebih dikenali ramai sebagai pelawak. Beliau misalnya popular menerusi watak Ram dalam sitkom popular 2 + 1 bersama Imuda yang disiarkan di TV3 kira-kira 20 tahun lalu.

Disebabkan Pi Mai Pi Mai Tang Tu dan 2 + 1 yang paling banyak mempopularkan nama Allahyarham, maka tidak hairanlah beliau cukup rapat dengan para pelakon dua siri televisyen itu seperti Imuda, Allahyarham Zami Ismail, Mohamad Abdullah dan Louisa Chong sehinggalah ke penghujung nafasnya.

Sebagai anak seni, Ahmad atau nama sebenarnya Ahmad Bin Busu begitu menghargai bakatnya dalam bidang seni selain mengambil peluang berlakon yang diberikan kepadanya sebaik mungkin. Malah, Allahyarham juga jarang tidak hadir pada majlis-majlis anjuran stesen- stesen televisyen seperti RTM yang menjemputnya dalam rancangan-rancangan terbitan stesen itu.

Penulis masih ingat lagi, pada pertemuan kali terakhir di Wisma Radio, Angkasapuri, Kuala Lumpur pada bulan Ramadan lalu, arwah yang ketika itu kurang sihat tetapi masih sanggup menggagahkan dirinya memanjat tangga Angkasapuri.

Pada majlis rakaman program terbitan RTM dan majlis berbuka puasa, beliau yang datang dengan bertongkat. Masih terngiang-ngiang lagi di telinga penulis kata-kata Allahyarham yang menggambarkan komitmennya dalam bidang seni selain bagi memenuhi undangan tersebut.

"Saya datang ke majlis ini bagi memenuhi undangan RTM. Selagi boleh datang saya akan datang walaupun isteri saya tidak kasi saya memandu kereta dari rumah saya di Klang ke Angkasapuri. Saya gagahkan juga datang dengan menumpang kereta Pak Hamid (Hamid Gurkha).

"Ini kerana, kebetulan Pak Hamid juga tinggal di Klang dan saya agak rapat dengannya. Maklumlah dalam keadaan saya sekarang ini memang susahlah hendak memandu kereta sendirian," katanya.

Beliau yang ketika itu kelihatan kurang sihat kerana menghidap kencing manis sejak kira-kira 20 tahun lalu turut ditambah dengan masalah angin ahmar yang dideritainya sebelum itu.

Pada perbualan singkat sebelum rakaman rancangan di RTM itu, Allahyarham juga sempat menceritakan penyakit yang dideritainya itu.

Allahyarham antaranya telah diserang angin ahmar beberapa bulan sebelum pertemuan kami itu sehingga bahagian tangan kiri dan bahagian badan kirinya sukar digerakkan selama hampir tiga bulan.

Bapa kepada Nur Hamizah, 29, Mohd. Afiq, 28, Muhammad Luqman, 21, dan Nur Hanis, 10, yang dilahirkan pada 10 September 1953 ini tidak menjadikan alasan kesihatannya untuk bersara berlakon selepas pencen sebagai kakitangan kerajaan 21 tahun lepas.

Buktinya Allahyarham ketika hayatnya tidak menang tangan menerima tawaran berlakon termasuklah filem terakhirnya berjudul Dunia Baru The Movie terbitan Grand Brilliance beberapa tahun lalu.

Namun, sebelum dikenali sebagai pelawak, Allahyarham terlebih dahulu mencipta nama sebagai pelakon teater dan drama televisyen terutama di TV1 dan TV2 pada era 1980-an.

Malah, Allahyarham pernah meluahkan perasaannya kepada penulis dengan mengatakan dia asalnya bukanlah seorang pelawak tetapi lebih kepada pelakon drama berat.

"Saya lebih suka kalau orang panggil saya pelakon daripada pelawak. Ini kerana, kalau pelakon dia boleh melawak dan sebagainya tetapi kalau pelawak dia tidak semestinya boleh berlakon," ujarnya penuh makna.
Jelas Allahyarham yang uzur sejak 2009 pernah berkata, kesesuaiannya melakonkan watak-watak komedi dalam sitkom dan filem seperti Mat Som dan Imigran banyak dipengaruhi oleh lakonannya dalam drama-drama televisyen yang bergenre drama berat sebelum itu.

Allahyarham contohnya, pernah berlakon dalam drama televisyen berjudul Angin Bila Menderu arahan Abdullah Zainol yang mana dalam naskhah itu beliau melakonkan watak seorang yang terencat akal. Watak seorang yang kurang siuman itu katanya bukan melahirkan rasa simpati para penonton, sebaliknya ramai yang ketawa melihat lakonannya itu.

Apa pun Allahyarham yang pernah terbabit dalam pementasan teater seperti Si Bongkok Tanjung Puteri pada 1979 dan Hari-Hari Terakhir Seorang Seniman (1984) di Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur akan terus diingati sebagai antara pelawak yang pernah mewarnai dunia sitkom era 1980-an.

Jenazah Allahyarham disembahyangkan di Surau An-Na'im, Taman Seri Andalas, Klang pada pukul 9.50 pagi semalam dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Selat Klang pada pukul 11.30 pagi hari yang sama.
Selain ahli keluarga, turut hadir memberikan penghormatan terakhir ialah rakan Allahyarham seperti Datuk Jamali Shadat, Datuk Baharuddin Omar, Datuk D.J. Dave dan Imuda.

Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang soleh. Amin.

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131112/re_06/Berlakon,-berlawak-hingga-akhir-hayat#ixzz2kuNGYoxY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...