SETIAP negara mempunyai masalahnya sendiri setiap kali berhadapan dengan para remaja terutama dalam melibatkan isu tabu seperti hubungan seks di luar nikah.
Mengambil contoh Malaysia sendiri perhubungan seks sebelum berkahwin semakin menular di tahap yang membimbangkan.
Kerana gagal mengawal nafsu remaja telah mengakibatkan gejala seperti seks luar nikah berleluasa dan lebih menakutkan gejala buang bayi semakin parah seolah-olah tidak ada sebarang rasa penyesalan dan takut akan hukuman Allah.
Hanya akibat nikmat yang seketika remaja ini akhirnya terperangkap dalam polemik yang dicipta mereka sendiri dan membuat keputusan yang akan menghantui mereka seumur hidup.
Masalah seks dan remaja bukanlah satu perkara baru dan isu ini telah menjadi masalah kronik dalam sistem masyarakat mana-mana negara di dunia sejak zaman berzaman.
Malah Amerika Syarikat (AS) sendiri sentiasa melihat perkara ini sebagai satu ancaman walaupun mereka kelihatan seperti gagah dalam menunjukkan pada dunia apa yang dilakukan mereka adalah paling betul dan demokratik.
Namun sudah tentu cara mereka menyelesaikan masalah juga adalah berbeza dengan kita yang mengangkat Islam sebagai agama rasmi. Mereka lebih melihat jalan penyelesaian berlandaskan akal dan nafsu semata-mata tanpa menjadikan agama sebagai rujukan.
Menjadikan remaja mereka sebagai satu bahan kajian, antara yang ditekankan adalah mengawal kelahiran. Sudah menjadi kebiasaan di sekolah-sekolah AS guru mengajar anak murid mereka cara pemakaian kondom menggunakan pisang. Selain mengajar tentang wujudnya hubungan sesama jantina.
Satu lagi teknik popular adalah melawan diri daripada terlibat dalam sebarang aktiviti seksual atau abstinence hinggalah berkahwin.
Mungkin baik bagi mereka tetapi antara yang dipraktikkan adalah menandatangani sumpah mempertahankan dara, memakai cincin janji (yang juga sebagai cara mempertahankan dara si gadis).
Satu lagi cara yang semakin meningkat popular di AS adalah mengadakan satu majlis yang dipanggil Father Daughter Purity Ball, yang mana ia turut melibatkan proses menandatangani komitmen oleh si bapa dalam mempertahankan anak gadis mereka terutama dalam soal kedaraan.
Kita tidak nafikan mungkin apa yang dilakukan selain mewajarkan hubungan sesama jantina ada baiknya bersesuaian dengan budaya mereka. Perkara sama juga berlaku di Eropah yang kita saksikan akhirnya tidak banyak membantu para remaja. Mereka hanya 'terselamat' di alam persekolahan tetapi tidak begitu terjamin apabila menjejakkan kaki dalam dunia pekerjaan kerana bagi mereka bertukar pasangan adalah biasa dan baik untuk perhubungan dan perkahwinan dianggap jalan paling terakhir.
Tidak berminat
Bagaimanapun dalam keadaan kebanyakan negara berhadapan masalah seks di peringkat remaja, berbeza pula keadaannya di Jepun. Menurut satu kajian yang dilakukan oleh Pertubuhan Perancang Keluarga Jepun (JFPA) mendapati 45 peratus gadis berusia di antara 16 hingga 24 tahun tidak berminat dalam seks malah menolaknya secara total.
Malah separuh dari lelaki dalam lingkungan usia sama dalam kajian tersebut juga menunjukkan kecenderungan berkaitan. Ramai di antara mereka melihat perkara seperti perhubungan atau percintaan selain hubungan seks sebagai sesuatu yang tidak cukup menarik untuk diberi perhatian sepenuhnya.
Menurut ketua JFPA, Kunio Kitamura, masalah kelahiran yang semakin meruncing di negara matahari terbit itu kini dalam keadaan sangat serius yang memungkinkan Jepun bakal berhadapan masalah kepupusan satu hari nanti.
Purata kelahiran di negara itu juga semakin merosot teruk dengan perbandingan 1.41 anak bagi seorang wanita. Manakala seramai 1,037, 101 bayi dilahirkan tahun lepas berbanding 1,256, 254 kematian.
Jika trend ini berterusan adalah tidak mustahil jumlah penduduk negara yang seramai 127 juta itu akan merosot kepada 87 juta pada tahun 2060 dan 43 juta pada tahun 2110. Timbul persoalan apakah yang berlaku di Jepun ini merupakan cerminan apa yang berlaku di seluruh dunia. Terdapat persamaan antara apa yang berlaku di Jepun dengan apa yang berlaku di AS dan negara-negara membangun.
Di kebanyakan negara orang ramai berkahwin lewat sudah menjadi trend semasa selain masalah kadar kelahiran yang semakin merosot. Selain itu semakin ramai wanita yang tidak mahu berkahwin sama ada terlalu memilih atau kerana keegoan diri selain masalah kelembapan ekonomi yang dihadapi kini menyebabkan golongan muda hanya terperap di rumah keluarga turut menjadi antara punca masalah ini berlaku.
Bagaimanapun satu masalah yang menjadi fenomena yang semakin menakutkan di Jepun berbanding negara lain adalah kegilaan mereka kepada gajet-gajet canggih. Mereka lebih gemar berkomunikasi di depan komputer atau telefon pintar berbanding berjumpa secara nyata atau pun menjalani temujanji atau makan malam bersama teman yang dilihat mampu mengubati kesunyian hidup.
Remaja Jepun juga lebih berminat mengambil haiwan sebagai peliharaan daripada mempunyai teman hidup atau memiliki anak. Lebih menakutkan terdapat wanita dan lelaki yang hanya melalui fantasi seks dengan melayari pelbagai permainan di laman web.
Antaranya ada di antara mereka malah turut melibatkan golongan berusia 30 tahun ke atas yang hanya boleh menikmati kemuncak seksual dengan hanya melihat paparan atau robot lelaki atau wanita yang pada kita sama seperti melihat kartun Power Rangers atau Ultraman.
Tabiat pelik ini semakin menular dan mungkin sudah sampai ke tahap bahaya kerana bagi mereka apa yang diperlukan semua sudah terhidang di depan mata sama ada melalui komputer atau telefon bimbit. Malah kerana bimbang dengan apa yang berlaku akibat penggunaan teknologi yang semakin menular, terdapat pegawai kerajaan AS semakin menggalakkan hubungan seks di kalangan remaja.
Menurut Debra Hauser, presiden pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Advocates for Youth, mengatakan kerajaan di bawah kepimpinan Barack Obama semakin galak memotong peruntukan melibatkan pengawalan seks di kalangan remaja berbanding George W. Bush.
"Alasannya sudah pasti pemotongan bajet berikutan masalah ekonomi tetapi bagaimana dengan didikan remaja tentang seks terutama di zaman teknologi hanya di hujung jari," katanya
Melihat kepada kebimbangan ini, apa pula pandangan kita mengenai perkara ini di Malaysia. Apakah tanpa kita sedari perkara sama juga semakin beransur-ansur melebar di negara ini.
Mungkin kita rasa perkara ini mungkin tidak serius jika ada pun. Namun adalah diharapkan jangan hanya sekadar membuat andaian sahaja kerana adalah tidak salah berbuat sesuatu untuk menanganinya supaya jangan hanya sudah terhantuk barulah nak mengadah.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131117/re_13/Jepun-berhadapan-krisis-seksual#ixzz2ljDsivep
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment