Teks dan foto SUHAILI RAMLI
Penulis bergambar berhampiran pancuran air Sebilj.
DESTINASI perjalanan saya adalah Bosnia Herzegovina. Pengembaraan bermula di Mostar, terletak di Herzegovina. Untuk pengetahuan, Bosnia Herzegovina adalah nama dua buah jajahan membentuk satu negara. Ibu negara Bosnia Herzegovina adalah Sarajevo yang terletak di jajahan Bosnia. Etnik majoritinya adalah Croat, Serb dan Albania.
Perjalanan ke Mostar memakan masa lebih kurang lima jam menaiki bas dari Split, Croatia. Saya mengambil keputusan ke Mostar dari Split melalui Dubrovnik kerana pemandangan pesisir pantai diselangi gunung-ganang berbatu amat unik dan mengagumkan.
Tiada perkhidmatan atas talian untuk menempah bas dari Croatia ke Bosnia, tetapi perkhidmatannya sangat efisien dan boleh didapati terus di kaunter. Harga tiket seorang dewasa 128,000 kuna.
Semasa melalui sempadan Croatia - Bosnia Herzegovina, penumpang dinasihatkan tidak mengambil gambar atas sebab keselamatan.
Warga Malaysia tidak memerlukan visa untuk ke Bosnia dan Croatia, jadi proses pemeriksaan keselamatan di imigresen agak mudah.
Jika perjalanan sepanjang Split ke Dubrovnik disajikan pesisir pantai biru mengasyikkan, apabila memasuki Bosnia Herzegovina, landskapnya berubah sekelip mata. Bosnia Herzegovina adalah negara bergunung-ganang berbatu. Cuaca berubah dari Mediterranean ke kebenuaan, suhu siang dan malam sangat berbeza.
Sepanjang perjalanan ke Mostar, pemandangannya agak tenang, kampung dan kawasan pertanian menghijau. Taburan penduduk tidak padat, terdapat masjid serta gereja di setiap perkampungan dilalui.
Jelas terpancar pengaruh Ottomaniyah pada ukiran dan seni bina masjidnya. Paling tidak dapat dilupa, kesan peperangan seperti runtuhan bangunan dan kesan tembakan jelas pada bangunan lama. Timbul rasa syukur dalam diri terhadap negara sendiri setelah melihat kesan peperangan tersebut.
Dalam keasyikan, tidak sedar saya tiba di stesen bas Mostar di jajahan Herzegovina. Di Mostar penduduknya terbahagi kepada dua agama majoriti iaitu Islam dan Kristian.
Penganut Islam kebanyakannya tinggal di sebelah Timur - di kota lama Mostar di mana terdapat masjid lama tinggalan kerajaan Ottomaniyah serta Stari Most Old Bridge manakala penganut Kristian di sebelah Barat. Terdapat penduduk tempatan menawarkan bilik sewa di rumah dan mereka akan menunggu di stesen bas. Ini salah satu sumber pendapatan mereka.
Saya tinggal di kawasan majoriti Islam kerana berdekatan masjid dan mudah mencari makanan halal. Old City Mostar adalah kawasan pelancongan, jadi tiada masalah mencari makanan halal dan semua tempat bersejarah serta pelancongan berdekatan satu sama lain.
Saya tinggal di hostel berdekatan masjid Karadjozbey. Masjid ini terletak di tengah kota Mostar dan dibina oleh Mehmed Karadjoz pada 1557. Masjid ini adalah salah satu tempat bersejarah di Mostar dan menaranya dibuka percuma untuk umat Islam, manakala pelancong bukan Islam dikenakan bayaran 4KM (BAM) bersamaan 2 Euro seorang.
Seterusnya saya ke Masjid Koski Mehmed Pasha yang merupakan monumen terbaik pada kurun ke-17. Masjid ini sudah agak uzur dan cuma menjadi sejarah tinggalan kerajaan Ottomaniyah, yang mempunyai pancuran air Sadrvan, pusara para alim ulama, menara tinjau dan seni bina Islam di dalamnya.
Pemandangan dari menara masjid sangat indah dan cantik! Bertentangan menara masjid, Stari Most atau dikenali Grand Stari atau The Old City Bridge of Mostar dapat dilihat dengan jelas. Mostar pada waktu siang sangat tenang dan aman, manakala waktu malam, kota ini menjanjikan pemandangan agak magikal dari menara Masjid Pasha.
Jambatan Stari Most dibina oleh Hayruddin dengan bantuan kewangan Sultan Suleyman dari kerajaan Ottomaniyah pada 1566. Binaan ini menggantikan jambatan kayu lama yang digunakan oleh penduduk tempatan.
Terdapat dua menara - Halebija dan Tara dibina sekitar 1440-an oleh Radin.
Pada 1992, jambatan ini mengalami kerosakan akibat perang dan pada 9 November 1993, ia runtuh dan musnah mengalir ke dalam sungai Neretva. Pihak UNESCO membinanya semula pada 1997 dan Jambatan Stari Most dibuka kepada orang ramai pada 23 Julai 2004, setahun kemudian ia diwarta sebagai tapak warisan dunia.
Berhampiran Jambatan Stari Most, terdapat Muzium Herzegovina, Muzium Stari Most, Galeri Seni dan bazar hasil buatan tempatan. Para pengunjung dapat mengetahui lebih dekat mengenai sejarah Bosnia Herzegovina, etnik dan pelbagai lagi di tempat ini.
Saya tidak ketinggalan mencuba makanan tempatan seperti Cevapcici dan Pijeskavica iaitu bebola daging bakar dengan roti beserta sos herba tempatan. Harganya tidak mahal, sekitar 9KM (BAM) ke 12KM (BAM).
Seterusnya, saya ke Sarajevo - ibu negara Bosnia Herzegovina. Terdapat dua cara untuk ke Sarajevo dari Mostar iaitu menaiki bas atau keretapi. Tiket bas 25KM (BAM), lebih kurang 12 euro manakala kereta api 5 euro!
Perjalanan memakan masa tiga jam menaiki kereta api dan dua jam dengan bas. Bagi yang gemarkan pemandangan, saya mengesyorkan menaiki kereta api. Pemandangannya antara tercantik di Eropah, selepas Prague, Oslo-Bergen dan Stockholm.
Bosnia merupakan sebahagian Yugoslavia suatu ketika dahulu dan kerana itu tertera tulisan Cyrillic di semua stesen kereta api. Kereta api dari Mostar ke Sarajevo disumbangkan kerajaan Norway.
Sekali lagi diingatkan, pengunjung tidak dibenarkan mengambil gambar di stesen Sarajevo atas sebab-sebab keselamatan. Di sini juga dinasihatkan agar berhati-hati dengan penyeluk saku. Dari stesen Sarajevo, saya mengambil tram nombor 1 untuk ke bandar lama.
Sarajevo terbahagi kepada dua bahagian iaitu di bandar lama dan baharu. Kebanyakan tarikan pelancongan terletak di bandar lama. Tiket dari stesen kereta api Sarajevo ke bandar lama 1.5KM (BAM) sahaja. Walaupun tram dipenuhi penumpang, tiket mesti dibeli kerana penaltinya 30 euro dan jurutiket sangat cekap walaupun bersesak.
Tempat pertama saya tuju adalah Masjid Gazi Husrev-Bey - antara monumen terbaik semasa penaklukan kerajaan Ottomaniyah dan dibina pada 1530/1531.
Saya menginap di hostel berhampiran bandar lama kerana dekat dengan semua tempat bersejarah. Terdapat pameran Srebrenica tentang sejarah pembunuhan beramai-ramai 8,000 orang Islam semasa peperangan awal 1990-an. Kisah dan sejarahnya cukup menyayat hati. Srebrenica adalah penempatan orang Islam Bosnia yang terletak bersempadan dengan Serbia.
Saya sempat ke Perpustakaan Sarajevo, muzium, pancuran air Sebilj dan bazaar. Paling tidak dapat dilupakan melihat kesan perang di ibu kota Sarajevo! Masih terdapat bekas bedilan bom dan peluru pada bangunan yang menjadi sejarah hitam bumi Sarajevo.
Dapat saya simpulkan, Bosnia Herzegovina adalah negara sangat unik dan kaya dengan sejarah lama tetapi perang membuatkan negara tersebut lumpuh dan selepas lebih 20 tahun peperangan, masih bertungkus lumus untuk membangun.
Untuk ke Bosnia, cara paling jimat dan cepat adalah pengembaraan bajet melalui Croatia. Terdapat penerbangan murah dari United Kingdom dan negara Eropah lain ke Croatia melalui Zadar (Ryanair), Pula (Ryanair), Split (Ryanair), Zagreb atau Dubrovnik (Easyjet) bermula 19 euro!
Bagi yang mempunyai banyak masa dan ingin pemandangan berbeza, bas dari negara Eropah seperti Jerman, Perancis dan London disediakan terus ke Bosnia.
Matawang tempatan dikenali sebagai BAM digunakan selain Euro. Selamat mengembara!
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pelancongan/20131103/pl_01/Kegemilangan-Kerajaan-Ottomaniyah-di-Balkan#ixzz2jmIB3d2S
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment