Oleh Sidek Baba
Kira-kira 3,000 orang yang hadir pada Sambutan Maal Hijrah 1433 di Pusat Konvensyen Antarabangsa (PICC) Putrajaya pada tahun 2011.
Peristiwa hijrah al-Rasul suatu titik-tolak yang penting dalam sejarah Islam. Ia adalah perintah Allah dan pertimbangan Rasulullah SAW mengatur strategi bijaksana supaya akhirnya Islam diterima di jazirah Arabia.
Peristiwa hijrah al-Rasul suatu titik-tolak yang penting dalam sejarah Islam. Ia adalah perintah Allah dan pertimbangan Rasulullah SAW mengatur strategi bijaksana supaya akhirnya Islam diterima di jazirah Arabia.
Peristiwa Rasulullah SAW dicederakan di Taif tidak membawa sikap putus asas Nabi dan tidak pula mendoakan kebinasaan kepada kaum Jahiliyah.
Rasulullah SAW seorang pesuruh yang berjiwa besar kerana peribadinya adalah siddiq, amanah, tabligh, fatanah. Siddiq bermakna baginda membawa risalah kebenaran mengenai akidah tauhid.
Kaum Jahiliyyah adalah kaum yang syirik dan mengembalikan mereka kepada Tuhan Yang Esa adalah suatu amanah. Amanah itu disempurnakan dengan tabligh atau dakwah yang bijaksana. Fatanah atau bijaksana merupakan jalur wasatiyyah yang dimiliki baginda.
Jiwa kehambaan yang tinggi dimiliki Rasulullah SAW menyebabkan baginda akur dengan perintah Allah untuk melakukan hijrah. Hijrah adalah suatu pendekatan strategik mengambil pertimbangan Allah (hablum minallah) dan manfaat manusia (hablum minannas) sebagai jalan perjuangan.
Strategi manusiawi adalah mengaturkan tempat tidur Rasullullah SAW digantikan dengan Saidina Ali, seorang pemuda Islam yang tangkas dan berani dan teman ke Gua Thur diiringi oleh Saidina Abu Bakar As-Siddiq seorang yang cintakan kebenaran.
Pemilihan dua sahabat nabi ini amat strategik kerana melakukan hijrah adalah suatu kerja besar dan memerlukan pengorbanan bersama orang yang dipercayai.
Mengapa persembunyian awal di Gua Thur Selatan Mekah tidak dilokasi utara mengarah ke Madinah adalah suatu pertimbangan strategik. Penglibatan Abdallah dan Asma anak Saidina Abu Bakar pembekal makanan dan rahsia musuh amat membantu.
Tindakan labah-labah membuat sarang di permukaan gua adalah suatu ketentuan dari Allah dan menyebabkan musuh yang memburunya terkeliru. Ia adalah campur tangan dan pertolongan Allah.
Hijrah yang mengambil pertimbangan Allah (ihsan) dan mengambil pertimbangan manusia (insan) adalah asas yang sangat penting dijadikan landasan berfikir strategik.
Jaminan Allah ini jelas terungkap dalam al-Quran, Pihak kafir terus melakukan tipu daya dan Allah akan mengatasi tipu daya mereka".
Rasulullah SAW sewaktu bergerak ke Madinah menggunakan jurupandu seorang yang bukan Islam. Apabila dikejar oleh Surakah bin Malek, kuda Surakah terbenam di pasir dan menyebabkan Rasulullah SAW terlepas daripada ancaman musuh. Sekali lagi ketentuan Allah membantu Hijrah al Rasul yang amat bermakna itu.
Setibanya di Madinah Rasulullah SAW membina masjid. Ia amat penting tidak saja sebagai pusat ibadah tetapi mempertautkan hati-hati Muhajirin dan Ansar akhirnya. Ini adalah strategi wasatiyyah yang amat cemerlang kerana penerimaan golongan Ansar terhadap Rasulullah SAW adalah petanda baik bagi perjuangan Islam itu sendiri.
Di Madinah, Rasulullah SAW membuat perjanjian dengan kelompok Yahudi dan Nasrani. Sahifah Madinah yang dimeterai adalah suatu tahalluf (kerjasama) penting di mana orang Islam menjadi dominan. Apabila kaum Yahudi ingkar Rasulullah SAW mengusir mereka. Mematuhi muafakat adalah prinsip, melakukan khianat dihadapi dengan ketegasan. Itulah sebenarnya prinsip perjuangan Islam.
Apabila Rasulullah SAW sudah cukup bersedia untuk melakukan Futhul Makkah (kembali semula ke Mekah) rombongannya terhenti di Hudaibiyyah. Di Hudaibiyah baginda didatangi oleh kelompok Jahiliyah supaya menangguhkan pemergian baginda pada tahun depan.
Rasulullah SAW seorang yang bijaksana bersetuju dengan permintaan itu walaupun dibantah oleh Saidina Omar. Pertama, kaum jahiliyyah sudah mengiktiraf akan Rasulullah SAW. Melakukan Futhul Makkah tahun berikutnya membolehkan Rasulullah dan rombongannya menjejaki bumi Mekah yang amat bermakna bagi perjuangannya.
Dan ternyata strategi Rasulullah SAW berhasil. Inilah pendekatan wasatiyyah iaitu pendekatan yang berhemah dan berimbang, melakukan pendekatan undur setapak untuk meraih pendekatan maju ke hadapan lima tapak lagi.
Peristiwa Futhul Makkah itu adalah suatu lembaran penting kerana penerimaan masyarakat Mekah terhadap kedatangan Rasulullah SAW memberi kesan positif terhadap perkembangan Islam di Jazirah Arabia.
Banyak yang boleh dipelajari daripada peristiwa Hijrah al-Rasul ini.
Pertama, hijrah kerana Allah akan sentiasa melindungi dan memberi pertolongan. Kedua, strategi manusiawi yang titik-tolaknya kerana Allah (ikhlas) akan membawa barakah yang tinggi. Ketiga memperjuangkan yang haq atau benar menuntut kesabaran yang tinggi ( watawa saubil haq, watawa saubissabr). Inilah jalan wasatiyyah yang akhirnya membawa kepada kemenangan.
Al-Wasatiyyah seperti yang terungkap dalam Surah al Baqarah (143) adalah suatu pendekatan berimbang dengan mengatur strategi bijaksana melalui proses dakwah dan tarbiyyah bagi menyemarakkan ukhuwah atau persaudaraan dan kasih kasih sayang untuk mengatasi penyakit kebencian dan dendam kesumat yang tinggi.
Sifat dendam kesumat dan kebencian adalah penyakit hati. Harus berlaku tazqiah An Nafs supaya diri manusia sentiasa menginsafi bahawa tugas dakwah adalah suatu amanah, pemberi hidayah dan petunjuk adalah milik Allah.
Sikap gopoh (istijal) atau melampau bukan pekerti Rasulullah SAW. Rasulullah SAW seorang yang tenang, cekal dan berani dalam mengatur strategi dakwah. Baginda tidak memiliki sikap suuzzan (buruk sangka) kepada orang lain. Keikhlasan melakukan dakwah, dan bijaksana mendekati madu atau sasaran sentiasa menjadi pedomannya yang menyebabkan asbab itu membolehkan ramai manusia berhijrah menganut akidah tauhid.
Ian sesuai dengan dustur dakwah dalam Surah An Nahli:125, Serulah ke jalan Tuhanmu dengan bijaksana, pekerti teladan yang baik, dan apabila berhujjah gunakan hujjah yang terbaik".
Inilah jalur wasatiyyah dalam mengajak manusia berhijrah. Jalur ini melihat manusia sebagai positif berubah, mendekatinya dengan bijaksana adalah jalan terbaik kerana pada asasnya manusia itu dalam pencarian dan dalam keadaan tidak tahu.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131105/re_02/Wasatiyyah-dan-semangat-hijrah#ixzz2jmK81zAk
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment