Arkib : 28 Disember 2013
Oleh KHADIJAH IBRAHIM & GARRET DAWUM
pengarang@utusan.com.my
pengarang@utusan.com.my
Bawalah daku bersama mu
Ke alam baru yang indah
Usah kau biar hati ini
Meratap berduka kesepian
ITULAH antara lirik lagu Bawalah Daku Bersamamu dendangan Azean Irdawaty Yusoef yang pernah mempopularkannya dulu. Semoga apa yang diharapkan oleh pelakon tersebut benar-benar membawa bahagia kepadanya.
Kita semua sedia maklum bagaimana rentetan hidup Azean yang bergelar insan seni kerana dia banyak melalui dugaan sama ada di pentas seni atau pun dalam kehidupan realiti.
Tidak dinafikan Azean adalah seorang pelakon yang serba boleh dan tidak hairanlah ramai pengarah yang sering menawarkan dia berlakon drama atau filem arahan mereka.
Bagilah apa sahaja watak kepadanya, pasti Azean tidak mengecewakan pengarah dan penonton. Lakonannya bersahaja kerana sebagai pelakon, Azean sentiasa menjiwai watak yang diberi kepadanya dengan sepenuh hati.
Lihat sahaja lakonannya sebagai wanita kurang matang dalam drama Aishah 50 Sen yang hingga kini tidak kering gusi kalau kita menontonnya. Begitu juga kalau diberi watak wanita sombong dan berlagak, penonton akan meluat melihat kerana lakonannya yang bersahaja itu. Lakonan hebatnya itu dapat dilihat dalam telefilem Tanah Kubur sebagai Datin Yvonne.
Dek cintanya pada bidang lakonan, tidak hairanlah wanita kelahiran Alor Merah, Alor Setar, Kedah pada 27 Februari 1950 itu berjaya meraih beberapa anugerah sepanjang bergelar anak seni.
Antara anugerah yang diraih oleh Azean Irdawaty Yusoef adalah sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia (FFM) 1980 menerusi filem Esok Masih Ada.
"Lihatlah dunia, aku ini anak wayang!". Itulah ungkapan Azean sewaktu berada di pentas selepas menerima anugerah dan kata-kata itu juga yang menjadi senda gurau orang ramai hingga kini.
Lain-lain anugerah yang menjadi milik Azean atau gemar membahasakan dirinya sebagai Kak Yan itu adalah :-
- Pelakon Wanita Terbaik FFM 1982 (Langit Petang),
- Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM 1997 (Amelia),
- Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM 2008 (Waris Jari Hantu),
- Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 1995 (Kembali),
- Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Skrin 1998 (Najiha) dan
- Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Seri Angkasa 1989/1990 (Bila Patah Ranting).
Jati diri Azean sebagai anak seni tidak pernah berkubur, biarpun keadaan dirinya yang kurang upaya dia tetap rancak kalau diajak berbicara soal seni.
Begitu juga tiap kali tampil di khayalak, dia akan pastikan penampilannya seiring dengan dirinya yang bergelar anak wayang. Baginya, sebagai artis, dia perlu kelihatan menarik kerana itu adalah kerjayanya.
Malah sewaktu sihat, Azean adalah di antara artis yang aktif berpersatuan dalam memperjuangkan nasib rakan-rakan dan sebab itulah hingga akhir hayatnya, beberapa persatuan seni dan penggiat seni tidak lupa untuk memberi sumbangan kepadanya.
Namun bantuan yang diberi masih tidak mencukupi untuk menampung kos rawatan penyakit kanser yang dihidapinya sejak enam tahun lalu.
Sebagai menghidap Lymphedema iaitu kesan akibat pembedahan membuang 16 kelenjar yang dilakukan pihak hospital ketika menghadapi barah payudara sebelum ini, hidup Azean sering keluar masuk hospital.
Dia yang mula bergelar anak seni sejak awal 1969 sebagai penyanyi, sebelum ini sudah beberapa kali menjadi bahan usikan individu yang tidak bertanggungjawab dengan menyebar berita kematiannya di laman sosial.
Biarpun sudah beberapa kali kita dikejutkan dengan berita kematian Azean, namun tarikh 17 Disember 2013, kira-kira pukul 8.25 malam, merupakan nokhtah terakhir pelakon itu melihat dunia yang fana ini.
Azean menghembus nafas terakhirnya di Wad 11U Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di hadapan suami tercinta, Khairil Anwar Z.M Rashidi dan tiga orang anaknya, Khaeryll Benjamin, Elza Irdalynna dan Inessa Irdayanty.
Jenazahnya disembahyangkan di Masjid Kayu Ara, Damansara kira-kira pukul 10 pagi pada keesokannya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bukit Kiara.
Dugaan seorang ibu
DALAM mengharungi kehidupan sebagai seorang pesakit kanser, Azean Irdawaty yang pernah menghasilkan album solo dalam bentuk LP terbitan Datuk Ahmad Nawab berjudul Rahsiaku Laguku pada 1979 dan menghasilkan lagu hit Benjy, Bawalah Daku Bersamamu dan Rahsiaku Laguku turut diduga dengan kes penangkapan anak kesayangannya, Khaeryll Benjamin Ibrahim atau Benjy.
Musibah yang perlu dilalui oleh Azean sebagai seorang ibu apabila Benjy ditahan kerana memiliki 0.24 gram syabu di No. A-6-5 Menara Duta 2, Jalan 1/38B melalui Jalan Segambut, Kuala Lumpur, pada pukul 4 petang, 11 Mac 2010.
Demi anak kesayangan, Azean sanggup meredah segala kesakitan dan keperitan bagi memastikan Benjy tidak terus dipandang rendah oleh masyarakat atas kesilapan yang dilakukan.
Kasih ibu yang mendalam, membuatkan Benjy diletak di pusat pemulihan selama dua tahun dengan harapan dia akan kembali ke pangkal jalan selepas itu.
Namun tiada siapa duga, sekali lagi Azean diterjah dengan permasalahan yang sama, apabila Benjy ditahan kali kedua pada 2 Julai 2013 atas kesalahan menyalahguna dadah dalam satu serbuan di sebuah kondominium di Bukit Antarabangsa, Ulu Klang, Selangor.
Biarpun ditimpa dengan pelbagai masalah, Azean tetap tabah melaluinya dan di waktu yang sama berjuang menyabung nyawa kerana penyakit kanser yang dihidapinya semakin parah.
Malah, hingga hujung nyawa dan dalam keadaan yang lemah, Azean yang memerlukan kos rawatan tinggi masih lagi melakukan kerja-kerja jualan langsung seperti waktu sihatnya dulu.
Suatu ketika dulu Azean cukup terkenal sebagai wakil jualan langsung yang aktif kerana di bawahnya terdapat beratus pengedar.
Kini segala kenangan yang pernah diukir Azean sama ada di layar kaca atau lebar, hanya tinggal kenangan. Pemergiannya itu sukar dicari pengganti kerana tidak ramai pelakon sekarang yang mampu membawa pelbagai watak.
Jangan berhenti berlakon
"MAMA tidak mahu melihat Benjy berhenti berlakon. Teruskan perjuangan Benjy dalam dunia seni dan jangan sesekali sia-siakan peluang serta bakat yang ada itu," kata Benjy merujuk kepada pesanan arwah ibunya, Azean Irdawaty Yuseof.
Sebagai seorang pelakon yang cukup terkenal, Allahyarhamah Azean yang merupakan insan seni sarat dengan perjuangan dan semangat hidup, pasti ingin anaknya untuk teruskan jiwanya sebagai penghibur.
Sesungguhnya pesanan primadona itu yang bermula dengan penyani kemudian diteruskan ke bidang lakonan mempunyai maksud yang cukup besar buat Benjy.
Bagi Benjy, 35, hasrat ibunya memang tidak akan ditunaikan dan ibulah insan yang paling bersedih di kala dia menyatakan hasrat untuk berhenti berlakon.
Alasan Benjy, industri sudah tidak memerlukan dia tetapi dengan permintaan ibu dia masih lagi bersemangat untuk meneruskan kerjaya sebagai pelakon dan tidak akan pernah mengalah sebagai anak lelaki.
"Saya faham selama ini, mama sangat menderita dengan penyakit dia alami. Perasaan sedih dan kasihan kepada mama sentiasa ada dalam diri kami sekeluarga.
"Hampir tujuh tahun mama berjuang melawan penyakitnya dan tiada siapa yang tahu kesakitan yang dia alami.
"Tetapi saya bersyukur kerana mama pergi dengan tenang dan di saat-saat akhir mama masih boleh mendengar kalau kami tengah bercakap.
"Apa-apa pun, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama media yang banyak memberi sokongan kepada mama dalam perjalanan seninya. Jika ada tersilap kata atau terkasar bahasa, saya mewakili arwah mama, ingin memohon maaf," katanya penuh ketenangan.
Ke arah mana kerjaya Benjy selepas ini, Benjy hanya menjawab, jika ada tawaran dia akan terimanya.
Dalam pada itu, anak sulung Allahyarhamah itu turut memberitahu, ibunya juga sempat berpesan agar dia mendirikan rumah tangga semula.
"Arwah suruh saya berkahwin supaya ada yang akan menjaga saya kelak," ujarnya.
Turut menyifatkan ibunya sebagai seorang wanita yang tabah terutamanya dalam melalui saat-saat getir,
Benjy berkata, ibunya sering meluahkan perasaan kasih dan sayangnya terhadap mereka sekeluarga.
"Mama seorang superwoman dan tabah serta cekal menghadapi sakit yang dia alami," kata Benjy mengakhiri perbualan.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Hiburan/20131220/hi_02/Azean-Irdawaty-yang-serba-boleh#ixzz2oj6FgKvQ © Utusan Melayu (M) Bhd
Benjy Dalam Kenangan
Mari sama-sama sedekahkan surah Al-Fatihah buat Allahyarham Benjy atau nama sebenar, Khaeryll Benjamin Ibrahim.
Ikuti perkongsian ZRA & SAK mengenai arwah Benjy, Penjara & Mahkamah!
No comments:
Post a Comment