BUDAYA berniaga bukanlah perkara yang asing dalam masyarakat Islam. Malah budaya berniaga ini amat ditekankan oleh Nabi Muhammad SAW sebagai pintu rezeki yang utama. Ini selaras dengan sebuah hadis riwayat at-Tirmizi yang bermaksud; Sembilan daripada persepuluh rezeki datang daripada perniagaan."
Penekanan budaya berniaga dalam Islam turut menekankan nilai-nilai baik yang perlu diamalkan menepati prinsip dan matlamat syariah.
Walaupun Islam begitu menitikberatkan bidang perniagaan dan keusahawanan, namun hakikat hari ini menunjukkan umat Islam lebih selesa menjadi masyarakat pengguna berbanding sebagai pengeluar dan pencipta terhadap barangan dan perkhidmatan.
Bukankah kita tahu bahawa melalui perniagaan inilah mereka boleh mencipta peluang pekerjaan kepada orang lain? Seharusnya kita hari ini cuba mantapkan bidang keusahawanan ini dalam kalangan belia dengan menyediakan ruang dan peluang pekerjaan. Hal ini juga dapat mengurangkan masalah siswazah yang menganggur.
Demikian jugalah suasana dalam negara yang memperlihatkan umat Islam agak ketinggalan dalam penguasaan ekonomi khususnya bidang perniagaan dan keusahawanan berbanding bukan Islam.
Persoalannya mengapa umat Islam tidak mampu bersaing dengan masyarakat lain dalam bidang perniagaan dan keusahawanan sedangkan sejak zaman Rasulullah SAW lagi perniagaan adalah merupakan punca utama rezeki pada masa itu.
Justeru, dalam merebut dan memantapkan budaya berniaga ini golongan belia harus mengambil peluang dan ruang yang disediakan oleh kerajaan. Pembentangan Bajet 2014 turut mendorong agar belia perlu menumpukan kepada bidang keusahawanan.
Melalui keusahawanan ini turut membuka peluang pekerjaan kepada masyarakat. Ini selaras dengan usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang boleh menyediakan peluang pekerjaan.
Bidang usahawan adalah satu profesion yang harus direbut dan dijadikan sebagai satu teras untuk mereka berjaya dalam hidup. Oleh itu pendedahan awal inilah sangat penting sama ada pendekatan dalam bentuk kurikulum, aktiviti sosial dan sebagainya. Hal ini penting supaya ekonomi negara dapat diseimbangkan dan dijana dengan baik.
Dalam meningkatkan dan memantapkan budaya berniaga atau keusahawanan ini maka kita perlu berbuat sesuatu dan dimulakan di peringkat akar umbi. Antaranya melalui gabungan peranan pihak sekolah, ibu bapa, persekitaran dan sokongan korporat serta masyarakat budaya ini dilihat mampu digarap dan dicanai dalam kalangan generasi muda. Terutamanya dari segi bantuan serta sokongan yang komprehensif.
Sebagai contoh, di pihak sekolah, guru-guru boleh menimbulkan rasa minat dalam kalangan pelajar untuk mendalami ilmu keusahawanan dan perniagaan melalui pembelajaran yang lebih kreatif dan interaktif.
Manakala di peringkat ibu bapa boleh menggalakkan anak-anak untuk menceburi dan merasai pengalaman berniaga seperti memberi dorongan bagi menyertai aktiviti keusahawanan di dalam atau di luar sekolah.
Ibu bapa hendaklah mendedahkan anak-anak untuk menyertai aktiviti perniagaan dan keusahawanan dengan cara yang difikirkan sesuai bagi maksud menggalakkan kecenderungan mereka ke arah itu di samping memberi panduan memilih perniagaan yang dapat menepati kehendak pasaran semasa. Sebagai contoh ramai juga kalangan belia hari ini yang sudah memulakan perniagaan mereka menerusi online. Perniagaan seperti ini adalah mudah, cepat dan menjimatkan.
Selain itu, melalui persekitaran pula kita boleh mencontohi cara didikan dan pendedahan kaum Cina yang telah memberi pendedahan realiti dunia perniagaan kepada anak-anak mereka semenjak kecil lagi. Pendedahan awal seperti ini menggalakkan anak-anak mereka menceburi bidang perniagaan apabila besar kelak.
Begitu juga golongan korporat dan masyarakat, mereka boleh memberi sokongan dan galakan untuk mengerakkan aktiviti keusahawanan dan program-program motivasi seperti sekolah angkat, program keusahawanan dan bengkel serta ceramah kecemerlangan usahawan.
Pun begitu, adalah menjadi peranan pihak korporat dalam membantu usaha-usaha memperbanyakkan golongan usahawan dan peniaga Melayu, sekurang-kurangnya dengan memberi tajaan seperti mengadakan forum atau konvensyen keusahawanan dari semasa ke semasa.
Manakala di peringkat pengajian tinggi, peranan universiti yang menyediakan asas ilmu dan keterampilan boleh dikembangkan secara kreatif dan inovasi. Hal ini supaya graduan muda boleh memulakan bidang keusahawanan sebaik sahaja tamat pengajian.
Mentaliti graduan yang terlalu bergantung kepada makan gaji perlu dikikis dengan membuka ruang minda mereka dengan realiti dunia perniagaan. Sebagai siswazah mereka perlu berpandangan jauh dan tidak mengharapkan makan gaji semata-mata setelah tamatnya pengajian.
Galakan ini perlu diterapkan melalui pendedahan praktikal dalam sektor industri khususnya pendedahan dan penyertaan dalam sektor Industri Kecil dan Sederhana (IKS). Ini penting untuk membentuk minat mereka sebelum terjun ke bidang keusahawanan yang sebenar.
Bagaimanapun, dari semasa ke semasa, penilaian semula kurikulum di sekolah-sekolah dan di pusat-pusat pengajian tinggi harus dilakukan supaya dapat memberi keutamaan kepada penjanaan budaya keusahawanan yang menepati ciri-ciri, nilai dan prinsip yang digariskan oleh Islam.
Kefahaman mendalam tentang budaya berniaga dan keusahawanan ini akan memudahkan lagi golongan belia untuk merebut dan mencipta peluang yang baru dalam perniagaan mengikut kehendak pasaran semasa.
PENULIS ialah Pegawai Penyelidik Kanan,
Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM)
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131216/re_06/Budaya-niaga-Belia-perlu-rebut-peluang#ixzz2oRGWvbaa
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment