Oleh NIZAM YATIM
nizam.yatim@utusan.com.my
nizam.yatim@utusan.com.my
JIKA disebut nama Sheikh Ahmed Deedat, mungkin tidak ramai daripada kalangan generasi muda sekarang yang mengenali beliau walaupun sumbangan tokoh ini terhadap Islam cukup banyak.
Beliau yang lebih mesra dipanggil dengan gelaran uncle (pak cik) telah menghabiskan lebih 40 tahun untuk berdakwah kepada bukan Islam di seluruh dunia terutama kepada penganut Kristian.
Walaupun berpendidikan setakat darjah enam, ia tidak menghalang beliau menulis lebih 20 buku dan mengedarkan jutaan naskhah berkenaan ke seluruh dunia secara percuma.
Tokoh ini dilahirkan di Surat, India pada 1918 sebelum berhijrah ke Kwazulu Natal, Afrika Selatan pada 1927 bersama-sama bapanya yang menyara hidup dengan menjadi tukang jahit.
Ahmed Deedat telah menyampaikan ribuan syarahan sejak berusia 24 tahun dan berdebat dengan ramai mubaligh Kristian yang ternama sehingga menyebabkan ribuan penganut agama itu memilih Islam sebagai agama baharu mereka.
Dalam perdebatan berkenaan, perkara utama yang sering dibangkitkan beliau adalah percanggahan antara ayat-ayat dalam Injil sehingga memaksa para mubaligh memikirkan kembali kebenaran agama yang dianuti mereka.
Antara ungkapan beliau yang sering dipetik adalah Islam dan Kristian mempunyai banyak persamaan, tetapi kitab agama Kristian yang ada sekarang yang mewujudkan perbezaan.
Beliau juga selalu menyebut bahawa ajaran agama yang dipraktikkan oleh umat Islam adalah lebih hampir dengan ajaran sebenar nabi-nabi orang Kristian berbanding amalan yang dipraktik oleh orang Kristian sendiri.
Kesungguhan beliau untuk memperjuangkan kebenaran Islam telah memberi semangat kepadanya untuk menulis surat kepada Paus John Paul II pada 1984 untuk berdialog di hadapan orang ramai di Vatican Square, Rom.
Tawaran itu ditolak oleh Ketua Gereja Roman Katolik berkenaan dengan alasan beliau hanya bersedia berdialog secara tertutup dengan Ahmed Deedat.
Walaupun jasanya cukup hebat, beliau juga tidak terlepas menghadapi ujian yang cukup besar pada saat-saat akhir hayatnya apabila diserang penyakit angin ahmar pada 1996 sekembalinya daripada menyampaikan syarahan di Sydney, Australia.
Akibat serangan penyakit itu, beliau lumpuh dari paras leher ke bawah dan tidak mampu bergerak dan bercakap selama sembilan tahun. Bagaimanapun daya ingatan beliau tetap kuat seperti biasa dan berkomunikasi dengan pergerakan matanya.
Ahmed Deedat tidak pernah berundur daripada tugasnya sebagai pendakwah. Walaupun uzur, beliau tetap menerima kunjungan ramai mubaligh Kristian yang tujuan utama kedatangan mereka adalah untuk memujuknya supaya murtad dan memeluk agama Kristian dengan janji Nabi Isa akan menyembuhkan beliau.
Beliau tetap teguh dengan Islam sehingga menghembuskan nafas terakhir pada 8 Ogos 2005 ketika usia 87 tahun di Verulam, Afrika Selatan.
Dalam pada itu, bagi membolehkan lebih ramai pihak mengenali tokoh hebat ini, maka buku biografi beliau dalam bahasa Inggeris bertajuk Ahmed Deedat: The Man and His Mission telah dilancarkan oleh Pemegang Amanah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim), Prof. Dr. Idris Zakaria di Pusat Islam, Kuala Lumpur pada 3 Disember lalu.
Buku yang diterbitkan oleh Pusat Penyebaran Islam Antarabangsa (IPCI) Afrika Selatan yang diasas beliau telah diedarkan di negara ini oleh Pertubuhan Penyebaran Islam Antarabangsa (IPSI) Malaysia dengan harga RM40 senaskhah.
Idris dalam ucapannya berkata, kaedah berdebat yang digunakan Ahmed Deedat perlu dikaji dahulu kesesuaiannya di Malaysia berikutan situasi negara ini yang mempunyai penduduk berbilang kaum.
"Di negara ini kita mempunyai 204 kumpulan etnik termasuk 57 daripadanya adalah tergolong dalam takrif bumiputera dan ini bermakna kita mempunyai banyak perbezaan yang boleh mencetuskan konflik.
"Oleh itu kita memerlukan satu kaedah yang tersendiri dalam mewujudkan persamaan dan menghapuskan perbezaan ini.
"Antara yang boleh dilaksanakan di sini adalah kaedah dialog antara agama, tetapi langkah ini hendaklah dipastikan tidak menimbulkan ketegangan," ujarnya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20131213/re_03/Mengenang-jasa-Ahmed-Deedat#ixzz2oRVC1qaG
© Utusan Melayu (M) Bhd
No comments:
Post a Comment