Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Sunday, 8 December 2013

Sanggup bergelar penyanyi €˜kaki lima€™

Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD


NAZREY tidak kisah membuat persembahan di kawasan tumpuan ramai dalam usaha mengumpul dana dan mempromosikan al-Tahfiz Syahadah yang sedang dalam proses pembinaan.

MENINGGALKAN kesenangan ketika sedang dilimpahi kehidupan mewah bukan perkara yang mudah untuk dilakukan oleh mana-mana individu. Apatah lagi pilihan yang dibuat itu tidak memberi apa-apa kelebihan, malah tiada kaitan dengan diri sendiri.

Namun, itulah yang diputuskan oleh bekas penyanyi kumpulan nasyid terkemuka tanah air, Nazrey Johari ketika keluar daripada kumpulan nasyid Raihan sewaktu sedang melonjak naik dan mendapat tempat di mata dunia.

Baginya, tidak ada yang lebih penting dalam hidupnya selain memfokuskan sepenuh masa dalam meneruskan perjuangan Rasulullah SAW untuk memperluaskan sebaran ajaran Islam kepada umat manusia selagi termampu.

Biarpun terpaksa mengorbankan tenaga, masa serta wang ringgit, namun atas rasa tanggungjawab beliau yang juga sebagai seorang mualaf pada suatu masa dahulu lebih memahami kehendak dan keperluan bagi menarik golongan sama untuk memeluk Islam.

Katanya, dia sedar menyanyi boleh mendapat ribuan ringgit setiap bulan selain disajikan dengan kehidupan mewah setiap kali diundang mengadakan konsert, berbanding berdakwah yang memerlukan perbelanjaan wang ringgit yang banyak terutamanya di Sabah.

Satu ketika dahulu albumnya bersama Raihan pernah memecah rekod industri nasyid tanah air dengan jualan album berjudul, Puji-pujian mencecah lebih 700,000 unit.

Kini Nazrey sanggup menyanyi di pasar-pasar tani untuk mengumpul dana dalam usaha meneruskan dakwah yang ingin dilakukan.

Beliau yang kini bergiat aktif menyebarkan dakwah di Sabah berkata, tidak dapat diungkap kesedihan yang dirasai melihat negeri kelahirannya itu yang suatu masa dahulu pernah melakukan pengislaman secara besar-besaran, tetapi kini semakin dilupakan oleh segelintir penduduk.

€œTidak dinafikan pada awalnya, perasaan malu sentiasa menjadi dilema untuk saya melakukan kerja dakwah. Tetapi, berdakwah bukan mudah, dan ia memerlukan peruntukan yang merupakan salah satu strategi dalam berdakwah lebih-lebih lagi kepada rakyat pendalaman Sabah.

€œJusteru, mengetepikan perasaan itu, saya tidak kisah menyanyi di kawasan tumpuan ramai seperti pasar tani untuk mengumpul dana selain di tempat-tempat lain apabila menerima jemputan luar,” katanya yang kini dalam perancangan membina sebuah tahfiz di Ranau, Sabah.

Dengan cara itu katanya, lebih mudah untuk beliau bertemu masyarakat dalam membantu mengumpulkan peruntukan bagi melakukan usaha dakwah di samping membina pusat tahfiz tersebut yang dianggar memerlukan peruntukan sebanyak RM1.36 juta.

Beliau yang menarik diri daripada kumpulan terkemuka itu pada tahun 2005 berkata, bisikan aneh yang berbisik di dalam hatinya membuatkan beliau nekad untuk melakukan usaha dakwah sepenuh masa walaupun terpaksa bersusah payah.

“Pada 2005, iaitu selepas saya dan ahli kumpulan yang lain pulang daripada membuat persembahan dari Kanada, seorang kenalan meminta bantuan daripada saya untuk membantu mereka melakukan tugas dakwah di Sabah.

€œIni kerana sekian lama dakwah yang mereka usahakan kurang mendapat sambutan oleh masyarakat negeri itu. Daripada itu saya terfikir apa salahnya saya membantu mereka melakukan dakwah, kerana saya juga asalnya seorang mualaf dan lebih memahami keadaan seorang mualaf.

€œNazrey, kau kena teruskan dakwah, yakinlah rezeki adalah daripada Allah. Itulah perkataan yang terbisik di dalam hati saya ketika sedang berehat dan memikirkan pelawaan rakan untuk melakukan kerja dakwah,” ujarnya.

Nazrey bersama dua rakannya juga kini telah membina sebuah Rumah Transit Mualaf yang terletak di Kampung Lohan, Ranau untuk digunakan sebagai pusat mengumpulkan mualaf untuk didedahkan dengan pengetahuan agama.

€œSepanjang beberapa tahun melakukan dakwah di sekitar daerah-daerah di Sabah, antara kekangan yang kita hadapi adalah untuk memantau dan memberikan pendedahan susulan kepada saudara baru yang memeluk Islam kerana tinggal jauh di pendalaman.

€œJusteru, dengan terbinanya Rumah Transit Mualaf yang boleh memuatkan kira-kira 20 orang, memudahkan kita mengumpulan mereka untuk memberikan taklimat dan pengajian agama sekurang-kurangnya sehingga mampu melakukan ibadah rukun Islam,” jelasnya.

Latih pendakwah

Menceritakan pengalaman yang diperoleh ketika menjalankan usaha dakwah ke kawasan pedalaman negeri Sabah, Nazfrey berkata, ada surau yang dijadikan kandang kambing.

Islam dilihat hanya pada nama dan keturunan tetapi tidak menjadi panduan. Lebih-lebih lagi di dalam kawasan pedalaman yang mengambil masa berjam-jam untuk masuk dan hanya menggunakan laluan tanah merah atau sungai sebagai laluan utama.

Sehingga terdapat surau dan masjid yang dibina hanya mencukupkan syarat, tetapi terbiar dan tidak dimanfaatkan sebaiknya. Lebih menyedihkan, berlatarbelakangkan surau tersebut kelihatan binaan sebuah rumah ibadah agama lain yang dibina dan tersergam indah.

Nazrey berkata, permasalahan ini berlaku adalah berpunca daripada kekurangan tenaga pendakwah yang ditempatkan ke dalam perkampungan pendalaman tersebut dan mengakibatkan tiada tindakan susulan pengetahuan agama diambil kepada saudara baru itu.

Memandang serius perkara itu, Nazrey yang aktif menyampaikan dakwah menerusi nyanyian sedang dalam usaha membangunkan Al-Tahfiz Bayu Syahadah yang bertempat di Kampung Bitoon, Ranau.

Beliau berkata, dengan tertubuhnya Al-Tahfiz Bayu Syahadah yang dirancang siap fasa pertama pada awal tahun 2014 itu disasar dapat mendidik para pelajar di pusat pengajian tersebut bukan sahaja menjadi tahfiz yang menguasai al-Quran, malah mampu berdakwah kepada masyarakat.

€œBerbeza di kawasan Semenanjung Malaysia, tidak ramai pendakwah yang sanggup dan sukarela berhijrah ke kawasan Sabah dan Serawak untuk menyampaikan dakwah.
Tidak dinafikan, ini kerana keadaan hidup di kawasan pendalaman yang serba kekurangan serta jauh daripada bandar.

€œDengan kekuatan Majlis Agama Islam negeri untuk menjaga kesemua perkampungan di Sabah ini pasti tidak mampu tanpa bantuan dan kerjasama semua pihak. Tambahan pula jarak antara sebuah dengan sebuah kampung mengambil masa yang lama.

€œJusteru, melihat kepada keadaan itu, saya bersama beberapa rakan dalam usaha menubuhkan sebuah maahad tahfiz yang berfungsi sebagai pusat mengajian Islam dan dalam masa sama tempat penyebaran dakwah kepada 
masyarakat setempat,” katanya yang juga pengasas Al-Tahfiz Bayu Syahadah.

Nazrey berkata, pelajar Al-Tahfiz Bayu Syahadah akan menumpukan kepada pelajarnya mengenai ilmu agama dan al-Quran.

Setiap pelajar juga dilatih untuk menjadi pendakwah sebelum dihantar ke kampung-kampung berdekatan untuk mengajar ilmu agama sebagai latihan amali.

Dengan usaha ini katanya, dapat membantu melakukan tindakan susulan dalam menyampaikan ajaran Islam kepada golongan mualaf di perkampungan di Sabah.

€œMenyampaikan dakwah bukan hanya tanggungjawab pihak tertentu sahaja, tetapi sebagai umat Islam ia merupakan kewajipan yang akan dipersoalkan oleh Allah SWT di akhirat nanti. Justeru, kita harus melakukan usaha ini dengan sedaya mampu untuk mengembangkan ajaran ini.

€œSelari dengan matlamat penubuhan maahad tahfiz ini, kita berharap dapat bergerak bersama pertubuhan lain dalam usaha membantu menyebarkan dakwah bagi memperkukuhkan lagi ajaran Islam di negeri Sabah ini.

€œPelajar akan dihantar ke setiap perkampungan terutama pada bulan Ramadan bagi menghidupkan rumah ibadah dengan aktiviti keagamaan di samping menghidupkan amalan solat berjemaah dan amalan sunat yang lain, katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan demi kelangsungan projek Al-Tahfiz Bayu Syahadah boleh berbuat demikian dengan menyalurkan ke dalam akaun Al-Tahfiz Bayu Syahadah Resources, 12300000833109 (CIMB Bank).

Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Bicara_Agama/20131127/ba_01/Sanggup-bergelar-penyanyi-kaki-lima#ixzz2nVuoVVDA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...