Suatu hari berlaku pertempuran di antara pihak Islam dengan pihak Musyrik. Kedua-dua belah pihak berjuang habis-habisan untuk mengalahkan antara satu sama lain. Tiba saat pertempuran itu dihentikan seketika dan kedua-dua belah pihak pulang ke markas masing-masing.
Di sana Nabi Muhammad s.a.w. dan para sahabat telah berkumpul membincangkan tentang pertempuran yang berlaku itu. Peristiwa yang baru mereka alami itu masih lagi terbayang-bayang di mata. Dalam perbincangan itu, mereka begitu kagum dengan salah seorang dari sahabat mereka iaitu, Qotzman.
Semasa bertempur dengan musuh, dia kelihatan seperti seekor singa yang lapar membaham mangsanya. Dengan keberaniannya itu, dia telah menjadi buah mulut ketika itu.
“Tidak seorang pun di antara kita yang dapat menandingi kehebatan Qotzman,” kata salah seorang sahabat.
Lantas, Rasulullah s.a.w. pun berkata, “Sebenarnya dia itu adalah golongan penghuni neraka.”
Para sahabat menjadi hairan apabila mendengar kata-kata Rasulullah s.a.w. itu. Bagaimana seorang yang telah berjuang habis-habisan untuk menegakkan Islam boleh masuk ke dalam neraka. Para sahabat berpandangan antara satu sama lain.
Rasulullah s.a.w. sedar para sahabatnya tidak begitu percaya dengan kata-katanya itu, selepas itu Baginda s.a.w. berkata, “Semasa Qotzman dan Aktsam keluar ke medan perang bersama-sama, Qotzman telah mengalami luka parah akibat ditikam oleh pihak musuh. Badannya dipenuhi dengan darah. Dengan segera Qotzman meletakkan pedangnya ke atas tanah, manakala mata pedang itu pula dihadapkan ke dadanya. Lalu dia terus membenamkan mata pedang itu ke dalam dadanya.”
“Dia melakukan perbuatan itu adalah kerana dia tidak tahan menanggung kesakitan kerana luka yang dialaminya. Akhirnya dia mati bukan kerana berlawan dengan musuhnya, tetapi membunuh dirinya sendiri. Melihat keadaannya itu, ramai menyangka yang dia akan masuk syurga.
Tetapi dia telah menunjukkan dirinya sebagai penghuni neraka.” Menurut Rasulullah s.a.w. lagi, sebelum dia mati, Qotzman ada mengatakan,“Demi Allah aku berperang bukan kerana agama tetapi hanya sekadar menjaga kehormatan kota Madinah supaya tidak dihancurkan oleh kaum Quraisy. Aku berperang hanyalah untuk membela kehormatan kaumku. Kalau tidak kerana itu, aku tidak akan berperang.”
http://www.blogammar.com/kisah-qotzman-pahlawan-neraka/
No comments:
Post a Comment