Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Jumaat menyertai jemaah Masjid Sultan Abdul Samad KLIA di sini menunaikan solat Jumaat dan solat sunat hajat khas mendoakan keselamatan penumpang dan anak kapal pesawat MH370 yang hilang sejak Sabtu lepas.
Turut serta beberapa menteri Kabinet.
Solat Jumaat dipimpin Imam I masjid itu Bambang Herman Baharudin Al Haj manakala solat sunat hajat dipimpin Imam II Mohd Aizuddin Mohd Salleh.
Solat sunat hajat itu turut mendoakan kelancaran operasi mencari dan menyelamat penumpang dan anak kapal pesawat itu yang hari ini masuk hari ketujuh.
Selesai solat Jumaat, khatib Ustaz Rahimi Abdul Aziz iaitu Pegawai Penyelaras Masjid Daerah Sepang menyampaikan khutbah bertajuk 'Hikmah di Sebalik Ujian Allah', antaranya menyentuh mengenai pelbagai dugaan menimpa Malaysia ketika ini seperti jerebu, denggi dan terbaru kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.
Khatib menasihatkan agar semua pihak bertenang dan tidak mengambil kesempatan dalam suasana itu untuk memanipulasi keadaan dengan menyebarkan berita-berita palsu sama ada melalui media massa, cetak dan internet.
Sebelum itu, Mohd Aizuddin ketika ditanya wartawan mengapa sehingga kini tiada solat ghaib dilakukan, beliau berpendapat masih belum terdapat keperluan untuk melakukan solat itu.
"Selagi operasi mencari dan menyelamat dijalankan, selagi itu kita mengharapkan semuanya masih dalam keadaan baik dan sekiranya pesawat sudah ditemui dan mereka sudah meninggal contohnya barulah kita mengerjakan solat ghaib," katanya.
Katanya Masjid Sultan Abdul Samad melaksanakan solat hajat sejak Sabtu lalu dan berterusan sehingga ke hari ini iaitu setiap kali selepas solat Zohor dan Maghrib.
-- BERNAMA
https://www.facebook.com/groups/1374407939469815/1431687587075183/?ref=notif¬if_t=group_activity
No comments:
Post a Comment