Gagasan Malaysia Baharu 13 Mei 2018

Imagine Dragons - Mad World (Lyrics + Terjemahan)

Monday, 10 March 2014

Tidak mungkin pesawat MH370 dirampas pengganas kata pakar

KUALA LUMPUR: Kebarangkalian untuk pesawat milik Malaysia Airlines MH370 yang hilang dalam penerbangan dari Kuala Lumpur ke Beijing dirampas oleh pengganas amat rendah, kata pakar anti keganasan antarabangsa, Profesor Rohan Gunaratna.

Ini kerana katanya pihak berkuasa Malaysia diperakui cekap dalam menangani soal keganasan.

“Kebarangkalian untuk serangan pengganas itu rendah kerana Malaysia telah berjaya mengawal keganasan dan amat berkebolehan dalam menangani keganasan.

"Pihak berkuasa Malaysia telah melakukan tugas yang baik dalam memerangi keganasan,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Namun begitu, Rohan tidak menolak kemungkinan beberapa kumpulan pengganas yang aktif beroperasi di sekitar Asia Tenggara dan Asia Timur mungkin mahu melakukan keganasan melibatkan pesawat.

Bagaimanapun katanya, kumpulan pengganas biasanya menggunakan modus operandi keganasan di darat atau air dan jarang sekali menumpukan kepada serangan udara.

Rohan juga enggan membuat spekulasi kumpulan pengganas manakah yang mungkin terlibat namun berkata antara kumpulan pengganas yang aktif di rantau Asia Tenggara dan Asia Timur termasuklah Al-Qaeda dan serpihannya serta Pergerakan Islam Turkistan Timur (ETIM).

Beliau juga menambah ada kumpulan pengganas yang beroperasi di Indonesia, Filipina dan wilayah Xinjiang, China.

“Tetapi jika betul ini perbuatan pengganas, Malaysia tentu akan dapat menghidu dan membongkarnya terutama sekali dengan bantuan cawangan khas Polis DiRaja Malaysia (PDRM),” kata Rohan.

Tambah beliau, meskipun kebarangkalian penglibatan pengganas rendah, siasatan meliputi aspek itu tidak boleh diketepikan begitu saja.

“Pihak yang terlibat harus melakukan penyiasatan menyeluruh termasuk teknikal dan juga anti keganasan kerana ia sangat penting,” tegas Rohan, merujuk kepada penggunaan pasport palsu oleh dua penumpang MH370.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini mengumumkan Malaysia sudah memaklumkan kepada agensi anti pengganas di beberapa negara untuk membantu siasatan kehilangan MH370.

Malaysia juga katanya, akan bekerjasama dengan Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dari Amerika Syarikat. Tiga warganegara Amerika adalah antara 239 orang yang menaiki pesawat yang hilang sejak awal Sabtu itu.

Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga sedang bekerjasama dengan agensi perisikan antarabangsa bagi menyiasat kehilangan pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370.

Menurut Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar, PDRM sedang mengumpul maklumat daripada pelbagai pihak selain meneliti semula rakaman kamera litar tertutup di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada hari kejadian sehingga pesawat berlepas.

Polis tidak meletakkan ancaman pengganas sebagai faktor utama kehilangan pesawat MH370 itu tetapi tidak menolak kemungkinan tersebut.

Sementara itu pensyarah Pengajian Strategik dan Antarabangsa Univerisiti Malaya (UM), Dr Roy Anthony Rogers turut senada dengan Rohan berpendapat kebarangkalian serangan pengganas adalah rendah.

"(Tetapi) saya tidak menolak terus kemungkinan ia perbuatan pengganas, tetapi jika dilihat trend serangan sebelum ini, sama ada dirampas atau sebagainya, perampas biasanya akan membawa pesawat itu ke destinasi yang lebih selektif dan simbolik," katanya.

Menurutnya, ini kerana akitiviti keganasan biasanya ada tiga perkara iaitu rampasan, mesej di mana sasaran serangan akan disasarkan ke tempat-tempat penting dan bukannya di laut.

Yang ketiga, pengganas biasanya akan membuatkan kegiatan kumpulan mereka diketahui dan dalam insiden ini setelah lebih 24 jam, tiada laporan yang mengatakan ianya perbuatan pengganas.

Dalam pada itu seorang juruterbang MAS yang enggan dikenali berkata, sistem keselamatan Boeing 777-200 dilengkapi dengan alat kawalan canggih yang membuatkan sebarang cubaan rampasan, hampir mustahil.

"Memang tahap keselamatan pesawat tersebut tinggi. Terutama selepas kejadian serangan 11 September 2001 di Amerika Syarikat, kebanyakan pesawat mempunyai tahap keselamatan tinggi yang tidak memungkinkan ia dirampas," katanya.

Katanya pintu kokpit pesawat itu dilengkapi dengan kod akses serta kamera litar tertutup (CCTV) yang mana juruterbang boleh melihat segala perubahan yang berlaku di dalam kokpit.

Selain itu, terdapat juga sistem penggera yang boleh mengeluarkan isyarat senyap tanpa pengetahuan pengganas. 


http://siemens-melayumaju.blogspot.com/2014/03/tidak-mungkin-pesawat-mh370-dirampas.html

No comments:

Post a Comment

Featured post

Alamat Bengkel Kereta Melayu Islam / Bumiputera seluruh Malaysia

Alamat Bengkel Kereta Melayu seluruh Malaysia! Baca alamat sampai habis dan ada link download disediakan! Jika ada maklumat tambahan al...