AL-QURAN DAN RAMADHAN
Makalah asal oleh: Dr. ‘A’id al-Qarni
Terjemahan dan olahan sebahagian daripadanya oleh: Abu ‘Ammar al-‘Aydarus
(Dihasilkan pada 1 Ramadhan 1427 H)
al-Quran… Yang mencintainya…
Ramadhan… Yang menyayanginya…
Mereka sahabat setia, yang saling menyayangi. Allah SWT lalu berfirman yang bermaksud ((Bulan Ramadhan itu telah diturunkan al-Quran di dalamnya sebagai petunjuk kepada manusia dan penyata bagi petunjuk itu serta pembeza [antara yang hak dan batil])) [Surah al-Baqarah: 185].
Didatangkan dari al-Lawh al-Mahfuz, al-Quran ini turun ke langit dunia di dalam bulan Ramadhan, lalu bulan mulia ini bertambah-tambah mulia menerima ketibaannya. Justeru, RasuluLlah s.a.w mengulang baca al-Quran ini bersama Jibril a.s di dalam bulan Ramadhan, baginda mendengarnya, baginda membacanya, baginda memahaminya, baginda mengambil pengajarannya, dan baginda menyahut seruannya, lalu jiwa baginda tersentuh, nubari baginda bergetar, betapa indah ayat-ayat yang agung itu hingga terbit putik-putik cinta… betapa agung kitab yang mulia ini…
Seorang hamba yang berpuasa dan bertadabbur al-Quran sebenarnya telah menghias perjalanan kehidupannya dengan dua sahabat yang setia, bahkan kehidupannya itu bertambah ceria kerana dia menyusuri perjalanan bulan mulia ini dengan mendampingi kitab yang telah dinyatakan oleh Allah SWT seperti maksud-maksud berikut ((Inilah sebuah kitab yang Kami turunkan kepadamu dengan penuh keberkatan agar mereka merenungi ayat-ayatnya dan beroleh pengajaran buat golongan yang berfikir)) [Surah Sad: 29], ((Maka apakah mereka tidak merenungi ayat-ayat al-Quran atau hati mereka telah terkunci [daripadanya])) [Surah Muhammad: 24], ((Maka apakah mereka tidak merenungi ayat-ayat al-Quran? Sekiranya al-Quran itu bukan daripada [milik] Allah, pasti mereka akan mendapati terlalu banyak perselisihan di dalamnya)) [Surah al-Nisa’: 82].
Itulah kitab yang agung… apabila dibaca di dalam bulan Ramadhan ini, terasa kesedapan dan kelazatannya, betapa terasa kelainannya dengan pelbagai kehebatannya…
Itulah kitab yang agung… apabila dibaca di dalam syahr yang mulia ini, tertarik hati untuk menyahut segala seruan, jiwa yang berkecamuk mula beroleh ketenangan, dan udara yang mengelilingi dinikmati penuh kesegaran…
Itulah kitab yang agung… apabila membacanya, terkenang kembali kisah Nuzul al-Quran, teringat kembali hari-hari tadarus Nabi s.a.w dan para sahabat, betapa mereka yang terdahulu mengambil berat dengan ibadah yang mulia ini…
Renunglah sabda Nabi s.a.w yang bermaksud (Bacalah al-Quran, sesungguhnya ia akan datang pada hari akhirat sebagai syafaat kepada ahlinya [iaitu mereka yang membaca al-Quran]) [Riwayat Muslim] dan sabda Nabi lagi yang bermaksud (Sebaik-baik manusia dalam kalangan kamu ialah mereka yang mempelajari al-Quran dan yang mengajarkannya) [Riwayat al-Bukhari].
Ingatlah, Nabi s.a.w pernah mengkhabarkan kepada kita yang bermaksud (Bacalah al-Zahrawayn iaitu surah al-Baqarah dan surah Ali-‘Imran kerana kedua-duanya akan muncul seperti gerombolan awan, atau kelompok debu-debu, atau seperti sekumpulan burung-burung yang berterbangan, lalu akan menaungimu pada hari akhirat kelak [sebagai pahala yang berlipat ganda]) [Riwayat Muslim].
Mereka yang terdahulu, apabila tibanya bulan Ramadhan, akan membuka mushaf-mushaf mereka lalu tenggelam dalam bacaan yang penuh penghayatan. Disebut tentang Imam Malik -rahimahuLlah- dalam satu riwayat yang sahih bahawa apabila tibanya bulan Ramadhan, dirinya akan sibuk berdamping dengan mushaf yang mulia, sehingga dia meninggalkan segala kelas pengajian, majlis-majlis fatwa dan halaqah-halaqahnya bersama manusia kerana dia pernah berkata “Sesungguhnya telah tiba bulan al-Quran”.
Ramadhan satu nasib tak serupa
Peluangnya sama natijahnya berbeza
Ramadhan mereka gemilang cemerlang
Mukmin berjasa di awal zaman
Ramadhan kami malang terbuang
Muslim berdosa di akhir zaman
Mereka gembira dengan kedatanganmu
Kami gembira dengan pemergianmu
Malam mereka meriah disimbah nur al-Quran
Tapi malam kami muram berkabung dengkur
Rumah-rumah mereka tersedia lampu-lampu pelita khas ketika bulan ini tiba, semata-mata digunakan untuk membaca mushaf yang mulia. Mereka membacanya dengan penuh keinsafan, mereka membacanya dengan penuh penghayatan, dan mereka membacanya dengan penuh rasa kagum terhadap Pemilik ayat-ayatnya. Apabila tiba pada ayat-ayat yang mempersembahkan kebesaran Tuhan, mereka berhenti dan mengaguminya dengan penuh keinsafan, dan apabila tiba pada ayat-ayat yang menjentik peringatan, mereka menangisinya seolah-olah ia ditujukan kepada diri mereka. Hati mereka ceria apabila mendengar khabar gembira, jiwa mereka melonjak-lonjak untuk melaksanakan perintah-perintah-Nya, dan nubari mereka tegas untuk meninggalkan larangan-larangan-Nya. Itulah sifat-sifat mereka...
Pada suatu hari, ‘Abd Allah bin Mas‘ud r.a membaca surah al-Nisa’ dengan RasuluLlah s.a.w, lalu apabila tiba pada ayat Allah yang bermaksud ((Dan bagaimanakah [keadaan golongan kuffar nanti] ketika Kami datangkan seorang saksi [iaitu Rasul] daripada setiap umat dan Kami datangkan kamu (Muhammad) sebagai saksi ke atas mereka [sebagai umatmu])) [Surah al-Nisa’: 41], lalu RasuluLlah s.a.w berkata kepadanya (Cukuplah dengan bacaanmu itu), lalu Ibn Mas‘ud berkata “Aku melihat di kala itu kedua mata baginda telah bergenang dengan air mata” [Riwayat al-Bukhari dan Muslim].
Mereka berlumba mengejar kebaikan
Tapi kami lesu diburu nafsu
Hati mereka bercahaya digilap takwa
Jiwa kami gelap didera dosa
Takbir mereka takbir kemenangan
Hadiah mujahadah sebulan Ramadhan
Takbir kami lesu tak bermaya
Tanda kalah lemah tak berdaya
Puasa sekadar lapar dan dahaga
Suatu ketika, berkumpul para sahabat bersama ‘Umar al-Khattab r.a, lalu beliau berkata “Wahai Abu Musa, ingatkanlah kami kepada Tuhan”. Lalu Abu Musa r.a mula memperdengarkan bacaan al-Qurannya dengan suara yang amat merdu sehingga mengalir air mata mereka yang bersama dengannya.
Itulah sifat-sifat mereka yang terdahulu terhadap al-Quran. Betapa mereka menghayati, membaca, mendampingi dan merenungi kitab yang mulia ini sehingga terasa hidupnya al-Quran dalam jiwa mereka.
Sesungguhnya apabila hati manusia ketika ini jauh daripada mendengar kalam Allah, akan terjadilah kekalutan pada fitrah manusia, tarbiyah akan terbalik songsang dan jiwa akan terus berada dalam kegelapan…
Apabila kitab yang mulia ini mula diganti dengan yang selainnya, tidak dibaca apatah lagi ditadabburkan, maka bertebaranlah segala kerosakan, bala akan menimpa, muncul kefahaman-kefahaman yang berkecamuk dan manusia akan hidup dalam huru-hara…
Kerana al-Quran itu adalah petunjuk bagi manusia menuju jalan yang penuh ketetapan…
Kerana al-Quran itu adalah cahaya dan penawar kepada jiwa manusia menyusuri jalan dengan penuh keinsafan…
Kerana al-Quran itu adalah ilmu dan bukti untuk renungan dan pendalilan…
Kerana al-Quran itu adalah kehidupan dan semangat, kecemerlangan dan kebahagiaan, serta ganjaran dan balasan...
Kerana al-Quran itu bukan sekadar sebuah perlembagaan, malah ia merupakan suatu pendidikan…
Lalu, adakah kita akan terus hidup bersama al-Quran di dalam bulan Ramadhan ini, dan juga bulan-bulan yang lain? Atau kita membiarkan al-Quran menjadi sahabat kita cukup sekadar di dalam bulan Ramadhan sahaja? Atau lebih buruk daripada itu, terus meninggalkan penghayatan kita terhadap kitab yang mulia ini?
Lalu, adakah kita akan terus mencari dan mengkaji kehebatan al-Quran, dan setelah itu kita penuhkan kehidupan ini dengan kebahagiaan, cahaya dan petunjuk yang datang daripada al-Quran?
Jadikanlah al-Quran sahabat kita sementelah bulan yang mulia ini dapat kita susuri dengan penuh ceria…
Dampingilah kitab yang agung ini sementara jantung masih berdegup, darah masih mengalir dan nyawa masih ada…
Semoga kehidupan kita sentiasa berada di bawah lembayung redha, rahmat dan keberkatan daripada Allah SWT.
Wa-Allah a‘lam.
* Bait-bait puisi dipetik daripada lirik nasyid ‘Ramadhan Dua Zaman’ oleh Nada Murni.
https://www.facebook.com/notes/asyraf-isyraqi-jamil/al-quran-dan-ramadhan/777078365665315
The Zikr - Ramadhan 2 Zaman (lirik)
The Zikr - Ramadhan 2 Zaman (lirik)
Ramadhan satu nasib tak serupa
Peluangnya sama natijahnya berbeza
Ramadhan mereka gemilang cemerlang
Mukmin berjasa di awal zaman
Ramadhan kami malang terbuang
Muslim berdosa di akhir zaman
Mereka gembira dengan kedatanganmu
Kami gembira dengan pemergianmu
Malam mereka meriah disimbah nur al-Quran
Tapi malam kami muram berkabung dengkur
Mereka berlumba mengejar kebaikan
Tapi kami lesu diburu nafsu
Hati mereka bercahaya digilap takwa
Jiwa kami gelap didera dosa
Takbir mereka takbir kemenangan
Hadiah mujahadah sebulan Ramadhan
Takbir kami lesu tak bermaya
Tanda kalah lemah tak berdaya
Puasa sekadar lapar dan dahaga
No comments:
Post a Comment