Kalau dulu di bawah pembangkang habuk pun tarak...kini penduduk Teluk Intan sudah dapat melihat sinar.Baru saja dua minggu selepas pilihanraya kecil kawasan Parlimen itu yang menyaksikan kemenangan calon BN Datuk Mah Siew Keong...Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah turun ke situ pagi Sabtu mengumumkan dua projek besar.
Pada acara Majlis Bersama Rakyat dan pelancaran PR1MA Teluk Intan di pekarangan Menara Condong beliau mengumumkan pembinaan 5,000 unit rumah di bawah program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) serta penubuhan cawangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Sebagai memenuhi manifesto Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, beliau turut mengumumkan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi projek pembangunan di kawasan berkenaan.
Selain RM5 juta itu sebanyak 1 juta lagi adalah peruntukkan Ahli Parlimen dan RM1 juta lagi peruntukan menteri menjadikan jumlahnya RM7 juta.
"BN adalah sebuah parti yang berpegang kepada falsafah dan prinsip bahawa BN menetapi janji dan membawa harapan kepada penduduk kawasan ini," katanya.
Bagi projek PR1MA, Najib berkata sebagai permulaan, sebanyak 1,000 unit rumah akan dibina di kawasan itu.
Projek PR1MA Teluk Intan secara keseluruhannya melibatkan kawasan seluas 202 hektar.
Projek PR1MA di Teluk Intan melibatkan kerjasama antara Perbadanan PR1MA Malaysia, Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) dan Koperasi Pegawai-pegawai Melayu Malaysia Bhd (MOCCIS).
Bagi penubuhan cawangan UPSI, Najib berkata kampus berkenaan akan menempatkan 1,000 guru yang akan dilatih dalam bidang vokasional dan teknikal.
"Kawasan Teluk Intan akan mendapat kesan yang begitu baik (dengan pembinaan cawangan UPSI).... (cawangan) itu akan cuba siap tiga hingga empat tahun akan datang," katanya.
Perdana Menteri turut merakamkan penghargaan kepada pengundi Teluk Intan kerana menyokong BN sehingga membawa kepada kemenangan Mah pada PRK Parlimen itu, 31 Mei lepas selepas menewaskan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti 238 undi.
"Saya datang untuk memastikan janji-janji (BN) ditunaikan. Saya nak ucap setinggi-tinggi perhargaan kepada pengundi yang menyokong BN.
"Saya tidak sedap duduk kalau saya tidak turun hari ini untuk berjumpa rakyat Teluk Intan," katanya.
Beliau berkata kemenangan itu membuktikan pengundi yakin BN adalah parti yang menepati janji dan membawa harapan baharu kepada penduduk kawasan itu.
"Kita menang kerana kebolehpercayaan rakyat terhadap BN meningkat. Ramai yang merasakan bahawa jika BN diberi peluang akan berlaku perubahan persekitaran dari segi pembangunan sosio-ekonomi di kawasan itu," katanya.
Sementara itu Mah ketika ditemui wartawan berkata pembinaan 5,000 unit rumah di bawah program PR1MA serta penubuhan cawangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) Teluk Intan diyakini dapat meningkatkan ekonomi di kawasan itu.
Beliau turut melahirkan rasa terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kerana bersetuju untuk merealisasikan manifesto Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan.
"Saya rasa gembira kerana Perdana Menteri bersetuju untuk membina rumah serta menubuhkan cawangan universiti untuk kepentingan penduduk di kawasan ini. Dengan inisiatif ini kawasan Teluk Intan akan dilimpahi kemajuan," katanya.
Mengenai tapak pembinaan universiti itu, Mah, yang juga Presiden Gerakan, berkata terdapat dua cadangan kawasan untuk membina universiti berkenaan, namun masih belum diputuskan.
"Di Teluk Intan tak banyak tanah, untuk dapatkan tanah orang lain bukan mudah, kemungkinan kita akan bina universiti ini di atas tanah ladang," katanya.
Selain itu, Mah berkata beliau berjanji akan bekerja keras untuk membangunkan semula kawasan berkenaan yang telah tujuh tahun tiada perubahan dilakukan ketika di bawah pimpinan DAP.
"Saya kerap turun padang dan lihat semua longkang tidak dibaik pulih. Beri saya masa dalam tiga tahun ini, saya akan cuba sedaya upaya untuk lakukan apa yang boleh untuk membangunkan Teluk Intan," katanya.
Mah menang pada PRK Parlimen Teluk Intan pada 31 Mei lepas menewaskan calon DAP Dyana Sofya Mohd Daud dengan majoriti 238 undi.
http://siemens-melayumaju.blogspot.com/2014/06/dua-minggu-lepas-pilihanraya-kecilpm.html
No comments:
Post a Comment